Make your own free website on Tripod.com

Ikhtisar Agama Buddha

oleh

Narada Thera

 

 

Pada bulan purnama dalam bulan Mei, 623 S.M. ,seorang putera Sakya yang bernama Siddhartha Gotama telah dilahirkan di Kapilavathu yang terletak di sempadan Nepal. Baginda telah dilahirkan untuk menjadi guru yang paling mulia di dunia ini.

 

Semasa baginda meningkat umur 16 tahun, baginda telah mendirikan rumah tangga, dan telah dikurniakan  seorang  putera yang bernama Rahula. Baginda hidup mewah dalam keadaan aman dan damai selama 13 tahun. Tetapi sifat baginda yang berbelas kasihan dan suka bertafakur tidak membenarkannya menikmati segala kemewahan yang terdapat di istananya. Baginda tidak kenal akan kesedihan tetapi baginda amat terharu dengan penderitaan manusia. Sungguhpun kehidupannya mewah dan senang, baginda sedar akan penderitaan sejagat.  Istananya yang dihiasi dengan segala barangan duniawi yang menggodakan itu tidak lagi memikat hatinya, masa sudah sampai untuk baginda meninggalkan istana. Dengan menyedari hampanya kenikmatan deria yang sangat dihargai oleh orang biasa, dan nilainya perbuatan menyekat kemahuan diri sendiri oleh orang alim, baginda pun meninggalkan kehidupan duniawi pada umur 29 tahun. Dengan hanya memakai sehelai kain kuning orang pertapa, beliau merayau-rayau keseorangan, mencari Kebenaran dan Kesejahteraan.

 

Beliau mempelajari dan mendapat nasihat dari guru-guru yang terkenal pada masa itu, tetapi masih tidak dapat mencapai apa yang dicarinya melalui sumber luar. Cara hidupnya yang amat sederhana sebagai seorang petapa dibuktikan tidak berhasil langsung. Keadaan pada masa itu telah memaksanya beralih kepada dirinya sendiri untuk mencari Kebenaran dari batin. Beliau mencari, berfikir, dan akhirnya beliau sedar akan Kebenaran yang tidak dipelajari dari guru-gurunya. Pencerahan tercapai, dengan cahaya ini segala-galanya telah didedahkan dalam keadaan yang sebenarnya.

 

Setelah hebat berjuang selama 6 tahun, tanpa panduan dan pertolongan ghaib dengan hanya bergantung kepada usaha dan kearifannya sendiri, beliau telah menghapuskan segala pencemaran dan menamatkan proses loba. Dengan pengetahuan batinnya beliau berjaya memahami segala-galanya yang dalam keadaan sebenarnya. Kerana itu, beliau menjadi Buddha, Yang Bercerah, sewaktu berusia 35 tahun.

 

Sebagai penjelmaan sifat-sifat mulia yang sempurna beliau mengajar dengan  penuh  kearifan  sepadan dengan belas kasihannya yang tidak terhingga. Beliau terus-menerus berikhtiar untuk kebaikan dan kebahagiaan sekalian tanpa niat peribadi selama 45 tahun dan mencapai MahapariNirvana bila berusia 80 tahun. Beliau tidak meninggalkan sesiapa pun sebagai pengganti beliau. tetapi memperingatkan pengikut-pengikutnya supaya menganggap ajaran dan disiplinnya sebagai guru mereka.

 

Ciri-ciri seperti ketabahan hati, kearifan yang mendalam, cinta murni sejagat, belas kasihan tanpa batasan, kebaktian, penolakan yang istimewa, kesucian yang sempurna, penghidupan peribadi yang bitara ,teladan-teladan yang berhubung dengan penyebaran ajaran, dan pencapaian matlamatnya — segala faktor ini telah mendorong umat manusia untuk menganggap Buddha sebagai guru yang paling mulia yang pernah memijak kaki pada bumi ini.

 

Sistem moral dan filosofis yang dijelaskan oleh Buddha dipanggil Dharma, ataupun ia lebih dikenali sebagai Buddhisme. Sebenarnya,  Buddhisme bukanlah satu  agama kerana ianya bukan sistem kepercayaan dan pemujaan yang menumpukan taat setia kepada Tuhan yang sakti. la adalah suatu pelajaran yang membimbing seseorang penganut ke arah pencapaian Kearifan Agung dan pembebasan dari segala kejahatan melalui hidup dan pemikiran yang suci.

 

Di  sini,  kepercayaan secara  membabi  buta  diketepikan dan digantikan dengan keyakinan yang berdasarkan kepada pengetahuan. Walaupun seseorang mencari tempat perlindungan dari Buddha yang dijadikan panduan dan Gurunya, dia tidak merendahkan diri sendiri sebagai hamba. Seseorang penganut agama Buddha bukanlah hamba kepada mana-mana kitab atau individu. Tanpa menyerahkan kebebasan untuk memikir, dia mempergunakan keazaman untuk memperkembangkan kearifannya hingga dia sendiri mencapai Kebuddhaan, kerana semua hidupan berpotensi menjadi Buddha. Sudah tentu penganut-penganut Buddha menyanjunginya sebagai pihak berkuasa, tetapi Buddha tidak menuntut milik kuasa ini. Kesedaran yang langsung menjadi kriteria kebenaran yang tunggal dalam Buddhisme. Idea utamanya ialah pemahaman yang rasional.

 

Walaupun di kalangan penganut Buddha, bunga dan lain-lain dipuja  kepada  Buddha sebagai  tanda penghormatan, tetapi Buddha tidak disembah sebagai Tuhan.

 

Sewaktu hidupnya, Buddha amat disanjung tinggi tetapi beliau tidak menuntut sifat ketuhanan bagi dirinya. Beliau seorang manusia, seorang manusia yang luar biasa. Walaupun demikian, haruslah dinyatakan bahawa tidak pernah wujud seorang Guru yang "begitu menyerupai tuhan tetapi tidak bertuhan seperti Buddha". Hal penghormatan kepadanya tidaklah begitu ditegaskan oleh Buddha berbanding dengan kepatuhan kepada ajarannya. Nasihat Buddha, "Barang siapa yang mengamalkan ajaran saya menghormati saya dengan ikhlasnya."

 

Tambahan, bersembahyang untuk memperoleh cita-cita duniawi serta kepentingan diri adalah bertentangan dengan Buddhisme. Sebaliknya, Buddhisme menegaskan meditasi sebagai cara untuk mencapai disiplin diri, pengawalan diri, penyucian dan pencerahan.

 

Dalam Buddhisme tidak terdapat Tuhan Pencipta yang patut dipatuhi dan ditakuti oleh penganutnya. Buddha telah meningkatkan status manusia dengan tidak mengajarkan kewibawaan Tuhan kepada manusia. Buddhisme mengajar bahawa setiap orang dapat menyelamatkan diri tanpa bergantung kepada Tuhan atau orang tengah seperti paderi-paderi.  Buddhisme tidak mengajarkan apa-apa dogma yang harus seseorang itu menerima tanpa menyoal walaupun penerimaan sedemikian adalah bertentangan dengan pengetahuannya. Buddhisme juga tidak mengajar sistem kepercayaan yang berpandukan penerimaan tanpa  bertaakul.  Selain  itu, seseorang  yang ingin  mengamalkan Buddhisme tidak payah melakukan upacara-upacara yang karut atau membuat pengorbanan yang sia-sia.

 

Karl Marx menyatakan bahawa "Agama adalah roh yang wujud dalam keadaan yang tiada roh, adalah hati di dalam dunia yang tiada berhati, adalah candu kepada umat manusia". Berdasarkan kenyataan ini, Buddhisme tentulah bukan suatu agama. Tetapi jikalau ertinya agama itu adalah suatu sistem pelepasan dari kejahilan hidup, maka Buddhisme adalah dianggap sebagai agama.

 

Asas Buddhisme termaktub di dalam Empat Kebenaran Mulia yang bersangkutan dengan apa yang dikenali sebagai kehidupan. Buddha telah  menyatakan  "Saya mengisytiharkan bahawa di dalam tubuh badan ini, dengan adanya tanggapan dan fikiran, wujudlah dunia, permulaan dunia, penamatan dunia dan jalan yang membawa kepada penamatan dunia". Kata-kata yang menarik ini sebenarnya merupakan Empat Kebenaran Mulia yang telah disedari oleh Buddha dengan pengetahuan batinnya. Kebenaran-kebenaran itu wujud tidak kira sama ada Buddha-Buddha ada atau tidak, yang akan terus berkekalan dengan masa. Hanya Buddha yang boleh mendedahkan kebenaran-kebenaran ini kepada dunia yang jahil. Demi kesedaran Kebenaran-kebenaran ini, Buddha tidak terhutang budi kepada sesiapa pun kerana Kebenaran-kebenaran itu tidak diketahui sebelumnya. Jadi, tiada asas untuk mengatakan bahawa Buddhisme adalah pertumbuhan dari agama Hindu, walaupun kedua-dua agama  mengamalkan doktrin-doktrin asas  yang  sama.  Ini  adalah  kerana  doktrin-doktrin  itu mematuhi Kebenaran Abadi, atau Dharma.

 

Kebenaran Mulia Yang Pertama adalah berkenaan dengan Dukkha yang bermakna penderitaan. Kepada seseorang yang dapat memahami secara mendalam, segala hidup merupakan penderitaan.

 

Semua manusia tertakluk kepada kelahiran, dan seterusnya keruntuhan, penyakit dan maut. Tiada sesiapa pun boleh dikecualikan daripada keempat-empat punca penderitaan ini. Kemahuan yang tidak tercapai juga merupakan penderitaan. Secara ringkas, tubuh badan kitalah punca penderitaan.

 

Kebenaran Mulia Pertama mengenai penderitaan yang berkaitan dengan unsur-unsur hidupan serta fasa-fasa hidup yang berlainan patut dianalisis dan diperiksa secara teliti. Peperiksaan ini akan membawa kepada pemahaman betul tentang diri sendiri.

 

Sebab musabab penderitaan ini ialah Kehasratan atau Perpautan yang merupakan Kebenaran Mulia Yang Kedua. Kehasratan ini merupakan suatu daya akal fikiran yang kuat yang sudah terpendam pada diri kita semua yang menjadi punca segala fenomena yang mencapah dan beraneka ragam. Secara tidak langsung, Kebenaran ini menguasai kelahiran-kelahiran lampau, sekarang dan yang akan datang.

 

Pandangan benar mengenai Kebenaran Mulia Pertama akan membawa kepada penghapusan Kehasratan, dan Kebenaran Mulia Kedua ini menguasai sikap mental manusia biasa terhadap objek-objek deria yang luar.

 

Kehasratan ini, mahupun dalam bentuk kasar atau halus, mengakibatkan kelahiran dan kematian yang berulang-ulang dan merupakan punca segala kejahilan hidup, ia hanya boleh diatasi dengan berpandukan Jalan Mulia Lapan Lapis.

 

Kebenaran Mulia Ketiga berkenaan dengan penghentian penderitaan secara langsung, yang tercapai apabila segala bentuk kehasratan sudah dihapuskan. Inilah Nirvana, puncak pencapaian dalam Buddhisme, dan ia boleh dicapai oleh sesiapa pun dalam hidup ini sekiranya dia bertulus ikhlas dalam usahanya. Kebenaran Mulia Ketiga ini walaupun bergantung kepada diri sendiri, adalah jauh dari taakulan logik dan bersifat-bukan duniawi, tidak seperti Kebenaran Mulia Pertama dan Kedua, yang bersifat duniawi. Ini sesuatu kesedaran yang tulen —suatu Dharma yang mesti difahami melalui mata mental, dan melalui peninggalan hidup duniawi dengan sepenuhnya. la tidak bermakna meninggalkan objek-objek luaran sahaja tetapi sebenarnya bermakna meninggalkan perbuatan yang timbul di batin terhadap dunia luar. Harus dijelaskan di sini bahawa cuma penghentian penderitaan atau pembinasaan kehasratan itu bukan Nirvana. Kalau tidak. Nirvana hanya bererti kemusnahan. Tetapi sebenarnya, Nirvana adalah suatu keadaan yang positif dan bukanlah suatu keadaan yang fana. Di dalam Nirvana, tiada sesuatu pun yang dimusnahkan kerana Buddhisme menafikan sesuatu roh yang kekal atau Atma. Merujuk kepada Nirvana, Buddha berkata, "Wujud keadaan yang tanpa dilahirkan, tanpa berasal-unsul, tanpa dibentukkan dan tanpa bersyarat. Kalau sebaliknya, tiada wujud keadaan yang tanpa dilahirkan, tanpa berasal-unsul, tanpa dibentukkan dan tanpa bersyarat, maka tidak mungkinlah suatu pelepasan itu wujud bagi seseorang yang dilahirkan, berasal-usul, dibentukkan dan bersyarat.

 

Kebenaran Mulia Ketiga mesti dicapai dengan cara memajukan Jalan Mulia Lapan Lapis, iaitu Kebenaran Mulia Keempat, yang merupakan Jalan Tengah ( Majjhima Patipada ). la terdiri daripada Fahaman Benar,  Fikiran  Benar, Pertuturan Benar, Perbuatan Benar, Rezeki Benar, Usaha Benar, Kesedaran Benar dan Tumpuan Benar. Segala ini merupakan daya-daya moral akal yang sungguh berkuasa yang dikumpulkan untuk menentang satu daya jahat yang terpendam —Kehasratan.  Jalan  Tengah  ini,  yang mengandungi sifat-sifat Sila, Samadhi dan Bhavana, adalah terkandung maknanya di dalam rangkap pendek di bawah:

 

Menghentikan segala kejahatan,

Mengerjakan kebaikan,

Membersihkan fikiran diri sendiri,

Inilah nasihat semua Buddha.

 

Kebenaran Mulia Pertama, Kedua dan Ketiga berkenaan dengan falsafah ajaran  Buddha manakala Kebenaran Mulia Keempat adalah mengenai pengamatan yang selaras dengan falsafah tersebut.

 

Buddhisme bukanlah suatu falsafah biasa yang mengemukakan teori-teori yang tidak sesuai bagi seseorang itu melepaskan diri daripada penderitaan dan maut. Malahan ia bukan suatu sistem moral biasa, yang walaupun perlu, hanya merupakan tahap amalan Buddhisme yang terendah sekali. Dharma-Buddha ialah suatu sistem moral dan filosofis yang telah diasaskan berdasarkan kenyataan-kenyataan yang telah diuji dan disahkan melalui pengalaman individu. Jadi Buddhisme adalah rasional dan praktis dan tidak mempunyai ruang bagi doktrin-doktrin esoterik, paksaan, seksaan dan kelampauan. Bolehlah dikatakan bahawa sejak permulaan Buddhisme 2500 tahun dahulu, tiada setitis darah pun yang tertumpah atas nama Buddhisme. Malahan tiada sesiapa pun yang telah menganuti agama ini secara dipaksa. Buddhisme kaya dengan semangat toleransi yang dikembangkan kepada manusia dan juga setiap hidupan yang lain.

 

Di dalam catatan sejarah dunia ini, Buddha merupakan manusia yang pertama sekali cuba menghapuskan keabdian. Beliaulah yang telah  menentang  dengan  ketabahan  hatinya  mengenai  keburukan sistem kasta yang telah menghalang kemajuan umat manusia. Dengan tidak mendiskriminasikan kasta, warna kulit dan pangkat, beliau telah menubuhkan suatu sistem Sangha yang berpandukan sistem demokrasi bagi  kaum  lelaki  dan  wanita  yang  layak.  Buddhalah yang telah menyedarkan kaum wanita tentang kepentingan mereka kepada masyarakat. Beliau jugalah yang telah mengharamkan pembunuhan binatang-binatang  untuk dikorbankan.  Beliau  telah  menggalakkan pengikut-pengikutnya supaya mengembangkan perasaan Metta atau kasih murni kepada semua hidupan. Hanya dengan perasaan Metta dalam Buddhisme sahaja yang akan berjaya memecahkan segala halangan yang menggalakkan pemisahan. Seseorang Buddhis tidak membezakan antara yang jauh dan yang dekat. Baginya, tiada musuh atau orang asing dan tiada pengkhianat atau pariah. Ini adalah kerana cinta sejagat yang disedari melalui kefahamannya telah mewujudkan suatu tali persaudaraan di kalangan semua hidupan. Buddhis yang benar adalah rakyat negara dunia ini.

 

Jadi  Buddhisme  adalah  unik  disebabkan  sifat-sifatnya yang rasional, yang praktis, yang mujarab dan yang sejagat. Buddhisme merupakan kuasa penggabungan yang paling mulia dan merupakan satu-satunya alat yang boleh menolong melepaskan dunia ini dari penderitaan.

 

Selain daripada Empat Kebenaran Mulia yang menjadi intisari Buddhisme, Karma dan Kewujudan Semula membentuk dua tiang asas ajaran Buddhisme yang saling bertindakan, walaupun kedua-dua konsep ini sudah menjadi kepercayaan urnum di India sebelum Buddha, tetapi beliaulah orang yang telah menerangkan dan merumuskan konsep-konsep itu secara lengkap yang mana kita fahami sekarang.

 

Karma ialah hukum moral mengenai sebab dan akibat. Erti  Karma yang muktamad ialah niat moral dan tidak moral ( Kusala akusala cetana ). la merangkumi perbuatan lalu dan perbuatan sekarang. Jadi bolehlah dikatakan bahawa kita adalah akibat perbuatan kita yang lalu dan apa yang kita akan jadi nanti bergantung kepada apa yang kita lakukan sekarang. Namun demikian, patutlah dikatakan lagi bahawa kita bukan hasil sepenuhnya dari apa yang kita lakukan dahulu, dan juga apa yang kita akan jadi nanti tidak bergantung sepenuhnya kepada perbuatan kita sekarang. Adalah jelas bahawa masa sekarang merupakan akibat dari masa lalu selain menjadikan punca bagi masa depan, tetapi ia bukanlah selalunya satu petunjuk yang benar bagi kedua-duanya masa lalu dan masa depan, begitulah kompleks maksudnya hukum Karma. Berasaskan apa yang kami lakukan, pada hidup ini atau pada hidup kelak akan kami memperoleh hasil. Apa yang kami memperoleh sekarang adalah apa yang kami telah lakukan sama ada pada masa lalu atau pada masa sekarang.

 

Karma adalah suatu hukum yang bertindak di dalam lingkungannya yang tersendiri tanpa dikuasai oleh pengaruh luar. Hukum ini menerangkan masalah penderitaan, misteri mengenai kuasa takdir yang wujud dalam kepercayaan agama lain, kelahiran bayi yang bijak bistari, dan lebih-lebih lagi menerangkan ketidaksamaan umat manusia.

 

Kewujudan semula merupakan korolari Karma. Keunggulan Bodhisatta dan doktrin untuk mencapai Kesempurnaan adalah berdasarkan kepercayaan Kewujudan Semula. Karmalah yang menentukan kewujudan semula, Karma yang lalu menentukan kelahiran kini dan Karma kini bergabung dengan Karma yang lalu akan menentukan keadaan masa hadapan. Kebenaran mengenai peranan Karma dalam masa kini tidak perlu dibuktikan lagi kerana ia telah pun jelas. Manakala bukti untuk masa-masa lalu bolehlah diperoleh daripada ingatan dan laporan. Untuk masa depan pula, bukti diperoleh daripada penarikan kesimpulan.

 

Doktrin Buddhisme mengenai kewujudan semula patutlah dibezakan dari teori mengenai kelahiran semula dan penjelmaan jiwa yang wujud dalam sistem-sistem yang lain. Ini disebabkan Buddhisme menafikan wujudnya suatu roh kekal yang boleh menjelma, sama ada dicipta oleh Tuhan ataupun ia timbul dari satu Paramatma.

 

Buddhisme membahagikan hidupan kepada nama dan rupa yang sentiasa dalam keadaan berubah. Seluruh proses mengenai fenomena mental dan fizikal yang selalu timbul dan lenyap, kadang-kadang dipanggil oleh Buddha sebagai Atta atau diri. Walaupun demikian ini adalah suatu proses dan bukan suatu identiti yang diistilahkan.

 

Buddhisme  tidak  menafikan  kewujudan  keperibadian  yang ketara. Ia menafikan kewujudan suatu hidupan yang muktamad dan tidak berubah atau entiti yang kekal, tetapi ia tidak menafikan suatu keadaan yang berterusan  dalam proses itu. Istilah filosofis Buddhisme bagi individu ialah Santati, yakni perubahan yang sentiasa berterusan . Keadaan berterusan  mental dan fizikal yang ditentukan oleh Karma ini tidak mempunyai permulaan ataupun pengakhiran kecuali melalui pengamatan Jalan Mulia Lapan Lapis. Ajaran Buddha ini menggantikan konsep ego yang kekal atau roh abadi dalam sistem-sistem agama yang lain.

 

Sebagaimana yang dinyatakan oleh T.H. Huxley, “ Buddhisme adalah suatu sistem yang tidak mengenali Tuhan (mengikut fahaman orang Eropah), dan menafikan bahawa manusia mempunyai roh. Buddhisme menganggap konsep keabadian sebagai suatu kesilapan, dan menolak kemujaraban amalan-amalan sembahyang dan pengorbanan. Sebaliknya ia menggalakkan manusia untuk berdikari dalam usaha menyelamatkan diri sendiri. Walaupun Buddhisme tidak memakai taktik sumpah kepatuhan atau mendapatkan bantuan daripada pihak diraja, ia telah berjaya disebarkan ke sebahagian besar dunia ini dengan pesatnya dan masih merupakan pengaruh yang kuat kepada sebilangan besar umat manusia.”