BAB 12:
PERKAHWINAN,
KEMATIAN DAN KAWALAN KELAHIRAN
Pandangan Buddhis
Mengenai Perkahwinan
Dalam Buddhisme,
perkahwinan hanya dianggap sebagai urusan peribadi dan individu, bukan sebagai
kewajiban agama.
Perkahwinan ialah
satu adat sosial, atau amalan yang diwujudkan oleh manusia demi kesejahteraan
dan kebahagiaan manusia. Ia bertujuan untuk membezakan masyarakat manusia
daripada kehidupan haiwan dan mengekalkan aturan dan keharmonian dalam proses
pembiakan. Walaupun teks Buddhis tidak menyentuh perkara monogami ataupun
poligami, Buddhis (penganut biasa)dinasihati supaya menghadkan diri mereka
kepada seorang isteri sahaja. Buddha tidak menetapkan peraturan mengenai
kehidupan berumahtangga tetapi memberi nasihat yang sewajarnya untuk kehidupan
rumahtangga yang bahagia. Terdapat kesimpulan yang memadai dalam beberapa
khutbahNya yang menunjukkan bahawa ada baiknya dan bijak seseorang itu setia
kepada seorang isteri sahaja dan jangan bernafsu serta cuba memikat wanita
lain. Buddha menyedari bahawa salah satu punca utama kejatuhan seseorang lelaki
ialah keterlibatannya dengan wanita-wanita lain (Parabhava Sutta). Kaum lelaki
harus sedar akan kesukaran, dugaan dan kesusahan yang harus ditanggung untuk
memelihara seorang isteri dan sebuah keluarga. Keadaan ini bertambah teruk
apabila menghadapi mala petaka. Dengan menyedari kelemahan sifat manusia, dalam
salah satu tatasusilaNya Buddha telah, menasihatkan pengikut-pengikutNya agar
menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan zina atau persetubuhan yang
tidak sah.
Pandangan Buddhis mengenai
perkahwinan adalah sangat liberal iaitu perkahwinan hanya dianggap sebagai
urusan peribadi dan individu dan bukan sebagai kewajipan agama. Dalam
Buddhisme, tiada peraturan yang menetapkan bahawa seseorang itu harus
berkahwin, membujang ataupun menjalani kehidupan suci murni. Tidak tercatat di
mana-manapun bahawa Buddhis mesti melahirkan anak atau mengawal bilangan anak
yang dilahirkan. Buddhisme memberi kebebasan kepada setiap individu untuk
membuat keputusannya sendiri isu perkahwinan. Mungkin timbulnya persoalan
mengapa bhikkhu-bhikkhu Buddhis tidak berkahwin sedangkan tiada peraturan yang
menyokong ataupun menentang perkahwinan. Sebabnya nyata; agar dapat berkhidmat
kepada manusia, para bhikkhu memilih suatu cara hidup yang termasuk
pembujangan. Mereka yang meninggalkan kehidupan duniawi menjauhi daripada
kehidupan berkahwin secara sukarela untuk mengelakkan pelbagai kewajipan
duniawi demi mengekalkan
ketenteraman minda dan membaktikan seluruh hidup mereka berkhidmat kepada orang
lain untuk mencapai pembebasan spiritual. Walaupun bhikkhu tidak melangsungkan
upacara perkahwinan, tetapi mereka ada mengendalikan puja keagamaan untuk
memberkati pasangan-pasangan.
Perceraian
Perpisahan ataupun
perceraian tidak dilarang dalam Buddhisme walaupun jarang timbul keperluan
untuk melakukannya jika peringatan Buddha diikuti dengan tegas. Lelaki dan
wanita harus mempunyai kebebasan untuk berpisah sekiranya mereka benar-benar
tidak boleh bersefahaman. Perpisahan adalah lebih baik untuk mengelakkan
kehidupan keluarga yang sengsara untuk jangka masa panjang. Buddha juga
menasihati lelaki tua agar tidak memperisteri wanita muda kerana yang tua dan
muda tidak mungkin secocok. Ini boleh menimbulkan masalah yang tidak dijangka,
ketidakharmonian dan kejatuhan. (Parabhava Sutta)
Sesebuah masyarakat
berkembang melalui rangkaian hubungan yang saling berjalin dan saling
bergantung. Setiap hubungan merupakan komitmen sepenuhnya untuk menyokong dan
melindungi orang lain dalam kumpulan atau komuniti. Perkahwinan memainkan
peranan yang amat penting dalam jaringan hubungan yang erat untuk memberi
sokongan dan perlindungan. Perkahwinan yang baik harus berkembang dan maju
secara perlahan-lahan melalui persefahaman, dan bukan desakan naluri, melalui
kesetiaan sebenar dan bukannya kepuasan nafsu sahaja. Institusi perkahwinan
memberikan asas yang baik untuk perkembangan budaya, perhubungan bahagia dua
individu yang harus diasuh, dan bebas daripada keseorangan, kekurangan dan
ketakutan. Dalam perkahwinan, setiap pihak memainkan peranan saling melengkapi,
memberikan kekuatan dan galakan moral sesama sendiri. Setiap pihak menunjukkan
penghargaan dan sokongan atas kemahiran pihak yang lain. Perasaan melebihi yang
lain tidak harus wujud baik di kalangan lelaki ataupun wanita kerana setiap
pihak saling melengkapi, iaitu berkongsi hidup atas dasar persamaan, dengan
penuh kelembutan, kemurahan hati, ketenangan dan dedikasi.
Kawalan Kelahiran,
Pengguguran dan Bunuh Diri
Walaupun manusia
mempunyai kebebasan untuk merancang keluarga demi kesenangannya, menggugurkan anak
dalam kandungan adalah tidak wajar.
Tiada sebab untuk
Buddhis menentang kawalan kelahiran. Mereka bebas untuk mencegah kehamilan dengan
cara lama atau moden. Mereka yang membantah kawalan kelahiran dengan mengatakan
amalan itu melanggar peraturan Tuhan haruslah faham bahawa konsep mereka
mengenai hal ini tidaklah munasabah. Apa yang dijalankan dalam kawalan
kelahiran ialah mencegah pembentukan kewujudan. Tidak ada akusala kamma kerana tiada
pembunuhan. Namun jika sebarang tindakan diambil untuk melakukan pengguguran,
maka perbuatan ini adalah salah kerana ia melibatkan pengambilan ataupun pemusnahan
nyawa yang kelihatan atau tidak kelihatan. Oleh itu, pengugguran adalah tidak
wajar.
Mengikut Ajaran Buddha,
lima syarat harus wujud untuk membentuk perbuatan membunuh yang keji, iaitu:-
1. Makhluk yang hidup
2. Pengetahuan atau kesedaran bahawa ia makhluk
hidup
3. Niat untuk membunuh
4. Usaha untuk membunuh dan
5. Kematian sebagai akibatnya
Apabila seseorang wanita
mengandung, terdapat satu hidupan di dalam rahimnya, maka syarat pertama
dipenuhi. Selepas beberapa bulan, dia menyedari wujudnya nyawa baru dalam
dirinya dan ini memenuhi syarat kedua. Kemudian atas sebab-sebab tertentu, dia
ingin mengeluarkan hidupan itu daripada dirinya. Dia mula mencari orang yang
dapat menggugurkan anak dalam kandungannya dan tindakan ini memenuhi syarat
ketiga. Syarat keempat dipenuhi apabila orang itu berjaya menggugurkan anak
dalam kandungannya dan akhirnya hidupan itu terbunuh. Maka kesemua syarat telah
dipenuhi. Dengan demikian Tatasusila
Pertama iaitu "tidak membunuh" sudah dilanggar dan ini sama seperti
membunuh seorang manusia. Mengikut Buddhisme, tidak ada alasan untuk mengatakan
bahawa kita berhak untuk mengambil nyawa hidupan lain.
Dalam keadaan tertentu,
manusia rasa dirinya terpaksa berbuat demikian demi kesenangan diri mereka. Namun
mereka tidak harus mewajarkan pengguguran kerana dengan apa cara pun mereka
akan menghadapi balasan karma buruk yang tertentu. Di sesetengah negara,
pengguguran dibenarkan di sisi undang-undang cuma untuk mengatasi
masalah-masalah tertentu. Prinsip-prinsip agama tidak harus ditundukkan untuk
keselesaan manusia. Prinsip tersebut wujud untuk kebajikan manusia sejagat.
Membunuh Diri
Mengambil nyawa sendiri
dalam apa jua keadaan adalah salah dari segi moral dan rohani. Mengambil nyawa
sendiri kerana kekecewaan atau kehampaan hanya akan menyebabkan penderitaan
yang lebih mendalam. Membunuh diri merupakan cara pengecut menamatkan masalah
hidup. Seseorang tidak akan membunuh diri jika mindanya suci dan tenang. Jika
seseorang meninggalkan dunia ini dengan minda yang bercelaru dan putus asa,
kemungkinan besar dia tidak akan dilahirkan semula dalam satu keadaan yang
lebih baik. Membunuh diri ialah perbuatan yang tidak baik atau tidak bijak
kerana ia didorong oleh minda yang penuh dengan ketamakan, kebencian dan
delusi. Mereka yang membunuh diri masih belum mempelajari bagaimana menghadapi
masalah, bagaimana menghadapi kenyataan hidup, dan bagaimana menggunakan minda
mereka dengan cara yang sesuai. Orang sedemikian masih tidak memahami sifat
hidup dan keadaan duniawi.
Sesetengah orang
mengorbankan nyawa mereka untuk sebab yang dipercayai mereka sebagai yang baik
dan mulia. Mereka mengambil nyawa sendiri dengan kaedah seperti pengorbanan
diri, tembakan peluru, atau melaparkan diri. Tindakan demikian mungkin
dikelaskan sebagai perbuatan yang berani dan tabah. Walau bagaimanapun, dari
sudut pandangan Buddhis, perbuatan demikian tidak boleh dibiarkan. Buddha dengan
jelasnya telah menunjukkan bahawa minda dalam keadaan bunuh diri mendatangkan
penderitaan lanjut.
Mengapa Populasi
Dunia Bertambah?
Memanglah tidak berasas
untuk menganggap bahawa pada jangka masa ini sahaja populasi dunia telah
bertambah.
Sekiranya Buddhis
tidak mempercayai wujudnya roh yang diciptakan Tuhan, bagaimana mereka dapat menjelaskan
pertambahan populasi dunia hari ini? Ini merupakan persoalan biasa yang
dikemukakan oleh kebanyakan orang hari ini. Mereka yang menimbulkan persoalan
ini biasanya menganggap makhluk bernyawa hanya wujud di satu dunia sahaja.
Seseorang harus mempertimbangkan bahawa populasi akan bertambah di tempat-tempat yang mempunyai
keadaan iklim yang sesuai, kemudahan perubatan dan makanan yang baik serta
adanya langkah-langkah pencegahan dalam melahirkan dan melindungi makhluk
hidup.
Seseorang juga harus mempertimbangkan
bahawa memanglah tidak berasas untuk menganggap bahawa pada jangka masa ini
sahaja populasi dunia telah bertambah. Tidak ada cara lain untuk membuat
perbandingan dengan sebarang zaman dalam sejarah purba. Banyak peradaban yang agung
telah wujud dan kemudiannya lenyap di Asia Tengah, Timur Tengah, Afrika dan
Amerika Purba. Tiada angka-angka bancian yang dapat diperolehi mengenai
tamadun-tamadun ini. Seperti kesemua perkara lain dalam alam ini, populasi juga
mengalami kitaran turun dan naik. Pada kitaran kadar pertambahan kelahiran yang
menakjubkan, seseorang mungkin terdorong untuk mempertikaikan tumimbal lahir di
dunia ini ataupun di dunia lain. Untuk beberapa ribu tahun yang lepas, tiada
bukti menunjukkan bahawa pernah terdapat lebih banyak orang di sesetengah
kawasan dunia daripada yang ada pada hari ini. Bilangan makhluk yang wujud di pelbagai
sistem dunia adalah infiniti. Sekiranya nyawa manusia diumpamakan sebagai
sebutir pasir, bilangan makhluk di dalam alam semesta ini adalah seperti
butiran-butiran pasir di semua pantai di atas bumi ini. Sebilangan daripada
makhluk-makhluk yang infiniti jumlahnya akan dilahirkan semula sebagai manusia
jika keadaan bersesuaian dan disokong oleh kamma baik mereka. Kemajuan dalam bidang
perubatan terutamanya pada kurun ke-19 dan ke-20 membolehkan manusia hidup
lebih sihat dan lebih lama.
Faktor ini telah menyumbang
kepada pertumbuhan populasi. Populasi akan terus bertambah sekiranya orang yang
menyedarinya mengambil langkah kawalan. Maka kepujian ataupun tanggungjawab
dalam meningkatkan populasi harus diberikan kepada kemudahan perubatan dan
keadaan lain yang wujud hari ini. Kepujian ataupun tanggungjawab ini tidak
boleh diberikan kepada sebarang agama tertentu ataupun punca luar.
Sesetengah orang percaya
bahawa kesemua kejadian buruk yang menghancurkan nyawa manusia, adalah diciptakan
oleh Tuhan untuk mengurangkan populasi dunia. Dengan menimbulkan banyak
kesusahan kepada makhlukNya sebagai ganti, kenapa Dia tidak mengawal populasi?
Kenapa pula Dia mencipta lebih banyak orang di negeri yang padat populasinya yang
tiada makanan, pakaian dan keperluan asas yang lain? Mereka yang mempercayai bahawa Tuhanlah yang mencipta
segala-galanya tidak dapat memberikan jawapan yang munasabah terhadap persoalan
ini. Bukannya takdir tuhan ataupun kehendak syaitan tertentu yang menyebabkan
kemiskinan, penderitaan, peperangan, kelaparan, penyakit dan kebuluran malah
disebabkan oleh punca yang tidak begitu sukar untuk diketahui.
Seks Dan Agama
`Bahagian bawah
kita masih lagi bersifat haiwan.
'
(Gandhi)
Desakan seks
merupakan tenaga yang paling dinamik dalam sifat manusia. Dorongan seksual
adalah begitu kuat sehingga langkah tertentu untuk kawalan diri adalah perlu
walaupun dalam kehidupan biasa. Untuk pengejar spiritual, disiplin diri yang lebih
ketat diperlukan untuk sesiapa yang ingin mindanya dikawal dengan sepenuhnya.
Dorongan yang sebegitu kuat pada sifat manusia hanya boleh dikurangkan jika
pengejar spiritual itu mangawal pemikirannya dan mengamalkan konsentrasi. Pemeliharaan
tenaga seksual membantu perkembangan keupayaan ini. Seseorang akan lebih
berkeupayaan mengawal keseluruhan dirinya dan mengatasi emosinya jika dia dapat
mengawal dorongan seksualnya.
Hidup tanpa seks merupakan
satu keperluan untuk mereka yang ingin meningkatkan perkembangan spiritual
mereka ke tahap sempurna. Akan tetapi untuk mengamalkan Buddhisme, setiap orang
tidak diwajibkan untuk mengamalkan hidup tanpa seks sepenuhnya. Buddha
menasihatkan bahawa hidup tanpa seks adalah lebih sesuai untuk seseorang yang
ingin mengusahakan pencapaian spiritual. Untuk para Buddhis di rumah,
tatasusilanya adalah menghindari perlakuan seks yang salah. Walaupun dorongan
seksual yang terpesong bukanlah dalam ketegori ini, tetapi seseorang yang sesat
dan terpesong akan mengalami akibat buruk baik secara fizikal, mental atau
kedua-duanya.
Kebanyakan buddhis di rumah perlu mengenakan
kawalan tertentu terhadap tenaga seks mereka. Jikalau desakan seks manusia
tidak dikawal dengan betul, dia akan berkelakuan lebih teruk daripada haiwan
apabila dirinya dikuasai oleh hawa nafsu. Fikirkanlah tentang perlakuan seks
yang kita gelar sebagai "haiwan lebih rendah". Mana satukah yang lebih
rendah - haiwan atau manusia? Mana satukah yang berkelakuan yang normal dan
biasa berhubungan dengan perlakuan seks? Mana satukah yang terpesong kepada
ragam yang luar biasa dan terpesong? Biasanya, haiwan ialah makhluk yang lebih
tinggi manakala manusia adalah lebih rendah. Mengapa begini? Ini hanya kerana
manusia yang mempunyai kebolehan mental, yang sekiranya digunakan dengan betul
boleh mengawal desakan seks, tetapi sebenarnya kuasa mentalnya telah digunakan dengan
cara yang menyedihkan dan lebih memperhambakan diri kepada desakan-desakan itu.
Maka, ada kalanya manusia boleh dikatakan lebih rendah kedudukannya daripada
haiwan.
Nenek moyang kita kurang
mementingkan desakan seks kerana mereka memahami bahawa ia sudah cukup kuat
tanpa sebarang perangsang. Tetapi pada masa kini kita telah menyemarakkannya dengan
pelbagai perangsang iklan lucah, penekanan dan pertunjukan yang memberahikan.
Kita telah berpegang kepada doktrin yang mengatakan bahawa pengawalan diri
adalah berbahaya dan boleh mengakibatkan sakit jiwa.
Akan tetapi kawalan diri
iaitu mengawal dorongan hati merupakan prinsip pertama dalam sebarang tamadun.
Dalam tamadun moden ini, kita telah mencemarkan atmosfera seksual di sekeliling
kita iaitu betapa kuatnya dorongan minda dan badan terhadap kepuasan seksual.
Akibat daripada eksploitasi seks oleh pemujuk-pemujuk
yang terselindung dalam masyarakat moden, para belia hari ini telah membentuk
satu sikap terhadap seks yang menjadi masalah masyarakat. Seseorang gadis yang
tidak bersalah tidak mempunyai kebebasan untuk pergi ke mana-mana tanpa
diganggu. Sebaliknya, wanita harus berpakaian senonoh agar tidak menimbulkan
sifat kebinatangan yang terselindung dalam kaum belia.
Manusia merupakan
satu-satunya haiwan yang tidak mempunyai jangka masa ketidak-aktifan seks
secara semulajadi untuk memulihkan tenaga hidupnya. Malangnya eksploitasi
komersial terhadap sifat keghairahan manusia telah mengakibatkan manusia zaman
moden terdedah kepada rangsangan seks yang bertalu-talu dari semua segi.
Kebanyakan sakit jiwa yang wujud hari ini berpunca daripada keadaan perhubungan
yang tidak seimbang seperti ini. Sedangkan kaum lelaki diharapkan beristeri
seorang sahaja, wanita pula digalakkan melalui pelbagai cara yang mungkin,
menjadikan diri mereka lebih menarik bukan untuk suaminya sahaja tetapi untuk
mengghairahkan setiap lelaki yang dilarang oleh masyarakat.
Banyak masyarakat cuba
menguatkuasakan hubungan monogami. Oleh itu lelaki yang mengalami banyak
kegagalan masih boleh menjadi manusia yang bermoral selagi dia tetap setia
kepada isterinya di sisi undang-undang. Bahaya akan timbul sekiranya orang yang
cerdas berpendapat bahawa peraturan ini merupakan buatan manusia dan bukan
berasaskan sebarang prinsip yang terbukti dan sah secara universal, mereka akan
mempunyai tanggapan yang salah mengenai semua peraturan etika yang lain.
Seks harus diberikan
kedudukan yang sewajarnya dalam kehidupan manusia yang normal; iaitu ia tidak
harus ditekan atau diperbesar-besar secara tidak waras. Seks harus di bawah
kawalan fikiran kita, sekiranya ia difikir dengan waras dan dilihat daripada
perspektif yang sesuai.
Seks tidak seharusnya
dianggap sebagai ramuan yang paling penting untuk kehidupan keluarga yang
bahagia. Mereka yang terlalu mengikut kehendak nafsu, boleh menjadi hamba
kepada seks dan akhirnya akan memusnahkan sifat kasih-sayang dan
peri-kemanusiaan dalam perkahwinan. Seperti semua perkara lain, seseorang harus
bersikap sederhana dan rasional dalam kehendak seks sendiri, dengan mengambil
kira perasaan dan sifat peribadi pihak yang lain.
Perkahwinan merupakan satu
ikatan perkongsian hidup di antara lelaki dan wanita. Tiga kualiti asas yang
harus dipupuk dan diasuh oleh pasangan tersebut ialah kesabaran, toleransi dan
persefahaman. Walaupun kasih sayang merupakan simpul yang mengikat pasangan itu
bersama, kaum lelaki harus menyediakan keperluan kebendaan untuk pasangan itu demi
mengekalkan kebahagiaan keluarga. Keperluan untuk mewujudkan satu pasangan
perkahwinan yang baik, harus berdasarkan sifat "milik kita" dan bukan
"milik anda" ataupun "milik saya". Pasangan yang baik harus
"membuka" hati sesama sendiri dan mengelakkan diri daripada menyimpan
"rahsia". Menyimpan rahsia pada diri sendiri boleh menimbulkan
kecurigaan dan kecurigaan merupakan elemen yang boleh menghancurkan
kasih-sayang dalam sesuatu perkongsian hidup. Kecurigaan melahirkan sikap
cemburu. Sikap cemburu menimbulkan kemarahan. Kemarahan menjadi kebencian. Kebencian
berkembang menjadi permusuhan dan permusuhan boleh mengakibatkan kesengsaraan
yang tidak terperi termasuk pertumpahan darah, bunuh diri dan juga pembunuhan.