BAB 14 : PENYEBAR BUDAYA
MANUSIA SEBENAR
AGAMA_MODEN
BUDDHISM BERUPAYA BERDEPAN
DENGAN SEGALA PANDANGAN MODEN YANG
MENCABAR AGAMA.
Idea‑idea Buddha
telah banyak memberi sumbangan untuk
memperkayakan pemikiran kuno dan juga moden. Pengajarannya
tentang hukum sebab-musabab dan relativisme, ajaran yang berasaskan maklumat deria dan
pragmatismenya, penekanan kepada moral, penolakan kepercayaan terhadap kekekalan
roh, pengabaian terhadap kuasa-kuasa ghaib luaran, penafian terhadap
upacara-upacara keagamaan yang keterlaluan, penekanan kepada akal dan pengalaman dan keseragamannya dengan penemuan saintifik moden, semuanya mengesahkan dakwaan
keagungan agama ini terhadap permodenan.
Buddhisme dapat memenuhi
segala kehendak agama yang rasional yang memenuhi keperluan dunia masa depan. Ia sungguh saintifik, sungguh rasional, sungguh progresif
dan ia akan menjadi satu kebanggaan kepada sesiapa sahaja di dunia moden ini
yang mengakui dirinya penganut
Buddha. Sebenarnya pendekatan Buddhisme adalah lebih
saintifik daripada sains dan lebih
sosialistik daripada sosialisme.
Di antara semua pengasas
agama, hanya Buddha sahaja yang
menggalakkan semangat menyelidik di kalangan penganut‑penganutnya
dan menasihatkan mereka agar tidak menerima ajarannya secara membuta‑tuli. Dengan itu adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan Buddhisme adalah satu agama yang moden.
Buddhisme merupakan satu
skima yang menyeluruh mengenai bagaimana
untuk menjalani suatu kehidupan yang pratikal dan juga merupakan satu sistem pembentukan diri yang
dibina dengan teliti. Malah lebih
daripada itu, ia merupakan suatu
kaedah pendidikan yang saintifik.
Agama ini paling berupaya
mengembalikan ketenangan fikiran kita semasa menghadapi sebarang krisis dan membimbing kita menghadapi
sebarang perubahan yang bakal dihadapi.
Dapatkah kehidupan
diteruskan tanpa keseronokan deria?
Tanpa kepercayaan terhadap
kehidupan kekal selepas kematian adakah manusia akan hidup bermoral? Tanpa berpandukan kepada ketuhanan dapatkah manusia menuju ke
arah kebaikan? Ya, adalah jawapan yang diberi oleh
Buddhisme. Matlamat ini
dapat dicapai melalui pengetahuan dan penyucian pemikiran.
Pengetahuan adalah kunci yang membawa kepada suatu jalan yang lebih
tinggi. Penyucian membawa ketenangan dan keamanan hidup serta membolehkan
manusia mengenepikan dan tidak
dipengaruhi oleh kejahilan dunia yang fana.
Buddhisme adalah satu
agama yang benar‑benar sesuai untuk dunia saintifik moden. Sinaran cahaya
dari alam, dari sains, dari sejarah, dari pengalaman manusia dan dari setiap
penjuru dunia memancar bersama Ajaran Suci Buddha.
AGAMA_DALAM_ZAMAN_SAINS
AGAMA TANPA SAINS ADALAH
TEMPANG MANAKALA SAINS TANPA AGAMA PULA
ADALAH BUTA.
Hari ini kita hidup dalam
zaman sains, di mana hampir semua aspek
kehidupan kita dipengaruhi oleh sains. Semenjak revolusi sains pada abad ke 17, sains terus mempunyai pengaruh yang
kuat ke atas fikiran dan perlakuan
kita. Pengaruh kejutan sains amat kuat, khususnya ke atas kepercayaan
agama tradisional. Banyak konsep‑konsep asas agama
telah ranap di bawah tekanan sains moden dan tidak diterima lagi oleh para
cerdik pandai dan golongan yang berpengetahuan. Kini kita tidak lagi boleh lagi menegakkan kebenaran
semata-mata menerusi spekulasi
teologi atau berdasarkan kepada autoriti kitab suci sahaja tanpa mengambil kira pertimbangan
saintifik. Contohnya, penemuan
ahli psikologi moden yang menunjukkan bahawa fikiran manusia sama seperti badan fizikal, berfunsi
berdasarkan hukum sebab-musabab semula jadi tanpa kehadiran roh yang kekal sebagaimana yang diajar oleh beberapa
agama yang lain.
Sesetengah ahli agama
memilih untuk mengenepikan penemuan‑penemuan saintifik yang bertentangan dengan ajaran agama
mereka. Sikap mental yang rigid
tersebut sesungguhnya menghalang kemajuan manusia. Oleh kerana manusia zaman moden enggan mempercayai sesuatu dengan membuta tuli walaupun ia telah diterima secara tradisi, maka
agama tersebut hanya akan
berjaya mengurangkan lagi jumlah
penganut‑penganut mereka disebabkan
kesilapan teori mereka.
Pada masa yang sama,
setengah‑setengah agama mendapati perlu untuk menyesuaikan ajaran mereka dengan teori‑teori
saintifik yang popular dengan memberi tafsiran-tafsiran baru terhadap ajaran
agama mereka. Contohnya, teori Evolusi Darwin. Ramai ahli‑ahli agama menegaskan bahawa manusia
diciptakan secara langsung oleh tuhan.
Darwin sebaliknya mendakwa bahawa manusia adalah perubahan secara
evolusi dari gorila. Teori
Darwin ini telah mengugat ajaran tentang Pencipta Agung dan kiamat. Oleh kerana ramai pemikir yang
bijaksana telah menerima Teori
Darwin, maka ahli‑ahli teologi pada hari ini tiada pilihan lain kecuali
terpaksa memberi satu tafsiran baru kepada ajaran agama mereka supaya selaras
dengan teori tersebut yang mereka tentangi selama ini.
Berdasarkan penemuan‑penemuan
saintifik moden, adalah tidak sukar untuk
memahami pandangan‑pandangan kebanyakan agama mengenai alam sejagat dan kehidupan adalah hanya
pandangan konvensional yang telah
lama diketepikan. Secara umum
adalah benar untuk mengatakan
bahawa agama telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan dan kemajuan manusia. Agama juga telah menetapkan nilai‑nilai dan standard, dan merumuskan prinsip‑prinsip
sebagai panduan kehidupan
manusia. Walaupun agama-agama ini
telah banyak memberi sumbangan
kepada manusia tetapi ia tidak mungkin dapat terus bertahan dalam dunia saintifik moden ini jika penganut‑penganut
mereka berkeras membelenggu
kebenaran ke dalam bentuk set dan dogma serta menggalakkan upacara‑upacara dan amalan-amalan
yang telah hilang pengertian asalnya.
BUDDHISME_DAN_SAINS
Sehingga awal abad yang
lalu, Buddhisme terhad kepada negara yang belum dicemari oleh kemodenan sains. Walau bagaimanapun, dari awal lagi, ajaran Buddha sentiasa terbuka kepada pemikiran
sains.
Satu sebab mengapa ajaran
Buddha boleh diterima dengan mudah
oleh semangat sains ialah kerana Buddha tidak pernah menggalakkan kepercayaan dogma yang rigid. Beliau tidak mengatakan bahawa
pengajarannya berdasarkan
keimanan, kepercayaan atau wahyu ketuhanan tetapi membenarkan kemudahlenturan besar dan kebebasan berfikir.
Sebab yang kedua ialah
semangat saintifik boleh didapati di dalam pendekatan Buddha menuju Kebenaran Kerohanian. Kaedah Buddha di dalam mencari dan menguji Kebenaran
Kerohanian mempunyai persamaan
dengan kaedah ahli sains. Ahli
sains mengamati dunia luaran
secara objektif dan hanya membuat suatu teori sains selepas
menjalankan banyak ujikaji‑ujikaji praktikal dengan jaya.
Dengan menggunakan
pendekatan yang sama 25 abad yang lalu,
Buddha mengamati dunia dalaman tanpa keterikatan dan menggalakkan pengikutnya supaya tidak
menerima sebarang ajaran sehingga
mereka telah menyiasat dengan teliti dan dapat mengesahkan kebenarannya dengan
sendiri. Sama seperti ahli sains
sekarang yang tidak mendakwa bahawa ujikajinya tidak boleh ditiru oleh ahli
sains lain, Buddha tidak mendakwa
bahawa pengalamanNya mengenai
pencerahan hanya khusus untukNya.
Justeru itu, di dalam
pendekatanNya menuju kebenaran, Buddha sangat teliti seperti ahli sains zaman ini. Beliau mengemukakan satu kaedah yang
praktikal dan diolah secara
saintifik untuk mencapai Kebenaran Mutlak dan pengalaman ke arah Pencerahan.
Walaupun Buddhisme sangat
selari dengan rohani sains tetapi
adalah tidak benar untuk menyamakan Buddhisme dengan sains. Adalah benar bahawa penggunakan sains
secara praktikal telah membolehkan umat manusia hidup lebih selesa dan merasai perkara‑perkara indah
yang tidak pernah dimimpikan selama ini. Sains telah memungkinkan manusia untuk berenang lebih
baik daripada ikan, terbang lebih
tinggi daripada burung dan berjalan
di atas bulan. Tetapi ruang
lingkup pengetahuan yang boleh diterima oleh kebijaksanaan saintifik fizikal
adalah terhad kepada bukti-bukti empirikal. Dan kebenaran saintifik adalah tertakluk kepada perubahan
yang berterusan. Sains tidak
membolehkan manusia mengawal fikirannya
mahupun menawarkan kawalan
moral dan panduan. Di sebalik
keajaibannya, sains sesungguhnya mempunyai batasan tidak seperti mana Buddhisme.
Batasan-batasan sains
Kerap kali kita mendengar tentang perkara‑perkara yang boleh dilakukan oleh sains tetapi
tidak sebaliknya. Pengetahuan
sains adalah terhad kepada
maklumat yang diterima melalui organ deria kita. Ia tidak
menerima kebenaran yang melampau keupayaan kuasa deria.
Kebenaran Saintifik terbina atas pengamatan logikal organ deria yang
tertakluk kepada perubahan yang berterusan. Oleh yang demikian,
kebenaran sains tidak dibina untuk menghadapi ujian masa. Ahli sains, menyedari hakikat ini,
sentiasa bersedia mengenepikan
teorinya jika ia boleh digantikan dengan teori yang lebih baik.
Sains berusaha untuk
memahami dunia jasmaniah tetapi hampir tidak menyentuhi permukaan dunia kerohanian manusia. Malah sains psikologi sekalipun belum
menyelami asas sebab‑sebab
kegelisahan mental manusia.
Apabila seseorang mengalami
kekecewaan dan cemuh terhadap kehidupannya, dan jiwanya penuh dengan
gangguan dan kegelisahan, bidang sains hari ini masih belum cukup sedia untuk
membantunya. Sains sosial
yang melibatkan keadaan
persekitaran seseorang mungkin memberinya suatu tahap kebahagiaan. Tetapi tidak seperti binatang,
manusia memerlukan lebih daripada
keselesaan fizikal dan memerlukan bantuan untuk menghadapi kekecewaan dan
kesengsaraan yang timbul dalam hidup
sehari‑harinya.
Hari ini, ramai manusia
dihantui oleh ketakutan, kegelisahan dan rasa tidak selamat. Tetapi sains masih gagal mengatasi masalah tersebut. Sains tidak mampu mengajar manusia mengawal minda mereka apabila mereka
didorong oleh naluri kebinatangan yang membara dalam diri mereka.
Bolehkah sains menjadikan
manusia lebih baik? Jika
boleh, mengapa keganasan dan
perbuatan tidak bermoral melanda
negara‑negara yang begitu maju dalam bidang sains? Bukankah wajar dikatakan bahawa
disebalik segala kemajuan yang dicapai dalam sains dan segala kelebihan yang
dianugerahi pada manusia sains pada asasnya tidak mengubah dunia kerohanian? Ia hanya meningkatkan rasa
kebergantungan dan kekurangan manusia.
Tambahan kepada kegagalan sains untuk membawa keselamatan kepada manusia
sejagat, sains juga menjadikan
setiap orang berasa lebih tidak selamat kerana ancaman kemungkinan pemusnahan
keseluruhan dunia.
Sains tidak mampu memberi
erti kehidupan yang bermakna.
Ia tidak boleh memberi
manusia sebab‑sebab yang jelas untuk hidup. Pada hakikatnya, sains umumnya lebih bersifat pengetahuan
alam nyata dan tidak
menitikberatkan matlamat kerohanian seseorang. Sifat kebendaan yang wujud dalam sains menafikan
pencapaian kerohanian yang lebih tinggi daripada kepuasan kebendaan.
Melalui kaedah teori terpilih dan
kebenaran relatif, sains mengetepikan beberapa isu utama dan meninggalkan banyak soalan
tidak terjawab. Sebagai
contohnya, bila ditanya mengapa wujud perbezaan di antara manusia, tiada
penjelasan saintifik yang boleh diberi terhadap soalan‑soalan tersebut
yang sebenarnya melampaui batasan sains yang sempit.
KEJAHILAN TERPELAJAR.
Pemikiran luar biasa yang
dicapai oleh Baginda Buddha tidak terbatas kepada maklumat deria sahaja tetapi ia melampaui logik yang terkongkong dalam batasan persepsi
relatif. Intelek manusia
sebaliknya berfungsi berdasarkan maklumat yang diterima dan disimpan sama ada dalam bidang keagamaan,
falsafah, sains ataupun seni. Maklumat minda ini dikumpulkan melalui organ‑organ deria kita
yang lemah dari berbagai segi. Maklumat yang terhad itu menyebabkan kefahaman kita terhadap
dunia terencat.
Sesetengah orang berasa
angkuh dengan anggapan bahawa mereka memiliki pengetahuan yang luas. Sebenarnya semakin kurang kita tahu maka semakin yakinlah penerangan kita. Sebaliknya semakin banyak yang kita tahu maka semakin kita sedar akan kekurangan atau
kelemahan diri kita.
Seorang pelajar yang
berkaliber pernah menulis sebuah
buku yang dianggapnya sebagai hasil kerjanya yang paling baik. Beliau berpendapat bahawa bukunya
itu mengandungi segala keagungan
sastera dan falsafah. Dengan rasa
bangga, beliau pun menunjukkan hasil karya agungnya itu kepada rakannya yang tidak kurang pintarnya dan meminta beliau
mempertimbangkan bukunya itu. Sebaliknya rakannya itu meminta
pengarang tersebut menulis di atas
sehelai kertas semua perihal yang diketahui dan tidak diketahuinya. Pengarang tersebut berfikir panjang dan
lebar tetapi selepas beberapa
lama, beliau gagal untuk
mencatatkan sebarang benda yang diketahuinya. Dengan itu beliau
memikirkan soalan yang kedua, dan sekali lagi beliau gagal untuk mencatatkan sebarang hal yang tidak
diketahuinya. Akhirnya keangkuhan
pengarang tersebut berkecai dan beliau mengaku dan menyedari bahawa segala yang diketahuinya
hanyalah kejahilan.
Selaras dengan itu,
Socrates, ahli falsafah Athen yang terkemuka dari zaman lampau, bila ditanya
apa yang diketahuinya, beliau
menjawab 'Saya hanya tahu satu perkara ‑‑ iaitu saya tidak
tahu'.
Melampaui_sains
Buddhisme jauh melampaui
sains moden dalam penerimaannya terhadap bidang pengetahuan yang jauh lebih luas daripada yang dapat
dilakukan oleh pemikiran
saintifik. Buddhisme mengakui
bahawa pengetahuan berpunca dari
organ deria dan juga pengalaman peribadi yang diperolehi melalui didikan mental (meditasi). Melalui latihan dan konsentrasi minda
yang tinggi, pengalaman keagamaan
dapat difahami dan dibuktikan.
Pengalaman keagamaan
bukanlah sesuatu yang dapat difahami melalui ujikaji tabung uji atau diperhatikan di bawah
mikroskop. Kebenaran yang dihasilkan
oleh sains adalah relatif dan tertakluk kepada perubahan. Kebenaran yang dijumpai oleh Buddha
adalah muktamad dan sempurna:
kebenaran Dhamma tidak sesekali berubah
mengikut masa dan ruang.
Lebih‑lebih lagi, bertentangan dengan kaedah teori terpilih sains
Buddha menggalakkan mereka yang arif supaya tidak bergantung kepada teori‑teori
sama ada saintifik atau tidak.
Sebalik daripada membina teori, Buddha mengajar manusia cara kehidupan
yang benar supaya dapat menemui Kebenaran Mutlak. Dengan menjalani kehidupan yang benar, dengan menenangkan
keinginan deria dan menjauhi nafsu, Buddha menunjukkan jalan untuk kita menemui
sendiri sifat-sifat kehidupan alam semula jadi. Dengan itu tujuan
sebenar kehidupan dapat diketahui.
Latihan adalah penting
dalam Buddhisme. Seseorang
yang membaca dengan banyak tetapi tidak melakukan latihan adalah seperti seseorang yang menghafal resipi‑resipi dari buku masakan yang tebal tetapi
tidak cuba untuk menyediakan satu jenis
masakan pun. Kelaparannya
tidak dapat dipuaskan dengan pengetahuan dari buku semata‑mata. Latihan adalah satu syarat penting sehinggakan dalam beberapa cabang
ajaran Buddhisme misalnya Zen,
latihan mendahului pengetahuan.
Kaedah saintifik menjurus
ke arah luaran dan ahli sains moden
mengeksploitasi unsur-unsur dan alam semula jadi untuk keselesaan hidup.
Acapkali mereka mengabaikan keperluan untuk berharmoni
dengan persekitaran dan dengan itu
mereka mencemarkan alam.
Bertentangan dengan sains,
Buddhisme menjurus ke arah dalaman dan menitikberatkan perkembangan dalaman manusia. Pada tahap rendah, Buddhisme mengajar seseorang individu bagaimana
menyesuai dan berhadapan dengan
kejadian dan situasi kehidupan harian.
Pada tahap yang lebih
tinggi, ia mewakili usaha manusia untuk memberkembangkan diri melalui amalan
meditasi dan pembangunan minda.
Buddhisme mempunyai satu
sistem meditasi yang sempurna yang menitikberatkan pencapaian celik akal ke
atas sifat semula jadi benda-benda yang
memandu ke arah kesedaran
kendiri sepenuhnya tentang Kebenaran Mutlak ‑‑ Nirvana. Sistem ini adalah pratikal dan
saintifik, ia melibatkan pemerhatian tanpa keterikatan perasaan dan kedudukan
mental. Lebih merupakan seorang
ahli sains daripada seorang hakim, seorang pertapa meneliti dunia dalaman
dengan penuh purmindaan (kewaspadaan).
Sains_Tanpa_Agama_(Science_Without_Religion)
Tanpa kesedaran moral,
sains akan mendatangkan bahaya kepada umat manusia. Sains telah mencipta mesin
yang kemudiannya menjadi raja.
Peluru dan bom adalah anugerah daripada beberapa orang
yang berkuasa dan kepada merekalah tergantungnya untung nasib dunia ini. Manakala, umat manusia yang lain menanti dengan penuh
kebimbangan dan ketakutan, tidak mengetahui bilakah senjata‑senjata
nuklear, gas‑gas beracun,
senjata‑senjata pemusnah- kesemuanya hasil daripada kajian sains yang
direka untuk membunuh dengan cekap ‑ akan digunakan ke atas mereka. Sains bukan sahaja tidak berupaya membekalkan bimbingan
moral kepada umat manusia, malah ia telah mencurahkan minyak kepada api
nafsu manusia.
Sains tanpa moral hanya
menjanjikan kemusnahan: Ia menjadi raksaksa ganas yang dicipta oleh
manusia. Malangnya, raksaksa ini
telah menjadi lebih berkuasa daripada manusia sendiri. Melainkan manusia berusaha untuk
mengawal dan mengurus raksaksa tersebut melalui amalan moral keagamaan,
raksaksa ini akan terus menguasai mereka. Tanpa bimbingan agama, sains mengancam manusia dengan
kemusnahan. Sebaliknya, sains
apabila digabungkan dengan agama seperti Buddhisme akan dapat mengubah dunia
ini menjadi satu syurga yang aman, selamat dan bahagia.
Belum pernah lagi ada masa
seperti sekarang ini bila mana kerjasama di antara sains dan agama sangat‑sangat diperlukan demi kebaikan dan sokongan
kepada umat manusia. Agama tanpa
sains adalah tempang, manakala sains tanpa agama adalah buta.
PENGHARGAAN_KEPADA_BUDDHISME
Kebijaksanaan Agama Buddha
yang bertunjangkan belas kasihan memainkan peranan yang penting bagi
membetulkan haluan bahaya yang
sedang dituju oleh sains moden.
Buddhisme boleh menyediakan panduan kerohanian bagi membimbing
penyelidikan dan ciptaan sains ke
arah menggalakkan budaya yang cemerlang untuk masa depan. Buddhisme dapat menyediakan sasaran
atau tujuan yang selaras bagi
kemajuan sains yang pada masa sekarang
ini sedang menghadapi jalan
buntu lantaran diperhambakan oleh ciptaan mereka sendiri.
Albert Einstein
menunjukkan penghargaannya kepada Buddhisme apabila beliau berkata dalam
autobiografinya yang berbunyi : 'Jika ada agama yang dapat memenuhi keperluan sains moden, maka agama itu sudah
tentulah Buddhisme.' Buddhisme
tidak perlu pengubahsuaian untuk dikemaskinikan dengan penemuan sains terbaharu. Buddhisme tidak perlu menyerah kalah
kepada pandangan sains kerana ia mencakupi malah melebihi sains. Buddhisme adalah jambatan antara
fikiran keagamaan dan saintifik
kerana ia meransang manusia untuk menyedari potensi besar dalam diri dan
persekitaran meraka. Buddhisme
abadi sepanjang masa.
AGAMA KEBEBASAN
INI ADALAH AGAMA KEBEBASAN
DAN AKAL UNTUK MANUSIA MENJALANI PENGHIDUPAN SUCI.
Buddhisme tidak menghalang
sesiapa mempelajari ajaran agama yang
lain. Sebenarnya Buddha
menggalakkan pengikut‑pengikutnya
mempelajari agama lain dan membandingkan ajarannya dengan ajaran
yang lain. Buddha berkata bahawa jika ada ajaran
yang manasabah dan rational dalam agama lain pengikutnya bebas menghormati
ajaran tersebut. Sesetengah ahli
agama cuba mengongkong pengikut mereka dalam kegelapan malah sebahagian
daripada mereka tidak dibenarkan menyentuh objek‑objek atau buku‑buku
agama lain. Mereka diarah agar jangan mendengar ajaran
agama yang lain. Mereka
diperintahkan agar yakin akan agama mereka sendiri walaupun ajaran yang mereka
ikuti itu meragukan. Semakin mereka dapat memastikan
pengikut mereka berfikiran sehala maka semakin mudahlah mereka dapat
dikawal. Jika sesiapa di
antara mereka mempraktikan
kebebasan berfikir dan menyedari bahawa dirinya selama ini berada dalam
kegelapan maka akan dituduh bahawa
syaitan telah menguasai pemikirannya.
Hamba yang malang tersebut tidak diberi peluang langsung menggunakan
pemikiran, pendidikan atau kebijaksanaannya. Sesiapa yang berniat untuk menukar pandangannya tentang agama
diajar agar mempercayai bahawa dirinya tidak sempurna untuk menggunakan
kebebasan membuat penilaian sendiri terhadap sebarang perkara.
Mengikut
Buddha, agama patut terserah kepada
pilihan individu secara bebas.
Agama bukanlah undang‑undang tetapi merupakan kod disiplin yang patut diikuti dengan
penuh kefahaman. Bagi penganut
Buddhis, prinsip‑prinsip agama bukanlah suatu hukum ketuhanan mahupun
undang‑undang buatan manusia tapi ia adalah hukum semulajadi (natural law). Pada hakikatnya, tiada terdapat kebebasan mutlak di mana‑mana
bahagian dunia hari ini. Manusia
tiada kebebasan untuk berfikir dengan bebas. Apabila
seseorang itu menyedari dia tidak dapat mencari kepuasan dalam agamanya, yang tidak boleh memberi
jawapan kepada sesetengah persoalan,
dia tidak mempunyai kebebasan untuk meninggalkannya dan beralih kepada ajaran yang lain yang
disukainya. Alasannya ialah pihak berkuasa agama, pemimpin‑pemimpin
dan ahli keluarga telah merampas kebebasan ini daripadanya. Seseorang itu sepatutnya
dibenarkan untuk memilih agama
mengikut keyakinannya. Seseorang
itu tiada hak untuk memaksa orang lain untuk menerima agama tertentu. Sesetengah orang meninggalkan agama
mereka kerana cinta tanpa kefahaman yang
betul terhadap agama pasangan mereka. Agama tidak boleh
ditukar hanya untuk memenuhi emosi dan kelemahan manusia. Kita patutlah berfikir halus-halus sebelum menukar agama
kita. Agama bukanlah barangan yang
boleh dijualbeli; kita tidak patut menukar agama untuk kepentingan kebendaan. Agama harus digunakan untuk pembangunan
rohani dan pembebasan-diri.
Pengikut‑pengikut Buddha tidak pernah cuba mempengaruhi
pengikut ajaran lain untuk menganut agama mereka untuk kepentingan kebendaan. Dalam pada itu mereka juga tidak mempergunakan kemiskinan,
penyakit, buta huruf dan kejahilan bagi menambahkan bilangan pengikut‑pengikut
agama mereka. Buddha menasihati mereka yang ingin mengamalkan ajarannya
supaya jangan terburu‑buru
menerima ajarannya. Baginda menasihati mereka supaya mempertimbangkan ajaranNya
dengan baik dan menentukan sendiri sama ada ianya praktikal atau tidak untuk
diikuti.
Agama Buddha mengajar
bahawa kepercayaan atau amalan agama luaran semata-mata adalah tidak cukup
untuk seseorang mencapai kearifan
dan kesempurnaan. Justeru itu penganutan luaran adalah tidak bermakna. Untuk menyebarkan Agama Buddha secara
kekerasan bermaksud memperkembangkan kasih sayang dan keadilan dengan cara paksaan dan
ketidakadilan. Adalah tidak penting kepada pengikut Buddha
sama ada seseorang itu mengelarkan dirinya pengikut Buddha atau tidak. Pengikut Buddha tahu bahawa hanya melalui kefahaman dan usaha sendiri,
mereka akan berupaya menghampiri
matlamat yang dinyatakan oleh Buddha.
Setiap agama
ada pengikut‑pengikut fanatik. Fahaman fanatik agama adalah sangat
berbahaya. Individu yang fanatik tidak
berupaya mengawal dirinya
dengan akal maupun dengan prinsip-prinsip pemerhatian dan analisis sains. Menurut Buddha, pengikut Buddha
mestilah orang yang bebas, berfikiran terbuka dan jangan terlalu memperhambakan
diri kepada orang lain untuk
pembangunan rohaniahnya. Dia
berlindung (refuge) kepada Buddha dengan menerimaNya sebagai suatu sumber
bimbingan dan inspirasi yang agung.
Dia berlindung kepada Buddha tidak secara membuta-tuli tetapi dengan
kefahaman. Bagi pengikut‑ pengikut Buddha, Gautama Buddha
bukanlah penyelamat atau makhluk jelmaan yang mendakwa memiliki kuasa untuk
membersihkan dosa seseorang. Mereka menganggap Gautama Buddha
sebagai guru yang menunjukkan
Jalan yang benar ke arah kebebasan.
Agama Buddha
sentiasa menyokong kebebasan dan kemajuan umat manusia. Agama Buddha sentiasa berdiri demi
kemajuan pengetahuan dan kebebasan bagi manusia dari semua peringkat kehidupan. Tiada suatu bendapun dalam ajaran
Buddha yang perlu disingkirkan dalam menghadapi rekaan dan pengetahuan sains
moden. Lebih banyak penemuan
baru yang dibuat oleh ahli sains, lebih dekat diri mereka kepada Buddha.
Buddha
membebaskan manusia dari menjadi hamba agama. Buddha
menyelamatkan manusia daripada monopoli dan kekerasan amalan ritual
agama. Buddha adalah orang pertama yang menasihati
manusia supaya menggunakan akal dan tidak membiarkan diri mereka diheret
seperti lembu dicucuk hidung mengikut ajaran agama. Buddha mempertahankan
rationalisme, demokrasi dan tindakan yang praktikal dan beretika dalam
agama. Baginda memperkenalkan
agama ini untuk diamalkan dengan penuh harga diri.
Pengikut‑pengikut
Buddha dinasihatkan supaya jangan percaya
kepada sebarang perkara sebelum membuat pertimbangan yang baik
terhadapnya. Dalam Sutta
Kalama, Buddha memberi panduan kepada sekumpulan belia :
-
Jangan menerima sesuatu semata-mata berdasarkan laporan, tradisi
atau
khabar angin.
‑ atau berdasarkan keesahan teks agama,
‑ atau berdasarkan sebab-sebab dan
hujah-hujah,
‑ atau berdasarkan tafsiran sendiri,
‑ atau berdasarkan kepada sesuatu yang nampaknya benar,
-
atau berdasarkan kepada pendapat ramalan sendiri,
-
atau berdasarkan kepada orang lain yang nampaknya berkebolehan.
-
Atau berdasarkan pertimbangan: ‘Ini guru kita"
`Tetapi, bila anda ketahui
sendiri bahawa sesuatu perkara adalah tidak baik dan buruk : yang boleh membawa kemudharatan kepada anda
dan orang lain, hindarilah perkara-perkara tersebut.’
`Dan jika anda ketahui
sendiri bahawa sesuatu perkara adalah baik dan sempurna: membantu kepada
perkembangan rohaniah anda sendiri dan orang lain, terima dan ikutlah
perkara-perkara itu.'
Pengikut‑pengikut
Buddha dinasihatkan supaya
menerima sesuatu amalan agama hanya setelah membuat pemerhatian dan
penganalisaan teliti dan hanya setelah pasti bahawa cara tersebut selaras
dengan akal dan sesuai untuk kebaikan setiap orang.
Pengikut‑pengikut
Buddha yang sebenar tidak bergantung kepada kuasa luaran untuk kebebasannya. Dia juga tidak mengharapkan bantuan dari sebarang kuasa ghaib untuk mengelakkan
penderitaan. Dia mesti cuba
menghapus segala pencemaran minda untuk mencapai kebahagiaan kekal. Buddha berkata, `Jika sesiapa
bercakap buruk tentang saya,
ajaran saya dan pengikut‑pengikut saya, jangan cepat marah atau terkilan
kerana tindakan sebegini akan
membahayakan anda. Begitulah sebaliknya, 'Jika sesiapa memuji saya, ajaran saya dan
pengikut‑pengikut saya,
janganlah terlalu suka, gembira dan megah kerana ini akan menjadi
penghalang dalam membuat penilaian yang betul. Jika anda bermegah anda tidak akan dapat menilai sama ada
nilai-nilai yang dipuji itu benar dan terkandung dalam diri anda.’ (Brahma
Jala Sutta) Begitulah sikap tidak
berat sebelah seorang penganut agama Buddha yang tulin.
Baginda Buddha
telah menegakkan kebebasan tertinggi bukan sahaja dalam ciri-ciri
kemanusiaannya tetapi juga dalam sifat-sifat ketuhanannya. Ia adalah kebebasan
yang tidak merampas harga diri manusia.
Ia adalah kebebasan yang dapat membebaskan seseorang dari perhambaan dogma agama dan undang‑undang
atau hukuman agama yang ketat.
PENDAKWAH_BUDDHIS
MAJU KE DEPAN, O
BHIKKHU, DEMI KEBAIKAN SEMUA, UNTUK
KEGEMBIRAAN SEMUA, ATAS DASAR BELAS KASIHAN TERHADAP DUNIA, UNTUK
KEBAIKAN, FAEDAH DAN KEGEMBIRAAN
TUHAN DAN MANUSIA. (BUDDHA)
Bila kita menyelak muka
surat sejarah Buddhisme, kita pelajari bahawa pendakwah Buddhis menyampaikan
utusan mulia Baginda Buddha secara aman dan terhormat. Jenis penyebaran agama secara aman ini sesungguhnya memalukan
golongan yang mempraktikkan cara
yang ganas dalam menyebarkan agama mereka.
Penyebar Buddhis tidak
pernah bersaing dengan ahli agama lain dalam usaha menganutkan orang di kawasan
pasar. Penyebar Buddhis atau sami tidak pernah terfikir atau menkhutbahkan rasa benci
terhadap golongan yang digelarkan ‘yang tidak mempercayai.’ Kekerasan agama, budaya dan negara
bukanlah sikap Buddhis yang dituruti oleh orang yang mempunyai semangat Buddhis
sebenar. Keganasan tidak akan mendapat sokongan dalam ajaran Buddha. Dunia ini telah cukup luka dan
menderita daripada penyakit fahaman dogmatik, pelampau agama dan
ketidaksabaran. Sama ada dalam
agama atau politik, manusia
berusaha sungguh-sungguh untuk membuatkan orang lain menerima cara hidup
mereka. Semasa membuat
demikian, kadang‑kadang mereka menunjukkan rasa permusuhan terhadap
pengikut-pengikut agama yang lain.
Buddhisme tidak
bertelingkah dengan tradisi dan adat kebangsaan, seni dan kebudayaan
manusia. Agama Buddha menerima
unsur-unsur tersebut sebagai satu
cara hidup tetapi membenarkan unsur-unsur ini wujud dengan kemurnian. Utusan kasih sayang dan
belas kasihan Baginda Buddha membuka
hati manusia dan mereka dengan rela menerima Ajaran Baginda, dengan itu
menolong Buddhisme menjadi salah satu agama dunia. Pendakwah Buddhis telah dijemput oleh negara‑negara
merdeka yang mengalu‑alukan mereka dengan penuh hormat. Buddhisme tidak pernah diperkenalkan
kepada mana‑mana negara melalui pengaruh penjajahan atau dengan kuasa
politik yang lain.
Buddhisme adalah kuasa
kerohanian pertama yang diketahui dalam
sejarah yang menarik dan mengikat bersama sebilangan besar kaum yang
terpisah oleh halangan jarak, bahasa, budaya dan nilai-nilai hidup. Tujuannya bukan untuk menguasai perdagangan antarabangsa,
membina empayar atau dorongan
penghijrahan untuk menduduki jajahan baru. Matlamatnya adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai
bagaimana memperolehi lebih ketenteraman dan kebahagiaan dengan mengamalkan
Dharma.
Satu contoh yang paling
menyerlah tentang kualiti dan pendekatan pendakwah Buddhis
ialah Maharajah Asoka. Pada masa Maharajah Asokalah,
Buddhisme telah berkembang ke
banyak negara‑negara di Asia dan negara-negara barat. Maharajah Asoka menghantar
penyebar agama Buddha ke banyak bahagian dunia untuk memperkenalkan mesej
keamanan Buddha. Pada masa tersebut, Asoka menghormati dan
menyokong semua agama.
Toleransinya terhadap agama yang lain sangat ketara. Salah satu daripada tulisannya yang terpahat di atas batu di ‘Asoka
Pillars’, dan masih teguh berdiri pada hari ini di India, berbunyi:
‘Seseorang
itu tidak harus menghormati agamanya sendiri sahaja dan mengutuk agama orang lain, tetapi dia mesti menghormati agama orang
lain atas sebab-sebab tertentu.
Dengan berbuat demikian, seseorang itu akan membantu agamanya berkembang dan juga turut memberi
perkhidmatan kepada agama yang
lain. Dengan berbuat sebaliknya, seseorang itu menggorek kubur agamanya sendiri
dan juga merosakkan agama yang
lain. Sesiapa sahaja yang
menyanjungi agamanya dan mengutuk agama orang lain, sesungguhnya berkelakuan
demikian dengan fikiran bahawa, ‘Saya akan mengagungkan agama saya.' Tetapi sebaliknya dengan berbuat demikian dia melukai
agamanya dengan lebih teruk lagi.
Oleh itu, keharmonian adalah baik.
Biar semua orang dengar dan sanggup mendengar ajaran yang dianuti oleh
orang lain.'
Dalam 268 SM, Asoka
menjadikan ajaran Buddha sebagai satu tenaga kehidupan di India.
Hospital, institusi perkhidmatan sosial, universiti-universiti untuk lelaki dan wanita, telaga awam
dan pusat rekreasi tumbuh dengan
pergerakan baru ini, dan dengan itu
manusia di situ mengerti erti kekejaman peperangan yang tidak bermakna.
Zaman keemasan dalam
sejarah India dan negara‑negara lain di Asia, jangkamasa bila seni,
kebudayaan, pelajaran dan tamadun mencapai kemuncaknya - berlangsung pada masa
pengaruh Buddhisme terkuat di negara‑negara ini. Peperangan suci, perang salib,
penaklukan dan diskriminasi agama
tidak mencemari kalendar sejarah negara‑negara Buddhis. Ini
ialah sejarah mulia yang patut dibanggakan oleh umat manusia. Universiti Besar Nalanda di India yang berkembang dari kurun ke 2 hingga ke 9 adalah satu
hasil Buddhisme. Ini adalah
universiti pertama yang kita ketahui terbuka kepada pelajar antarabangsa.
Pada masa lampau, Agama
Buddha berupaya meninggalkan kesan pada banyak bahagian Timur, walaupun
komunikasi dan pengangkutan adalah
sukar dan manusia perlu merentasi gunung dan gurun. Di sebalik halangan yang sukar ini Buddhisme berkembang dengan luas dan
jauh. Hari ini, mesej keamanan
ini sedang berkembang di Barat. Orang Barat tertarik dengan Buddhisme
dan percaya bahawa Buddhisme adalah satu-satunya agama yang harmoni dengan
sains moden.
Penyebar agama Buddha
tidak ada keperluan atau kehendak untuk menganutkan orang yang telah memiliki
agama yang sesuai untuk mereka amalkan.
Kalau manusia telah berpuas
hati dengan agama mereka, tidak perlu lagi bagi pendakwah agama Buddha mengubah
pegangan mereka. Penyebar agama
Buddha memberikan sokongan penuh kepada penyebar agama lain kalau idea mereka adalah untuk
menganutkan orang yang ganas, jahat dan tidak bertamadun kepada satu cara hidup
yang beragama. Buddhis sangat
gembira melihat kemajuan agama
lain asalkan mereka benar‑benar menolong manusia menjalani cara hidup
yang betul berdasarkan kepercayaan agama mereka dan menikmati keamanan,
keharmonian dan persefahaman.
Sebaliknya, penyebar Agama Buddha menyesali sikap sesetengah pendakwah agama yang mengganggu pengikut
agama lain, kerana mereka tidak mempunyai sebab untuk membina satu suasana
persaingan yang tidak sihat untuk mendapatkan penganut jika tujuan mereka hanya untuk mengajar orang
mengikut satu cara kehidupan beragama.
Dalam memperkenalkan
Dharma kepada orang lain, penyebar agama
Buddha tidak pernah cuba menggunakan imaginasi yang keterlaluan untuk menggambarkan dunia syurga dengan
tujuan untuk menarik keinginan manusia dan meransang kehendak mereka. Sebaliknya mereka cuba menerangkan rupa dan sifat sebenar
manusia dan kehidupan syurga sebagaimana yang diajar oleh Buddha.