Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

Petikan daripada Cahaya Bodhi

Newsletter Berita Susulan Kursus Pendidikan Agama Buddha ke-5,
Persatuan Buddha Wakaf Bharu, Kelantan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Pengajaran daripada Mangala Sutta

Pada ruangan ini, kita akan mengenali dengan lebih dekat satu sutta yang amat popular, iaitu Mangala Sutta ataupun khutbah tentang berkat utama. Ia boleh dijumpai di Sutta Nipata, Khuddaka Nikaya.

Mangala membawa maksud perkara yang membawa kepada berkat ataupun bahasa Inggeris blessing. Dari segi pembelajaran bahasa Pali, istilah ini terdiri daripada tiga suku kata. Man bermakna ‘keadaan yang susah/merana’, ga bererti ‘akan’ manakala la pula ialah ‘penghapusan’. Oleh yang demikian, istilah mangala apabila secara keseluruhannya boleh diterangkan sebagai menghapuskan atau mengelakkan situasi yang merana dan susah.

Sutta ini bermula di tempat Buddha tinggal paling lama sepanjang hayatnya, iaitu di Jetavanarama. Pada suatu hari, satu perbincangan yang hangat dan menarik berkenaan dengan – "Apakah yang dikatakan sebagai berkat utama" – telah berlangsung di dewan awam. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Terdapat seorang yang beranggapan bahawa kedengaran bunyi yang merdu merupakan berkat utama. Sedangkan seorang lagi yang menyatakan bahawa pengalamannya kegemarannya seperti kewangian bunga, bersentuhan dengan tanah bumi dan sebagainya adalah satu berkat.

Kepada kita, golongan pelajar pula, berkat hanya akan "kelihatan" apabila tiada ujian, kerja-kerja rumah dan lain-lain lagi. Bagi kita, mangala wujud apabila kita dapat menghabiskan masa selama dua jam di depan kaca televisyen, membandingkan harga sehelai baju antara lima kedai baju, serta bangun dari tidur pada waktu makan tengahari!

Sesungguhnya, pengertian mangala adalah berbeza bagi lapisan masyarakat yang berbeza. Di samping itu, tanggapan kita terhadap blessing juga adalah berlainan di tahap umur yang berbeza. Sebagai contoh, duduk seharian di rumah tanpa berbuat apa-apa adalah blessing kepada seorang pakcik yang menjangkau umur 70-an, namun tidak sama sekali kepada seorang yang hanya berumur 17 tahun.

Menurut Mangala Sutta, terdapat 38 jenis mangala. Ini termasuklah tidak bergaul dengan sibodoh, berpeluang untuk bergaul dengan yang arif, menetap di tempat yang bersesuaian, mempunyai pertuturan yang menyenangkan, kesabaran, bersyukur dengan apa yang dimiliki, berpeluang untuk mendengar dan belajar Dhamma, perlakuan yang bebas daripada kesalahan, berupaya untuk mengawal perlakuan dan minda diri sendiri dan yang lain-lain lagi.

 

Sekiranya berpeluang berjumpa dengan seorang yang arif, orang arif itu bagaikan penunjuk kepada harta yang tidak ternilai harganya, menunjukkan kesalahan dan ketidaksempurnaan; Oleh itu eloklah kita bergaul dengan orang arif itu.

Ia akan membawa kebaikan, dan bukannya keburukan, kepada si dia yang bergaulan dengan orang arif.

Dhammapada, ayat 76.

Seorang yang arif adalah apabila dia berupaya memimpin kita ke arah pencapaian Nibbana. Melakukan segala kebaikan yang mungkin, mengikut keupayaan diri, seperti dana, mempraktik sila dan bermeditasi. Dia tidak sama sekali akan menggalakkan kita melakukan sebarang kejahatan.

Pertuturan yang menyenangkan juga merupakan satu berkat. Contohnya ialah pertuturan yang ikhlas, pada masa yang tepat, di tempat yang betul serta kepada orang yang betul. Perbuatan yang liberal dengan sentiasa bersikap murah hati, selalu membuat dermaan (dana) yang suci, dan juga tidak terpaut dengan harta yang dimiliki juga dikatakan Mangala. Apa jua yang kita miliki sekarang adalah sementara sahaja. Walau bagaimanapun, dengan mendermakan kepada orang yang lebih memerlukan, pahala yang telah kita lakukan itu akan kembali kepada kita pada suatu masa nanti.

Berterima kasih dan hargailah segala yang kita miliki sekarang, termasuklah kehidupan kita pada masa ini– seorang pelajar mahupun seorang yang sedang bekerja. Kemahuan yang tidak terkawal bukan sahaja akan meningkatkan perasaan tamak (lobha), marah (dosa) dan juga jahil (moha) kita, malah akhirnya ia akan mendatangkan lebih banyak kesengsaraan (dukkha) ke dalam kehidupan kita.

Dia yang menganggap kesalahan sebagai betul dan betul sebagai kesalahan,

dan hanya sentiasa memikirkan keseronokan deria,

tidak akan berjaya dalam usaha mencari kebenaran.

Dhammapada, ayat 11.

Hanyalah melalui pemahaman yang betul (samma-ditthi) terhadap Mangala Sutta, seseorang itu dapat menghargai dan menjadikan setiap saat kehidupannya satu mangala. Buddhisme sesungguhnya tidak menjanjikan kita suatu kehidupan yang penuh dengan berkat, namun ia memimpin dan menunjukkan jalan-jalan menuju ke arah suatu kehidupan yang penuh dengan mangala dan yang paling penting, ke arah mangala teragung – penghapusan semua dukkha.

Lay Ki


Kembali ke Laman Utama