BAB 17
TILIKAN DAN MIMPI
Astrologi Dan Astronomi
`Saya tidak mempercayai pakar astrologi tetapi
mempercayai astrologi.'
Sejak permulaan kewujudan, manusia telah terpesona oleh bintang‑bintang
dan pengaruhnya. Mereka cuba mencari kaitan antara bintang dengan nasibnya.
Penelitian terhadap bintang dan pergerakannya telah menghasilkan dua bidang
kajian utama iaitu astronomi dan astrologi. Astronomi ialah satu bidang sains
tulen mengenai jarak, evolusi dan kemusnahan serta pergerakan bintang. Kesemua
perhitungan dibuat relatif kepada bumi dan pengaruh pergerakan antara planet‑planet
terhadap manusia secara fizikal. Astronomi moden masih berusaha mencari jawapan
kepada persoalan mengenai asal‑usul manusia, hari kiamat dan keakhiran
yang mungkin bagi kewujudan manusia. Bidang kajian ini amat menarik.
Pengetahuan baru tentang alam dan cakerawala telah memaksa banyak agama menilai
semula dakwaan kuno mereka tentang pencipta alam dan ciptaan kehidupan.
Agama Buddha tidak menghadapi sebarang dilema, kerana Buddha tidak
menggalakkan pengikutnya membuat spekulasi tentang perkara di luar daya
pemahaman mereka. Walau bagaimanapun Buddha pernah memberi beberapa kiasan yang
terbukti benar dengan bertambahnya pengatahuan baru melalui bidang sains. Hal
ini menunjukkan bahawa Buddha sedia maklum tentang sifat semulajadi alam
semesta kita. Misalnya, Beliau mengatakan bahawa dunia tidak dicipta di dalam
sekelip mata dan bumi kita hanya merupakan satu bahagian kecil yang kurang
penting daripada alam yang luas ini. Beliau juga mengatakan pembentukan dan
pemusnahan sesuatu entiti berlaku setiap masa dan semua kejadian mengalami
perubahan yang konstan.
Astrologi pula merupakan satu bidang kajian yang sama sekali berlainan.
Sejak manusia mula berfikir, mereka amat tertarik dengan perkaitan antara
dirinya dengan alam. Apabila manusia mula maju daripada masyarakat memburu
kepada masyarakat bercucuk tanam, mereka mendapati terdapat pertalian antara
pergerakan matahari di dalam setahun dengan aktiviti penanaman, penuaian dan
projek lain yang berkaitan. Apabila manusia menjadi lebih sofistikated,
mereka berupaya meramalkan pergerakan matahari dan mencipta ukuran masa dengan
membahagikannya kepada tahun, bulan, hari, jam, minit dan saat.
Manusia menghubungkan pengetahuan ini dengan kewujudannya, mereka rasa
mungkin terdapat satu perhubungan di antara kitaran hidupnya dengan pergerakan
planet. Pemikiran ini mewujudkan konsep zodiak iaitu laluan matahari yang
terbahagi kepada duabelas bahagian atau buruj. Kajian tentang pergerakan
matahari ini dan hubungannya dengan kehidupan seseorang individu dipanggil
horoskop.
Bidang astrologi meliputi aspek pemahaman sifat manusia dan meramalkan
pergerakan planet dengan tepat. Bidang ini juga merangkumi pemahaman
terhadap fenomena‑fenomena alam yang sukar dijelaskan. Terdapat ramai
ahli astrologi yang cekap pada masa lampau dan terdapat juga mereka yang cekap
pada masa kini. Malangnya terdapat lebih ramai lagi penipu yang mendakwa
diri mereka sebagai pakar , ini memburukkan nama astrologi. Mereka menipu orang
ramai dengan ramalan yang seolah‑olah benar. Penipu seperti ini mengaut
duit yang banyak dengan memperdayakan mereka yang jahil dan dalam ketakutan.
Akibatnya, ahli sains mempersendakan bidang astrologi dan tidak merujuk
kepadanya. Walau bagaimanapun sikap dingin ahli sains terhadap bidang ini
adalah kurang wajar. Tujuan utama horoskop ialah membantu individu memahami
sifat dirinya dengan lebih mendalam. Caranya adalah seperti gambar X‑ray
yang menunjukkan bentuk fizikal seseorang.
Statistik menunjukkan pengaruh matahari dalam tanda zodiak terhadap
kelahiran manusia luar biasa dalam bulan‑bulan tertentu. Sesetengah
jenayah pula didapati berhubung rapat dengan tanda zodiak iaitu laluan matahari
pada bulan‑bulan tertentu.
Pemahaman sedemikian boleh menolong seseorang merancang hidupnya supaya
lebih berharmoni dengan kecenderungan semulajadinya dan mengurangkan
gangguan sepanjang perjalanan hidup.
Bayi yang baru dilahirkan bagaikan satu benih. Bayi membawa bersamanya
ciri‑ciri yang menyerupai orang‑orang lain, namun dia tetap seorang
individu yang unik. Bagaikan benih, bagaimana potensinya diperkembangkan
bergantung kepada cara ianya dipelihara. Manusia dilahirkan bersama sifat
semulajadi tertentu, tetapi dirinya yang akan menentukan sama ada kebolehan dan
bakatnya dipergunakan dengan sebaik‑baiknya. Adakah seseorang itu mampu
mengatasi kelemahan dan kejahatan dalam dirinya? Ini bergantung kepada asuhan
pada zaman muda. Jika kita dapat mengenalpasti sifat diri yang cenderung kepada
malas, panas darah, runsing , dengki, kejam, kecewa dan penipu, kita boleh
mengambil langkah positif untuk mengatasinya. Langkah pertama untuk mengatasi
masalah ialah kenalpasti masalah yang sebenarnya.
Tafsiran astrologi dapat mengenalpasti kecenderungan kita. Dengan
pengetahuan ini, kita harus mengambil langkah‑langkah yang sewajarnya
untuk merancang kehidupan kita supaya menjadi rakyat yang berguna. Seseorang
yang cenderung melakukan jenayah juga boleh menjadi orang yang mulia jika dia
dapat mengenali sifat semulajadinya dan melangkah ke arah kehidupan yang baik.
Horoskop ialah satu carta yang dilukis untuk menjelaskan daya kamma yang
dibawa bersama seseorang sejak dia dilahirkan. Daya kamma menentukan masa
kelahiran seseorang. Dengan mengetahui masa kelahiran, seorang ahli astrologi
yang pakar dapat meramalkan secara tepat masa depan seseorang dalam suatu jangkamasa tertentu.
Bumi mengambil masa lebih kurang satu tahun untuk mengelilingi
matahari. Jika pergerakan ini diperhatikan daripada bumi, matahari didapati
berada di dalam beberapa kawasan zodiak sepanjang tahun. Seseorang
dilahirkan (bukan secara tidak sengaja tetapi ditentukan oleh kammanya) apabila
matahari berada di dalam salah satu daripada duabelas bahagian zodiak.
Dengan bantuan horoskop, anda boleh menentukan masa‑masa anda
perlu memperlahankan atau mempergiatkan kehidupan atau kena berhati‑hati
tentang aktiviti‑aktiviti hidup dan kesihatan.
Pandangan Buddhis Terhadap Astrologi
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah sama ada agama Buddha menerima
ataupun menafikan astrologi. Sebenarnya, Buddha tidak mengulas secara langsung
tentang perkara ini. Beliau telah berkali‑kali menegaskan bahawa perkara
seperti ini tiada hubungan dengan perkembangan spirituil. Walau bagaimanapun,
ajaran Buddha tidak mengecam bidang astrologi seperti beberapa agama lain.
Manusia bebas menggunakan pengetahuan ini demi hidup yang lebih bermakna. Jika
kita meneliti ajaran Buddha, kita akan dapati pemahaman tentang astrologi yang
betul dan bijaksana amat berguna. Sains moden sebenarnya selaras dengnan
Buddhisme. Terdapat satu pertalian langsung di antara hidup seseorang dengan
pengoperasian kosmos ini. Kita sedia maklum bahawa terdapat pertalian langsung
di antara hidup manusia dengan perubahan alam semesta. Misalnya terdapat satu
pertalian yang rapat di antara pergerakan bulan dengan kelakuan kita. Fenomena
ini boleh diperhatikan di antara mereka
yang mengalami gangguan fikiran dan mereka yang cenderung kepada
keganasan. Penyakit tertentu seperti asthma dan bronchitis menjadi lebih serius
pada waktu bulan penuh. Oleh itu, telah ada sebab yang mencukupi bagi kita
mempercayai bahawa planet lain boleh mempengaruhi kehidupan kita.
Agama Buddha mengakui bahawa terdapat satu tenaga kosmik yang kuat yang
berdenyut melalui setiap makhluk hidup termasuk tumbuh‑tumbuhan. Tenaga
ini bertindakbalas dengan tenaga
kamma seseorang dan menentukan arah hidupnya. Kelahiran seseorang bukanlah
kewujudan hidupnya yang pertama tetapi merupakan sambungan kewujudan yang
akan berlanjutan selagi dia tidak dapat mengatasi kammanya melalui
pencapaian kebebasan muktamad. Suatu makhluk hanya akan wujud di satu
persekitaran baru jika faktor
musim, faktor percambahan dan faktor alam semulajadi dipenuhi. Faktor‑faktor
ini perlu disokong dengan tenaga mental dan tenaga kamma. Kesemua elemen ini
saling bertindakbalas dan menyebabkan perubahan yang berterusan kepada hidup
seseorang.
Mengikut ahli astrologi, waktu seseorang dilahirkan ditentukan oleh
tenaga kosmik dan tenaga kamma. Oleh itu kewujudan hidup bukanlah secara
mendadak, tetapi kewujudan tersebut adalah hasil interaksi di antara tenaga
kamma seseorang dengan tenaga kosmik. Perjalanan hidup manusia telah ditentukan
oleh perbuatannya di hidup yang lalu dan juga tenaga yang menggerakkan kosmos
ini. o7 3 Hidupan termasuklah masa kelahirannya
dikawal oleh interaksi kedua‑dua tenaga tersebut di atas. Oleh sebab ini,
seorang ahli astrologi yang mahir dapat menilik masa depan seseorang berdasarkan
masa kelahirannya.
Walaupun kita dikuasai oleh tenaga‑tenaga tersebut, tetapi Buddha
telah menunjukkan jalan untuk membebaskan diri kita daripada pengaruhnya.
Semua tenaga kamma tersimpan di dalam minda separa sedar yang biasanya dikenali
sebagai kecemaran dan kesucian minda. Kamma menentukan masa depan
seseorang, tetapi melalui perkembangan minda, seseorang dapat melenyapkan
pengaruh negatif yang disebabkan oleh kamma buruk yang lepas. Seseorang boleh
menyucikan mindanya dan membebaskan dirinya daripada semua tenaga kamma serta
menyekat kelahiran semula. Apabila tiada kelahiran semula, tiada potensi
kehidupan lagi yakni tiada masa depan yang boleh diramalkan. Pada tahap
spirituil dan mental seumpama ini, seseorang telah mengatasi keinginan untuk
mengetahui masa depannya. Ini disebabkan kebanyakan ketidakpuasan dan
ketidaksempurnaan hidupnya sudah dilenyapkan; horoskop tidak diperlukan
lagi.
Sejak awal abad ke‑20, ahli psikologi dan doktor penyakit jiwa
mendapati masih terdapat banyak aspek lagi tentang minda manusia selain daripada yang dapat diterima
oleh materialis. Selain daripada yang dapat dilihat dan disentuh, terdapat
banyak lagi aspek dalam dunia ini. Seorang ahli psikologi Switzerland yang
terkenal, Carl Jung, banyak menggunakan horoskop untuk membantu pesakitnya. Di
dalam satu analisis berdasarkan astrologi tentang 500 perkahwinan, beliau
mendapati hasil kajian Ptolemy yang menjadi asas astrologi moden di barat masih
benar. Hasil kajian tersebut menunjukkan aspek‑aspek yang menguntungkan
di antara matahari dan bulan bagi pasangan‑pasangan itu boleh mewujudkan
perkahwinan yang bahagia.
Seorang ahli psikologi Perancis yang terkenal, Michel Gauguelin pada
mulanya mempunyai pandangan negatif terhadap bidang astrologi. Setelah beliau
membuat satu kajian tentang 20000 analisis horoskop, beliau kagum dengan
hasilnya. Beliau telah mendapati ciri seseorang yang dihuraikan oleh horoskop
adalah sama seperti ciri yang diperolehi melalui cara psikologi moden.
Menanam sayur‑sayuran dan pokok tertentu pada masa yang berlainan
dalam satu tahun akan menghasilkan perbezaan dari segi ketahanan dan rupa
tumbuhan tersebut. Oleh itu, tiada sebab bagi kita meragui kenyataan bahawa
terdapat kelainan ciri pada mereka yang lahir pada masa yang berlainan dalam
satu tahun. Dengan mengetahui kelemahannya, seseorang boleh berusaha bersungguh‑
sungguh untuk mengatasi kelemahan berkenaan supaya menjadi anggota
masyarakat yang lebih berguna. Pengetahuan ini juga dapat membantu seseorang
bebas daripada kekecewaan dan penderitaan. (contohnya, penghijrahan ke negara
lain mungkin membantu mengurangkan pengaruh bintang‑bintang ke atas
seseorang individu).
Shakespeare berkata: `kesilapan bukan padda bintang tetapi pada diri
kita sendiri.' Seorang ahli astrologi yang terkenal berkata : `bintang hanya
mendorong dan tidak memaksa.' St Thomas Aquinas pula berkata : `planet
mempunyai pengaruh yang lebih kuat ke atas bahagian‑bahagian asas
daripada perasaan manusia.' Tetapi dengan menggunakan kebijaksanaan, seseorang
boleh mencorakkan hidupnya supaya berharmoni dengan planet‑planet.
Manusia juga dapat mengasah dan menggunakan bakat semulajadinya untuk kemajuan
diri.
Astrologi tidak dapat menyelesaikan semua masalah kita secara automatik,
Kita sendirilah yang perlu bertindak. Bagaikan seorang doktor yang dapat
memberitahu ciri‑ciri sesuatu penyakit, seorang ahli astrologi hanya
dapat menunjukkan aspek‑aspek hidup dan sifat seseorang yang tertentu
sahaja. Kemudian terpulanglah kepada kita untuk mengubahsuaikan cara hidup
kita. Sudah tentu usaha ini akan menjadi lebih mudah dengan mengetahui halangan
yang bakal dihadapi. Sesetengah orang terlalu bergantung kepadda astrologi.
Mereka berjumpa dengan ahli astrologi setiap kali sesuatu peristiwa terjadi
atau mereka memimpikan sesuatu. Awas, sehingga kini, astrologi masih kurang
sempurna dan ahli astrologi yang terbaik juga mungkin melakukan kesilapan
besar. gunakanlah bidang astrologi dengan sebijak‑bijaknya umpama cara
kita gunakan alat‑alat lain demi keselesaan dan kenikmatan hidup. Berjaga‑
jagalah terhadap ahli astrologi palsu yang cuba menipu. Bukan kebenaran yang
diberitahu tetapi diberitahunya apa yang kita gemari.
Jangan mengharapkan nasib baik datang bergolek. Sekiranya anda hendak menuai,
kenalah anda menyemai dan pastikan benih yang betul! Ingat, peluang kebahagiaan
sentiasa ada tetapi ia tidak akan muncul tanpa sebarang usaha. Kalau tak
dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya.
Tilikan Nasib dan Ilmu Sihir
Kerajinan adalah bintang paling bertuah
Buddhisme tidak menolak kepercayaan pada dewa,
semangat, astrologi dan tilikan nasib, tetapi Buddha menasihati seseorang
supaya jangan menghambakan diri kepada kuasa‑kuasa tersebut. Seorang
Buddhis yang baik dapat mengatasi kesemua masalahnya jika dia pandai
menggunakan kebijaksanaan dan kecekalan hatinya. Kepercayaan‑kepercayaan
yang tersebut di atas tidak bernilai sprituil. Seseorang harus mengatasi
kesemua masalah dan kerumitannya melalui usaha sendiri dan bukannya
melalui medium seperti semangat, dewa, tilikan nasib atau bidang astrologi.
Dalam sebuah cerita Jataka Buddhis, Bodhisatta pernah bersabda :
'Si tolol mananti hari bertuah
Namun tuah selalu terlepas
Tuah adalah bintang tuah
sendiri
Hanya sekadar bintang apa nak
dicapai?'
Beliau percaya bahawa kerajinan adalah bintang paling bertuah.
Seseorang tidak harus membuang masanya dengan merujuk kepada bintang atau
menanti hari bertuah untuk mencapai kejayaan. Berusaha sedaya‑upaya
untuk membantu diri kita adalah jauh lebih baik daripada mengharapkan bintang
atau sumber luar.
Terdapat Buddhis yang menilik nasib dan memberikan tangkal atas nama
Agama Buddha. Tetapi Buddha tidak sekali‑kali menggalakkan
sesiapapun mengamalkan kesemua ini. Seperti menilik nasib, tangkal juga
dikategorikan sebagai kepercayaan karut yang tiada nilai keagamaan. Namun ramai
orang masa kini beranggapan bahawa malapetaka atau penyakit yang menimpai
mereka berpunca daripada nasib yang malang atau kuasa ghaib. Penyakit atau
malapetaka yang tidak dapat dikesani puncanya selalu dianggap orang disebabkan
oleh kuasa ghaib sihir atau punca luaran yang lain. Mereka terlupa bahawa
kita sedang berada di abad ke 20 ‑ zaman moden yang penuh dengan perkembangan
dan kejayaan sains. Ramai daripada saintis terkemuka telah mengenepikan
kepercayaan karut dan mereka juga telah berjaya menempatkan manusia di bulan.
Kesemua penyakit berpunca daripada faktor‑faktor mental atau
fizikal. Dalam karya Shakespeare, Mac Beth bertanya kepada doktor jika terdapat
sebarang ubat untuk menyembuhkan isterinya. Doktor itu berjawab: dia lebih
memerlukan kuasa ketuhanan daripada tabib. Apa yang dimaksudkannya ialah
sesetengah penyakit hanya boleh diubati melalui penyucian minda. Ada beberapa
ketidakseimbangan mental yang serius yang terjelma dalam bentuk fizikal
seperti bisul, sakit perut dan sebagainya.
Sudah tentu hanya penyakit fizikal saja dapat diubati oleh seorang doktor pakar. Mengikut
kepercayaan Buddhis, Sesetengah penyakit luar biasa mungkin disebabkan oleh
kamma yang lepas yang tiba masanya
menunjukkan kesan. Ini bermakna kita terpaksa menerima balasan bagi
perbuatan jahat kita di hidup yang lepas. Jika kita memahami hakikat ini , kita
akan sanggup menanggung kesakitan dengan lebih tabah.
Orang yang penyakitnya tidak dapat diubati, dinasihatkan untuk menemui
pakar perubatan untuk pemerhatian. Setelah menjalani pemeriksaan
perubatan, jika permerhatian masih diperlukan, bolehlah dia mendapatkan
bimbingan spirituil daripada seorang guru agama yang sesuai. Buddhis dinasihati
agar tidak terperangkap dalam kepercayaan karut atau membiarkan diri
mereka diselubungi dengan ketakutan yang tidak berasas. Kita harus
memperkuatkan jiwa dengan menolak kepercayaan kepada pengaruh kuasa sihir.
Meditasi juga boleh membantu menyingkirkan fikiran yang tidak suci.
Meditasi bantu menyucikan minda. Minda yang suci akan membawakan badan yang
sihat lagi suci. Sesungguhnya Buddha Dhamma merupakan penawar bagi penyakit
seumpama ini.
Menemui Medium
Menemui medium bukan amalan Buddhis; amalan ini
hanya merupakan satu kepercayaan tradisional dan psikologikal.
Di banyak negara, manusia merujuk kepada medium untuk
nasi o7 3 hat dan
bimbingan bagi mengatasi masalah di luar pemahaman mereka. Mereka meminta
pertolongan medium melalui pelbagai cara untuk pelbagai sebab. Apabila sakit
dan pengubatan yang diterima tidak berkesan, dalam keadaan terdesak seperti
ini, mediumlah yang selalu ditemui untuk nasihat. Ada orang pula merujuk kepada medium apabila mereka menghadapi
masalah yang rumit dan gagal menyelesaikannya. Ada pula yang menemui medium
kerana nafsu ingin kaya dengan cepat.
Ada orang mempercayai bahawa apabila medium menurun, semangat suatu
dewa akan berkomunikasi melalui medium untuk memberi nasihat atau bimbingan
kepada mereka yang meminta bantuan. Ada pula mempercayai bahawa menurun adalah
disebabkan oleh minda separa sedar yang tertimbul dan mengambil alih minda
sedar.
Amalan menemui medium adalah umum di kalangan orang ramai. Buddhis
bersikap berkecuali kepada amalan ini. Adalah sukar untuk mengesahkan kebenaran
tentang apa yang disampaikan oleh medium. Amalan seumpama ini bukanlah satu
amalan Budhhis, ia hanya merupakan satu amalan tradisional.
Penemuan dengan medium bertujuan duniawi; ajaran Buddha pula adalah
untuk perkembangan spirituil. Walau bagaimanapun, jika orang ramai percaya
bahawa kata‑kata medium adalah benar, Buddhis tidak perlu membangkang
amalan tersebut.
Jika seseorang benar‑benar memahami dan mangamalkan ajaran Buddha,
dia akan menyedari sifat sebenar masalahnya. Dia akan berupaya mengatasi
masalahnya tanpa penemuan dengan medium.
Mimpi dan Maknanya
Hidup tidak lain daripada satu mimpi
Salah satu daripada masalah utama manusia yang tidak
dapat diselesaikan ialah misteri di sebalik mimpi. Sejak dahulu lagi manusia
telah berusaha menganalisa mimpi dan cuba menerangkannya secara psikologi atau
sebagai satu ramalan. Walaupun ada kejayaan kecil yang tercapai kebelakangan
ini, tetapi kita masih terkeliru oleh soalan : apakah mimpi?
Pujangga romantik berbangsa Inggeris yang terkenal, William Wordsworth
mempunyai suatu konsep yang menakjubkan : hidup ini hanya satu mimpi. Kita akan
'bangun' menghadapi kenyataan sebenar setelah kita mati iaitu apabila mimpi
kita berakhir.
'Kelahiran
umpama tidur dan dilupai bahawa:
Roh
yang akan bangun bersama kita,
Bintang
kehidupan kita,
Terletak
dan datang dari suatu tempat yang kejauhan.'
Konsep yang serupa juga dijumpai dalam sebuah hikayat Buddhis yang
lama tentang sesorang dewa yang bermain dengan beberapa dewa lain. Oleh kerana
keletihan, dia berbaring untuk tidur sebentar dan terus meninggal dunia. Dia
telah lahir sebagai seorang gadis di bumi. Setelah berkahwin, dia melahirkan
beberapa orang anak dan hidup sehingga usia yang lanjut. Selepas kematiannya,
dia lahir menjadi dewa di kalangan rakan‑rakan lamanya yang baru sahaja
selesai permainan mereka. (Cerita ini juga menunjukkan bahawa masa adalah
relatif, iaitu konsep masa di alam manusia addalah jauh berlainan dengan masa
di alam kewujudan yang lain).
Apakah pandangan Buddhisme tentang mimpi? Seperti setiap kebudayaan
lain, agama Buddha juga mempunyai orang yang mendakwa diri mereka mahir dalam
penafsiran mimpi. Orang seperti ini mengaut keuntungan dengan memperdayakan
kejahilan mereka yang mempercayai bahawa setiap mimpi mempunyai makna spirituil
atau merupakan satu ramalan.
Mengikut Buddhis, secara psikologi mimpi merupakan satu proses ide yang
berlaku sebagai aktiviti minda. apabila mempertimbangkan kejadian mimpi,
kita perlu memahami bahawa proses tidur terbahagi kepada lima tahap iaitu:
1.
mengantuk
2. tidur
kurang nyenyak
3. tidur
nyenyak
4. tidur
kurang nyenyak
5. sedar
Makna di sebalik mimpi dan puncanya merupakan topik perbincangan
dalam buku terkenal "Milinda Panha" atau "Soalan Raja
Millinda". Dalam buku ini Yang Dihormati Nagasena menyatakan enam punca
mimpi. Tiga daripadanya berciri organik iaitu angin, kahak dan hempedu. Punca
keempat ialah pengaruh kuasa ghaib, punca kelima ialah singkapan pengalaman
yang lepas dan yang terakhir ialah pengaruh kejadian yang akan datang.
Dinyatakan bahawa mimpi hanya berlaku di tahap tidur kurang nyenyak iaitu tidur‑tidur
ayam. Di antara enam jenis mimpi yang diberikan, Yang Dihormati Nagasena
berkata bahawa hanya mimpi jenis terakhir iaitu mimpi ramalan berkepentingan.
Mimpi‑mimpi lain adalah kurang penting secara relatifnya.
Mimpi merupakan fenomena yang diwujudkan oleh minda iaitu aktiviti
minda. Semua orang bermimpi, walaupun ada yang tidak dapat mengingatinya.
Buddhisme mengajar bahawa setengah‑setengah mimpi mempunyai makna
psikologi. Enam punca yang telah disebutkan tadi juga dapat dikelaskan seperti
berikut :
I. Setiap fikiran yang diwujudkan disimpan di dalam minda separa sedar.
Keamatan ianya mempengaruhi minda tertakluk kepada darjah kekhuatiran kita.
Apabila kita tidur, sebahagian daripada fikiran ini diaktifkan dan muncul
sebagai gambar‑gambar bergerak di hadapan kita. Ini berlaku semasa tidur
kerana pancaindera kita yang berhubung dengan luar, "ditahan" buat
sementara waktu. Minda separa sedar menjadi dominan dan menyingkap fikiran yang
tersimpan. Mimpi begini mungkin bermakna bagi bidang psikiatri tetapi
tidak boleh dikelaskan sebagai mimpi ramalan. Mimpi seperti ini hanyalah
bayangan minda yang sedang berehat.
II. Jenis mimpi yang kedua juga tidak bermakna. Mimpi seperti ini
disebabkan oleh rangsangan dalaman dan luaran yang mencetuskan satu siri
"fikiran visual" yang dilihat oleh minda yang sedang berehat. Faktor
dalaman adalah yang mengganggu badan (misalnya makan keterlaluan yang
menghalang seseorang daripada tidur dengan selesa atau ketidakseimbangan dan
geseran di antara elemen‑elemen yang membentuk badan). Rangsangan luaran
berlaku semasa minda terganggu (walaupun si tidur tidak menyedarinya) oleh
fenomena semulajadi seperti cuaca, angin, kesejukan, hujan, desiran daun,
gesekan tingkap dan sebagainya. Minda separa sedar bertindak terhadap gangguan
ini dengan mewujudkan gambar‑gambar untuk menerangkannya. Minda cuba
menerima gangguan ini dalam satu cara yang seolah‑olah rasional supaya si
mimpi dapat terus tidur tanpa terganggu. Mimpi seperti ini juga tidak penting
dan tidak perlu ditafsirkan.
III. Mimpi ramalan adalah penting. Mimpi seperti ini jarang dialami dan
hanya timbul apabila suatu peristiwa yang sangat penting dan berkaitan dengan
si mimpi akan berlaku. Buddhisme mengajar bahawa selain daripada dunia sahih
yang dapat kita alami, terdapat juga dewa yang wujud di alam lain dan terdapat
semangat yang berada di bumi ini yang tidak terlihat oleh mata kasar. Mereka
mungkin merupakan saudara‑mara atau sahabat handai kita yang telah
meninggal dunia dan lahir semula. Mereka masih mengekalkan perhubungan mental
dan ikatan dengan kita. Apabila seseorang Buddhis berdana pahala kepada dewa
dan sanak‑saudara yang telah meninggal dunia, kita sebenarnya mengingati
mereka dan menjemput mereka untuk turut bergembira di atas pahala yang
diperolehi. Dengan cara ini, kita menjalin perhubungan mental dengan mereka
yang telah meninggal. Dewa pula akan berasa gembira dan berbalas dengan menjaga
kita. Mereka akan memberi petanda melalui mimpi jika kita akan menghadapi
sesuatu masalah yang besar dan cuba melindungi kita.
Jadi, apabila terdapat sesuatu peristiwa penting yang akan berlaku di
dalam hidup kita, mereka akan mencetuskan satu tenaga mental di dalam minda
kita yang kelihatan sebagai mimpi. Mimpi seperti ini boleh memberi amaran
tentang bahaya yang mendatang atau menyediakan kita untuk menerima berita baik
yang sungguh menakjubkan. Utusan seperti ini disampaikan secara simbolik dan
perlu ditafsirkan dengan cekap dan bijak. Malangnya terlalu ramai orang yang
terkeliru dengan dua jenis mimpi tersebut dahulu dengan mimpi jenis ini.
Akibatnya mereka membazirkan banyak wang dan masa untuk penemuan dengan medium
dan pentafsir mimpi yang penipu. Buddha menyedari bahawa mentafsir mimpi
mungkin dieksploitasikan untuk mengaut keuntungan. Oleh sebab ini, Buddha
telah melarang para bhikkhu daripada menjadi penilik, ahli astrologi atau
mentafsir mimpi di atas nama Buddhisme.
IV. Minda merupakan stor bagi semua tenaga kamma yang terkumpul pada
masa lepas. Kadangkala, apabila sesuatu kamma akan berbuah (yakni, perbuatan
kita semasa hidup yang lepas atau di awal hayat ini mangalami balasannya),
minda yang berehat semasa tidur akan mencetuskan gambar‑gambar mengenai
kejadian yang bakal berlaku. Dalam kes ini juga, peristiwa yang akan berlaku
mestilah amat penting dan sungguh
berpengaruh sehingga minda "membebaskan" tenaga tambahan dalam bentuk
mimpi yang jelas. Mimpi seumpama ini jarang berlaku dan hanya terjadi pada
mereka yang mempunyai corak mental yang istimewa. Petanda tentang kesan kamma
tertentu juga akan tertimbul di minda pada saat terakhir sebelum kita meninggal.
Mimpi juga boleh berlaku apabila dua orang menghantar utusan mental yang
telepati kepada satu sama lain. Apabila seseorang mempunyai keinginan yang kuat
untuk berhubung dengan seorang lain, dia akan menumpukan sepenuh perhatian
kepada utusan yang ingin disampaikan serta orang yang ingin dihubunginya. Minda
yang berehat, berada dalam keadaan ideal untuk menerima utusan tersebut
yang akan terlihat sebagai mimpi. Biasanya mimpi ini wujud pada satu ketika
yang giat sahaja kerana minda manusia tidak cukup kuat untuk menerima utusan
seperti ini buat jangkamasa yang panjang.
Para Buddha dan arahant tidak pernah bermimpi. Tiga jenis mimpi yang
pertama tidak boleh berlaku di dalam minda mereka kerana minda mereka telah
ditenangkan buat selama‑lamanya dan tidak mungkin terangsang untuk
bermimpi. Jenis mimpi yang terakhir tidak akan dialami kerana nafsu mereka
telah dihapuskan dengan sepenuhnya. Tiada saki‑baki tenaga kerana
kekhuatiran atau keinginan yang tidak dipenuhi untuk mengaktifkan minda bagi
menghasilkan mimpi. Pelukis dan ahli fikir yang masyhur seperti German Goethe
kerapkali menyatakan mereka mendapat inspirasi daripada mimpi. Ini mungkin
kerana semasa tidur minda mereka diputuskan hubungan dengan pancaindera dan ini
menghasilkan fikiran yang jelas dan kreatif. Wordsworth juga berpendapat sama
bila dia menyatakan bahawa puisi yang bermutu terhasil ddaripada emosi yang
kuat yang dikenang kembali bila dalam ketenangan.
Penyembuhan Melalui Kepercayaan
Penyembuhan melalui kepercayaan - satu pendekatan
psikologi
Amalan percaya‑sembuh wujud di banyak negara.
Ramai orang cuba mempengaruhi orang ramai melalui pujukan emosi yang dikenali
sebagai percaya‑sembuh. Untuk menyakinkan pesakit tentang kemujaraban
kuasa penyembuhan mereka, terdapat pengamal percaya‑sembuh yang
menggunakan nama tuhan atau objek agama agar cara mereka berupa keagamaan.
Sebenarnya agama dipergunakan dalam percaya‑ sembuh untuk mengumpan
pesakit supaya menjadi lebih taat dan berkeyakinan kepada pengamal percaya‑sembuh
tersebut. Jika tindakan penyembuhan ini dilakukan di khalayak ramai, ianya
bertujuan menarik penganut‑penganut baru untuk sesuatu agama.
Sesungguhnya agama sama sekali tidak penting bagi percaya‑ sembuh.
Terdapat banyak kes di mana pengamal percaya‑sembuh melakukan penyembuhan
tanpa menggunakan sebarang agama. Contohnya, sains pukauan yang tidak
melibatkan sebarang aspek agama pun. Mereka yang menggabungkan agama dengan
percaya‑sembuh, sebenarnya mempunyai tipu muslihat untuk memancing
penganut‑penganut baru untuk agama mereka dengan dakwaan bahawa penyembuhan
tersebut adalah satu keajaiban.
Kaedah yang digunakan oleh percaya‑sembuh ialah membawa minda
pesakit ke satu keadaan mental tertentu yang boleh menyebabkan perubahan
psikologi dan fisiologi berlaku. Keadaan ini mempengaruh dan menawan keadaan
minda, hati dan peredaran darah sehingga seseorang berasa sihat dan gembira.
Jika penyakit berpunca daripada minda, maka minda boleh dibentuk untuk
melenyapkan penyakit tersebut.
Dalam konteks ini perlu ditekankan bahawa amalan meditasi yang kerap dan
berterusan juga boleh meminimakan atau melenyapkan penyakit sepenuhnya.
Terdapat banyak sutta dalam ajaran Buddha yang menyatakan pelbagai penyakit
telah disembuhkan dengan pembentukan keadaan minda. Justeru itu adalah
menguntungkan jika kita amalkan meditasi demi kebaikan fizikal dan mental.
Kepercayaan Karut dan Dogma
`Ada orang mempersendakan kepercayaan karut orang
lain sedangkan kepercayaan karut dirinya dipelihara.'
Setiap penyakit ada penawarnya kecuali kepercayaan karut. Jika
kepercayaan karut terbentuk di dalam sesuatu agama, ia menjadi penyakit yang
sukar diubati. Semasa menjalankan upacara agama tertentu, orang yang terdidik
juga lupa akan kemuliaannya sebagai manusia dan menerima kepercayaan karut yang
tidak munasabah.
Kepercayaan karut dan upacara diserapkan oleh sesuatu agama untuk
menarik orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat. Malangnya, selepas
beberapa lama, pokok menjalar yang ditanam sebagai hiasan telah meliputi
seluruh kawasan dan jauh lebih menarik daripada tempat sembahyang itu sendiri.
Akibatnay, doktrin agama dibelakangkan manakala kepercayaan karut dan upacara menjadi dominan
bagaikan pokok menjalar yang menutupi kegemilangan tempat sembahyang.
Seperti kepercayaan karut, kepercayaan dogmatik juga membantutkan
perkembangan sihat sesuatu agama. Kepercayaan dogmatik dan sikap tidak
bertoleransi wujud bersama‑sama. Ini mengingatkan kita tentang Kurun
Pertengahan (1000‑1400 tahun masehi) yang penuh dengan penyiasatan yang
tidak berperikemanusian, pembunuhan kejam, keganasan, perbuatan keji, penderaan
dan pembakaran orang yang tidak berdosa. KIta juga mungkain teringat perang
salib yang tidak berperikemanusiaan. Kesemua peristiwa ini berlaku kerana orang
ramai percaya pada pihak berkuasa agama tanpa apa‑apa persoalan dan sikap
tidak bertoleransi yang wujud.
Sebelum perkembangan pengetahuan sains, orang yang jahil memegang banyak
kepercayaan karut. Misalnya ramai orang percaya bahawa gerhana matahari dan
gerhana bulan membawa nasib buruk dan wabak penyakit. Kini, kita sedia maklum
bahawa kepercayaan seperti ini tidak benar. Terdapat pula pemimpin agama
yang tidak berprinsip, yang menggalakkan kepercayaan karut supaya pengikut‑pengikut
mereka boleh diperalatkan bagi kepentingannya sendiri. Apabila seseorang benar‑benar
telah menyucikan mindanya daripada kejahilan, dia dapat melihat dunia ini
sebagaimana yang sebenarnya. Dia tidak lagi menderita akibat kepercayaan karut
dan dogmatik. Setiap Buddhis beraspirasi untuk mencapai pembebasan ini.
Adalah sangat sukar untuk mengatasi emosi yang terikat pada kepercayaan
karut dan dogmatik. Pengetahuan sains juga tidak cukup kuat untuk membolehkan
kita melepaskan konsep‑konsep yang salah. Sebagai contoh, telah beberapa
generasi lamanya, manusia mengetahui bahawa bumi menggelilingi matahari; tetapi
berdasarkan pengalaman, kita masih berpengangan bahawa matahari terbit,
bergerak menyeberangi angkasa dan terbenam di sebelah petang. Kita masih perlu
membuat satu loncatan intelektual untuk menggambarkan bahawa sebenarnya
bumi kita yang berputar menggelilingi matahari dengan lajunya.
Kita mesti menyedari bahaya kepercayaan karut dan kepercayaan
dogmatik yang wujud bersama‑sama agama. Masa telah sampai bagi orang yang
bijak untuk mengasingkan agama daripada kepercayaan karut dan dogmatik.
Kalau tidak, nama baik agama akan tercemar. Bilangan orang yang tidak
percayakan agama pula akan meningkat seperti yang sedang berlaku.