4
KEBENARAN
BUDDHA YANG KEKAL SELAMANYA
Ngauman Singa 1
Kesan
Buddhisme Ke Atas Tamadun 4
KEBENARAN
YANG MUTLAK 6
DUA ALIRAN UTAMA BUDDHISME 8
Setelah mendengar ajaran Buddha, ramai orang membuat keputusan untuk membetulkan pandangan salah mengenai kehidupan keagamaan mereka.
Buddhisme bagaikan
permata cantik bersegi-segi yang dapat menarik minat manusia yang pelbagai
tabiat. Setiap segi pada permata ini mempunyai kaedah teruji tertentu yang
boleh memanfaatkan pencari kebenaran mengikut tahap pemahaman dan kematangan
rohani mereka.
Buddha Dhamma adalah hasil pencarian intensif oleh seorang putera mulia
yang bercita‑cita untuk menolong kaum manusia yang menderita. Pencarian
ini mengambil tempoh masa yang amat lama sekali. Walaupun dikelilingi dengan
kekayaan dan kemewahan seperti yang menghujani seorang putera mahkota, beliau
meninggalkan kehidupan serba mewah tersebut. Beliau dengan rela hati menempuh
perjalanan berduri-duri demi mencari kebenaran dan ubat untuk menyembuhkan
penyakit dalam kehidupan duniawi yang diiringi kesengsaraan serta
ketidakpuasan. Beliau telah bersusah payah mencari penyelesaian mengurangkan
semua penderitaan. Dalam tempoh pencarianNya yang lama, putera ini tidak
bergantung kepada petunjuk ketuhanan atau kepercayaan-kepercayaan tradisional
yang biasa diamalkan pada masa dahulu. Beliau membuat pencarian intensif dengan
fikiran yang bebas dan terbuka, berpandukan hanya tujuan yang ikhlas, azam yang
mulia, kesabaran yang tidak terhaus, hati yang benar-benar suci dan keinginan
yang berkobar-kobar untuk menghapuskan penderitaan. Setelah enam tahun membuat
kajian intensif, secara cuba jaya, putera yang mulia ini mencapai impianNya.
Beliau telah memperoleh pencerahan Sempurna dan memaklumkan kepada dunia ajaran
primitif yang dikenali sebagai Dhamma atau Buddhisme.
Pada suatu ketika Buddha berkata: "Bhikkhu sekalian, Singa, Raja
haiwan, pada senja kala keluar dari sarangnya. Ia menggeliat. Ia memeriksa
keempat-empat penjuru dalam semua arah. Setelah berbuat demikian, ia
mengeluarkan tiga ngauman. Selepas ngauman ini, ia menyerbu keluar mencari
mangsanya.
"Bhikkhu, apa jua haiwan yang terdengar ngauman Raja Haiwan ‑
Singa, kebanyakannya akan takut sehingga menggigil dan menggeletar. Haiwan yang
tinggal dalam lubang akan mencari lubangnya; haiwan akuatik akan menyelam ke
bawah air. Penghuni hutan akan lari memasuki hutan; burung berterbangan ke
langit."
"Selain daripada itu, semua gajah kepunyaan pemerintah tidak kira di
desa, bandar atau istana yang terikat dengan tali kulit yang tegap, terlepas
keluar memecahkan ikatan; membuang najis merata-rata dan sambil kegugupan lari
lintang-pukang. Begitulah betapa gagahnya singa, Raja haiwan berbanding dengan
binatang-binatang lain. Begitulah keunggulan kuasa dan keagungan singa
tersebut.
"Begitu juga keadaannya, Bhikkhu, apabila Buddha muncul di dunia ini,
seorang Arahant, seorang yang mencapai pencerahan sempurna, yang sempurna dalam
kearifan dan kelakuan, pengembara, yang paling berpengetahuan di dunia ini,
pelatih yang tiada tandingan, guru kepada Dewa dan manusia, seorang Buddha,
yang paling mulia. Beliau menyampaikan Dhamma: ÔBeginilah sifat semula jadi
konsep keakuan, inilah jalan ke arah menghapuskan sifat keakuan."
ÔBarang tuhan manapun, setelah mendengar Dhamma Tathagata, kebanyakan
daripada mereka akan berasa takut sehingga menggigil, jatuh dan menggeletar
lalu berkata ÔKita menganggap diri kita adalah kekal tetapi sebenarnya tidak;
kita menganggap diri kita adalah stabil, tetapi sebenarnya tidak stabil. Kita
sebenarnya tidak berlanjutan walaupun kita menganggapkan diri kita akan
berlanjutan. Jadi, diri kita adalah tidak kekal, tidak stabil, tidak
berlanjutan, hanya dilingkungi konsep diri.Õ Begitulah pengaruh seseorang Tathagata
ke atas semua tuhan dan manusia. (Anguttara Nikaya)
APA ITU BUDDHISME?
Buddhisme ialah
kebenaran Mulia.
Apakah itu
Buddhisme? Soalan ini telah mengelirukan ramai orang yang selalu menyoalkan
sama ada Buddhisme merupakan satu falsafah, satu agama atau satu cara hidup.
Jawapan ringkas yang diberi ialah Buddhisme adalah terlalu luas dan mendalam
untuk ditempatkan pada mana‑mana satu kategori. Sudah tentu Buddhisme
merangkumi falsafah, agama serta cara hidup. Tetapi Buddhisme mengatasi semua
kategori ini.
Kategori atau label yang diberikan kepada Buddhisme bagaikan papan
kenyataan untuk memberitahu orang ramai apa yang sedang dipamerkan. Jika kita
bandingkan Buddhisme dengan kedai ubat, adalah jelas bahawa papan kenyataan di
kedai ubat itu tidak akan menyembuhkan penyakit seseorang. Jika ubat itu adalah
mujarab, anda boleh mengambilnya untuk menyembuhkan diri tanpa menghiraukan
papan kenyataan yang semata‑mata memberikan label kepada ubat itu. Begitu
juga, sekiranya ajaran Buddha adalah berkesan, sila guna dan ambillah ia tanpa
perlu menghiraukan label atau papan kenyataan. Jangan cuba menyelitkan
Buddhisme ke dalam mana‑mana satu kategori atau hadkan Buddhisme di bawah
mana-mana papan kenyataan.
Orang berlainan yang hidup pada zaman dan tempat yang berlainan telah
memberikan label dan tafsiran yang berbeza terhadap Buddhisme. Kepada
sesetengah orang, Buddhisme cuma merupakan amalan-amalan karut. Kepada golongan
lain, Buddhisme mungkin merupakan sumber yang diperalatkan untuk mengaut
keuntungan sementara. Kepada kumpulan lain, ia adalah kuno. Kepada kumpulan
yang satu lagi, Buddhisme merupakan satu sistem pemikiran untuk golongan
intelektual sahaja. Kepada yang lain pula, ia adalah satu penemuan sains.
Kepada Buddhis yang taat dan soleh, Buddhisme bermakna keseluruhan hidupnya dan
memenuhi segala yang dipegang rapat dan dihargainya.
Sesetengah cendekiawan melihat Buddhisme sebagai satu produk persekitaran
India atau sebagai satu lagi ajaran agama dari India. Buddhisme bukan lain
tetapi kebenaran mulia. Ia adalah satu pendekatan intelek mengenai realiti.
Kesedaran yang diperoleh Buddha mengenai masalah dunia sejagat bukan diperoleh
melalui proses intelek atau rasional, tetapi melalui perkembangan dan penyucian
mental. Pendirian intelek Buddha yang saintifik menjadikan Buddha sangat unik
di kalangan guru-guru agama sepanjang zaman. Sesungguhnya, penyelidikan
intelektual serta usaha etika bermutu tinggi yang wujud di India pada ketika
itu adalah faktor utama kemunculan cahaya Dhamma daripada kegelapan kejahilan.
Perkembangan agama dan falsafah sejak beribu-ribu tahun dahulu telah
menyuburkan tanah India dengan idea serta ideal yang kaya. Kesemua ini membentuk
persekitaran yang paling sesuai untuk penyemaian benih Dhamma. Greece, China,
Mesir dan Babylonia, walaupun terkenal dengan keagungan pemikiran, tetapi
kualiti pandangan yang dicapai tidak setanding dengan cendekiawan-cendekiawan
yang tinggal dalam hutan atau gunung di India.
Cambah Pencerahan yang telah terbit bagaikan benih bersayap yang datang
dari satu ladang jauh, dari satu dunia serta masa yang amat berlainan daripada
kita. Cambah Pencerahan ini telah hinggap di sudut Timur‑laut India dan
tumbuh serta berkembang di situ. Cambah Pencerahan ini digambarkan
sepenuhnya dalam pengalaman seorang manusia iaitu Gautama Buddha. Buddhisme
adalah berasaskan pengalaman ini yang dikenali sebagai 'Pencerahan'. Dengan
pengalaman Pencerahan ini, Buddha memulakan ajaranNya tanpa sebarang
kepercayaan dogmatik atau keajaiban, tetapi dengan berdasarkan satu pengalaman
yang nyata dan unggul, yang Beliau sumbangkan kepada dunia sebagai kebenaran
unggul. Oleh itu, definisi sebenar Buddhisme ialah KEBENARAN MULIA. Ingatlah
Buddha tidak mengajar berdasarkan teori, tetapi beliau sentiasa mengajar
berasaskan pemahamanNya, pencerahanNya dan kesedaranNya yang praktikal mengenai
kebenaran.
Buddhisme bermula dengan kebenaran yang menjelma dalam diri Gautama Buddha
sejak 2,500 tahun lampau. Semasa Buddha memperkenalkan ajaranNya, beliau tidak
berniat untuk memperkembangkan konsep keakuan dalam minda manusia dan
menghasilkan lebih banyak keinginan untuk keseronokan deria serta kehidupan
abadi. Sebaliknya, beliau menunjukkan bagaimana sia-sianya kehidupan duniawi
dan menunjukkan jalan yang benar dan praktikal untuk swabebas yang telah
ditemuinya.
Ajaran asli Buddha membongkar sifat semula jadi kehidupan dan dunia ini.
Walau bagaimanapun, ajaran asli Buddha (yang dikenali sebagai Dhamma atau
kata-kata Buddha) mestilah dibezakan daripada agama yang berkembang berasaskan
ajaranNya.
Ajaran Buddha bukan sahaja memulakan satu agama, tetapi juga telah menjadi
inspirasi pembentukan satu tamadun secara keseluruhannya. Ajaran ini menjadi satu
daya memperadabkan yang merentas banyak budaya dan bangsa sepanjang sejarah.
Sememangnya, Buddhisme telah menjadi salah satu tamadun teragung di dunia ini.
Ia mempunyai pencapaian yang mengagumkan dalam bidang seperti kesusasteraan,
seni, falsafah, psikologi, etika, ilmu seni bina dan kebudayaan. Pada beberapa
abad yang lepas, institusi sosial pendidikan yang tidak terbilang banyaknya
telah ditubuhkan khas untuk ajaran Buddha di pelbagai negara. Sejarah Buddhisme
adalah penuh gemilang dengan semangat kesaudaraan dan kemuliaan. Bermula dari
hari Buddha menyampaikan ajaranNya dan memahami erti serta tujuan sebenar agama
dan hidup, kepercayaan dan amalan agama telah menjadi satu cara hidup
beragama yang rasional, saintifik dan praktikal demi perkembangan rohani.
Hari ini, Buddhisme masih merupakan penggerak tamadun yang penting di dunia
moden. Sebagai penggerak tamadun, Buddhisme menyedarkan orang ramai akan
tanggungjawab dan penghargaan diri. Di samping itu, ia juga membangkitkan
semangat banyak bangsa. Ia memupuk kemajuan rohani dengan merangsang daya
pemikiran seseorang itu. Ia menggalakkan sifat toleransi di kalangan orang
ramai dengan mengelakkan pemikiran sempit dan kefanatikan agama dan bangsa. Ia
menjinakkan yang liar dan memurnikan rakyat jelata sehingga mempunyai minda
yang jernih dan tenang. Pendek kata, Buddhisme menekankan sifat berdikari iaitu
nasib seseorang berada dalam genggaman tangannya sendiri. Setiap orang
berkebolehan memperkembangkan daya dan kesedarannya sendiri untuk mencapai
matlamat tertinggi.
Lebih daripada dua ribu tahun dahulu, Buddhisme telah memenuhi keperluan
rohani satu pertiga umat manusia. Hari ini daya tarikan Buddhisme masih sehebat
masa lampau. Ajaran Buddhisme masih merupakan sumber rohani yang terkaya kerana
ia meningkatkan daya usaha manusia ke suatu tahap yang lebih tinggi daripada
semata-mata untuk memenuhi nafsu dan selera manusia yang tidak pernah puas.
Oleh sebab keluasan perspektif Buddhisme, pandangan Buddha mengenai hidup berkecenderungan
menarik minat para intelek yang telah menghauskan fikiran mereka (dan juga
orang lain). Walau bagaimanapun, hasil pandangan Buddha bukanlah setakat
latihan intelek atau untuk menghiburkan hati para intelek yang telah kehausan.
Satu lagi daya tarikan Buddhisme ialah ia merupakan agama yang mementingkan
kenyataan dan memberikan pandangan yang nyata mengenai kehidupan dan dunia. Ia
tidak memujuk manusia supaya hidup dalam syurga si bodoh atau menakutkan
manusia dengan pelbagai jenis ketakutan bayangan dan perasaan berdosa.
Buddhisme memberitahu kita secara tepat dan objektif siapakah kita dan apakah
sebenarnya dunia di sekeliling kita. Ia juga menunjukkan cara‑cara untuk
memperoleh kebebasan, keamanan, keterangan dan kebahagiaan yang sempurna.
Sekiranya manusia kini ingin diselamatkan daripada bertindak bertentangan dengan piawaian
moral yang diajari oleh agama-agama, Buddhisme merupakan alat yang paling
berkesan. Buddhisme merupakan agama kemanusiaan, di mana pengasasnya adalah seorang manusia yang tidak
meminta wahyu atau penceburan tuhan untuk membentuk ajaranNya. Sekarang manusia
amat berjaya dalam pengawalan dunia kebendaan, mereka mungkin ingin renung
balik dan menilai pencapaian mereka dalam mengawal fenomena yang paling sukar:
dirinya sendiri. Dalam pencarian sebegini, manusia moden memperoleh jawapan
daripada Buddhisme untuk pelbagai masalah dan keraguan mereka.
Hari ini, Buddhisme menarik
hati orang-orang barat disebabkan ia tidak mempunyai dogma dan dapat masuk akal
dan hati. Ia menekankan sifat berdikari bersama toleransi terhadap orang lain.
Ia juga menerima penemuan sains moden jika ia mempunyai tujuan yang membina.
Buddhisme menerangkan manusialah pencipta kepada kehidupannya sekarang dan
pereka tunggal nasib mereka. Bjneginilah ciri Buddhisme.
Utusan Buddha iaitu
keamanan dan belas-kasihan terpancar ke semua arah dan berjuta‑juta yang
datang ke bawah pengaruh Buddhisme, menerimanya sebagai satu cara hidup agama
yang baru tanpa ragu-ragu.
Sumbangan Buddhis
Kepada Kaum Manusia
Sebagai satu agama, Buddhisme telah memenuhi harapan dan aspirasi manusia
dengan baik. Ia memupuk cara hidup yang disanjung oleh ahli-ahli masyarakat dan
semangat kemasyarakatan ke arah keamanan dan kesederhanaan. Ia telah menerajui
kebajikan manusia.
Di bidang politik, Buddhisme telah mencatatkan pembaharuan dalam sistem
keadilan, layanan, tatacara demokrasi dan mementingkan nilai-nilai asas moral.
Buddhisme telah mengharumkan
kebudayaan Timur. Ia telah menyumbangkan sikap asasi yang halus dan beretika
kepada mereka yang menerimanya dalam apa bentuk sekalipun.
Sebenarnya, potensi sebenar Buddhisme tidak disedari langsung oleh
sebahagian besar orang yang hanya menggunakannya hingga satu tahap yang terhad
sahaja. Potensinya kepada individu atau umum telah terselindung oleh sumbangan
Buddhisme dalam bidang kesusasteraan dan seni. Tetapi potensi Buddhisme yang
paling besar adalah rasionalisme Buddhisme yang tidak memerlukan sebarang
reformasi keagamaan. (Sebabnya, walaupun kerasionalan sentiasa dialahkan dan
dikesali oleh semua, walau bagaimana dikaburi pun oleh desakan daripada sifat
semulajadi manusia seperti emosi, ia tetap dimiliki oleh manusia, manusia
bertamadun.) Sekiranya terdapat satu pembaharuan dan keyakinan semula
terhadap nilai-nilai asas Buddhisme, ia bukanlah melalui penghidupan semula
yang kurang pasti atau berlaku sekali sekala atau penyesuaian kepada suruhan
kuasa luar biasa atau sekular. Buddhisme sendiri mengandungi benih untuk
pembaharuan diri.
Sumbangan Buddha terhadap perkembangan sosial dan rohani kaum manusia
adalah tidak ternilai. UtusanNya yang tersebar ke beberapa negara Asia telah
memenangi hati serta keyakinan orang ramai yang tidak pernah dilihat
sebelumnya.
Kebenaran yang
mutlak boleh didapati dalam ajaran Buddha.
Buddhisme mengakui
dua jenis kebenaran. Kebenaran lazim yang nyata dan kebenaran yang sebenar atau
mutlak. Kebenaran mutlak hanya boleh disedari melalui meditasi dan bukan
melalui teori atau ramalan sahaja.
Ajaran Buddha merupakan kebenaran mutlak di dunia ini. Buddhisme bukanlah
agama yang diturunkan atau agama yang diaturkan. Ia merupakan contoh pertama
bagaimana satu pendekatan saintifik yang tulen diaplikasikan untuk menjawab
persoalan ciri semula jadi kehidupan. Ajaran abadi ini telah ditemui oleh
Buddha sendiri tanpa sebarang bantuan ketuhanan. Ajaran ini adalah cukup kukuh
untuk menghadapi apa jua cabaran tanpa mengubah sebarang prinsip asas
ajarannya. Agama yang terpaksa menukar atau meminda ajaran asalnya supaya
bersesuaian dengan dunia moden ini, merupakan agama yang tiada asas kukuh dan
tidak mengandungi kebenaran mutlak. Buddhisme berupaya mempertahankan kebenaran
asal ajaran Gurunya sungguhpun di bawah keadaan sukar yang sering berlaku di
dunia serba moden ini. Buddha tidak pernah memperkenalkan amalan peribadi atau
duniawi yang tidak berkaitan dengan moral atau peraturan agama. Buddha
menganggap amalan seperti ini tidak mempunyai nilai keagamaan. Kita harus
membezakan antara apa yang diajar oleh Buddha dan apa yang diajar dan diamalkan
manusia atas nama Buddhisme.
Setiap agama bukan sahaja terdiri daripada ajaran pengasasnya tetapi juga
merangkumi upacara dan adat istiadat yang berkembang di samping ajaran teras
agama tersebut. Upacara dan adat istiadat ini berasal daripada amalan kumpulan
manusia yang menerima agama ini. Biasanya pengasas agama yang agung tidak
menetapkan peraturan‑peraturan yang teliti mengenai upacara yang
perlu dijalankan. Tetapi pemimpin agama selepas itu yang menjadikan agama
tersebut formal dan menggubal kod-kod perlakuan yang teliti, yang tidak boleh
dilanggar oleh penganut-penganutnya.
Malah agama yang kita kenali sebagai "Buddhisme" adalah amat
berbeza dari segi amalan luaran, berbanding dengan apa yang diamalkan oleh
Buddha dan pengikut‑pengikut awalNya. Pengaruh kebudayaan dan alam
sekeliling yang berabad‑abad lamanya telah mewujudkan Buddhisme yang
berbeza di Burma, Thai, China, Tibet, Sri Lanka dan Jepun. Walau bagaimanapun
amalan-amalan yang berbeza ini tidak bercanggahan, kerana Buddha mengatakan
selagi kebenaran mutlak terpelihara, manifestasi fizikal kebenaran ini boleh
berbeza-beza mengikut cara hidup si penganut.
Beratus‑ratus tahun setelah pemergian Buddha, pengikut‑pengikutnya
mula menubuhkan suatu agama berasaskan ajaran asalNya. Semasa berbuat demikian,
di samping konsep dan kepercayaan, mereka telah memasukkan pelbagai jenis
keajaiban, mistik, tilik nasib, sihir tangkal, mantera sembahyang dan beraneka
upacara serta adat istiadat yang tidak terdapat pada ajaran asal Buddha.
Apabila kepercayaan dan amalan tambahan ini diperkenalkan, ramai orang telah
mengabaikan amalan yang terpenting dalam ajaran asal Buddha iaitu: disiplinkan
diri, mengawal diri, membentuk moral dan mengembangkan rohani. Amalan ajaran
asal Buddha ditinggalkan, sebaliknya mereka menumpukan lebih perhatian dan
usaha mendoakan perlindungan daripada kuasa jahat dan mengimpikan keuntungan
dan nasib baik. Lambat‑laun, orang ramai tidak lagi menaruh minat dalam
ajaran asal tetapi lebih berminat tentang cara menghindari kemalangan, pengaruh
tidak baik bintang-bintang, ilmu sihir jahat dan penyakit. Lama-kelamaan
kepercayaan dan amalan agama menjadi mundur dan dibayangi oleh pengejaran
duniawi. Bahkan hari ini, ramai orang percaya bahawa mereka dapat menghindarkan
diri daripada kesusahan melalui pengaruh kuasa luar. Manusia masih terikat
kepada kepercayaan seumpama ini, oleh sebab inilah mereka lalai dalam usaha
memupuk nilai-nilai kegigihan, kebijaksanaan, kearifan serta kualiti-kualiti
manusia lain. Dalam kata lain, manusia mula menyalahgunakan kebijaksanaan
mereka dengan mengikuti kepercayaan dan amalan tersebut di atas nama Buddhisme.
Mereka juga telah mencemarkan kesucian utusan Buddha.
Oleh itu, agama moden di kebanyakan negara yang kita nampak sekarang
merupakan hasilan daripada penyesuaian kepada pelbagai kebudayaan serta keadaan
sosial manusia yang tinggal di sesebuah negara. Walau bagaimanapun Buddhisme
sebagai satu agama, tidak bermula sebagai satu sistem luar duniawi yang
diturunkan dari syurga. Sebaliknya ia lahir dan berkembang melalui satu proses
yang panjang dan bersejarah. Dalam proses perkembangan ini, ramai orang
beransur-ansur beralih daripada ajaran asal Buddha dan menubuhkan aliran serta
mazhab yang baru. Begitu juga dengan agama-agama lain, situasi yang sama dialami.
Kita tidak seharusnya tergesa-gesa membuat kesimpulan sama ada menilai
kesahihan sesuatu agama atau mengutuk agama tersebut hanya melalui pemerhatian
ke atas perbuatan mereka yang bertindak atas kepercayaan membuta-tuli atas nama
agama tersebut. Untuk memahami ciri sebenar sesuatu agama, kita perlulah
mengkaji dan menyelidik ajaran asal pengasas agama tersebut.
Dalam menghadapi pembanjiran idea dan amalan yang berkembang terkemudian,
adalah berguna bagi kita merenung kembali Dhamma yang positif serta abadi yang
diajar oleh Buddha. Tidak kira apa jua kepercayaan dan amalan atas nama
Buddhisme, ajaran asas Buddha masih wujud dalam teks Buddhis yang asal.
Penganut-penganut
Buddha yang sebenar boleh mengamalkan agama ini tanpa terikat kepada mana-mana
aliran atau mazhab.
Beberapa ratus tahun
selepas Buddha meninggal, muncul lapan belas buah aliran atau mazhab yang
berbeza, dan masing‑masing mendakwa ia mewakili ajaran Buddha yang asal.
Pada asasnya aliran-aliran ini berbeza disebabkan tafsiran yang berlainan
mengenai ajaran Buddha. Selepas satu tempoh masa, aliran-aliran ini
beransur-ansur bergabung menjadi dua aliran utama iaitu Mahayana dan Theravada.
Sehingga hari ini, kebanyakan penganut
Buddhisme tergolong dalam dua aliran ini.
Pada asasnya Buddhisme Mahayana berkembang daripada ajaran Buddha yang
mengatakan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk mencapai kebuddhaan.
Penganut Theravada pula mempercayai potensi ini boleh dicapai melalui usaha
individu. Sebaliknya, pengikut Mahayana mempercayai mereka boleh memperoleh
swabebas dengan bantuan makhluk superior lain yang bernama Bodhisatta. Menurut
mereka, Bodhisatta merupakan bakal Buddha. Atas kasih sayang terhadap semua
umat manusia, mereka menangguhkan pencapaian kebuddhaan sehingga mereka telah
menolong orang lain menuju ke arah pembebasan. Walaupun wujudnya perbezaan asas
ini, tetapi perlu ditegaskan bahawa dari segi doktrin langsung tiada
pertentangan berkenaan dengan Dhamma seperti mana yang terkandung dalam teks
kitab suci Tripitaka. Memandangkan Buddhis digalakkan oleh Guru mereka supaya
menyoal siasat kebenaran, mereka dibenarkan membuat tafsiran kitab suci dengan
bebas berdasarkan pemahaman
mereka. Tetapi yang terpenting, kedua‑dua Mahayana dan Theravada adalah
sama dalam penghormatan mereka terhadap Buddha.
Persamaan di antara dua aliran ini adalah seperti berikut:
1. Kedua‑duanya
mengiktiraf Buddha Sakyamuni sebagai guru.
2. Empat
kebenaran mulia tetap sama, dalam kedua-dua aliran.
3. Jalan Mulia
Lapan Faktor tetap sama, dalam kedua-dua aliran.
4. Patticca-Samuppada
atau ajaran tentang sebab-musabab yang saling bergantungan adalah tetap sama, dalam kedua-dua
aliran.
5. Kedua‑duanya
menolak idea mengenai makhluk agung yang telah mencipta dan menguasai dunia
ini.
6. Kedua-duanya
menerima Anicca, Dukkha, Anatta dan Sila, Samadhi, Panna tanpa
perbezaan.
Sesetengah orang berpendapat bahawa Theravada terlalu mementingkan diri
sendiri kerana ia mengajar kita supaya mencari swabebas sendiri. Tetapi
bagaimanakah seseorang yang mementingkan diri dapat mencapai Pencerahan? Kedua‑dua
aliran menerima tiga Yana atau Bodhi dan menganggap Boddhisatta sebagai
ideal tertinggi. Mahayana telah mencipta banyak Bodhisatta yang mistik,
sementara Theravada mempercayai Bodhisatta adalah seorang manusia di antara
kita yang membaktikan seluruh hidupnya untuk pencapaian kesempurnaan dan
akhirnya menjadi Buddha dengan pencerahan sempurna demi kesejahteraan dan
kebahagiaan dunia.
Sebutan Hinayana (Kenderaan Kecil) dan Mahayana (Kenderaan Besar) tidak
tersurat dalam kesusasteraan Pali Theravada. Ia juga tidak dijumpai pada Kitab
Suci Pali (Tripitaka) atau dalam ulasan terhadap Tripitaka.
Buddhis Theravada mengikut tradisi agama ortodoks yang diamalkan dua ribu
lima ratus tahun dahulu di India. Mereka menjalankan servis agama dalam bahasa
Pali. Mereka juga berharap dapat mencapai matlamat terakhir (Nibbana) sama ada
dengan menjadi Buddha dengan pencerahan teragung, Buddha Pacceka atau Arahant
(peringkat tertinggi Kesucian). Majoriti daripada mereka lebih cenderung kepada Arahant. Buddhis di Sri Lanka,
Burma dan Thailand tergolong dalam aliran ini. Pengikut Mahayana telah mengubah
adat yang lama ini. Amalan mereka adalah menurut adat resam dan tradisi tempat
tinggal mereka. Pengikut Mahayana menjalankan servis agama dalam bahasa ibunda
mereka. Mereka berharap dapat mencapai matlamat terakhir (Nibbana) dengan
menjadi Buddha. Oleh sebab ini Buddha dan Bodhisatta (Seorang yang bakal
menjadi Buddha) dihormati dengan sama oleh mereka. Buddhis di China, Jepun dan
Korea tergolong dalam aliran ini. Kebanyakan Buddhis di Tibet dan Mongolia
mengikuti satu aliran lain yang dikenali sebagai Vajrayana. Ilmiawan Buddhis
mempercayai aliran ini lebih cenderung kepada aliran Mahayana.
Para ilmiawan sedunia menerima bahawa istilah-istilah Hinayana dan Mahayana
adalah rekaan terkemudian. Mengikut sejarah, Theravada telah lama wujud
sebelum istilah-istilah ini muncul. Theravada yang dianggap sebagai ajaran asal
Buddha telah diperkenalkan dan bertapak di Sri Lanka pada abad ke-3 S.M. iaitu
pada zaman maharaja Asoka India. Pada masa itu tidak ada aliran yang dipanggil
Mahayana. Ia muncul terkemudian iaitu lebih kurang pada permulaan Era Kristian.
Buddhisme yang tersebar ke Sri Lanka dengan Tripitaka dan ulasannya pada abad ke-3
S.M., berkekalan seperti Theravada yang asal dan tidak terlibat dalam
perselisihan di antara Hinayana dan Mahayana yang berkembang terkemudiannya di
India. Jadi adalah tidak munasabah memasukkan Theravada ke dalam mana-mana
kategori ini. Walau bagaimanapun setelah perasmian Persahabatan Buddhis Sedunia
(World Fellowship of Buddhis) pada tahun 1950, mereka yang dari Timur dan Barat
yang termaklum menggunakan istilah Theravada dan bukan Hinayana bila merujuk
kepada Buddhisme yang terdapat di negara‑negara Asia Tenggara. Masih
terdapat orang yang ketinggalan zaman yang menggunakan istilah Hinayana.
Sebenarnya kitab suci Samdhi Nirmorcana (satu Sutra
Mahayana) jelas menyatakan Sravakayana - Theravada dan
Mahayana membentuk satu Yana (Ekayana), jadi mereka bukan dua 'kenderaan'
berbeza. Walaupun aliran Buddha yang berlainan mempunyai pegangan yang
berbeza terhadap ajaran Buddha, mereka tidak pernah mencetuskan apa‑apa
keganasan atau pertumpahan darah selama lebih daripada dua ribu tahun. Inilah
toleransi Buddhis yang unik.