Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

Hakikat Ajaran Buddha

Pengarang : Bhikkhu Hye Dhammavuddho

Penterjemah : Hong Tai Fook

Diterjemah daripada buku "The Message of the Buddha" dengan sedikit tambahan.


1. SEMUA KEJAHATAN JANGAN DILAKUKAN *

(i) Menghindari pembunuhan makhluk hidup *

(ii) Menghindari pengambilan barang yang tidak diberikan *

(iii) Menghindari perbuatan perzinaan *

(iv) Menghindari pengucapan yang tidak benar *

(v) Menghindari minuman keras yang dapat melemahkan kesedaran *

Manfaat Mengamalkan Sila *

Mengawal Deria *

Tidak Menyenangi Menerima Sila? *

2. MELAKUKAN KEBAIKAN *


Pendahuluan

Buddha ialah seorang yang telah sedar atau yang telah mencapai pencerahan sempurna, dan memahami keseluruhan mengenai alam semesta. Walaupun dilahirkan sebagai manusia, setelah Dia sedar atau mencapai pencerahan, Buddha tidak boleh dianggap sebagai manusia, dewa atau sembarangan makhluk. Ini adalah kerana ego (pegangan kepada kepercayaan adanya sesuatu dalam diri kita yang berkekalan) yang berkaitan dengan sesuatu individu telah dihapuskan oleh Buddha dan tarafnya melampaui seluruh makhluk di alam semesta.

Setiap kali kemunculan Buddha di dunia ini diselubungi oleh kejahilan tentang hakikat kewujudan. Pencerahan diri yang dicapai melalui usaha sendirinya yang bersungguh-sungguh telah membawa cahaya penerang kepada pengetahuan dunia. Semua Buddha menyampaikan ajaran yang sama, dan ajaran ini dikenali sebagai Dharma (realiti). Sangha ialah kumpulan Bhikkhu (sami) yang suci.

Secara umum, ajaran Buddha dapat diringkaskan : "Semua kejahatan jangan dilakukan, melakukan kebaikan, menyucikan hati sendiri, inilah ajaran Buddha" (Dhammapada, ayat 183). Ini juga dikenali sebagai tiga asas latihan untuk mengumpul berkat.

 

 

1. SEMUA KEJAHATAN JANGAN DILAKUKAN

 

Ini bermakna tidak menganiayai makhluk lain dan diri sendiri. Norma baik atau jahat dalam Dharma adalah sesuatu yang memberi kebajikan (norma baik) atau kecelakaan (norma jahat). Dalam istilah Buddhis, jangan melakukan kejahatan bermakna mengamalkan Sila. Terdapat lima sila asas yang harus dipatuhi untuk kebajikan/ keselamatan diri mereka sendiri. Sekiranya mereka melanggar sila, ini akan membawa kepada keadaan yang menderita.

Lima sila ini ialah :

 

(i) Menghindari pembunuhan makhluk hidup

 

Seseorang tidak sepatutnya membunuh sebarang makhluk hidup dengan sengaja. Nyawa ialah barang yang paling berharga bagi semua makhluk hidup. Perasaan yang paling mencemaskan bagi semua makhluk hidup ialah apabila nyawa mereka berada dalam keadaan bahaya. Ia tidak menjadi kesalahan kepada individu yang membunuh tanpa niat. Berkenaan dengan tikus, lipas, semut dan lain-lain di rumah, memang benar bahawa kadangkala sukar untuk kita mengamalkan sila ini. Walau bagaimanapun, kearifan hendaklah digunakan untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik seperti menghalang binatang tersebut mendekati tempat simpanan makanan dan lain-lain.

Memburu binatang sebagai sukan amatlah tidak digalakkan kerana ia dianggap tidak mengambil kira kebajikan atau tidak mempunyai belas kasihan terhadap makhluk hidup lain. Perbuatan demikian akan menganiayai diri kita sendiri. Buddha dengan kearifan yang ada padanya membenarkan kita memakan daging hanya dengan tiga syarat :

(a) Seseorang itu tidak melakukan pembunuhan atau menyebabkan binatang itu dibunuh.

(b) Seseorang itu tidak melihat penyembelihan.

(c) Seseorang itu tidak mendengar suara tangisan binatang yang hampir mati.

 

Dengan tiga syarat ini, seseorang tidak boleh disalahkan (mengikut hukum Karma)

kerana ia tidak mempunyai niat untuk membunuh. Ini adalah seperti isteri dan anak pemburu yang hidup daripada hasil pembunuhan pemburu itu tidak boleh disalahkan kerana mereka (isteri, anak) tidak mempunyai niat untuk membunuh. Begitu juga dengan ibu yang melahirkan dan menjaga anak yang kemudiannya menjadi seorang perompak dan pembunuh. Ibu tersebut tidak seharusnya dipersalahkan/dipertanggungjawabkan terhadap jenayah yang dilakukan walaupun jenayah tidak akan berlaku sekiranya ibu tersebut tidak melahirkan anaknya.

Kita juga tidak dibenarkan menyebabkan atau mendorong ‘euthanasia’ (membunuh untuk meringankan penderitaan) seperti menggugurkan kandungan dan menggunakan pencegah kehamilan setelah telur dan sperma telah bersatu (iaitu setelah adanya kesedaran/nyawa).

 

(ii) Menghindari pengambilan barang yang tidak diberikan

Kecurian dianggap berlaku jika objek yang diambil itu dimiliki oleh seseorang dan ini diketahui oleh individu yang mengambil, serta mempunyai niat untuk mencuri. Seseorang tidak sepatutnya mengambil barang yang terjatuh atau tercicir oleh individu lain sekiranya ada kerana kemungkinan individu tersebut akan kembali untuk mendapatkannya – kecuali mengambil dengan niat untuk menyimpan dan memulangkan kembali kepada tuan punya.

 

(iii) Menghindari perbuatan perzinaan

Walaupun hubungan seks bukan dengan suami atau isterinya kadangkala tidak menganiayai diri sendiri atau orang lain, tetapi ia menimbulkan perasaan bersalah yang akan mengganggu hati. Ini mungkin merupakan alasan yang membawa kepada kemunculan penyakit baru seperti AIDS yang sukar untuk disembuhkan. Walau bagaimanapun, perbuatan zina biasanya akan membawa perbalahan antara suami-isteri yang mengakibatkan penceraian dan penderitaan kepada anak, ibu bapa, dan saudara mara.

 

(iv) Menghindari pengucapan yang tidak benar

Mengikut Buddha, terdapat dua panduan di dunia ini – malu untuk berbuat jahat dan rasa takut kepada pembalasan (celaan). Buddha menyatakan sekiranya individu dapat bercakap bohong dengan sengaja, dia tidak akan malu untuk melakukan sesuatu dengan mengikut kehendak hatinya. Individu dinilai melalui kata-katanya.

Dalam ucapan yang tidak benar juga, karma buruk daripada pertuturan seperti kata-kata kesat/kasar, kata-kata dengki (yang membawa kepada ketidakharmonian) dan perbualan kosong (yang tidak bermanfaat) perlulah dielakkan.

 

 

(v) Menghindari minuman keras yang dapat melemahkan kesedaran

Seseorang tidak seharusnya meminum arak (termasuk juga menghisap dadah) kerana ini akan melemahkan kebolehannya seperti lemah daya ingatan, tidak cekap kesedaran, lembap dan secara umum, seseorang akan menjadi lebih bodoh. Seseorang juga akan gagal memenuhi tanggungjawabnya, sebaliknya dia akan menghabiskan harta, menimbulkan pergaduhan dan pembalasan, secara umum, menyusahkan dan mengganggu orang lain.

Selain daripada lima sila ini, Buddha juga memberitahu bahawa orang awam seharusnya mengamalkan lapan sila – tiga tambahannya ialah menghindari makan selepas tengah hari (hingga fajar hari depan), menghindari daripada menonton dan menghiaskan diri, menghindari daripada menggunakan katil yang mewah (tinggi dan besar). Pengamalan lapan sila ini selama satu minggu sekali akan memberi berkat tinggi yang boleh membawa ke syurga.

Manfaat Mengamalkan Sila

Berkat yang diperoleh daripada mengamalkan sila bergantung kepada tahap kemurnian pengamal. Buddha memberitahu lima manfaat mengamalkan sila :

(a) Menjaga harta benda – individu yang tidak mengamalkan sila akan cenderung untuk menggunakan hartanya dengan boros di kelab malam, pusat pelacuran, meja judi, arak dan lain-lain. Perbuatan ini tidak dilakukan oleh mereka yang bersila.

(b) Mendapat nama baik – individu yang bersila yang tidak membunuh, mencuri, berzina, berbohong dan minum arak, biasanya akan dipandang mulia oleh orang lain.

(c) Berani menghadapi khalayak ramai – individu yang bersila tidak mempunyai alasan untuk rasa malu atau bersalah, oleh itu dia tidak mempunyai perasaan takut untuk bersemuka atau berucap di perhimpunan/khalayak ramai.

(d) Mati dengan fikiran yang tenang – individu yang bersila tidak akan rasa takut pada saat kematiannya kerana fikirannya murni/suci, hasil daripada amalan silanya yang memberi keyakinan dan keriangan. Walau bagaimanapun ramai orang mati dengan perasaan yang takut dan ngeri akibat daripada kehidupan yang tak bersila, khususnya mereka yang melanggar lima sila dengan serius (pada tahap yang dahsyat) , seumpama penyembelih.

(e) Kewujudan semula yang baik – individu yang mengamalkan sila akan hidup dengan aman damai dan akan dilahirkan semula di tempat yang baik.

Buddha juga menyatakan individu yang teguh kepercayaannya kepada Buddha, Dharma dan Sangha yang suci dan mematuhi sila boleh menyatakan dengan pasti bahawa beliau telah termasuk aliran (suci) ke arah pencerahan, dan tidak akan sesekali kembali lagi ke alam penderitaan kewujudan.

 

Mengawal Deria

 

Salah satu cara yang dapat membantu kita mengelakkan daripada melakukan kejahatan dan mengamalkan sila ialah mengawal rangsangan deria dan sentiasa berhati-hati. Enam organ deria kita iaitu mata, telinga, hidung, lidah, tubuh (berasas sentuhan) dan hati yang peka kepada enam objek deria – bentuk, bunyi, bau, rasa, sentuhan, dan fikiran. Apabila mengamati satu daripada enam objek, secara langsung timbulnya emosi/perasaan. Pada tahap ini, kita tidak dapat mengawalkannya, tetapi apabila melampauinya, cara kita bertindak balas pada keseluruhannya bergantung pada diri kita sendiri. Bermula daripada tahap ini, karma mula terbentuk kerana kemahuan kita mula bertindak. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati agar kita menghasilkan karma baik bukannya karma jahat yang akan menyebabkan kita menyesal kemudian hari. Contohnya apabila seseorang mengucapkan beberapa patah perkataan yang tidak menyenangkan hati kita, dengan segeranya timbul perasaan marah dalam diri kita. Sekiranya kita berhati-hati, kita akan berwaspada bahawa perasaan marah itu akan menyebabkan kita melakukan atau mengucapkan sesuatu yang tidak bermanfaat (yang jahat), oleh itu, kita akan meredakan kemarahan kita. Demikian itu, kita hendaklah menjauhkan diri daripada orang tersebut. Penglihatan juga merupakan satu daripada deria-deria yang harus diberi perhatian khusus kerana ia merupakan deria rangsangan (selain daripada pendengaran) yang mudah membawa kepada penghasilan karma jahat. Contohnya, apabila melihat gadis cantik, ia akan memarakkan nafsu. Bagi kaum lelaki yang beristeri, sekiranya dia berhati-hati, dia akan sedar akan tanggungjawabnya dan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak baik. Oleh itu hendaklah kita berhati-hati terhadap perasaan atau emosi agar tidak dihanyutkan olehnya.

 

Tidak Menyenangi Menerima Sila?

Sesetengah orang tidak mahu menerima sila (ataupun mendengar Dharma) kerana mereka berpendapat bahawa dengan berbuat demikian, mereka dikehendaki mengamalkan sila dan hukuman bagi melanggar sila adalah berat. Walau bagaimanapun (mereka berpendapat) dengan tidak menerima sila dan tidak mendengar Dharma, hukuman untuk melanggar sila dan dosa mereka adalah ringan kerana mereka sebenarnya tidak berjanji untuk mengamalkan sila, atau (bagi mereka yang tidak mendengar Dharma) mereka boleh memberi alasan atas kejahilan mereka.

Tetapi mereka gagal untuk memahami hukum Karma ialah kebenaran sejagat yang mengambil kira sama rata ke atas semua makhluk hidup sama ada ia menerima sila ataupun tidak dan juga tak kira sama ada mereka mengetahui ataupun tidak. Buddha bukan hanya menyampaikan sabda Dharma kepada penganutnya tetapi juga kepada semua makhluk. Buddha juga menyatakan sama ada para Buddha muncul ataupun tidak di dunia ini, masih terdapat keadaan Dharma yang tetap dan hukuman Dharma yang pasti – kebenaran abadi ini digunakan pada setiap masa. Makhluk hidup tidak sedar akan hakikat itu, oleh itu, Buddha mengajar dan menunjuk kepada kita. Sama ada kita mendengar Dharma ataupun tidak, kita masih tertakluk kepada hukum abadi ini. Sesiapa yang berbuat jahat (menganiayai) pasti akan menerima pembalasan penderitaan yang sepadan; begitu juga dengan sesiapa yang berbuat baik (bermanfaat) akan mendapat pembalasan kegembiraan yang sepadan.

2. MELAKUKAN KEBAIKAN

Ini bermakna hendaklah kita berbuat baik kepada orang lain. Manusia lazimnya mempunyai sifat/perangai mementingkan diri sendiri. Ini dapat diperhatikan pada kanak-kanak yang perlu dipujuk-rayu dan diajar untuk berkongsi atau memberi. Malangnya ramai orang masih mengekalkan sikap mementingkan diri sendiri dalam perangai (perwatakan) mereka walaupun mereka sudah dewasa. Kita seharusnya berusaha untuk menderma secara berterusan (dermawan) sehingga amalan itu menjadi sebahagian daripada cara hidup kita, bukannya bersifat kedekut/mementingkan diri sendiri.

Empat keperluan asas manusia untuk hidup ialah makanan, pakaian, perubatan dan tempat perlindungan. Ini juga merupakan empat keperluan asas bagi bhikkhu. Pemberian makanan membawa kepada umur panjang, kecantikan (tubuh), kegembiraan dan kekuatan. Oleh itu, penderma akan mendapat hasil yang sama pada masa hadapan. Antara empat keperluan asas ini, pemberian tempat perlindungan kepada para bhikkhu dari semua sudut (semua bhikkhu) - iaitu pembinaan vihara - akan mendapat berkat yang lebih mulia daripada memberi makanan kepada Buddha bersama sekumpulan bhikkhu kerana ia meneruskan Sangha (kumpulan bhikkhu).

Di dalam Anguttara Nikaya, Buddha menyatakan individu seharusnya menggunakan harta bendanya (kekayaannya) sebaik-baiknya dengan empat cara :

 

(a) Menggembirakan diri, keluarga dan rakan-rakan.

(b) Menyimpan wang untuk keperluan (kemalangan, sakit dan lain-lain) pada masa hadapan.

(c) Memberi kepada waris, tetamu, makhluk di syurga dan hantu (berkongsi berkat yang diperoleh daripada pemberian/derma dengan mereka).

(d) Memberi/menyembahkan kepada bhikkhu dan pertapa yang bersifat baik dan mengamalkan kehidupan yang suci.

Individu yang jujur memberi barangan yang bersih, yang menjadi pilihan, berpatutan dengan berhati-hati dengan tangannya sendiri (jika mudah) dan dia memberi secara berterusan. Dia juga memberi dengan bersopan-santun pada masa yang sesuai dengan hati yang tidak bercanggah (dengan gembira), dan dia memberi hadiah/barangan tanpa mencelakakan dirinya dan orang lain. Seseorang yang memberi dengan kekasaran, tanpa rasa hormat tetapi hina akan mendapat hasil kekayaan tetapi dia tidak akan dihormati dan dikutuk oleh orang lain sebagai balasannya. Pemberian pada masa yang sesuai/sepatutnya akan dianugerahi kekayaan pada waktu yang sepatutnya. Pemberian jika diberi dengan hati yang bercanggah (dendam), penambahan harta akan menyebabkan hati penderma tidak tertarik kepada kegembiraan yang diperoleh. Pemberian jika diberi tanpa menyebabkan kecelakaan (diri dan orang lain), penderma akan mendapat hasil kekayaan dan harta-bendanya tidak akan dicelakakan oleh api, banjir, pemerintah, pencuri dan lain-lain.

Buddha menjelaskan bahawa semasa menjawab soalan, sekiranya penderma memberi dengan mempunyai fikiran mementingkan diri terhadap ganjaran, dia akan mendapat ganjaran yang sedikit (berkat) berbanding dengan individu yang memberi tanpa mempunyai fikiran yang mementingkan diri yang akan mendapat ganjaran yang lebih baik. Ganjaran yang banyak akan juga diperoleh sekiranya pemberian kepada orang miskin dan juga sekiranya penerima adalah seorang yang mulia (suci). Terdapat empat lapangan untuk menanam jasa iaitu Buddha, Sangha, ibu dan bapa, yang mana pemberian kepada mereka akan dibalas dengan berkat yang amat besar. Buddha sudah tidak bersama kita. Sangha di sini bermakna bhikkhu-bhikkhu yang suci. Buddha menyatakan orang awam yang memberi keperluan yang digunakan oleh seseorang bhikkhu mampu mencapai kedamaian yang tak terhingga dalam penumpuan batin – kepada mereka, berkat yang tak terkira, tak terbilang(terhitung) datang melimpah, membawa ke alam syurga dan kepada orang yang disayangi riang dan kegembiraan. Ibu bapa kita ialah orang yang paling banyak kita hutang budinya. Gagal untuk menjaga ibu bapa akan menyebabkan kita mengumpulkan kesalahan yang berat. Selain melakukan kebaikan sendiri, menggalakkan orang lain untuk berbuat baik, membenarkan orang lain untuk berbuat baik ataupun memuji mereka yang berkelakuan baik masih mempunyai berkat untuk dicapai.

Apabila berbuat baik, kita hendaklah juga mengambil kira makhluk lain (tidak dapat dilihat) yang berdekatan dengan menyerah berkat yang dikumpul. Apabila kita melakukannya, setiap daripada mereka menerima berkat yang sama dengan yang kita kumpul sedangkan berkat kita tidak menyusut. Hantu yang hidup dengan hasil daripada pemberian orang lain menetap dekat dengan manusia dan kebiasaannya pulang ke rumah sanak saudara dan kawan, mengharapkan perkongsian berkat yang sangat diperlukan oleh mereka. Buddha juga menasihatkan kita supaya berkongsi sebarang berkat kepada roh (dewa) di rumah. Oleh itu, ia akan melakukan sesuatu dengan melindungi rumah dan menjaganya daripada gangguan makhluk jahat di luar.

Manfaat daripada dana (pemberian): individu itu akan disukai oleh individu yang mulia dan bijak; berita baik tersebar luas mengenai individu itu; individu itu berkeyakinan untuk menghadapi khalayak ramai, dan individu mendapat kelahiran semula yang baik.

Selain menghulurkan dana secara material, individu juga dapat memberi sumbangan tenaga (tubuh fizikal) atau kata-kata yang menarik (simpati, pujian, nasihat dan lain-lain). Sesetengah orang juga memberi atau mengabdikan seluruh hidupannya untuk pekerjaan yang mulia. Pemberian pengetahuan akan merupakan faedah yang tinggi kepada orang lain, contohnya, lebih baik mengajar individu itu menanggung kehidupannya (berguna sepanjang tempoh hidup) daripada memberinya makanan yang hanya dapat membantuinya satu hari. Antara kesemua pemberian, pemberian Dharma (ajaran Buddha – mengenai realiti atau kebenaran) ialah pemberian alam semula jadi (kewujudan) yang setiap makhluk perlu mengetahui supaya dapat mematuhinya dan dengan itu dapat menjauhi kesakitan dan penderitaan (dalam kehidupan ini serta yang akan datang).