SUMBANGAN BUDDHA KEPADA UMAT MANUSIA
Antara
semua pengasas-pengasas agama dalam dunia ini tiada seorang pun kecuali Buddha mendakwa dirinya sebagai
seorang manusia. Walaupun seorang manusia, beliau ialah seorang insan yang luar
biasa. Beliau telah menyempurnakan dalam kelahiran tak terpermanai kesemua
sepuluh Dasa Paramita atau 10 Kesalihan Boddhisatta.
Dasa Paramita terdiri
daripada : -
Dana - kedermawan (wakaf)
Sila - kesusilaan
Nekkhamma - peninggalan kehidupan duniawi
Panna - kearifan
Viriya - kegigihan
Khanti - kesabaran
Sacca - kebenaran
Adhitthana - tekad
Metta - kasih sayang suci
Upekkha
- ketenangan hati
Beliau ialah seorang ACCHARIYA
MANUSSA - seorang manusia yang luar biasa.
Beliau tidak menganggap dirinya sebagai Tuhan malah beliau tidak menyuruh
pengikut-pengikutnya menganggap dirinya sebagai Tuhan atau seorang dewa. Tetapi
beliau boleh diberi penghargaan sebagai Devatideva, guru kepada dewa ataupun raja kepada dewa.
Kebanyakan guru-guru agama
menganggap diri mereka sama ada sebagai Tuhan, penjelmaan Tuhan ataupun
diilhamkan oleh Tuhan. Buddha tidak mendapat sebarang
ilham atau kuasa luaran dari mana-mana
Tuhan kerana beliau mengaitkan semua
kesedaran, kearifan dan pencapaiannya kepada usaha, ketekunan serta
kebijaksanaan manusia. Setelah menyempurnakan Dasa Paramita, Buddha mendedahkan
bahawa hanya manusia dan bukannya Tuhan atau dewa-dewa yang boleh mencapai
matlamat agung kita, iaitu Pencerahan (Enlightenment).
Setiap orang mempunyai keupayaan untuk menjadi Buddha jika dia berazam untuk mencapainya dan berusaha
bersungguh-sungguh. Menurut Buddha,
kedudukan manusia adalah agung.
Manusia ialah tuannya
sendiri dan tiada makhluk, kuasa
atau entiti lebih tinggi yang dapat menentukan nasibnya. Beliau menasihati
pengikut-pengikutnya supaya bernaung di bawah diri mereka sendiri dan jangan
mencari perlindungan atau pertolongan di bawah naungan orang lain. Beliau
mengajar, menggalak serta mendorong setiap orang untuk memperkembangkan
kerohanian diri mereka sendiri dan mengusahakan pelepasannya sendiri daripada
segala bentuk belenggu. Ini adalah kerana manusia mempunyai kebolehan untuk
membebaskan dirinya melalui usaha,
kebijaksanaan serta keupayaan dirinya sendiri.
Buddha bukan sahaja seorang guru agama tetapi juga seorang pengubah sosial
sebab beliau mengkritik dan juga berusaha untuk menyingkirkan unsur-unsur
sosial negatif yang berleluasa semasa zaman kehidupannya. Justeru itu, saya
ingin membentangkan beberapa daripada sumbangan Buddha kepada umat manusia :-
Semasa hidupnya Buddha pada kurun ke-6 S.M., sistem
Kasta adalah suatu faktor hidup yang dominan dalam masyarakat. Buddha
membantah bersungguh-sungguh terhadap sistem kasta kerana ia menghalang
kemajuan manusia. Pada masa itu, menurut kepercayaan agama (orang Hindu), semua
orang dibahagikan kepada empat kategori, misalannya 4 kasta atau kelas:-
a) Brahmin - Mereka
ialah kelas paderi dan dipercayai memegang kunci ke syurga. Mereka dianggap dilahirkan daripada mulut Maha Brahma
iaitu pencipta alam semesta ini.
b) Khattiya - Kelas
pemerintah. Mereka terdiri daripada
kerabat-kerabat diraja. Mereka dipercayai dilahirkan daripada pusat Maha
Brahma.
c) Vaishyas - Mereka adalah
peniaga-peniaga dan dipercayai dilahirkan daripada lutut Maha Brahma.
d) Sudras - Mereka ialah hamba abdi atau orang suruhan
kepada tiga kasta di atas. Mereka
langsung tiada kebebasan dan dipercayai dilahirkan daripada kaki Maha Brahma.
Merujuk kepada apa yang tersebut di atas Buddha bersabda :-
Bukan berdasarkan kelahirannya seseorang itu Harija,
Bukan berdasarkan kelahirannya seseorang itu Brahmin,
Berdasarkan perbuatannya, seseorang itu Harija,
Berdasarkan perbuatannya, seseorang itu Brahmin.
Dalam Buddhisme, kasta atau
warna kulit tidak menghalang seseorang daripada menjadi seorang Buddhis ataupun
memasuki Order Sangha. Buruh yang membersihkan jalan, nelayan,
tukang gunting dan juga Harija bersama-sama dengan Brahmin-Brahmin dan
putera-putera raja, semuanya dilayani
sama rata tanpa mengira asal-usul mereka.
KEBEBASAN BERFIKIR
Ramai orang suka mengatakan
bahawa "kami ialah ahli fikir bebas (free-thinker) dan kami tidak mempunyai agama". Tetapi
jika seseorang itu ialah ahli fikir bebas maka sudah pasti dia mestilah seorang
Buddhis kerana Buddha menggalakkan kebebasan berfikir. Kebebasan berfikir bagi
diri sendiri yang dibenarkan oleh Buddha tidak dapat dijumpai dalam sejarah
agama lain, iaitu Kebebasan kepada keinsafannya sendiri tentang Kebenaran.
Pelepasannya tidak bergantung kepada kurniaan Tuhan atau sebarang kuasa luaran
sebagai suatu ganjaran kepada kelakuannya yang baik dan ketaatannya. Bhagava
tidak pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya, “Berdoa dan percaya”. Beliau
biasanya bersabda, “Datang dan mengerti, datang dan menyelidik. Jangan percaya
apa jua semata-mata kerana keimanan (blind faith).
Dalam Buddhisme keimanan membuta
tuli ini (blind faith) dikritik. Buddhisme menggalakkan penerimaan sesuatu selepas terdapat keyakinan
berdasarkan pengetahuan dan pemahaman.
Walaupun seorang Buddhis bernaung di
bawah Buddha sebagai gurunya, ia tidak menyerah diri atau mengorbankan
kebebasan untuk berfikir bagi diri sendiri. Tanpa mengorbankan kebebasannya
sendiri, dia meningkatkan kerohanian sehingga menjadi seorang Buddha. Sesiapa
yang ingin mencapai Nibbana pelepasan, hanya perlu bergantung kepada
diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh dogma dan keimanan membuta tuli.
Jlka
anda membaca atau merujuk kepada Kalama Sutta, anda boleh memahami
sejauh mana kebebasan berfikir yang telah diberikan oleh Buddha kepada
pengikut-pengikutnya.
Buddha bersabda :-
"Jangan percaya kepada
sesuatu semata-mata kerana anda sendiri pernah mendengarnya".
"Jangan percaya kepada
tradisi-tradisi hanya kerana mereka telah diamalkan turun-temurun".
"Jangan percaya kepada
sesuatu yang berdasarkan khabar angin".
"Jangan percaya kepada
sesuatu semata-mata kerana ia didapati tertulis di dalam kitab suci anda".
"Jangan percaya kepada
sesuatu semata-mata berdasarkan autoriti guru-guru anda dan orang-orang yang lebih
tua".
"Tetapi selepas peninjauan
dan analisis, apabila anda mendapati bahawa sesuatu perkara itu menyetujui
dengan alasan yang munasabah, membantu dalam mencapai sesuatu yang baik serta
menguntungkan semua pihak, barulah anda menerimanya dan hidup berdasarkannya".
Perkembangan
rohaniah hanya wujud jika kebebasan berfikir dibenarkan. Perkembangan mental
tidak boleh berlaku jika keimanan membuta tuli (blind faith) lebih berleluasa. Kebebasan berfikir membawa
kepada perkembangan mental manakala terlalu berpegang kepada dogma-dogma
membawa kita menuju kepada kebuntuan dan kemunduran.
TARAF WANITA
Buddha meningkatkan taraf wanita
dan menyedarkan golongan wanita tentang kepentingan mereka terhadap masyarakat.
Sebelum kelahiran Buddha, wanita tidak diberi kedudukan yang berpatutan dalam
masyarakat. Mereka tidak dilayan dengan baik. Semasa abad keenam S.M. kaum
wanita dikawal oleh pembatasan Brahmin yang ketat dan tempat mereka dihadkan
kepada bilik dapur sahaja.
Buat kali pertamanya dalam
sejarah dunia, Buddha mengasaskan Sangha Bhikkhuni dalam tahun ke-5 Pencerahan
Kebuddhaan beliau. Dengan tertubuhnya Sangha Bhikkhuni, kaum wanita berupaya
melepaskan diri daripada belenggu yang berkaitan dengan masyarakat India dahulu kala dan menikmati kebebasan
sempurna. Oder ini ialah suatu kurniaan yang besar kepada mereka. Kaum wanita
setelah memasuki Sangha Bhikkuni - permaisuri, puteri, janda, hamba wanita mahupun perempuan jalang
semuanya adalah sama darjat tanpa mengira kasta atau pangkat mereka. Mereka
mendapat ketenangan jiwa serta ketenteraman yang sempurna selepas memasuki Oder
tersebut.
Pada suatu ketika, Raja Kosala
berasa tidak puas hati sebab buat pertama kalinya, isteri beliau Permaisuri Mallika melahirkan seorang anak
perempuan. Raja itu menganggap bahawa
adalah bernasib buruk untuk mendapat seorang anak perempuan. Buddha
telah menolak dakwaan tersebut dengan
mengatakan, "0! Sang Raja, seorang anak perempuan mungkin
kelak nanti terbukti lebih mulia daripada seorang anak
lelaki." Ini menunjukkan bahawa Buddha memberikan suatu kedudukan yang
tinggi kepada wanita pada 25 abad yang lalu dan golongan wanita terhutang budi
kepada Buddha.
BELAS KASIHAN TERHADAP PESAKIT
Pada suatu hari, semasa Buddha sedang berjalan di dalam
Vihara, beliau ternampak seorang Bhikkhu yang sakit tenat. Bhikkhu itu
dibiarkan begitu sahaja sebab ia telah dihinggapi suatu penyakit kulit yang mengerikan. Buddha membantu merawat
Bhikkhu yang sakit Itu dengan tanganNya sendiri. Kemudian dalam suatu
perhimpunan agama, Buddha menjelaskan kepentingan menghulur bantuan kepada
mereka yang menderita. Beliau bersabda, "Sesiapa yang melayani pesakit
juga melayani saya." Berdasarkan prinsip ini, Maharaja Asoka buat pertama
kalinya dalam sejarah tamadun manusia menubuhkan hospital-hospital bukan sahaja
untuk manusia tetapi juga untuk haiwan-haiwan. Beberapa sutta penting
yang diajar oleh Buddha adalah berkaitan dengan rawatan kepada pesakit-pesakit.
AHIMSA - tanpa kekerasan
atau tanpa kekejaman
Buddha menasihatkan siswa-siswaNya mengamalkan kasih sayang suci bukan
sahaja terhadap manusia tanpa mengira
kasta, kepercayaan atau warna kulit tetapi juga kepada haiwan. Tiada seorang pun yang berhak memusnahkan nyawa
makhluk hidup lain sebab nyawa adalah sesuatu yang sangat berharga kepada semua.
Semasa kehidupan Buddha, pengorbanan binatang adalah satu amalan biasa di
India. Semasa pengorbanan, banyak binatang seperti kambing, lembu dan lain-lain dibunuh dan dipersembahkan kepada
dewa-dewa dan dewi-dewi yang berlainan. Kadang-kala manusia pun dibunuh dan
dipersembahkan. Mereka yang menjalankan pengorbanan-pengorbanan tersebut
mempercayai bahawa dewa-dewa dan roh-roh yang berlainan itu akan berasa gembira
dengan persembahan-persembahan tersebut. Selepas itu, mereka percaya mereka
akan dikurniakan lebih banyak kebahagiaan serta kekayaan dan akan dilahirkan
semula dalam syurga selepas mati. Buat kali pertamanya Buddhalah yang menentang
pengorbanan binatang dan menasihati siswa-siswaNya untuk menentang pengorbanan binatang dan untuk mengamalkan
kasih sayang suci terhadap semua makhluk hidup.
Semangat bertoleransi adalah satu daripada kebudayaan dan tamadun Buddhis
yang paling dihargai. Tidak terdapat satu contoh pun penganiayaan, Perang Jihad atau pertumpahan darah untuk
menukar agama orang lain ke dalam Buddhisme sejak 2,500 tahun dahulu. Memaksa orang lain untuk memeluk agama
tidak terdapat dalam Buddhisme.
Banyak sutta tentang keburukan yang bakal diterima hasil daripada
membunuh dan akibat karmanya telah diberikan oleh Buddha. "SEMUA makhluk
gentar pada saat kematian, semua makhluk takut kepada hukuman, ingatilah bahawa
anda adalah seperti mereka dan jangan membunuh dan melakukan penyembelihan.
Jika tiada apa jua pun, walaupun hujah yang munasabah dapat menggerakkan hati
nurani seseorang, biarlah perasaan bahawa semua makhluk hidup benar-benar
sayang pada nyawa mereka menimbulkan perasaan belas kasihan dalam dirinya. Oleh
itu, dengan perasaan belas kasihan ini, diharapkan dia dapat mempraktikkan Ahimsa.” Begitulah Buddha bersabda. Pencerahan yang
dibawa oleh ajaranNya menerangi jalan untuk manusia melepaskan diri daripada
belenggu samsara (kitaran hidup dan mati yang semula jadi) dan akhirnya
mencapai Nibbana.
MENGAJAR KITA BERDIKARI
Buddhisme mengajar kita bahawa
seseorang hanya boleh memperoleh pelepasannya
menerusi usahanya sendiri tanpa bergantung kepada pertolongan suatu
kuasa luar yang ghaib. Buddha tidak
meletakkan Tuhan yang maha kuasa dan ghaib pada tahap yang lebih tinggi daripada manusia, sebaliknya beliau telah
meningkatkan nilai serta status manusia. Buddha mengajar siswa-siswaNya bahawa
mereka tidak perlu mencari sumber-sumber luar untuk mendapat bantuan bagi
mencapai matlamat mereka. Bergantung kepada orang lain untuk memperoleh
pelepasan adalah negatif tetapi bergantung pada diri sendiri adalah
positif. Bergantung kepada orang lain
bermakna menyerah diri tanpa sebarang usaha. Buddha menunjukkan dengan jelasnya
bahawa kita sendiri yang harus berusaha. Buddha bersabda, "Kamu harus berusaha sendiri, sebab Tathagata
hanya mengajar caranya." Ini bermakna
Buddha menunjukkan jalan kepada pelepasan atau Nibbana dan
terpulang kepada kita untuk mengikut
jalan itu untuk menyelamatkan diri kita. Itulah sebabnya Buddha selalu
menasihati pengikut-pengikutnya,
"Individulah sebenarnya penyelamat dirinya sendiri. Tidak ada
penyelamat lain selain daripada diri
sendiri. Dengan pengawalan diri yang cukup, penyelamat kita yang sukar dicari
itu pun telah diperoleh." Kita
adalah penentu nasib kita sendiri, pembina neraka atau pencipta syurga kita
sendiri. Kita adalah waris karma, jasa
dan cela kita sendiri, sebab tiada orang lain boleh bertanggungjawab ke atas
nasib kita.
Kebebasan berfikir dan toleransi
yang ditunjukkan oleh Buddha telah menakjubkan
penyelidik sejarah agama-agama di dunia. Semasa kehidupan Buddha, di Nalanda terdapat seorang tuan yang
terkemuka dan kaya bernama Upali.
Beliau telah dihantar oleh gurunya Mahavira untuk bertemu dengan Buddha dan
berdebat dengan Bhagava tentang beberapa aspek tertentu dalam teori
karma. Pendapat Buddha mengenai hal ini adalah berlainan dengan pendapat
Mahavira. Pada akhir perbincangan itu, Upali telah yakin bahawa pendapat Buddha
adalah betul dan pendapat gurunya adalah salah. Jadi, dia meminta Buddha
menerimanya sebagai seorang siswa Beliau. Tetapi Buddha meminta Upali untuk
menimbangkannya semula dan jangan
tergesa-gesa sebab "menimbang dengan teliti adalah penting untuk seorang yang ternama
seperti anda." Apabila Upali
mengulangi hasratnya sekali lagi, Buddha memintanya terus menghormati dan
menyokong guru-guru agamanya yang lama seperti biasa, walaupun dia kini menjadi
siswa Buddha.
Dalam kurun ketiga sebelum
Masihi, terdapat seorang Maharaja
Buddhis yang mulia di India bernama
Asoka. Beliau mengikuti contoh persefahaman dan toleransi yang mulia ini dan
menghormati serta menyokong semua agama
lain dalam empayar beliau yang besar itu.
Pada suatu batu bersurat beliau yang dapat dibaca sehingga masa kini, Maharaja
Asoka menasihati :-
"Seseorang tidak harus
hanya memuliakan agamanya sendiri dan menyalahkan agama-agama lain, tetapi dia
juga harus menghormati agama-agama lain untuk sebab-sebab tertentu (jika ia
betul). Dengan berbuat demikian, seseorang membantu agamanya sendiri untuk
berkembang di samping berkhidmat kepada
agama-agama lain. Jika dia berbuat sebaliknya, seseorang itu diumpamakan menggali kubur agamanya sendiri
dan juga membawa kecelakaan kepada
agama-agama lain. Sesiapa yang memuliakan agama sendiri dan
memburuk-burukkan agama orang lain, berbuat demikian sesungguhnya kerana takwa
kepada agamanya sendiri, dengan
berfikir "Saya akan mengagung-agungkan agama saya sendiri."
Tetapi dengan berbuat demikian, sebaliknya dia melemahkan agamanya sendiri
dengan lebih banyak lagi. Jadi, toleransi adalah sesuatu yang sihat. Biar semua (insan) mendengar dan sanggup
mendengar kepada ajaran yang diberi oleh orang lain."
SEPULUH TUGAS-TUGAS RAJA
Pertama - Kemurahan hati, sifat
liberal dan sifat kedermawan (dana). Pemerintah tidak harus mempunyai nafsu kuat
dan terlalu terikat kepada kekayaan serta harta benda tetapi harus bermurah hati demi kebajikan rakyat.
Kedua - Mempunyai
moral yang tinggi (sila). Baginda tidak harus membinasakan nyawa,
mencuri, mempergunakan orang, berzina, berdusta dan mengambil minuman yang
memabukkan. Baginda mesti sekurang-kurangnya mengamalkan Lima Peraturan Hidup
iaitu Panca Sila.
Ketiga - Sanggup mengorbankan segala-galanya demi kebaikan rakyat (paricagga),
baginda
bersedia untuk melepaskan semua
keselesaan hidupnya dan juga sanggup menggadaikan nyawanya demi kepentingan
rakyat.
Keempat - Mempunyai kejujuran dan
ketulusan hati (ajjava). Baginda mesti bebas daripada ketakutan atau
sifat bias semasa perlaksanaan tugas-tugasnya, mesti ikhlas dalam tujuannya dan
tidak harus menipu orang ramai.
Kelima - Baik hati dan bersifat lemah-lembut (maddava). Baginda mesti memiliki suatu perangai yang
ramah-tamah.
Keenam - Kebiasaan berjimat cermat (tapa). Baginda mesti mengamalkan
cara hidup yang sederhana dan tidak terjerumus dalam kehidupan yang mewah.
Beliau harus mampu mengawal dirinya.
Ketujuh - Bebas daripada kebencian, dendam, permusuhan (akkodha). Baginda tidak harus menyimpan dendam
terhadap sesiapa pun.
Kelapan - Tanpa kekerasan (ahimsa) bermakna baginda bukan sahaja
tidak melakukan sesuatu yang jahat kepada orang lain tetapi juga harus cuba
untuk mengekalkan keamanan dengan mengelakkan dan menjauhkan diri daripada
peperangan dan segala yang melibatkan kekerasan serta kebinasaan nyawa.
Kesembilan - Kesabaran, ketabahan, toleransi (khanti).
Baginda mesti dapat menanggung kesengsaraan,
kesukaran dan cemuhan tanpa menjadi marah.
Kesepuluh - Tidak
menentang dan menyekat (avirodha) iaitu baginda tidak harus menentang
kehendak rakyat dan tidak harus menyekat sebarang yang penting untuk rakyatnya.
Dalam erti kata lain, baginda mesti memerintah rakyat beliau dalam keadaan yang
harmoni dengan kehendak rakyat.
Semasa
kehidupan Buddha, ada pemerintah yang menguasai negara mereka dengan tidak adil
seperti hari ini. Rakyat ditindas dan dieksploitasi, diseksa dan cukai yang
terlampau tinggi dikenakan serta hukuman yang zalim telah dijatuhkan. Buddha
berasa sedih melihat tindakan-tindakan
yang tidak berperikemanusiaan tersebut dan telah menurunkan sepuluh tugas-tugas seseorang pemerintah. Ini adalah
untuk membimbing pemerintah serta
meningkatkan kedudukan kebajikan rakyat.
Oleh itu, kita boleh nampak bahawa penentangan sistem kasta, kebebasan
berfikir, taraf wanita, belas kasihan
terhadap pesakit, tanpa kekerasan (Ahimsa), tanggungjawab ke atas diri sendiri (berdikari), toleransi agama dan sepuluh tugas-tugas
seseorang pemerintah adalah beberapa daripada sumbangan Buddha kepada umat
manusia. Kejayaan setengah-setengah idea ini dalam dunia hari ini telah menampakkan
kepentingan sumbangan Buddha kepada umat manusia.
Buku ini diterjemahkan oleh Rakan-rakan SeDhamma,
Universiti Sains Malaysia.