|
Petikan daripada Cahaya Bodhi Newsletter Berita Susulan Kursus Pendidikan Agama Buddha ke-5, -------------------------------------------------------------------------------------------------
Namo tassa bhagavato arahato samma-sambuddhasa Apakah ertinya?
Rangkap pembukaan chanting ini juga dikenali sebagai Vandana, bermaksud penghormatan/ renungan kepada Buddha. Ia sering kali dibaca sebelum bermulanya sesuatu majlis Buddhis, dan biasanya dibaca selama tiga kali. Seseorang yang membaca Vandana dengan penuh keyakinan dan kesedaran, dikatakan akan memperolehi ketenangan minda, keyakinan serta inspirasi dalam kehidupan hariannya. Tahukah anda apa maksud di sebalik ungkapan yang amat mashyur ini? Ruangan utama edisi Cahaya Bodhi pada kali ini akan menerangkan makna yang tersirat dan tersurat di sebaliknya. Ingatlah bahawa Buddhisme amat menitikberatkan pemahaman betul dan kesedaran terhadap segala perbuatan kita. Semasa membaca Vandana umpamanya, kita harus tahu dan sedar tentang erti di sebalik ungkapan tersebut. Jika tidak, kita tidak ubah seperti burung kakak tua yang meniru percakapan tuannya! Namo bererti penghormatan yang ikhlas, dilakukan dengan niat yang suci dan penuh rela hati. Tassa (berbunyi "ta-se", seperti "ta" dalam tahan, dan "se" dalam Selangor") pula bermakna Beliau. Oleh itu, Namo Tassa bermaksud Penghormatan kepada Beliau.Seterusnya, Bhagavato bermaksud diberkati. Ia merujuk kepada nilai-nilai berkat ataupun sempurna yang dimiliki oleh Buddha. Sebelum mencapai pencerahan pada kehidupan terakhirnya, Boddhisatta telah berusaha gigih untuk menyempurnakan dirinya. Dan dalam proses penyempurnaan tersebut, Beliau telah memperoleh beberapa keupayaan luar biasa hasil daripada disiplin, latihan dan konsentrasi mentalnya. Antaranya ialah keupayaan untuk melihat serta memahami sebarang fenomena yang berlaku; keupayaan melakukan kuasa sakti seperti berjalan di atas air, menghilangkan diri, dan sebagainya; mempunyai kuasa pendengaran sakti; keupayaan melihat menggunakan kuasa mindanya untuk membaca minda makhluk/ orang lain; dan keupayaan melihat kehidupan lampau semua makhluk; sebab inilah Buddha dikatakan memahami sepenuhnya hukum Karma kerana Beliau berupaya melihat perbuatan lampau seseorang yang memberikan kesan pada kehidupan masa kini. Arahato terdiri daripada dua konsonen, iaitu "ari" dan "hata". "Ari" bermakna musuh, dan "hata" bermakna hapus. Dalam erti kata lain, ia boleh diterjemahkan sebagai musuh yang telah dihapuskan. Musuh yang dimaksudkan di sini ialah kejahilan (avijja) dan nafsu (tanha), iaitu dua tunjang segala kejahatan manusia. Apabila avijja dan tanha berjaya dihapuskan, maka seseorang itu dikatakan sebagai 'maha suci' kerana tidak wujud lagi kecemaran minda seperti ketamakkan, kebencian dan kejahilan di dalam dirinya. Ibaratkan bunga teratai yang cantik lagi suci, tidak dilekati air; begitu juga Buddha tidak dikelati kecemaran minda. Buddha juga dikenali sebagai yang Maha sempurna kerana ia merupakan tahap kebaikan serta kesucian tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang. Akhir sekali Samma-sambuddhasa merujuk kepada seseorang yang telah mencapai pencerahan sempurna di atas usahanya sendiri. Selepas mencapai mencerahan, Beliau akan menyebar ajarannya demi kebaikan dan kesejahteraan semua makhluk di sekelilingnya. Sukhi! Sumangala |