Make your own free website on Tripod.com
Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

Petikan daripada Cahaya Bodhi

Newsletter Berita Susulan Kursus Pendidikan Agama Buddha ke-5,
Persatuan Buddha Wakaf Bharu, Kelantan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Mengawasi Pemikiran, Pertuturan dan Perlakuan

Pada suatu masa, apabila pengikut Buddha yang agung, Yang Mulia Moggallana sedang berjalan menuruni satu bukit bersama dengan seorang bhikkhu yang bernama Lakkhana, Mogallana ternampak satu hantu lapar (peta) yang berkepala babi dengan badan manusia. Moggallana senyum memberi isyarat bahawa Beliau telah nampak hantu lapar tersebut. Senyuman tersebut bukan berpunca daripada penampilan peta yang kelakar, sebaliknya, senyuman Arahant ataupun Buddha adalah tanda kepada sesiapa yang berdekatan dengan mereka untuk bertanya mereka berbuat demikian.

Setelah mereka sampai di suatu tempat, sami Lakkhana pun tanya kepada Moggallana mengapa Beliau senyum tadi. Moggallana memberitahu bahawa Beliau telah nampak satu hantu lapar yang berkepala babi dengan mulutnya yang dipenuhi dengan larva lalat. Buddha juga menyatakan bahawa Beliau juga pernah berjumpa dengan peta yang berkepala babi tersebut selepas Beliau mencapai Pencerahan. Buddha seterusnya menceritakan kisah tentang peta tersebut.

Pada zaman seorang Buddha yang lepas, peta ini merupakan seorang bhikkhu yang mahir menyebarkan Dhamma. Suatu hari, peta ini telah pergi ke satu wat yang didiami oleh dua orang bhikkhu lain. Selepas tinggal untuk seketika waktu, peta ini mendapati bahawa orang ramai suka cara dia menerangkan ajaran Buddha. Oleh yang demikian, dia telah berfikir alangkah baiknya jika dia dapat menyebabkan dua orang sami tersebut meninggalkan wat supaya dia dapat memiliki kesemuanya seorang diri. Lantaran itu, peta ini telah menjadi batu api dan menfitnah dua orang sami tersebut dan akhirnya, dua orang sami meninggalkan wat itu.

Akibat daripada perbuatan yang jahat, sami yang mahir menyebarkan Dhamma ini terpaksa merana dalam jangka masa yang panjang selepas dia meninggal dunia. Dan pada kehidupan ini, dia dilahirkan sebagai peta yang berkepala babi.

Seterusnya, Buddha menyatakan, "Seorang bhikkhu haruslah sentiasa bertenang, serta mengawal minda, percakapan dan perlakuannya."