Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

SUTTA SIGALOVADA

Nakmo tassak phakhawato arahato samma samphutassak

Buku kecil ini merupakan satu lagi usaha kami bagi menyampaikan ajaran-ajaran Buddha yang begitu bernilai kepada masyarakat Buddhis. Kami berharap semoga ia dapat menjadi pedoman hidup dan menimbulkan kesedaran akan tanggungjawab kita sebagai penganut Agama Buddha serta dapat menanam nilai-nilai

yang positif,seperti belas kasihan, kasih sayang, hormat-menghormati, rajin, jujur, ikhlas, adil, mengenang budi dan sebagainya.

Semoga pengajaran yang diperoleh daripada Sutta Sigalovada ini dapat membimbing masyarakat kita ke arah kebaikan dan membantu memperbaiki lagi diri kita supaya menjadi manusia yang berperibadi tinggi.

SADHU! SADHU! SADHU!

Biro Sumber,

PBWB

Tarikh : Oktober 1994 (B.E. 2537)

 

Bagi para dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk mencetak buku-buku Dharma keluaran kami sila hubungi :

Bendahari
Persatuan Buddha Wakaf Bharu,

Wat Pracacinaram, Kg. Kulim,
16250 Wakaf Bharu,

Kelantan.

Tel : 09 7197332 (Mdm. Koo Kim Heng - Pengerusi Biro Sumber)

BUKU INI DIEDARKAN PERCUMA

 

PENGENALAN KEPADA SUTTA SIGALOVADA

Sutta Sigalovada yang tergolong dalam Digha Nikaya dalam Sutta Pitaka merupakan satu ajaran yang terkenal dalam Dunia Buddhis. la juga digelar Gihi-Vinaya - Kod disiplin bagi kebanyakan orang. Sutta ini memberi gambaran yang jelas mengenai kehidupan berkeluarga dan kehidupan sosial seseorang. Manusia mesti mengamal sikap kawalan diri, perangai yang baik, tingkah laku yang sempurna dan suatu ciri kesederhanaan sebagai satu langkah permulaan untuk menjalani hidup berkeluarga yang penuh dengan kegembiraan, keamanan dan progresif.

Sehubungan dengan ini, pengajaran yang diberikan oleh Buddha Yang Maha Mengasihani khusus untuk kebajikan dan kebahagiaan orang kebanyakan boleh dijumpai dalam pelbagai sutta. Antaranya Sutta Maha Mangala, Sutta Parabhava, Sutta Vyaggha-pajja, Sutta Dhammika dan Sutta Sigalovada yang terkenal kepada penganut-penganut Agama Buddha. Sutta-sutta ini membuktikan bahawa Ajaran Buddha tidak hanya untuk kebajikan kehidupan dunia sekarang tetapi juga untuk kehidupan dunia akan datang.

Sesetengah orang mengkritik bahawa Buddha tidak begitu menghiraukan kehidupan sosial, pembangunan ekonomi, kebahagiaan duniawi dan kebajikan material pengikut-pengikut biasanya (bukan bhikkhu). Sutta-sutta di atas merupakan contoh jelas yang menunjukkan bahawa kritikan-kritikan itu adalah tidak berasas. Buddha telah menegaskan bahawa tanpa ekonomi yang kukuh, perkembangan spirituil adalah amat sukar. Baginda sedar bahawa kemiskinan merupakan punca kepada pelbagai jenis jenayah seperti pencurian dan pembunuhan. Oleh itu, Baginda telah menyuruh para pengikut biasanya mencari rezeki sebanyak yang mungkin dengan cara yang betul tanpa bersikap malas.

Pada suatu ketika, Buddha menerangkan kepada seorang jutawan, Anathapindika, dermawan agung, bahawa kepuasan dan kenikmatan sebenar yang boleh dinikmati oleh seorang yang menjalani kehidupan berkeluarga yang aman dan bahagia adalah seperti berikut:

I. Atthi Sukkha - Pendapatan yang mencukupi.

Jika seseorang menyimpan atau mengumpul harta dengan jalan yang betul tanpa melibatkan diri dengan kerja-kerja atau profesion yang terlarang, dia akan dapat menikmati sepenuh kepuasan apabila memikirkan jaminan masa depannya.

II. Bhoga Sukha - Menikmati Kekayaan.

Seseorang akan bahagia apabila dia membelanjakan wangnya dengan cara yang berfaedah untuk menjaga ibu bapa, isteri dan anak-anaknya serta berbuat amal. Orang yang semata-mata menyorokkan wangnya tidak akan dapat menikmati kebahagiaan duniawi.

III. Anana Sukha - Bebas daripada hutang.

Kebahagiaan ini akan dapat dinikmati oleh seseorang yang bebas daripada segala hutang piutang. Jikalau seseorang berhutang dalam bentuk wang atau barang-barang, dia tidak akan mencapai kebahagiaan atau ketenangan dalam mindanya sehingga dia menjelaskan segala hutangnya.

IV. Anavajja Sukkha - Kehidupan tanpa kezaliman.

Kebahagiaan ini akan dapat dinikmati oleh seseorang yang menjalani kehidupan tanpa kezaliman/kekejaman, bahaya, kemusnahan atau menyebabkan penderitaan kepada sesama manusia. Apabila dia telah membuat kesalahan atau menyakiti hati seseorang, dia tidak akan dapat menikmati sebarang kepuasan apabila dia memikirkan perbuatan salahnya. Suatu hari kelak, apabila kematiannya sudah hampir, dia sendiri akan mengingati dan menyesali kesalahannya. Oleh itu, pasti tiada keamanan dan ketenangan bagi mindanya. Dengan ini, kita dapat lihat bahawa Buddha mengambil berat tentang kebajikan pengikutnya.

Sutta Sigalovada adalah salah satu daripada sutta Buddha yang menitikberatkan perhubungan ahli-ahli dalam masyarakat. la memastikan wujudnya keharmonian, perpaduan dan tanggungjawab dalam sesebuah komuniti dengan menggariskan kewajipan yang perlu dipenuhi oleh seseorang. Walaupun Buddha telah memaparkan kod disiplin ini lebih daripada 2,500 tahun dahulu, ia tetap segar dan moden. Peraturan ini masih boleh dipakai sehingga ke hari ini oleh masyarakat yang maju dan bertamadun tanpa membezakan kaum, warna kulit, bangsa atau jantina. Sekiranya peraturan-peraturan ini diikuti dengan betul, ia akan berfaedah demi melahirkan warganegara yang baik, manusia yang berdarjat, persaudaraan dan persahabatan sesama manusia.

Tajuk-tajuk utama yang dihuraikan dalam Sutta Sigalovada adalah seperti berikut:

1. Empat Kejahatan.

i. Memusnahkan nyawa.

ii. Mencuri hak orang lain.

iii. Kesalahan seksual.

iv. Bercakap bohong.

2. Empat Punca Perbuatan Jahat.

i. CHANDA - nafsu

ii. DOSA - kebencian

iii. BHAYA - ketakutan

iv. MOHA - kejahilan

3. Enam Saluran Penghabisan Harta.

i. Terlibat dengan benda yang memabukkan.

-enam kesan buruk.

ii. Merayau-rayau di jalan pada masa yang tidak sesuai.

-enam kesan buruk.

iii. Kerap mengunjungi tempat hiburan.

-enam kesan buruk.

iv. Terlibat dalam perjudian.

-enam kesan buruk.

v. Berkawan dengan kawan-kawan jahat.

-enam kesan buruk.

vi. Bersifat malas.

-enam kesan buruk.

4. Empat Jenis Musuh Yang Berpura-pura Sebagai Kawan.

i. ANNADATTHUHARA - Yang untuk mendapat keuntungan.

ii. VACIPARAMA - Yang bermulut manis.

iii. ANUPPIYABHANI - Yang memuji keterlaluan.

iv. APAYA SAKHA - Yang membawa kemusnahan.

5. Empat Jenis Kawan Sejati.

i. Kawan yang sedia menolong.

ii. Kawan yang sama ketika susah dan senang.

iii. Kawan yang memberi nasihat baik.

iv. Kawan yang bersimpati.

Empat jenis kawan telah dihuraikan dalam sutta ini.

6. Empat Cara Untuk Menguruskan Harta.

i. Bahagian pertama untuk perbelanjaan harian.

ii. Bahagian kedua untuk urusan perniagaan.

iii. Bahagian ketiga untuk urusan perniagaan.

iv. Bahagian keempat untuk simpanan.

7. Enam Arah

i. Timur – Ibu bapa

ii. Selatan - Guru

iii. Barat - Isteri, suami dan anak-anak

iv. Utara - Kawan dan sekutu

v. Bawah/Nadir - Pekerja

vi. Atas/Zenith - Bhikkhu dan ahli-ahli agama

Dalam "Enam Arah", dihuraikan lima tugas ibu bapa dan anak-anak terhadap satu sama lain, lima tugas guru dan murid terhadap satu sama lain, lima tugas isteri dan suami terhadap satu sama lain, lima tugas rakan dan sekutu terhadap satu sama lain dan lima tugas Bhikkhu dan orang kebanyakan terhadap satu sama lain.

Mengikut ajaran Sutta Sigalovada, ibu bapa harus membimbing anak mereka, menjaga pendidikan mereka dan menyerahkan harta pusaka mereka apabila tiba masanya. Anak-anak pula haruslah menghargai dan menghormati ibu bapa dan menjaga nama baik keluarga mereka. Guru harus melatih dan mengajar murid-murid dan murid-murid pula sebagai balasannya harus menghormati, memberikan layanan baik dan perhatian kepada guru-guru. Seorang suami harus berlemah-lembut, setia dan hormat kepada isteri di samping menyediakan segala keperluannya manakala si isteri pula harus setia, menjaga harta suaminya dan menjalankan kewajipan sebaik mungkin. Seorang kawan pula sepatutnya murah hati, lemah-lembut dan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain. Seorang ketua harus memberi tugas yang sesuai dengan kemampuan pekerjaannya, membayar mereka dengan gaji yang berpatutan dan memberikan mereka cuti apabila keadaan memerlukan manakala seorang pekerja pula sebagai balasannya harus menjalankan kewajipan dengan mahir dan menjaga nama baik ketuanya. Orang kebanyakan pula harus melayan seorang Bhikkhu atau ahli agama dengan menyambut kedatangan mereka dengan hormat dan membekalkan barang keperluan mereka dan sebagai balasannya, Bhikkhu dan ahli agama harus mengasihi orang kebanyakan dengan hati yang suci dan menggalakkan mereka berbuat lebih banyak kebaikan.

Sutta ini juga dikenali sebagai Vinaya bagi kebanyakan orang. Ia amat diperlukan untuk membolehkan seseorang menjalani hidup berkeluarga dengan aman bahagia. Dengan mengikuti etika-etika Buddhis ini, setiap ahli dalam masyarakat akan mendapat kepuasan hidup. Dalam keadaan yang demikian, terwujudnya perasaan ingin berbakti kepada orang lain. Malahan jika seseorang itu tidak berupaya untuk menghulurkan bantuan, sekurang-kurangnya dia hidup tanpa menyusahkan orang lain. Ini juga boleh dianggap sebagai sumbangan kepada masyarakat.

Ibu bapa patut membaca buku ini, mempraktikkannya dan mengajar anak-anak mereka cara hidup bermasyarakat, hormat kepada orang yang patut dihormati dan menjauhkan diri daripada orang yang boleh merosakkan mereka sebagaimana yang diajarkan oleh Buddha dalam sutta ini.

 

SUTTA SIGALOVADA

Cerita Mengenai Sigala

Sigala ialah anak kepada seorang jutawan di Rajagaha. Ibu bapanya ialah

pengikut Buddha yang setia. Malangnya pemuda ini enggan mempelajari Dharma. Sebaliknya dia bersikap materialistik, bebas serta keras kepala. Sigala tidak yakin pada Buddha atau pengikutnya. Ibu bapanya tidak dapat memujuknya ke vihara untuk mendengar Dharma dan berjumpa Buddha.

Apabila disuruh ke vihara, dia akan berkata bahawa dia tiada kaitan dengan vihara. Dia pergi ke sana sekalipun dia akan berkata bahawa dia terpaksa memberi hormat kepada Buddha dan pengikut-pengikutnya serta terpaksa duduk di atas lantai. Jika dia berbaik-baik dengan mereka dia terpaksa pula menjemput mereka ke rumah dan membuat persembahan. Jika demikian, fikirnya, dia akan rugi. Jadi, Sigala keberatan untuk pergi ke vihara.

Bapanya tidak menyukai sikap anaknya. Segala usaha untuk memujuk anaknya

mengikut jalan hidup yang benar gagal. Fikirnya, selepas kematiannya nanti, anaknya mungkin akan menjadi liar tanpa panduan. Anaknya nanti akan menjadi punca kepada kesengsaraan, kehancuran dan kerosakan nama baik keturunannya. Jika dia bergaul dengan unsur-unsur yang tidak diingini, mungkin dalam masa beberapa tahun, segala kekayaan dan hartanya akan habis. Apabila berfikir demikian, bapanya menjadi risau dan susah hati.

Suatu hari, jutawan itu sakit tenat. Dia menderita bukan sahaja disebabkan oleh penyakit fizikal tetapi juga penyakit mental. Saat-saat akhir baginya hampir tiba kerana semua dukun telah berputus asa untuk menyembuhkannya. Dia sendiri mengetahui bahawa hari akhirnya sudah hampir tiba. Walaupun pada nafasnya yang terakhir, dia tetap tidak berputus asa untuk menukar anggapan anaknya terhadap agama Buddha. Dia berfikir bahawa ini ialah masa yang paling baik bila mana seorang anak pasti mendengar wasiat akhir ayahnya.

Jadi bapanya dengan penuh kasih sayang memanggil anaknya, Sigala, ke katilnya dan bertanya sama ada dia mahu mendengar kata-kata akhirnya. "Sudah tentu ayahku," jawab anaknya dengan sedih. "Baiklah anakku, setiap hari selepas mandi pagi, sembahlah ke enam arah. Inilah satu-satunya nasihat terakhir dariku padamu," kata ayahnya. Tidak lama kemudian, ayahnya meninggal dunia.

Selepas kematian bapanya, Sigala memenuhi permintaan bapanya walaupun dia

tidak memahami maksud yang terlindung di sebaliknya. Dia menyangka bahawa menyembah ke enam arah bermaksud menyembah tuhan-tuhan di enam arah. Pada zaman Buddha, dalam abad ke-6 s.m., adalah menjadi amalan biasa untuk menyembah pelbagai Tuhan pada arah-arah tertentu. Ramai orang percaya bahawa dewa-dewa dan roh-roh yang dipuja akan membantu dan mengurniakan mereka nasib yang baik, kebahagiaan dan kekayaan.

Tujuan sebenar bapa Sigala bukan begitu. Dia tidak menjelaskan apakah yang

dimaksudkan dengan enam arah itu, tetapi dia mengetahui bahawa suatu hari nanti Buddha Yang Maha Mengasihani akan menerangkan kenyataan sebenar kepada anaknya. Adalah menjadi kelaziman bagi semua Buddha, pada setiap awal pagi, apabila mencapai konsentrasi tertinggi, akan menggunakan kuasa batin untuk meninjau dunia ini untuk menghulurkan pertolongan spirituil kepada sesiapa yang memerlukannya. Suatu hari, Buddha nampak Sigala dengan mata hatiNya dan memutuskan untuk memberi bimbingan kepadanya.

Pada awal pagi hari berikutnya, Buddha berjumpa Sigala dan menyoal apa yang sedang dilakukannya. Jawab Sigala, dia mengikuti wasiat arwah bapanya. Kemudian Buddha menerangkan maksud sebenar nasihat bapanya itu. Buddha menegaskan bahawa, jika Sigala hendak menghormati bapanya, dia tidak seharusnya menyembah ke enam arah secara membuta tuli tanpa mengetahui maksud sebenar dan dia juga tidak patut melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nasihat bapanya. Sigala ingin benar mengetahui niat sebenar bapanya dan memohon Buddha untuk menjelaskan maksud enam arah itu. Dengan itu, Yang Maha Suci pun menceramahkan Sutta Sigalovada yang mengandungi kod disiplin untuk orang kebanyakan.

 

 

SUTTA SIGALOVADA

KOD TATASILA UNTUK ORANG KEBANYAKAN

Nakmo Tassak Phakhawato Arahato Samma Samphuthassak

Demikian yang telah ku dengar :-

 

Pada suatu masa, ketika Yang Maha Suci tinggal di Taman Buluh yang dekat dengan Rajagaha, seorang pemuda yang benama Sigala telah bangun pagi-pagi lagi lalu keluar dari bandar Rajagaha dengan rambut dan pakaian yang basah, mengangkat kedua belah tangannya menyembah ke pelbagai arah, yakni: Timur, Selatan, Barat, Utara, Atas dan Bawah.

Setelah selesai berkemas pada pagi itu, Buddha membawa mangkuk dan JubahNya menuju ke Rajagaha untuk mendapatkan dana makanan. Apabila ternampak Sigala mengangkat sembah, Baginda bertitah sebagaimana berikut:

"Mengapa, anak muda, setelah bangun awal pagi, keluar dari Rajagaha dengan

rambut dan pakaian yang basah dan menyembah ke pelbagai arah bumi dan langit?"

"Yang Mulia, sewaktu hampir meninggal dunia, ayahku telah berpesan, "Anakku yang tercinta, engkau harus menyembah ke enam arah."

Dan saya, Yang Mulia, kerana menghormati, mengingati serta menghargai kata-kata bapa saya, bangun awal pagi, meninggalkan Rajagaha dengan rambut dan baju yang basah, menyembah dengan kedua-dua belah tangan ke enam arah."

"Dalam ajaran Ariya (golongan suci), wahai anak muda, bukan begitu caranya

memuja ke enam arah bumi dan langit."

"Kalau begitu, bagaimanakah cara memuja ke enam arah bumi dan langit dalam ajaran Ariya? Alangkah baiknya kalau Yang Mulia berkenan mengajar doktrin ini kepadaku, cara memuja ke enam arah bumi dan langit dalam ajaran Ariya."

"Baiklah, anak muda, dengar dan perhatilah baik-baik apa yang saya perkatakan."

"Baiklah, Yang Mulia," sahut Sigala.

Dan Buddha bertitah demikian:

"Selagi, wahai anak muda, empat kejahatan mengikut ajaran Ariya dihapuskan, selagi dia tidak melakukan perbuatan jahat dengan empat cara, selagi dia tidak mengejar enam punca penghabisan harta, maka dengan itu dia mengelak daripada empat belas kejahatan meliputi enam arah, dan memasuki jalan menuju kepada kejayaan di kedua-dua dunia: dia dihormati di dunia ini dan di dunia akan datang. Pada saat jasmaninya hancur, dia akan dilahirkan semula ke alam syurga.

Apakah empat kejahatan yang dia telah hapuskan?

Memusnahkan makhluk hidup, saudara, adalah suatu kejahatan; begitulah juga

dengan mencuri, kesalahan seksual dan berdusta.

Inilah empat kejahatan yang ia telah hapuskan."

 

Inilah yang diperkatakan oleh Buddha. Setelah bertitah demikian, Buddha berucap seperti berikut:

"Membunuh, mencuri, berbohong dan berzina, empat kejahatan ini tidak dipuji oleh orang bijaksana.

Apakah empat sebab yang mendorong seseorang melakukan perbuatan jahat?

Didorong oleh kehendak kepada ketidakadilan, seseorang itu melakukan perbuatan jahat.

Didorong oleh kemarahan kepada ketidakadilan, seseorang itu melakukan perbuatan jahat.

Didorong oleh kejahilan kepada ketidakadilan, seseorang itu melakukan perbuatan jahat.

Didorong oleh ketakutan kepada ketidakadilan, seseorang itu melakukan perbuatan jahat.

Oleh sebab pengikut Ariya tidak didorong oleh nafsu, kemarahan, kejahilan dan ketakutan, dia tidak akan melakukan kejahatan melalui empat cara ini."

Inilah yang diperkatakan oleh Buddha. Setelah bertitah demikian, Buddha berucap seperti berikut:

"Sesiapa sahaja melalui nafsu,

kebencian atau ketakutan,

atau kejahilan melanggar Adat susila,

Semua keagungannya akan kesamaran,

Bagaikan bulan yang semakin gelap.

Sesiapa sahaja yang tidak pernah melalui nafsu,

kebencian atau ketakutan,

atau kejahilan melanggar Adat susila,

Semua keagungannya akan sentiasa bertambah,

Bagaikan bulan yang semakin terang.

Apakah enam cara penghabisan harta yang tidak dikejar olehnya?

i. Terlibat dengan minuman keras yang menyebabkan kebangkitan nafsu dan kelalaian adalah satu punca penghabisan harta.

ii. Berkeliaran di jalan pada waktu yang tidak sesuai adalah satu punca penghabisan harta.

iii. Sering mengunjungi tempat hiburan adalah satu punca penghabisan harta.

iv. Terlibat dengan perjudian yang menyebabkan kelalaian adalah satu punca penghabisan harta.

v. Bergaul dengan orang-orang jahat adalah satu punca penghabisan harta.

vi. Ketagihan dengan sifat malas adalah satu punca penghabisan harta.

Terdapat enam akibat buruk, anak muda, bagi orang yang terlibat dengan arak yang menyebabkan kebangkitan nafsu dan kelalaian, yakni:

i. kehilangan harta dengan cepat.

ii. semakin kerap bertengkar.

iii. mudah dihinggapi penyakit.

iv. mendapat nama buruk.

v. tidak tahu malu.

vi. kecerdasannya semakin lemah.

Terdapat enam akibat buruk, anak muda, bagi orang yang sering berkeliaran di jalan pada waktu yang tidak sesuai, yakni:

i. dirinya tidak terjaga dan terlindung.

ii. isteri dan anak-anaknya tidak terjaga dan terlindung.

iii. hartanya tidak terjaga dan terlindung.

iv. sering dituduh melakukan kejahatan.

v. menjadi sasaran kepada tuduhan palsu.

vi. sentiasa mendapat nasib yang malang.

 

Terdapat enam akibat buruk, anak muda, bagi orang yang sering mengunjungi

tempat hiburan. yakni:

i. (dia tercari-cari) di manakah ada tari-menari?

ii. di manakah ada nyanyian?

iii. di manakah ada muzik?

iv. di manakah ada orang berpuisi?

v. di manakah ada pukulan canang?

vi. di manakah ada pukulan gendang?

Terdapat enam akibat buruk, anak muda, bagi orang yang terlibat dengan perjudian, yakni:

i. kemenangan membuahkan kebencian.

ii. jika kalah, dia meratapi kehilangan hartanya.

iii. hartanya habis dengan cepat.

iv. kata-katanya tidak bernilai di tempat perbicaraan(mahkamah).

v. dia dihina oleh kawan-kawan dan sekutunya.

vi. dia tidak akan di sukai oleh orang yang mencari menantu dengan alasan bahawa seorang penjudi dan tidak mampu untuk menjaga isteri.

Terdapat enam_akibat buruk, anak muda, bagi orang yang berkawan dengan orang jahat, yakni:

i. setiap penjudi adalah kawannya.

ii. setiap pelahap adalah kawannya.

iii. setiap pemabuk adalah kawannya.

iv. setiap penipu adalah kawannya.

v. setiap pembohong adalah kawannya.

vi. setiap perompak adalah kawannya.

Terdapat enam akibat buruk, anak muda, bagi orang yang mempunyai tabiat malas, yakni:

i. dia tidak bekerja, dengan alasan bahawa terlalu sejuk.

ii. terlalu panas.

iii. sudah terlalu lewat petang.

iv. masih terlalu pagi.

v. dia terlalu lapar.

vi. dia terlalu kenyang.

Oleh sebab hidupnya begitu, banyak tugasnya tidak dibuat, harta baru dia tidak peroleh dan hartanya yang ada beransur habis."

Inilah yang diperkatakan oleh Buddha. Setelah bertitah demikian, Buddha berucap seperti berikut:

"Seorang kawan yang berkaki minum akan berkata: "kawan, kawan," hanya di depan mata; seorang kawan atau sahabat sejati terbukti apabila kamu berada dalam

kesusahan.

Tidur sehingga matahari tinggi, berzina, lekas marah, menyakiti hati orang lain, berkawan dengan orang jahat, ketamakan - inilah enam sebab yang menjatuhkan seseorang.

Orang yang berkawan dengan orang jahat akan mengikut jalan tidak baik, akan jatuh baik di dunia ini atau di dunia akan datang.

Judi, perempuan, arak, tarian, nyanyian, tidur waktu siang, berkeliaran di waktu malam, berkawan dengan orang jahat, tamak - inilah enam sebab yang menjatuhkan seseorang.

Mereka berjudi dan minum arak, berzina dengan isteri orang lain, bergaul dengan orang yang bodoh tetapi tidak dengan orang bijaksana - Mereka menurun bagaikan bulan yang semakin gelap.

Pemabuk yang miskin, melarat, tidak pernah puas minum, selalu mengunjungi kedai arak, tenggelam dalam hutang seperti batu di dalam air, cepat membawa kehinaan kepada keluarganya.

Seseorang yang mempunyai tabiat tidur di siang hari, dan berjaga malam, sentiasa mabuk, pelahap, adalah tidak layak untuk memimpin rumah tangga.

Mengatakan terlalu panas, terlalu dingin, terlalu lewat, dan mengelakkan daripada pekerjaan; peluang bagi kebaikan berlalu bagi orang yang demikian.

Orang yang menganggap kepanasan dan kesejukan hanya umpama rumput yang tajam, dan yang menjalankan tugasnya dengan sempurna, kebahagiaan tidak akan hilang daripadanya.

Empat jenis ini, anak muda, harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura

sebagai sahabatmu, yakni:

i. orang yang mengambil dan menggunakan barang orang lain sebagai haknya sendiri harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabat.

ii. orang yang banyak berbicara tetapi tidak berbuat apa-apa harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabat.

iii. orang yang memuji berlebih-lebihan harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabat.

iv. orang yang menjatuhkan seseorang harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabat.

Dengan empat cara, anak muda, orang yang mengambil dan menggunakan barang orang lain sebagai haknya sendiri harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura

sebagai sahabatmu yakni:

i. dia kedekut akan barangnya.

ii. dia memberi sedikit tetapi meminta banyak.

iii. dia melakukan tanggungjawabnya apabila ketakutan.

iv. dia bergaul untuk kepentingan dirinya.

 

Dengan empat cara, anak muda, orang yang banyak berbicara tetapi tidak berbuat apa-apa harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabatmu, yakni:

i. dia menggembirakan hati orang lain dengan perkara yang sudah lepas.

ii. dia menggembirakan hati orang lain dengan perkara yang akan datang.

iii. dia melayani orang dengan sesuatu yang tidak berfaedah/bernilai.

iv. apabila ada keperluan, segera dia mengatakan dia tidak berupaya.

Dengan empat cara, anak muda, orang yang memuji berlebih-lebihan harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabatmu, yakni:

i. dia mengizinkan perbuatan jahatmu.

ii. dia tidak menyetujui perbuatan baikmu.

iii. dia memujimu apabila berdepan.

iv. dia mengejimu di belakang.

 

Dengan empat cara, anak muda, orang yang menjatuhkan kamu harus dianggap sebagai musuh yang berpura-pura sebagai sahabatmu, yakni:

i. dia ialah sahabat apabila kita terlibat dengan arak yang menyebabkan kebangkitan nafsu dan kelalaian.

ii. dia ialah sahabat apabila kita berkeliaran di jalan pada masa yang tidak sepatutnya.

iii. dia ialah sahabat apabila kita mengunjungi tempat hiburan.

iv. dia ialah sahabat apabila kita terlibat dalam perjudian yang menyebabkan

kelalaian."

Inilah yang diperkatakan oleh Buddha. Setelah bertitah demikian, Buddha berucap seperti berikut:

"Kawan yang mengambil apa yang ada padamu, kawan yang hanya bermulut manis, kawan yang memuji berlebih-lebihan dan kawan yang memusnahkan awak - empat musuh ini telah dikenal pasti oleh orang bijaksana; jauhilah mereka sebagaimana kamu menjauhi jalan yang berbahaya.

Empat jenis ini, anak muda, harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati, yakni:

i. orang yang suka menolong harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati.

ii. orang yang bertindak sama pada waktu senang dan susah harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati.

iii. orang yang memberi nasihat yang baik harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati.

iv. orang yang bersimpati harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati.

Dengan empat cara, anak muda, sahabat yang suka menolong harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati, yakni:

i. dia menjagamu ketika kamu lalai.

ii. dia menjaga hartamu.

iii. dia melindungimu ketika kamu dalam ketakutan.

iv. pada keadaan yang memerlukan, dia akan membekalkan kamu dua kali ganda dengan apa yang kamu perlukan.

Dengan empat cara, anak muda, sahabat yang bertindak sama di waktu senang dan susah harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati, yakni:

i. dia menceritakan rahsianya kepadamu.

ii. dia merahsiakan rahsiamu.

iii. dia tidak meninggalkanmu ketika kamu dalam kesusahan.

iv. dia sanggup berkorban nyawa untuk kebaikanmu.

Dengan empat cara, anak muda, sahabat yang memberi nasihat yang baik harus

dianggap sebagai sahabat yang baik hati, yakni:

i. dia melarangmu berbuat jahat.

ii. dia memujukmu berbuat baik.

iii. dia memberitahu apa yang kamu belum dengar.

iv. dia menunjuk kepadamu jalan ke syurga.

Dengan empat cara, anak muda, sahabat yang bersimpati padamu harus dianggap sebagai sahabat yang baik hati, yakni:

i. dia tidak bergembira dengan bencana yang menimpamu.

ii. dia bergembira atas kemakmuranmu.

iii. dia mencegah orang lain berkata buruk terhadapmu.

iv. dia memuji orang yang berkata baik terhadapmu."

 

Inilah yang diperkatakan oleh Buddha. Setelah bertitah demikian, Buddha berucap seperti berikut:

"Orang yang suka menolong mu, sahabat di waktu senang dan susah, yang memberi nasihat yang baik dan yang bersimpati padamu - empat sahabat ini telah dikenal pasti oleh orang bijaksana sebagai sahabat sejati.

Oleh itu, setialah kepada mereka seperti ibu kepada anak kesayangannya. Sesiapa yang bijak dan baik, bercahaya seperti api yang menyala.

Bagi orang yang mengumpulkan harta seperti lebah mengumpulkan madu, kekayaan akan tertimbun bagaikan busut yang semakin tinggi.

Dengan mengumpulkan harta demikian, orang yang berkemampuan menjalani hidup berumah tangga perlu membahagikan hartanya kepada empat bahagian. Sesungguhnya dia mendapat kawan yang kekal.

Satu bahagian untuk dinikmati olehnya, dua bahagian untuk perniagaannya, bahagian keempat disimpan olehnya untuk digunakan pada masa kecemasan.

 

Bagaimana, anak muda, seseorang pengikut suci meliputi keenam-enam arah?

Keenam-enam arah itu harus difahami seperti berikut:

i. ibu bapa sebagai arah Timur,

ii. guru sebagai arah Selatan,

iii. isteri dan anak sebagai arah Barat,

iv. sahabat dan kenalan sebagai arah Utara,

v. orang gaji dan pekerja sebagai arah Bawah,

vi. pertapa dan guru agama sebagai arah Atas.

 

Dengan lima cara, anak muda, seorang anak harus menjaga ibu bapanya sebagai arah Timur:

i. dahulu aku dipelihara oleh mereka, sekarang aku akan menjaga mereka.

ii. aku akan menjalankan tugas-tugas mereka.

iii. aku akan menjaga warisan keturunanku.

iv. aku akan bertindak dengan cara yang sepadan dengan warisanku.

v. aku akan memberi dana bagi menghormati sanak-saudaraku yang telah meninggal dunia.

Dengan lima cara, anak muda, ibu bapa yang dijaga oleh anak mereka sebagai

arah Timur menunjukkan kasih sayang mereka:

i. mencegah anaknya berbuat jahat.

ii. menggalakkan anaknya berbuat baik.

iii. melatih anaknya kemahiran bekerja.

iv. mencari pasangan hidup yang sesuai untuknya.

v. apabila tiba masa yang sesuai, serahkan harta warisan kepada mereka.

Dengan lima cara, anak muda, seorang anak menjaga ibu bapanya sebagai arah

Timur dan ibu bapa yang dijaga oleh anak mereka menunjukkan kasih sayang. Dengan cara itu, arah Timur diliputi dengan selamatnya oleh mereka.

Dengan lima cara, anak muda, seorang murid menghormati gurunya sebagai arah Selatan:

i. bangun dari tempat duduk.

ii. melayani keperluannya.

iii. mendengar dengan teliti.

iv. memberi layanan peribadi.

v. menerima arahan dengan hormat.

 

Dengan lima cara, anak muda, seorang guru yang dilayani dengan baik oleh

muridnya sebagai arah Selatan harus menunjukkan kasih sayangnya:

i. melatih muridnya dengan ilmu yang terbaik.

ii. membuat muridnya menguasai pelajaran yang diberikan.

iii. mengajar mereka semua pengetahuan kesenian dan sains.

iv. memperkenalkan muridnya kepada kawan dan kenalannya.

v. menjaga keselamatan muridnya dari segenap segi.

Seorang guru yang dilayani oleh muridnya sebagai arah Selatan menunjukkan

kasih sayangnya kepada mereka dengan lima cara ini. Dengan cara itu, arah Selatan dilitupi dengan selamatnya oleh mereka.

Dengan lima cara, anak muda, seorang isteri sebagai arah Barat harus dilayani oleh suaminya:

i. dengan sopan santun.

ii. dengan tidak memandang rendah kepadanya.

iii. dengan kesetiaan.

iv. dengan memberi kuasa.

v. dengan memberi perhiasan kepadanya.

 

Seorang isteri yang dilayan oleh suaminya sebagai arah Barat harus menunjukkan kasih sayangnya kepada suaminya dengan lima cara:

i. menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

ii. melayani orang di sekeliling dengan baik.

iii. setia kepada suaminya.

iv. menjaga harta suaminya dengan baik.

v. rajin menguruskan rumah tangga.

 

Dengan lima cara ini seorang isteri menunjukkan kasih sayangnya kepada suami yang melayaninya sebagai arah Barat. Dengan cara itu, arah Selatan dilitupi dengan selamatnya oleh mereka.

Dengan lima cara, seseorang yang berketurunan baik menghormati sahabat dan

kenalannya sebagai arah Utara:

i. dengan bermurah hati.

ii. dengan tutur bahasa yang sopan.

iii. meningkatkan kebaikannya.

iv. dengan persamaan (keadilan).

v. dengan kebenaran.

Sahabat dan kenalan yang dilayani sedemikian oleh kawannya sebagai arah Utara menunjukkan kasih-sayang mereka dengan lima cara:

i. mereka melindunginya apabila dia lalai.

ii. mereka melindungi harta bendanya apabila dia lalai.

iii. mereka menjadi tempat berlindungnya apabila dia dalam ketakutan.

iv. mereka tidak meninggalkannya sewaktu dia dalam kesusahan.

v. mereka bertimbang rasa terhadap sanak-saudaranya.

 

Sahabat dan kenalan yang dilayani sedemikian sebagai arah Utara oleh kawannya menunjukkan kasih sayang mereka kepadanya dengan lima cara ini. Dengan cara itu, arah Utara dilitupi dengan selamatnya oleh mereka.

 

Dengan lima cara, seseorang majikan menghormati orang gaji dan pekerjaannya sebagai arah Bawah:

i. memberikan mereka tugas yang sesuai dengan kebolehan mereka.

ii. memberi mereka makanan dan gaji yang sepadan.

iii. menjaga mereka sewaktu sakit.

iv. berkongsi dengan mereka makanan yang enak.

v. memberi cuti pada masa-masa tertentu.

 

Orang gaji dan pekerja yang dilayani sedemikian sebagai arah Bawah oleh majikan mereka menunjukkan kasih sayang mereka dengan lima cara:

i. mereka bangun lebih awal daripadanya.

ii. mereka tidur lebih lewat daripadanya.

iii. mereka mengambil hanya apa yang diberikan.

iv. mereka menjalankan tugas mereka dengan memuaskan.

v. mereka menyebarkan kebaikan dan kemasyhurannya.

 

Orang gaji dan pekerja yang dilayani sedemikian sebagai arah Bawah oleh majikan menunjukkan kasih sayang mereka kepadanya dengan lima cara ini. Dengan cara itu, arah Bawah dilitupi dengan selamatnya oleh mereka.

Dengan lima cara, seseorang yang berketurunan baik menghormati pertapa dan

guru agama sebagai arah Atas:

i. dengan perbuatan yang penuh kasih sayang.

ii. dengan tutur bahasa yang sopan.

iii. dengan fikiran yang penuh kasih sayang.

iv. dengan tidak menutup pintu kepada mereka.

v. dengan membekalkan keperluan hidup kepada mereka.

Pertapa dan guru agama yang dilayani sedemikian oleh pengikutnya sebagai arah Atas menunjukkan kasih sayang mereka dengan lima cara:

i. mencegah mereka berbuat jahat

ii. menggalakkan mereka berbuat baik

iii. menyayangi mereka dengan sepenuh hati

iv. mengajar apa yang mereka belum dengar dan menjelaskan apa yang mereka telah dengar.

v. menunjukkan jalan ke syurga.

 

Dengan lima cara ini pertapa dan guru agama menunjukkan kasih sayang mereka kepada pengikut yang melayani mereka sebagai arah Atas. Dengan itu arah Atas diliputi dengan selamatnya oleh mereka.

 

"Ibu dan bapa adalah Timur,

Guru adalah Selatan,

Isteri dan anak adalah Barat,

Sahabat dan kenalan adalah Utara.

Pekerja dan orang gaji arah Bawah,

Para pertapa dan Brahman adalah arah Atas,

Orang yang layak mengetuai rumah tangga,

Harus menyembah ke enam arah ini.

Orang yang baik dan bijak,

Lemah-lembut dan amat memahami,

Rendah diri serta taat,

Yang demikian akan memperoleh kemuliaan.

Rajin dan tidak malas,

Batinnya tidak goyah menempuh kesusahan,

Rendah diri lagi bijaksana,

Yang demikian akan memperoleh kemuliaan.

 

Yang ramah-tamah, menjalin persahabatan,

Liberal dan tidak mementingkan diri,

Pemandu, petunjuk dan pemimpin,

Yang demikian akan memperoleh kemuliaan.

 

Bermurah hati, ucapan manis,

Berbuat baik kepada orang,

Persamaan kepada semua,

Di mana jua apabila keadaan yang memerlukan.

 

Empat cara kejayaan ini wujud di dunia,

Sebagaimana pasak yang membuatkan roda berputar,

Jika ini tidak wujud di dunia,

Tiada ibu atau bapa menerima penghormatan dan

penghargaan melalui anak-anak mereka.

 

Oleh sebab empat cara kejayaan ini,

benar-benar dipuji oleh para bijaksana,

mereka mencapai tingkat terhormat

serta puji-pujian sewajarnya menjadi hak mereka."

 

Selepas Yang Maha Suci berucap demikian, Sigala berkata sebagaimana berikut:

"Sungguh bagus, Yang Mulia, Sungguh bagus! Laksana orang menegakkan kembali apa yang telah terbalik, atau memperlihatkan apa yang tersembunyi, atau

menunjukkan jalan kepada orang yang sesat, atau memegang lampu dalam kegelapan - supaya mereka yang mempunyai mata boleh nampak. Demikianlah Dharma telah diajar dengan pelbagai cara oleh Yang Maha Suci."

"Saya juga, Yang Mulia, berlindung kepada Buddha, Dharma dan Sangha. Semoga Yang Mulia menerima saya sebagai pengikut, yang berlindung kepada Mu dan

hari ini hingga ke akhir hayat."