Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

SEPULUH KELAKUAN BAIK

Mengikut Buddhisme, tingkah laku manusia adalah melalui tiga bahagian iaitu

(i). Badan

(ii). Mulut, dan

(iii). Minda atau pemikiran.

Perlakuan melalui badan (bodily actions) dikenali sebagai "kayika kamma"; perlakuan melalui mulut atau percakapan dikenali sebagai "vacasika kamma" dan perlakuan melalui minda atau pemikiran dikenali sebagai "manasika kamma".

 

Perlakuan bercakap dilakukan oleh pemikiran melalui mulut. Perlakuan melalui badan dilakukan oleh pemikiran menerusi anggota-anggota badan seperti tangan, kaki dan anggota lain sementara perlakuan menerusi mental adalah cuma menerusi pemikiran atau minda kita sahaja.

 

Perlakuan-perlakuan inilah yang menyebabkan seseorang itu merayau-rayau atau mencari-cari di samsara ini. Perlakuan yang baik akan menghasilkan kehidupan yang penuh dengan suka dan kegembiraan, dan membawa kebaikan kepada dunia yang akan datang, yang seterusnya akan berakhir dengan kesedaran tentang kebenaran.

 

Minda atau pemikiran kita adalah yang terpenting. Minda yang kosong akan menghasilkan kejahilan (avijja) dan apabila berinteraksi dengan nafsu (rakha), ia akan membawa kepada perlakuan-perlakuan yang tidak baik iaitu sifat-sifat seperti :

i. tidak pemurah atau tamak (lobha)

ii. kebencian (dosa)

iii. kesesatan (moha)

 

Minda ialah pemikiran yang mengawal semua perlakuan kita. Perlakuan yang tidak baik atau jahat akan menerima keburukan dan sebaliknya. Perkara ini adalah disebabkan oleh hukum-hukum semula jadi (natural law) iaitu sebab dan akibat (cause and effect) yang berkait rapat dengan karma. Dalam Dhammapada terdapat satu ayat yang menunjukkan betapa pentingnya minda.

"Minda ialah asas kepada semua perlakuan, minda adalah yang terpenting

dan semua adalah berasal daripada minda."

Dalam Buddhisme, perlakuan kita boleh dibahagi kepada tiga iaitu:

i. Perlakuan-perlakuan baik (kusala)

ii. Perlakuan-perlakuan tidak baik (akusala)

iii. Perbuatan atau perlakuan neutral

Perkataan "kusala" digunakan dalam erti kata 'mahir, bijak, cekap' dan makna kepada "akusala" adalah kata-kata yang berlawanan dengan semua ini.

Akusala dianggap sebagai kecenderungan semulajadi. Semua ini datang dengan tidak perlu menggunakan tenaga atau daya usaha. Kusala pula memerlukan daya usaha, kekuatan, kesabaran dan ketabahan hati kita.

 

Seperti yang diperkatakan tadi, minda adalah amat penting. Pemikiran yang tidak baik (jahat) akan menghasilkan kemungkinan yang jahat dan sebaliknya. Oleh itu, sesuatu perlakuan yang dimotivasikan oleh pemikiran yang bernafsu (lobha), kebencian (dosa) atau kejahilan (moha) adalah tidak baik (akusala) dan sebaliknya perlakuan yang menghalang nafsu (alobha), kebencian (adosa) dan kejahilan (amoha) adalah baik (kusala).

 

Nota Tambahan:

Dalam istilah "Pali", alobha bukan sahaja bermakna tidak adanya nafsu semata-mata. Ia membawa makna tidak adanya nafsu dengan satu kualiti positif iaitu sifat pemurah yang dihasilkan melalui belas kasihan (karuna). Adosa pula bermakna tidak mewujudkan kebencian bersama-sama dengan pemikiran kasih sayang (metta) dan sebagainya.

 

 

SEPULUH KELAKUAN YANG TIDAK BAIK

Terdapat sepuluh jenis perlakuan yang tidak baik (akusala) dalam manusia (kammaloka) yang akan

menghasilkan karma yang tidak baik.

1. Badan (tingkah laku)

i. Membunuh (panatipata)

ii. Mencuri (adinaadana)

iii. Kelakuan sumbang/kesalahan seksual (kamesu micacara)

 

2. Mulut (percakapan)

i. Membohong (musavada)

ii. Memfitnah/mengumpat (pisun vaca)

iii. Kata-kata kasar/maki hamun (pharasavaca)

iv. Percakapan yang tidak berguna/cakap besar (samphappalapa)

 

3. Minda (pemikiran)

i. Keinginan kepunyaan hak orang lain (tanha)

ii. Niat salah/kebencian (dosa)

iii. Pandangan salah/kejahilan (avijja)

Dari atas, tiga perbuatan yang tidak baik adalah melalui badan; empat perbuatan yang tidak baik adalah melalui mulut dan tiga perbuatan yang salah adalah melalui minda atau pemikiran.

 

Keadaan-keadaan bagi memenuhi perlakuan akusala dan kesannya

1. Membunuh

Membunuh bermakna pemusnahan yang mempunyai niat/sengaja ke atas makhluk hidup. "Pana" bermakna yang bernyawa atau nyawa psiko-fizikal yang berkaitan dengan kewujudan sesuatu makhluk. Menyekat penghidupan benda-benda hidup bermakna "panatipata". Ia cuma berhubung dengan semua kewujudan yang bernyawa tetapi bukan tumbuh-tumbuhan kerana tumbuh-tumbuhan tidak mempunyai pemikiran. Walau bagaimanapun, sami-sami adalah dilarang untuk memusnahkan tumbuh-tumbuhan tetapi ini tidak meliputi penganut-penganut Buddha biasa.

 

Ada lima keadaan yang memenuhi perbuatan membunuh.

i. Ada sesuatu makhluk yang bernyawa.

ii. Mengetahui bahawa makhluk itu bernyawa atau hidup.

iii. Ada niat untuk membunuh.

iv. Usaha membunuh.

v. Menjalankan pembunuhan dan menghasilkan kematian.

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i. Umur pendek.

ii. Kesihatan yang buruk.

iii. Sentiasa berduka kerana ditinggalkan oleh orang yang dicintai atau dikasihi.

iv. Selalu berada dalam ketakutan.

 

 

2. Mencuri

Ada lima keadaan bagi memenuhi perbuatan mencuri.

i. Barang-barang orang lain.

ii. Tahu bahawa barang itu hak orang lain.

iii. Ada niat untuk mencuri.

iv. Ada usaha mencuri.

v. Perbuatan mencuri.

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i. Kemiskinan.

ii. Kesengsaraan.

iii. Kehampaan.

iv. Selalu bergantung kepada orang lain.

 

 

3. Kesalahan Seksual (Sexual misconduct)

Ada empat keadaan bagi memenuhi perbuatan jahat kesalahan seksual.

i. Ada pemikiran untuk menikmati.

ii. Ada niat jahat.

iii. Ada usaha untuk melakukan perbuatan itu.

iv. Perbuatan melakukannya.

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i Mempunyai banyak musuh.

ii. Berkahwin dengan isteri atau suami yang tidak secocok.

iii. Dilahirkan sebagai seorang pondan.

 

 

4. Membohong

Ada empat keadaan bagi memenuhi perbuatan jahat membohong.

i. Ada sesuatu yang tidak benar.

ii. Ada niat untuk membohong.

iii. Mengeluarkan kata-kata bohong.

iv. Melakukan pembohongan.

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i. Selalu menjadi alat maki hamun orang lain.

ii. Penghinaan.

iii. Tidak boleh diharap.

iv. Mulut yang busuk.

 

 

5. Mengumpat/memfitnah

Ada empat keadaan bagi memenuhi keadaan mengumpat/memfitnah

i. Ada orang yang kita hendak memisahkan/memusnahkan.

ii. Niat untuk memisahkan mereka atau niat supaya salah seorang daripada pasangan itu

mengasihi kita.

iii. Usaha untuk memfitnah.

iv. Melakukan perbuatan keji itu.

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i. Penghancuran persahabatan tanpa sebab yang mencukupi atau orang tidak dapat berkawan lama dengan kita.

 

6. Bercakap kasar/memaki hamun

Ada tiga keadaan bagi memenuhi kelakuan di atas.

i. Ada orang yang kita hendak maki.

ii. Pemikiran yang marah.

iii. Melakukan perbuatan ini.

 

Tindak balas atau kesannya.

i. Dibenci oleh orang lain walaupun kita ialah orang yang baik.

ii. Mempunyai suara yang kasar.

 

 

7. Percakapan yang tidak berguna/bercakap besar

Ada dua keadaan bagi memenuhi perlakuan ini.

i. Kecenderungan untuk melakukannya.

ii. Melakukan perbuatan tersebut.

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i. Organ-organ tubuh yang tidak berfungsi.

ii. Percakapan yang susah hendak dipercayai.

 

 

8. Keinginan untuk mempunyai hak orang lain/tamak

Ada dua keadaan untuk memenuhi perbuatan ini.

i. Ada barang orang lain.

ii. Mempunyai pemikiran "Mungkinkah ini jadi milik saya?"

 

Tindak balas atau kesan ke atas pelaku.

i. Tidak dapat memenuhi kehendak-kehendak diri.

 

 

9. Niat yang salah/kebencian

Ada dua keadaan yang diperlukan bagi memenuhi perbuatan ini.

i. Terdapat orang lain.

ii. Pemikiran untuk melakukannya.

 

Tindak balas dan kesan ke atas pelaku.

i. Hodoh.

ii. Mempunyai banyak penyakit.

iii. Mempunyai sifat-sifat yang mudah dibenci orang.

 

 

10. Pandangan yang salah/jahil

Ada dua keadaan yang diperlukan bagi memenuhi keadaan ini.

i. Sifat yang salah dimana sesuatu benda itu dilihat.

ii. Kefahaman benda-benda itu mengikut pandangan ini.

Tindak balas dan kesan ke atas pelaku.

i. Tidak dapat memenuhi kehendak (base desire).

ii. Kurang kebijaksanaan.

iii. Tidak cekap.

iv. Penyakit kronik.

iv. Idea atau pendapat yang selalu dikeji.

 

Dalam Buddhisme, terdapat 10 jenis pandangan yang salah.

i. Tidak ada nilai kebaikan seperti pemurah.

ii. Tidak ada sifat mudah menderma.

iii. Tidak ada sifat memberi hadiah kepada tetamu - perasaan tiada gunanya jika ia diberikan.

iv. Tidak ada hasil daripada perlakuan kebaikan dan kejahatan.

v. Tidak percaya kepada penghidupan sekarang.

vi. Tidak percaya kepada penghidupan yang akan datang.

vii. Tidak ada ayah.

viii. Tidak ada ibu.

ix. Tidak ada makhluk yang mati atau dilahirkan semula.

x. Tidak percaya akan kewujudan orang-orang yang berada di tingkat yang tinggi melalui usahanya sendiri (tidak percaya kepada Buddha atau Arahat).

 

 

Setelah kita lihat keadaan-keadaan yang memenuhi keperluan akusala ini, maka yang penting adalah kita

harus sedar akan pentingnya pemikiran yang baik dan betul.

 

 

Cara-cara mempunyai perlakuan yang baik (kusala)

Pemikiran yang betul (Samma samkappa) akan menghasilkan Percakapan yang Betul (Samma

vaca) yang kemudian akan menghasilkan Perlakuan yang Betul (Samma Kammanta).

 

Pemikiran yang betul membawa maksud:

i. Mempunyai pemikiran baik (tidak mempunyai engkaran diri).

ii. Mempunyai pemikiran yang pemurah/baik hati/suci.

iii. Mempunyai pemikiran sayang dan belas kasihan (metta dan karuna).

 

Percakapan yang betul bermaksud:

i. Bercakap dengan lemah lembut.

ii. Bercakap yang sedap didengar.

iii. Bercakap supaya disayangi.

iv. Bercakap dengan elok.

v. Bercakap dengan sopan-santun.

 

Selain daripada itu, Buddha menyuruh:

i. Hendaklah kita bercakap pada masa yang betul.

ii. Hendaklah kita bercakap yang benar sahaja.

iii. Perkara-perkara yang bermakna sahaja.

 

Buddha juga menekankan bahawa Percakapan yang Betul/Benar adalah amat mustahak. Buddha telah menasihati pengikut-pengikutnya supaya jangan bercakap apabila bertemu sekiranya tidak mempunyai perkara penting yang hendak dicakapkan.

 

Perlakuan yang Betul pula ialah:

i. Tidak membunuh atau menyebabkan kecederaan dalam bentuk apa pun.

ii. Tidak mengambil apa-apa yang tidak diberi.

iii. Tidak melakukan kesalahan-kesalahan seksual dengan sewenang-wenang.

 

Selain daripada perkara-perkara di atas, di sini disenaraikan perlakuan baik (kusala kamma) yang harus terdapat pada seorang Buddhis:

i. Mempunyai sifat pemurah (dana).

ii. Seorang yang bermoral (sila).

iii. Meditasi (bhavana).

iv. Mulia (apacayana).

v. Suka menolong (veyyavacca).

vl. Suka membuat pahala kepada orang yang telah meninggal dunia (pattidana).

vii. Suka melihat perlakuan baik orang lain (anumodana).

viii. Suka mendengar pengajaran Dharma (dhamma savana).

ix. Mengembangkan Dharma (dhammadesana).

x. Membetulkan pandangan diri sendiri (ditthijju kamma).

Hasil daripada kebaikan di atas ialah:

i. Membawa kekayaan.

ii. Dapat dilahirkan di keluarga yang baik dan dalam kegembiraan dan kesenangan selalu.

iii. Dilahirkan di alam bentuk (rupaloka) dan alam tanpa bentuk (arupaloka) dan mendapat pengetahuan yang lebih tinggi dan kebebasan.

iv. Mendapat kekayaan di kelahiran yang akan datang.

v. Mendapat kegembiraan di mana-mana jua kita dilahirkan.

vi. & vii. Sebagai penggalak kepada kebijaksanaan.

viii. Kesucian adalah penyebab kepada ibu bapa yang kaya (noble).

ix. Suka memberi perkhidmatan akan menghasilkan pendapatan yang besar.

x. Menghasilkan pujian kepada diri sendiri.

 

 

Akhir kata, dengan tidak melakukan sepuluh akusala yang telah dibicarakan, seseorang individu yang ideal dalam masyarakat haruslah hidup seperti bunga teratai dalam kolam. Asalnya di lumpur dan air yang kotor, ia tumbuh perlahan-lahan dan kemudian timbul daripada air dan berkembang dengan cantiknya di atas air tanpa disentuhi oleh air yang kotor dan lumpur. Baja yang digunakan di dalam air telah ditapis sebelum digunakan oleh bunga teratai ini.

 

Dengan mengamalkan 10 kebaikan ini, kita akan hidup bersama untuk masyarakat. Kita juga dapat meningkatkan imej dan status sebagai seorang Buddhis yang dihormati oleh orang lain. Kita juga akan dapat mewujudkan suasana persekitaran yang harmonis, aman damai dan juga sedar akan kepentingan mengikut Jalan Yang Benar untuk menuju menjadi seorang Buddha. Di samping itu, sifat-sifat yang terdapat di dalam Buddha iaitu metta, karuna, mudita dan upekkha haruslah diamalkan dan dipraktikkan selalu bagi mencapai tujuan ini.

 

Nota Tambahan

Erti-erti kepada perkataan Metta, Karuna, Mudita dan Upekkha.

Metta (Loving Kindness)

Metta membawa makna kasih sejati atau "loving kindness". Metta merangkumi kasih sejati kepada semua makhluk tanpa kira ianya binatang, manusia ataupun serangga. Ia adalah berasaskan kepada harapan untuk kebaikan dan kegembiraan kepada semua tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit, kaya, miskin, tua, muda, manusia ataupun binatang. Ia akan dapat membuang niat jahat, kemarahan dan kebencian.

 

Karuna (Compassion)

Karuna membawa makna belas kasihan apabila melihat orang lain atau benda lain berada dalam kesusahan dan kesempitan. Karuna akan menyebabkan kita cuba menolong sesiapa saja tanpa mengharapkan pembalasan. Ia akan menghalang kezaliman, kekejaman dan keganasan.

Mudita (Sympathetic Joy)

Mudita bermakna turut gembira. Kita akan berasa gembira apabila melihat orang mendapat kegembiraan dan kejayaan atau kekayaan. Ia akan menghalang kebencian dan dengki serta cemburu. Mudita akan menghapuskan kebencian terhadap seseorang untuk berjaya.

Upekkha (Equanimity)

lJpekkha bererti keseimbangan minda. Ia bermaksud mempunyai sikap bahawa semua makhluk adalah sama tanpa mengira jenis hubungan mereka dengan diri seseorang. Upekkha menjadikan seseorang bijaksana, mempunyai pandangan yang adil saksama, tidak berat sebelah serta menghapuskan keterikatan. Ia sangat penting bagi kita yang hidup di dunia ini. Upekkha menjadikan seseorang berada dalam keadaan tenang tidak kira apa pun yang dialami, sama ada dipuji, dikeji, disanjung, dihina, untung, rugi, sakit atau gembira. Semuanya dihadapi dengan minda yang seimbang dan tenang.