Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

PANCA SILA

PRAKATA

NAKMO TASSAK PHAKHAWATO ATAHATO SAMMA SAMPHUTASSAK.

 

Buku Panca Sila ini adalah merupakan salah satu bahan ceramah yang diolah dan diubah suai oleh Saudari Heng Jee Soon bagi kegunaan Kursus Pendidikan Agama Buddha Pertama, 1987. Memandangkan bahawa Panca Sila merupakan asas kepada kod disiplin penganut Agama Buddha, maka pihak kami kini menerbitkannya dengan cara yang lebih kemas dan menarik. Kejayaan penerbitan buku ini bererti pihak Persatuan Buddha Wakaf Bharu telah melangkah setapak ke hadapan dalam usaha menyebarkan pengetahuan Agama Buddha kepada golongan Buddhis yang bergantung kepada bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Buddha mengajar manusia agar mengikut jalan yang akan membawa mereka ke arah pencerahan. Sebagai permulaan terdapat lima peraturan moral atau Sila yang patut diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Lima peraturan ini adalah : Mengelak daripada membunuh, mencuri, kesalahan seksual, berbohong dan mengambil dadah atau minuman keras yang mengkhayalkan. Peraturan-peraturan ini tidak mencakupi kesemua kelakuan jahat tetapi sebagai permulaan, jika seseorang harus mematuhi kelima-lima peraturan ini.

 

Dari pengetahuan agung Nya Buddha mengetahui bahawa kita tidak dapat menjadi sempurna dengan serta-merta. Oleh itu, Baginda mulai menggalak kita mengelakkan diri daripada melakukan lima perbuatan jahat ini. Setelah kita telah teguh dalam pegangan terhadap lima prinsip ini, kita bolehlah melatih penyucian minda secara beransur-ansur. Agama Buddha membenarkan setiap individu memperkembangkan amalan dan mindanya berdasarkan kepada kesedaran dan kemampuan masing-masing. Ia tidak mengenakan paksaan suatu hukum atau peraturan secara dogmatik tanpa mengambil kira kemampuan, tahap perkembangan dan sikap seseorang.

 

Semoga pengajaran yang diperoleh daripada buku ini dapat membimbing masyarakat kita ke arah kebaikan dan membantu diri kita supaya menjadi manusia yang berkeperibadian tinggi.

SADHU! SADHU! SADHU!

Biro Sumber,

PBWB.

Tarikh : November 1994 (B.E. 2537)

Bagi para dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk mencetak buku-buku Dharma keluaran kami sila hubungi :

Bendahari

Persatuan Buddha Wakaf Bharu,

Wat Pracacinaram, Kg. Kulim,

16250 Wakaf Bharu,

Kelantan.

Tel : 09-7198003 - Lau Chin Sang

 

PENDAHULUAN

Kehidupan seseorang manusia bergantung kepada dua aspek yakni; jasmani (rupa) dan rohani (nama). Bentuk jasmani tidak dapat kita mengubahkannya, tetapi rohani atau batin kita dapat mengalami perubahan dan perkembangan. Sudah menjadi kebiasaan, manusia lebih suka menjalani hidup seperti mana biasa dilakukan. Melalui latihan dan disiplin diri, kita dapat mengubahkannya menuju ke arah ketenteraman dan kestabilan fikiran. Kita boleh mencapai tujuan itu seandainya kita menghayati dan mempraktikkan PANCA SILA.

PANCA SILA merupakan satu Peraturan (Hukum) Moral kepada manusia. Panca Sila diumpamakan sebagai satu pembaris yang boleh digunakan untuk melukis satu garis lurus; Hukum Moral ini boleh juga dijadikan garis panduan bagi semua penganut Agama Buddha dalam kehidupan harian supaya dapat mencegah diri daripada penyelewengan dan memandu diri ke arah jalan yang Benar.

Panca Sila telah dikhabarkan oleh Yang Bijaksana untuk kita mencapai keamanan dan kesejahteraan hidup. Penghayatan Panca Sila memberi 3 kebaikan kepada kita yakni;

1. Melatih dan mendisiplinkan diri untuk melakukan kebaikan. yakni;

a. kasih sejati dan belas kasihan (metta-karuna)

b. kesabaran dalam menempuhi cara hidup yang benar (samajivata)

c. kepuasan dalam hidup berumah tangga

d. kejujuran (sacca)

e. kewaspadaan diri (sati sampajanna)

2. Membolehkan kita mengurangkan sebarang kemungkinan bahaya dan penderitaan ke atas diri sendiri, keluarga, masyarakat sekeliling dan makhluk lain. Mempraktikkan Panca Sila adalah seumpama tindakan kita mendirikan pagar di sekeliling rumah untuk menghindari daripada kecurian, melalui :

a. Sila pertama, berdasarkan perasaan belas kasihan, melarang kita daripada membunuh, menyakiti atau menyeksa makhluk lain.

b. Sila kedua, secara langsung melarang pencurian, perbuatan yang mendorong pencurian dan perbuatan lain yang boleh menyebabkan pencurian.

c. Sila ketiga, melarang pemuasan nafsu seks yang salah dan mencegah ketidaksetiaan dalam rumah tangga.

d. Sila keempat, menekan pada kejujuran dan mencegah pelanggaran janji-janji.

e. Sila kelima, mencegah ketagihan akan barang yang memabukkan dan menghindari pelbagai kejahatan yang berpunca daripada kemabukan.

3. Membersihkan/menyucikan diri daripada segala bentuk kejahatan seperti kemarahan, kejahilan dan mementingkan diri supaya kebahagiaan dapat dinikmati dengan melakukan dan mengamalkan kebaikan. Lima sifat mulia :

a. Berdasarkan kasih sejati dan belas kasihan, kita dapat meringankan penderitaan orang lain dan menyemai benih kebahagiaan tanpa pilih kasih.

b. Mendukung semangat dan usaha yang tekun dalam menghayati kehidupan yang benar/mulia.

c. Berdasarkan kejujuran pasangan suami isteri, kepuasan hidup berumah tangga dapat dinikmati.

d. Ketekunan dalam menjalankan tugas, kejujuran kepada teman-teman, kesetiaan kepada ketua dan berterima kasih kepada pembantu.

e. Sentiasa ingat kepada 4 kewaspadaan, yakni : kewaspadaan dalam makanan, pekerjaan, tingkah laku dan kehidupan harian.

 

Apakah Panca Sila yang dimaksudkan? Panca Sila atau Lima Peraturan Moral terdiri daripada 5 langkah latihan (sikkhapada) iaitu :

 

1. Menahan/menghindari diri daripada membunuh makhluk-makhluk hidup.

2. Menahan/menghindari diri daripada mengambil benda yang tidak diberikan.

3. Menahan/menghindari diri daripada pemuasan nafsu seks yang salah.

4. Menahan/menghindari diri daripada bercakap bohong.

5. Menahan/menghindari diri daripada meminum minuman beralkohol atau mengambil barang-barang yang boleh menyebabkan kehilangan kesedaran diri.

 

Perlu diingati bahawa Panca Sila (Lima Peraturan) adalah sekadar satu peraturan yang patut dihayati dan dipraktikkan dan bukannya satu firman atau perintah. Sebab itu, adalah pentingnya bahawa implikasi setiap satu sila perlu difahami dengan jelas. Untuk itu, terlebih dahulu seseorang itu perlu mengetahui dan faham akan syarat-syarat atau keadaan yang melaksanakan sesuatu perbuatan. Syarat-syarat atau keadaan-keadaan itu dijelaskan dengan terperinci selepas ini.

 

Sebagai seorang penganut Agama Buddha yang salib, kita sepatutnya membaca dan menghayati Panca Sila pada setiap pagi iaitu sebelum kita keluar dari rumah atau memulakan pencarian rezeki yang halal dan setiap malam sebelum kita berehat/tidur. Panca Sila seharusnya juga dibaca sebelum memulakan apa sahaja bentuk perjumpaan, mesyuarat, majlis, upacara dan perayaan. Tujuannya adalah untuk mengingatkan seseorang supaya tidak melanggar prinsip-prinsip dan menyucikan diri agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang bakal dilakukan dengan lebih baik.

Untuk melaksanakannya, kita perlu bermula dengan :

1. Bacaan Vandana sebanyak 3 kali,

Namo Tassa Bhagavato Arahato Samma-sammbuddhassa.

 

2. Baca Tisarana,

Buddham saranam gacchami

Dhammam saranam gacchami

Sangham saranam gacchami

Dutiyampi Buddham saranam gacchami

Dutiyampi Dhammam saranam gacchami

Dutiyampi Sangham saranam gacchami

Tatiyampi Buddham saranam gacchami

Tatiyampi Dhammam saranam gacchami

Tatiyampi Sangham saranam gacchami

 

3. Baca Panca Sila

Panati-pata veramani sikkha padam samadiyami

Adinna-dana veramani sikkha padam samadiyami

Kamesu miccha-cara veramani sikkha padam samadiyami

Musavada veramani sikkha padam samadiyami

Sura meraya-majja-pama-datthana verami sikkha padam samadiyami.

 

 

 

PANCA SILA

(Lima Peraturan Moral)

 

SILA PERTAMA - Panatipata veramani

'menahan diri daripada membunuh makhluk-makhluk hidup’

 

A. Syarat/keadaan dianggap membunuh.

 

1. Objek

a) Membunuh makhluk bernyawa.

i. Membunuh - membunuh orang yang tidak bersalah

- membunuh orang yang mulia (sami, orang tua, guru)

- membunuh diri sendiri

- membunuh orang lain

 

ii. binatang - membunuh binatang bukan milik sendiri

- membunuh binatang yang dilindungi oleh negara

- membunuh binatang yang berguna seperti binatang penarik beban (kuda, kerbau, lembu)

- membunuh binatang mereka sendiri

- membunuh binatang liar

(melakukan pembunuhan tanpa alasan yang konkrit adalah salah. Mencari nafkah dengan membunuh binatang tidak dapat dianggap sebagai alasan yang cukup selagi ada cara lain untuk mencari nafkah)

b) Menyeksa binatang.

i. melukakan binatang

ii. tidak menjaga binatang peliharaan sendiri dengan baik

contoh: - mengerjakan seekor kerbau untuk menarik bajak bukanlah satu perbuatan penyeksaan kerana mereka memang merupakan binatang pekerja, penarik beban dan merupakan milik manusia. Tetapi jika mereka tidak diberi makanan dan masa rehat yang mencukupi, serta dipukul dengan kasar, ini adalah penyeksaan.

- memelihara burung dalam sangkar atau merantai anjing untuk menjaga keselamatan adalah bukan penyeksaan tetapi tidak memberi penjagaan yang sempurna adalah penyeksaan.

iii. melakukan untuk keseronokan (hobi)

contoh - mengikat mercun di ekor anjing atau binatang dan mendapat kepuasan daripada menakutkan binatang adalah penyeksaan.

- melontar batu-batu kepada binatang.

iv. memperlagakan binatang seperti ayam, lembu, ikan.

v. memasang perangkap - menggunakan binatang hidup sebagai umpan.

 

c) Menvakiti orang lain.

i. melukakan seseorang walaupun tidak menghancurkan kehidupannya tetapi menyebabkan dia menderita.

ii. merosak seseorang iaitu dengan memburukkan wajahnya, mana-mana bahagian tubuh yang menyebabkan dia kesakitan dan menderita.

iii. mencacatkan seseorang iaitu dengan memusnahkan salah satu alat deria atau menghilangkan mana-mana organ badan seseorang.

 

2. Motif/niat membunuh.

a) dirancang

i. kerana rasa benci - membunuh kerana hendak membalas dendam.

ii. kerana didorong oleh nafsu kejahatan atau ketamakan.

contoh: semasa perompakan, perompak membunuh kerana dihalang.

 

b) tidak dirancang

i. membunuh kerana desakan pada suatu masa.

contoh: pembunuhan berlaku kerana tidak dapat mengawal diri semasa perkelahian, pertengkaran.

ii. membunuh untuk mempertahankan diri.

contoh: seseorang yang diganggu atau dicabar, dalam usaha untuk mempertahankan diri akan membunuh lawannya.

iii. tidak sengaja/kecelakaan

contoh: anak yang terbunuh kerana dikenakan tindakan disiplin, salah sasaran semasa berlatih menembak, atau sebagainya.

3. Usaha/cara melakukan pembunuhan

a) secara langsung

- melakukan sendiri dengan apa cara sekalipun.

b) secara tidak langsung

- pembunuh diupah atau diarah oleh orang lain untuk melakukannya.

- orang yang diupah atau yang mengupah adalah bersalah.

 

4. Akibat

a) nyawa manusia atau binatang itu melayang.

b) menyebabkan penderitaan kepada objek dan keluarga.

 

Apabila salah satu perkara di atas berlaku, perbuatan itu dianggap sebagai percubaan untuk membunuh. Perbuatan yang disahkan membunuh ialah jika semua syarat di atas wujud.

B. Kepentingan Sila Pertama:

1. melarang untuk membunuh, menyakiti atau menyeksa makhluk lain.

2. melarang melakukan kekejaman sesama manusia, dan makhluk lain.

C. Kesan Positif Daripada Mengamati Sila Pertama:

1. dapat memelihara sifat kasih sejati dan belas kasihan.

2. mendapat perasaan ingin membantu orang lain untuk mencapai kebahagiaan seperti mana yang dialami sendiri dan mendorong perasaan saling bantu-membantu antara sama lain.

D. Kesan Negatif Daripada Melanggar Sila Pertama.

I. menerima hukum karma;

- berumur pendek dalam kewujudan semula.

- kehidupan yang penuh dengan penderitaan.

 

SILA KEDUA - Adinna dana veramani

'menahan diri daripada mengambil apa yang tidak diberikan'.

A. Syarat/keadaan yang dianggap melanggar Sila Kedua.

1. Objek

a) segala bentuk harta milik orang lain - sama ada benda hidup atau tidak.

b) benda-benda tanpa pemilik khusus tetapi digunakan untuk kepentingan umum, milik masyarakat.

 

2. Motif

a) untuk kegunaan sendiri, keluarga dan rakan.

b) untuk memusnahkan.

c) untuk membalas dendam.

d) untuk keseronokan.

 

3. Usaha/Cara

a) secara pencurian langsung

i. mencuri – mengambil barang yang bukan miliknya secara diam-diam.

ii. merampas - mengambil sesuatu dengan kekerasan, dengan atau tanpa melukakan pemiliknya.

iii. memeras ugut - meminta sesuatu dengan paksaan.

iv. merompak – usaha kumpulan perompakan bersenjata yang dilakukan secara paksaan dengan menceroboh rumah orang dengan atau tanpa membunuh.

v. tuntutan palsu - i. Tuntutan ke atas harta yang tiada pemilik.

ii Tuntutan harta daripada pemiliknya.

vi. berbohong - mencuri dengan berbohong. Contohnya menyamar sebagai wakil tuan punya harta atau wakil untuk mengambil sesuatu yang disuruh oleh tuannya.

vii. menipu - mencuri dengan cara menipu. Contohnya peniaga mengurangkan berat barang yang dijual pada harga yang sama.

viii. mengingkari janji, tidak mengembalikan sesuatu yang dipinjam seperti mana yang dijanjikan/dipersetujui.

ix. korupsi - menggunakan sebahagian daripada wang yang diamanahkan.

x. menukar barang - menukarkan barang yang kurang baik kepada barang yang baik secara senyap untuk kepentingan peribadi.

xi. penggelapan - menggelapkan kekayaan yang dikendalikan.

 

b) Pencurian secara tidak langsung:

i. bersubahat - membantu penjahat dalam melakukan kejahatan

- membantu menyimpan benda yang dicuri.

- mengetahui kejahatan berlaku tetapi berdiamkan diri.

 

ii. merayu - bercinta atau berteman dengan seseorang semata-mata inginkan kekayaannya.

iii. menerima rasuah - menerima ganjaran secara gelap sebagai ganjaran usaha yang disumbangkan.

c) Perbuatan yang serupa dengan pencurian.

i. memusnahkan secara sengaja

- melakukan kerana dendam. Contohnya, membakar kebun atau rumah orang.

ii. menggunakan sesuatu dengan sesuka hati

- menggunakan wang keluarga dengan sesuka hati kerana menganggapkan wang/kekayaan keluarga adalah kekayaan/wang sendiri.

- menggunakan barang rakan dengan sesuka hati, dengan tanggapan hak orang lain juga adalah haknya dan tanpa pengetahuan atau keizinan rakannya.

4. Akibat

a. harta musnah

b. penderitaan dan kemiskinan ke atas mangsa.

B. Kepentingan Sila Kedua

1. secara langsung melarang pencurian, perbuatan membantu pencurian dan perbuatan-perbuatan lain yang dapat mengakibatkan pencurian.

2. menghargai dan melindungi hak milik orang lain.

3. mencari nafkah yang halal.

C. Kesan Positif Daripada Menghayati Sila Kedua.

1. kesabaran dalam menempuh cara hidup yang berhala benar.

2. mendukung semangat dan usaha yang tekun dalam menjalani hidup yang benar.

3. berasa bahagia kerana mencari nafkah yang benar:

ii. rasa bangga kerana memiliki barang/harta secara sah.

iii. bebas daripada perasaan takut/khuatir dan akan berasa aman di mana-mana jua.

iv. dapat menggunakan harta yang dimiliki tanpa berasa tertekan atau berasa bersalah.

v. memperkukuh kemampuan dalam menghindari perbuatan-perbuatan jahat.

D. Kesan Negatif Daripada Melanggar Sila Kedua

1. kehidupan yang dihantui ketakutan oleh perbuatan sendiri.

2. sentiasa berasa dia diburu atau diperhatikan.

3. mungkin terdorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan jahat.

4. hilang kepercayaan, kehormatan dan maruah diri.

5. hukum karma - dilahirkan miskin dalam kewujudan semula, tidak ada pemberian daripada orang lain.

 

SILA KETIGA - Kamesu micchacara veramani

'menahan diri dari pemuasan nafsu seks dengan cara yang salah’.

A. Syarat/keadaan yang dianggap salah.

1. Objek

a) objek terlarang bagi lelaki:

i. wanita yang telah menikah/isteri orang.

- wanita yang telah bersuami termasuk wanita yang sudah menjadi tunangan orang.

- tidak termasuk janda/yang diceraikan secara sah.

ii. wanita yang masih di bawah pengawasan ibu bapa, penjaga, saudara.

- wanita di bawah umur, termasuk yang kahwin lari tanpa izin penjaganya.

iii. wanita yang menurut adat dilarang.

- mereka dilarang kerana tradisi keluarga, termasuk wanita yang satu keturunan, darah daging sendiri.

- mereka dilarang kerana tradisi agama, termasuk biarawati.

b) objek terlarang bagi wanita:

i. lelaki yang sudah beristeri terlarang bagi wanita yang bukan isterinya.

ii. lelaki yang berada di bawah peraturan agama, sami.

2. Motif

- tidak kira apa jua motifnya sama ada baik atau tidak.

3. Usaha

1. memaksa atau mengancam.

2. merayu, mencumbui dengan kata-kata atau dengan sikap.

3. memandang objek dengan nafsu berahi.

4. melarikan objek.

5. perzinaan.

4. Akibat

1. menggugat kebahagiaan rumah tangga orang lain.

2. penderitaan oleh keluarga.

3. menjatuhkan maruah dan nama baik keluarga.

B. Kepentingan Sila Ketiga.

1. untuk mencegah penceraian dan menjamin kebahagiaan hidup suami-isteri.

2. menjalinkan perasaan saling mempercayai antara suami-isteri.

3. kesetiaan terhadap satu sama lain.

C. Kesan Positif Daripada Menghayati Sila Ketiga.

1. kesetiaan antara satu sama lain untuk membahagiakan rumah tangga.

2. keluarga harmoni dan sihat.

3. berpuas hati terhadap satu sama lain.

D. Kesan Negatif Daripada Melanggar Sila Ketiga.

1. meretakkan rumah tangga.

2. menimbulkan perasaan benci, permusuhan antara satu sama lain.

3. menimbulkan perasaan cemburu, curiga, marah, tidak puas hati.

4. mengingkari sumpah perkahwinan.

5. menerima hukum karma - penderitaan yang tidak berkesudahan. Dilahirkan kurang sifat jantina (pondan).

 

SILA KEEMPAT - Musavada veramani

'menahan diri daripada berbicara yang tidak benar'.

 

A. Syarat/keadaan Yang Dianggap Berbohong.

 

1. Objek - kepada sesiapa sahaja sama ada dengan cara ucapan mahupun cara fizikal iaitu melalui tulisan atau sikap. Hukum karma lebih berat kalau objek itu adalah orang yang berjasa seperti ibu bapa, guru, orang tua, orang suci (agama).

 

2. Motif

a. bertujuan jahat - menimbulkan permusuhan antara dua orang.

- memperdaya orang lain.

- menguntungkan diri sendiri.

- menipu.

- menghasut.

 

3. Usaha/cara:

a. Bohong secara langsung.

- terdiri daripada 2 unsur, yakni; suatu kenyataan yang salah dan suatu usaha yang sengaja dilakukan untuk membuat kesalahan.

i. Berbohong secara terang-terang:

(1) menghasut : apabila berbohong itu dilakukan dengan tujuan untuk menimbulkan permusuhan antara dua orang atau dua golongan tertentu.

(2) menipu : apabila hal itu berdasarkan tujuan untuk memperdaya.

(3) memuji : apabila hal berkenaan suatu pujian yang diberi secara berlebihan dan tidak jujur/ikhlas.

(4) pembatalan/pengingkaran : apabila itu merupakan pengingkaran daripada perkataan sendiri.

ii. Pelanggaran sumpah:

- bersumpah atau berikrar tanpa mahu menepatinya. Contoh, seorang saksi di mahkamah yang sudah mengambil sumpah tetapi berani menceritakan yang tidak benar.

iii. Tipu muslihat:

- suatu tipu daya dengan tujuan untuk keuntungan sendiri. Contoh, memperlihatkan kekuatan ghaib atau kekebalan supaya orang ramai yang akan ditipu mempercayai.

iv. Munafik:

- pura-pura bersalah dan taat pada agama, tetapi sebenarnya tidak.

v. Bermain dengan kata-kata:

- pembohongan yang dilakukan dengan mempermainkan kata-kata.

vi. Membesar-besarkan:

- merupakan suatu perbuatan berbohong yang berdasarkan pada apa yang benar-benar terjadi, tetapi kebenaran itu dibesar-besarkan.

viii. Menyembunyikan:

- berbohong yang juga berdasarkan kebenaran, namun ada pengurangan daripada yang sebenarnya. Tujuan untuk menipu, bahagian yang kurang/disembunyikan adalah bahagian yang penting. Penyembunyian bertujuan untuk menimbulkan salah pengertian tentang kebenaran cerita. Contoh, seseorang yang berteman orang jahat kemudian melakukan kejahatan bersama-sama. Setibanya di rumah, dia ditanya sebabnya balik lewat. Biasanya dia akan menjawab bahawa dia pergi ke rumah temannya untuk belajar. Sesungguhnya pergi ke rumah rakannya itu bukan berbohong, tetapi apa yang dia lakukan tidak diberitahu dan ia merupakan bahagian yang penting.

b. Kebohongan secara tidak langsung:

- kebohongan yang tidak dirancang.

i. kata-kata kesat:

(1) sindiran: kata-kata pujian untuk kebaikan atau jasa baik seseorang yang jelas berlebihan. Kata-katanya menyatakan suatu pujian yang sangat tajam terhadap sifat baik atau jasa yang jelas lebih tinggi daripada kemampuan orang itu sebenarnya.

(2) penghinaan: apabila kata-kata itu untuk merendahkan kedudukan dan maruah seseorang.

ii. Terlanjur kata: suatu pembohongan yang dikata dengan tidak sengaja kerana sudah terlanjur kata.

 

c. Melanggar janji:

Ini adalah satu kelalaian untuk mengerjakan sesuatu yang telah dia memberi kesanggupan untuk melakukannya, akan tetapi tidak ada niat untuk menipu semasa mengatakan kesanggupan kepada pihak kedua.

Terdapat 3 jenis pelanggaran janji:

i. Perjanjian antara dua pihak:

Apabila ada orang membuat sifat persetujuan seperti kontrak, masing-masing menyatakan kesanggupan untuk membuat sesuatu bagi pihak lain. Ini adalah perjanjian dua pihak. Kemudian apabila salah satu pihak menolak untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan dan secara tak sah mengambil keuntungan daripada perkembangan selanjutnya, maka ia dikatakan telah melanggar janji.

ii. Perjanjian satu pihak:

Ini adalah satu kesanggupan yang telah dinyatakan oleh seseorang untuk tidak melakukan sesuatu. Contohnya, pegawai kerajaan mengangkat sumpah sebelum memegang apa-apa tanggungjawab. Begitu juga dengan seseorang yang bertaubat terikat dengan janji semacam itu.

iii. Pembatalan kata-kata:

Apabila seseorang menarik balik kata-kata yang telah diucapkan. Contoh, berjanji untuk memberikan sesuatu kepada orang lain kemudian kata-kata itu diingkari.

Pelanggaran janji ialah pelanggaran sila. Akan tetapi, oleh sebab hal-hal tertentu yang di luar kawalan/kemampuannya, seseorang tidak dapat melakukan apa yang telah dijanjikan dan perjanjian terpaksa dibatalkan, maka dia tidak dikatakan melanggar janji. Contoh, seseorang berjanji untuk bertemu di suatu tempat, tetapi pada waktu tersebut dia sakit dan tidak dapat pergi dan mengirim utusan untuk memaklumkan keadaannya, maka dia tidak melanggar janji.

d. Menyerupai kebohongan

Hal berikut menyerupai pembohongan pada pandangan kasar, tetapi tidak dianggap sebagai pelanggaran sila kerana tidak ada niat untuk menipu.

i. euphemisme : suatu cara dalam pembicaraan atau tulisan yang tidak langsung menurut kebiasaan dan kadang-kala hanya demi kesopanan. Kata-kata yang diguna untuk menyampaikan salam seperti ‘selamat pagi’, ‘terima kasih’ atau sebagai penutup surat ‘yang benar’, ‘yang menjalankan tugas’ adalah termasuk dalam kategori ini. Sesungguhnya, kata-kata itu tidak mempunyai erti sebenarnya, tetapi tidak sanggup membohong kerana alasan yang telah disebutkan di atas.

ii. ceritera : suatu ceritera kiasan yang diceritakan sebagai ilustrasi daripada kebenaran, walaupun hal itu tidak benar, ia tidak dianggap sebagai pembohongan. Jadi seseorang itu tidak boleh dituduh berbohong jika jalan ceritanya yang disampaikan adalah seperti suatu dongengan. Demikian juga dengan seorang penyair atau penulis yang menghasilkan karya-karya imaginasi. Mereka bebas daripada kesalahan menceritakan pembohongan.

iii. salah faham : kadang-kadang apabila orang bertanya, kita memberi jawapan yang salah bukan dengan niat untuk menipu tetapi menyebabkan orang itu mempercayakannya. Ini tidak dianggap melanggar sila. Contoh, seandainya ditanya tentang hari, jawapannya salah tetapi orang yang bertanya percayakannya. Oleh itu sekiranya kita menyedari akan kesalahan itu, adalah baik kita membetulkannya agar dapat mencegah sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku dan untuk membuktikan kita tidak ada niat untuk menipu.

iv. tersalah ucap : Tanpa disedari, apa yang diucapkan dengan apa yang kita fikirkan berbeza. Adalah baik kita membuat pembetulan setelah menyedarinya.

 

4. Akibat

a. merosakkan nama baik, maruah orang lain.

b. menjejaskan kehidupan orang lain.

c. menyebabkan orang lain menderita.

d. merugikan orang lain.

B. Kepentingan Sila Keempat.

1. menumpukan kepada kejujuran dengan menghindari pembicaraan yang tidak benar secara langsung, tidak langsung atau pelanggaran janji.

2. mengelak daripada kata-kata yang merosak nama baik dan reputasi orang lain.

 

C. Kesan Positif Daripada Penghayatan Sila Keempat.

1. mempunyai sifat jujur.

2. menyemai sifat murni: ketekunan dalam menjalankan tugas, kejujuran kepada teman-teman, kesetiaan kepada orang atasan dan berterima kasih kepada pembantu.

3. dipercayai oleh orang lain untuk memegang sesuatu amanah.

 

D. Kesan Negatif Dari Melanggar Sila Keempat.

1. akan sentiasa berbohong.

2. akan terdorong untuk melakukan kejahatan-kejahatan lain.

3. tidak dipercayai dan dipandang jijik/tidak dihormati oleh orang.

 

 

SILA KELIMA – Surameraya majja pamadatthana veramani

‘menahan diri daripada meminum minuman beralkohol yang dapat melemahkan kesedaran.’

 

A. Syarat/keadaan Yang Dianggap Melanggar Sila

 

1. Objek

a. 'meraya' - minuman yang beralkohol (telah diragi) yang dapat dibuat daripada gula ataupun bahan lain.

b. benda-benda yang memabukkan seperti ganja, candu, marijuana yang boleh membius fikiran.

2. Motif

Tidak kira apa motifnya.

3. Usaha

Apa cara sekalipun.

4. Akibat

Terdapat 6 keburukan yang ditimbulkan:

a. Memboroskan Wang.

Tujuan mencari wang adalah untuk membiayai keperluan dan kebahagiaan hidup, tetapi ini tidak bermakna kita hanya mencari kepuasan dari keinginan-keinginan kita sahaja tanpa memikirkan batas keupayaan hasil kita. Seseorang yang bijak selalu berhati-hati menggunakan wang dan menyimpan sebahagian daripada hasilnya untuk menghadapi keadaan yang tak diduga, sakit atau usia tua. Dia seharusnya dapat membezakan antara keperluan hidup yang asas dengan keperluan kemewahan. Makanan, minuman, pakaian, ubat dan tempat tinggal ialah keperluan asas, manakala minum minuman keras dan sebagainya adalah tidak penting dan patut dihindari. Kebiasaan merokok dan meminum minuman keras akan membangkitkan keinginan yang tak terbatas dan akan menghabiskan pendapatan seseorang dengan cepat.

Dengan mendedahkan diri kepada barang-barang yang tak berguna itu, seseorang sebenarnya akan menghancurkan diri sendiri dengan menghabiskan apa yang harus disimpan. Walaupun seseorang itu berkemampuan untuk berboros, kebiasaan/tabiat minumnya bagaimana sekalipun akan tetap merugikannya juga. Contoh, seorang pegawai yang sering mabuk, rendah kecekapan kerjanya akan lalai dalam menjalankan tugasannya dan melakukan perbuatan yang luar daripada kawalan diri. Lambat laun dia akan dipecat. Jika seorang pengusaha menjadikan dirinya seorang kaki botol, lambat laun dia akan bankrap kerana kelalaian dan fikirannya yang kacau.

 

b. Punca Pertengkaran/perkelahian.

Dalam keadaan normal, seseorang bahagia dengan keadaan yang damai. Jika dia diusik atau diganggu, biasanya dia mempunyai kesabaran kecuali ada hal-hal tertentu yang tidak dapat dielakkan. Tetapi dengan alkohol/minuman keras dan sebagainya sebagai perangsang, sedikit pergolakan saja akan menyebabkan seseorang itu cepat marah, tidak dapat mengawal diri yang boleh menyebabkan perkelahian. Terbukti banyak peminum menyerang orang yang tidak bersalah, dan tanpa sebab berbuat demikian. Jadi, alkohol dapat melemahkan fikiran yang sihat, menghilangkan akal, budi bicara dan kesopanan orang yang tidak minum dan juga yang meminumnya.

c. Merosakkan Kesihatan.

Alkohol bukan ubat penyembuh tetapi ia sebenarnya yang menyebabkan segala penyakit dan membinasakan kesihatan jika ia diguna secara berlebihan. Seperti yang dikatakan oleh simpulan kata Jepun: "The man takes a drink, the drink takes a drink, and the drink takes the man."

Setiap benda asing yang berbahaya yang diserap oleh darah akan merugikan kesihatan. Begitu juga alkohol, jika digunakan secara berlebihan, ia akan menjadi racun dan menghancurkan kehidupan. Sifat racun daripada alkohol sesungguhnya merintangi dan tidak membantu jasmani dan rohani. Adalah salah untuk berpendapat bahawa alkohol dapat memberi atau menambahkan kekuatan untuk bekerja. Memang benar alkohol dapat merangsangkan peredaran darah untuk beberapa ketika sehingga mempengaruhi seseorang bahawa dia menjadi lebih kuat. Sebenarnya kekuatan tidak bertambah. Hal ini sama dengan mencambuk kuda yang lelah supaya berlari dengan lebih kuat. Tentu sekali kuda akan berlari dengan kuat kerana perasaan takut buat seketika waktu. Lama-kelamaan kuda itu menjadi lemah dan pelariannya menjadi perlahan. Cambukan itu sebenarnya tidak menambahkan kekuatan tetapi memaksa kuda itu menghabiskan sisa tenaganya dengan lebih cepat. Demikian juga dengan orang yang meminum minuman keras. Semakin banyak dia meminum minuman keras, semakin cepat dia kehabisan tenaga.

Memang dalam beberapa hal, alkohol ada manfaatnya, yakni untuk menghilangkan perasaan tidak enak yang disebabkan oleh beberapa penyakit, tetapi penggunaannya harus dilakukan dengan berhati-hati dan faedahnya agak terhad. Penggunaan secara berlebihan dan tidak bertanggungjawab akan membahayakan kesihatan.

 

d. Punca Pencemaran Maruah Diri.

Nama baik seseorang ialah miliknya yang utama. Nama baik membuat seseorang dihormati dan membantunya dalam usaha mencari rezeki. Ianya diperoleh daripada usaha yang tekun dalam waktu yang lama. Sekalipun reputasi adalah lebih mudah hilang daripada memperolehnya. Dengan satu kesalahan kecil sahaja reputasi seseorang akan hilang. Di bawah pengaruh alkohol yang memabukkan, dengan mudahnya seseorang akan hilang kawalan diri dan melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan reputasinya, nama baiknya serta maruahnya.

 

e. Hilang Kawalan Diri

Fikiran manusia dipengaruhi oleh hati nalurinya. Hati naluri akan memberitahu tentang yang mana salah, yang mana betul dan yang mana perlu disingkirkan. Hati naluri seumpama pemandu kuda, selagi pemandu kuda berwaspada dan memegang tali kendalinya dengan baik, kereta akan berjalan dengan lancar. Tetapi apabila tidak mengawasi dan melepaskan tali itu, kuda-kuda akan berlari tidak tentu arah sehingga boleh mengakibatkan kehancuran kepada kereta itu. Begitu juga dengan fikiran kita. Tanpa bimbingan hati naluri, ia akan kehilangan kekuatan untuk mengendalikan diri dan tidak dapat berfikir, lantas ia bertindak dengan cara yang tidak betul. Orang demikian tidak ragu-ragu untuk mengatakan atau melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukannya. Inilah keburukan daripada minuman keras.

f. Melemahkan Daya Fikiran Seseorang.

Kecerdasan otak manusia berbeza tetapi kecerdasan itu boleh ditambah atau dikurang bergantung kepada individu. Umpamakan sebidang tanah yang tidak subur, tidak dibajai samalah dengan tanah yang ada di padang pasir, menjadi tidak guna. Tetapi jika ia dibajai, tentu sekali kesuburannya bertambah dan akan menjadi lebih berfaedah. Begitulah juga dengan fikiran manusia. Kita perlu meningkatkan kecerdasan dengan mengembangkan fikiran, bukan dengan cara memabukkannya. Umpama sebilah pisau kalau lama tidak di guna, ia akan berkarat. Begitulah juga dengan otak kita, yang akan hanya dapat berkembang dan berfungsi dengan baik melalui latihan. Ianya tidak boleh dikacau dengan alkohol yang melumpuhkan perasaan dan membius kemampuan berfikir.

Daripada huraian di atas, jelas bahawa minuman keras membawa keburukan dan penyakit. Tetapi hanya segelintir orang menyedari akan bahayanya. Benar, tiada orang yang ingin dipengaruhi oleh alkohol. Setelah mencubainya untuk kali pertama biasanya diikuti oleh percubaan kedua, ketiga dan seterusnya, sehingga menjadi kebiasaan.

Keinginan meminum itu akhirnya tidak dapat dikawal lagi dan seseorang tidak akan puas meminum sehingga kesihatan rosak. Betapa kuatnya pengaruh alkohol dapat kita lihat pada orang-orang yang telah berhenti daripada meminum minuman keras buat seketika tetapi balik kepada tabiat lamanya kemudian. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mengingati supaya sentiasa menghindarkan diri daripada percubaan pertama untuk mengambil minuman keras.

Kadang-kala alkohol dicampurkan kepada beberapa jenis makanan. Jika warna atau baunya tidak dapat dikenal pasti, ia dipanggil 'abbhoharika' dan diguna sebagai ubat atau makanan tanpa mendatangkan apa-apa bahaya kalau dilihat dari segi fizikalnya. Namun bahaya yang mungkin kecil masih tetap ada dan dapat menggoda bekas peminum balik ke tabiat lamanya.

B. Kepentingan Sila Kelima.

I. untuk menahan diri daripada sesuatu yang dapat memabukkan fikiran dan merosakkan kesihatan serta nama baik seseorang.

2. untuk menjaga kewaspadaan diri.

C. Kesan Positif Daripada Menghayati Sila Kelima

1. sentiasa berwaspada iaitu berwaspada dari segi makanan, pekerjaan, tingkah laku dan kehidupan.

2. menghindari diri daripada melakukan kejahatan.

3. bertindak dengan waras kerana dapat mengawal diri.

4. menikmati keharmonian daripada kebahagiaan hidup.

D. Kesan Negatif Daripada Melanggar Sila Kelima

1. kelalaian, penderitaan, kejahilan diri, tidak dapat mengawal diri.

2. kehabisan wang, kehilangan nama baik.

3. terdedah kepada pelbagai penyakit dan kejahatan.

4. dilahirkan kurang cerdik.

 

 

 

Renungan:

" By oneself alone is evil done, by oneself is one defiled.

By oneself is evil avoided, by oneself alone is one purified.

Purity and impurity depend on oneself,

No one can purify another."

 

 

 

'MAY EVERYBODY BE WELL AND HAPPY’