Make your own free website on Tripod.com

SUMBANGAN BUDDHA KEPADA UMAT MANUSIA

 

Antara semua pengasas-pengasas agama dalam dunia ini tiada seorang pun kecuali Buddha mendakwa dirinya sebagai seorang manusia. Walaupun seorang manusia, beliau ialah seorang insan yang luar biasa. Beliau telah menyempurnakan dalam kelahiran tak terpermanai kesemua sepuluh  Dasa Paramita atau 10 Kesalihan Boddhisatta.

Dasa Paramita terdiri daripada : -

Dana                       - kedermawan (wakaf)

Sila                         - kesusilaan

Nekkhamma            - peninggalan kehidupan duniawi

Panna                     - kearifan

Viriya                      - kegigihan

Khanti                     - kesabaran

Sacca                     - kebenaran

Adhitthana              - tekad

Metta                       - kasih sayang suci

Upekkha                  - ketenangan hati

 

Beliau ialah seorang ACCHARIYA MANUSSA - seorang manusia yang luar biasa. Beliau tidak menganggap dirinya sebagai Tuhan malah beliau tidak menyuruh pengikut-pengikutnya menganggap dirinya sebagai Tuhan atau seorang dewa. Tetapi beliau boleh diberi penghargaan sebagai Devatideva,  guru kepada dewa ataupun raja kepada dewa.

 

Kebanyakan guru-guru agama menganggap diri mereka sama ada sebagai Tuhan, penjelmaan Tuhan ataupun diilhamkan oleh Tuhan. Buddha tidak mendapat sebarang ilham  atau kuasa luaran dari mana-mana Tuhan kerana beliau mengaitkan semua  kesedaran, kearifan dan pencapaiannya kepada usaha, ketekunan serta kebijaksanaan manusia. Setelah menyempurnakan Dasa Paramita, Buddha mendedahkan bahawa hanya manusia dan bukannya Tuhan atau dewa-dewa yang boleh mencapai matlamat agung kita, iaitu Pencerahan  (Enlightenment). Setiap orang mempunyai keupayaan untuk menjadi Buddha jika dia berazam untuk mencapainya dan berusaha bersungguh-sungguh. Menurut Buddha, kedudukan manusia adalah agung.  Manusia  ialah  tuannya  sendiri  dan tiada makhluk, kuasa atau entiti lebih tinggi yang dapat menentukan nasibnya. Beliau menasihati pengikut-pengikutnya supaya bernaung di bawah diri mereka sendiri dan jangan mencari perlindungan atau pertolongan di bawah naungan orang lain. Beliau mengajar, menggalak serta mendorong setiap orang untuk memperkembangkan kerohanian diri mereka sendiri dan mengusahakan pelepasannya sendiri daripada segala bentuk belenggu. Ini adalah kerana manusia mempunyai kebolehan untuk membebaskan dirinya melalui usaha,  kebijaksanaan serta keupayaan dirinya sendiri.

 

Buddha bukan sahaja seorang guru agama tetapi juga seorang pengubah sosial sebab beliau mengkritik dan juga berusaha untuk menyingkirkan unsur-unsur sosial negatif yang berleluasa semasa zaman kehidupannya. Justeru itu, saya ingin membentangkan beberapa daripada sumbangan Buddha kepada umat manusia :-

 

 

SISTEM KASTA

 

Semasa hidupnya Buddha pada kurun ke-6 S.M., sistem Kasta adalah suatu faktor hidup yang dominan dalam masyarakat. Buddha membantah bersungguh-sungguh terhadap sistem kasta kerana ia menghalang kemajuan manusia. Pada masa itu, menurut kepercayaan agama (orang Hindu), semua orang dibahagikan kepada empat kategori, misalannya 4 kasta atau kelas:-

 

a)       Brahmin  -   Mereka ialah kelas paderi dan dipercayai memegang kunci ke  syurga. Mereka dianggap dilahirkan daripada mulut Maha Brahma iaitu pencipta alam semesta ini.

 

b)       Khattiya - Kelas pemerintah.  Mereka terdiri daripada kerabat-kerabat diraja. Mereka dipercayai dilahirkan daripada pusat Maha Brahma.

 

c)       Vaishyas  - Mereka adalah peniaga-peniaga dan dipercayai dilahirkan daripada lutut     Maha Brahma.

 

d)       Sudras - Mereka ialah hamba abdi atau orang suruhan kepada tiga kasta di atas.  Mereka langsung tiada kebebasan dan dipercayai dilahirkan daripada kaki Maha Brahma.

 

Merujuk kepada apa yang  tersebut di atas Buddha bersabda :-

Bukan berdasarkan kelahirannya seseorang itu Harija,

Bukan  berdasarkan  kelahirannya  seseorang itu Brahmin,

Berdasarkan perbuatannya, seseorang itu Harija,

Berdasarkan perbuatannya, seseorang itu Brahmin.

 

Dalam Buddhisme, kasta atau warna kulit tidak menghalang seseorang daripada menjadi seorang Buddhis ataupun memasuki  Order Sangha.  Buruh yang membersihkan jalan, nelayan, tukang gunting dan juga Harija bersama-sama dengan Brahmin-Brahmin dan putera-putera raja,  semuanya dilayani sama rata tanpa mengira asal-usul mereka.

 

 

KEBEBASAN BERFIKIR

 

Ramai orang suka mengatakan bahawa "kami ialah ahli fikir bebas (free-thinker) dan  kami tidak mempunyai agama". Tetapi jika seseorang itu ialah ahli fikir bebas maka sudah pasti dia mestilah seorang Buddhis kerana Buddha menggalakkan kebebasan berfikir. Kebebasan berfikir bagi diri sendiri yang dibenarkan oleh Buddha tidak dapat dijumpai dalam sejarah agama lain, iaitu Kebebasan kepada keinsafannya sendiri tentang Kebenaran. Pelepasannya tidak bergantung kepada kurniaan Tuhan atau sebarang kuasa luaran sebagai suatu ganjaran kepada kelakuannya yang baik dan ketaatannya. Bhagava tidak pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya, “Berdoa dan percaya”. Beliau biasanya bersabda, “Datang dan mengerti, datang dan menyelidik. Jangan percaya apa jua semata-mata kerana keimanan (blind faith).

 

Dalam Buddhisme keimanan membuta tuli ini (blind faith) dikritik. Buddhisme menggalakkan penerimaan  sesuatu selepas  terdapat  keyakinan berdasarkan pengetahuan dan pemahaman.  Walaupun seorang Buddhis bernaung di bawah Buddha sebagai gurunya, ia tidak menyerah diri atau mengorbankan kebebasan untuk berfikir bagi diri sendiri. Tanpa mengorbankan kebebasannya sendiri, dia meningkatkan kerohanian sehingga menjadi seorang Buddha. Sesiapa yang ingin mencapai Nibbana pelepasan, hanya perlu bergantung kepada diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh dogma dan keimanan membuta tuli.

           

            Jlka anda membaca atau merujuk kepada Kalama Sutta, anda boleh memahami sejauh mana kebebasan berfikir yang telah diberikan oleh Buddha kepada pengikut-pengikutnya.

Buddha bersabda :-

"Jangan percaya kepada sesuatu semata-mata kerana anda sendiri pernah mendengarnya".

"Jangan percaya kepada tradisi-tradisi hanya kerana mereka telah diamalkan turun-temurun".

"Jangan percaya kepada sesuatu yang berdasarkan khabar angin".

"Jangan percaya kepada sesuatu semata-mata kerana ia didapati tertulis di dalam kitab suci anda".

"Jangan percaya kepada sesuatu semata-mata berdasarkan autoriti guru-guru anda dan orang-orang yang lebih tua".

"Tetapi selepas peninjauan dan analisis, apabila anda mendapati bahawa sesuatu perkara itu menyetujui dengan alasan yang munasabah, membantu dalam mencapai sesuatu yang baik  serta  menguntungkan semua pihak, barulah anda menerimanya dan hidup berdasarkannya".

 

Perkembangan rohaniah hanya wujud jika kebebasan berfikir dibenarkan. Perkembangan mental tidak boleh berlaku jika keimanan membuta tuli (blind faith)  lebih berleluasa. Kebebasan berfikir membawa kepada perkembangan mental manakala terlalu berpegang kepada dogma-dogma membawa kita menuju kepada kebuntuan dan kemunduran.

 

 

TARAF WANITA

 

Buddha meningkatkan taraf wanita dan menyedarkan golongan wanita tentang kepentingan mereka terhadap masyarakat. Sebelum kelahiran Buddha, wanita tidak diberi kedudukan yang berpatutan dalam masyarakat. Mereka tidak dilayan dengan baik. Semasa abad keenam S.M. kaum wanita dikawal oleh pembatasan Brahmin yang ketat dan tempat mereka dihadkan kepada bilik dapur sahaja.

 

Buat kali pertamanya dalam sejarah dunia, Buddha mengasaskan Sangha Bhikkhuni dalam tahun ke-5 Pencerahan Kebuddhaan beliau. Dengan tertubuhnya Sangha Bhikkhuni, kaum wanita berupaya melepaskan diri daripada belenggu yang berkaitan dengan masyarakat  India dahulu kala dan menikmati kebebasan sempurna. Oder ini ialah suatu kurniaan yang besar kepada mereka. Kaum wanita setelah memasuki Sangha Bhikkuni - permaisuri, puteri, janda,  hamba wanita mahupun perempuan jalang semuanya adalah sama darjat tanpa mengira kasta atau pangkat mereka. Mereka mendapat ketenangan jiwa serta ketenteraman yang sempurna selepas memasuki Oder tersebut.

 

Pada suatu ketika, Raja Kosala berasa tidak puas hati sebab buat pertama kalinya,  isteri beliau Permaisuri Mallika melahirkan seorang anak perempuan. Raja itu menganggap bahawa  adalah bernasib buruk untuk mendapat seorang anak perempuan. Buddha telah menolak  dakwaan tersebut dengan mengatakan, "0! Sang Raja, seorang anak perempuan  mungkin  kelak  nanti  terbukti lebih mulia daripada seorang anak lelaki." Ini menunjukkan bahawa Buddha memberikan suatu kedudukan yang tinggi kepada wanita pada 25 abad yang lalu dan golongan wanita terhutang budi kepada Buddha.

 

 

BELAS KASIHAN TERHADAP PESAKIT

 

Pada suatu hari,  semasa Buddha sedang berjalan di dalam Vihara, beliau ternampak seorang Bhikkhu yang sakit tenat. Bhikkhu itu dibiarkan begitu sahaja sebab ia telah dihinggapi  suatu penyakit kulit yang mengerikan. Buddha membantu merawat Bhikkhu yang sakit Itu dengan tanganNya sendiri. Kemudian dalam suatu perhimpunan agama, Buddha menjelaskan kepentingan menghulur bantuan kepada mereka yang menderita. Beliau bersabda, "Sesiapa yang melayani pesakit juga melayani saya." Berdasarkan prinsip ini, Maharaja Asoka buat pertama kalinya dalam sejarah tamadun manusia menubuhkan hospital-hospital bukan sahaja untuk manusia tetapi juga untuk haiwan-haiwan. Beberapa sutta penting yang diajar oleh Buddha adalah berkaitan dengan rawatan kepada pesakit-pesakit.

 

 

AHIMSA - tanpa kekerasan atau tanpa kekejaman

 

Buddha menasihatkan siswa-siswaNya mengamalkan kasih sayang suci bukan sahaja  terhadap manusia tanpa mengira kasta, kepercayaan atau warna kulit tetapi juga kepada haiwan.   Tiada seorang pun yang berhak memusnahkan nyawa makhluk hidup lain sebab nyawa adalah sesuatu yang sangat berharga kepada semua. Semasa kehidupan Buddha, pengorbanan binatang adalah satu amalan biasa di India. Semasa pengorbanan, banyak binatang seperti  kambing, lembu dan lain-lain dibunuh dan dipersembahkan kepada dewa-dewa dan dewi-dewi yang berlainan. Kadang-kala manusia pun dibunuh dan dipersembahkan. Mereka yang menjalankan pengorbanan-pengorbanan tersebut mempercayai bahawa dewa-dewa dan roh-roh yang berlainan itu akan berasa gembira dengan persembahan-persembahan tersebut. Selepas itu, mereka percaya mereka akan dikurniakan lebih banyak kebahagiaan serta kekayaan dan akan dilahirkan semula dalam syurga selepas mati. Buat kali pertamanya Buddhalah yang menentang pengorbanan binatang dan menasihati siswa-siswaNya untuk menentang  pengorbanan binatang dan untuk mengamalkan kasih sayang suci terhadap semua makhluk hidup.

 

Semangat bertoleransi adalah satu daripada kebudayaan dan tamadun Buddhis yang paling dihargai. Tidak terdapat satu contoh pun penganiayaan,  Perang Jihad atau pertumpahan darah untuk menukar agama orang lain ke dalam Buddhisme sejak 2,500 tahun dahulu.   Memaksa orang lain untuk memeluk agama tidak terdapat dalam Buddhisme.

 

Banyak sutta tentang keburukan yang bakal diterima hasil daripada membunuh dan akibat karmanya telah diberikan oleh Buddha. "SEMUA makhluk gentar pada saat kematian, semua makhluk takut kepada hukuman, ingatilah bahawa anda adalah seperti mereka dan jangan membunuh dan melakukan penyembelihan. Jika tiada apa jua pun, walaupun hujah yang munasabah dapat menggerakkan hati nurani seseorang, biarlah perasaan bahawa semua makhluk hidup benar-benar sayang pada nyawa mereka menimbulkan perasaan belas kasihan dalam dirinya. Oleh itu, dengan perasaan belas kasihan ini, diharapkan dia dapat mempraktikkan Ahimsa.”  Begitulah Buddha bersabda. Pencerahan yang dibawa oleh ajaranNya menerangi jalan untuk manusia melepaskan diri daripada belenggu samsara (kitaran hidup dan mati yang semula jadi) dan akhirnya mencapai Nibbana.

 

 

MENGAJAR KITA BERDIKARI

 

Buddhisme mengajar kita bahawa seseorang hanya boleh memperoleh pelepasannya  menerusi usahanya sendiri tanpa bergantung kepada pertolongan suatu kuasa luar yang ghaib.   Buddha tidak meletakkan Tuhan yang maha kuasa dan ghaib pada tahap yang lebih tinggi  daripada manusia, sebaliknya beliau telah meningkatkan nilai serta status manusia. Buddha mengajar siswa-siswaNya bahawa mereka tidak perlu mencari sumber-sumber luar untuk mendapat bantuan bagi mencapai matlamat mereka. Bergantung kepada orang lain untuk memperoleh pelepasan adalah negatif tetapi bergantung pada diri sendiri adalah positif.  Bergantung kepada orang lain bermakna menyerah diri tanpa sebarang usaha. Buddha menunjukkan dengan jelasnya bahawa kita sendiri yang harus berusaha. Buddha bersabda,  "Kamu harus berusaha sendiri, sebab Tathagata hanya mengajar caranya." Ini bermakna  Buddha menunjukkan jalan kepada pelepasan atau Nibbana dan terpulang kepada kita untuk  mengikut jalan itu untuk menyelamatkan diri kita. Itulah sebabnya Buddha selalu menasihati  pengikut-pengikutnya, "Individulah sebenarnya penyelamat dirinya sendiri. Tidak ada penyelamat  lain selain daripada diri sendiri. Dengan pengawalan diri yang cukup, penyelamat kita yang sukar dicari itu pun telah diperoleh."  Kita adalah penentu nasib kita sendiri, pembina neraka atau pencipta syurga kita sendiri.  Kita adalah waris karma, jasa dan cela kita sendiri, sebab tiada orang lain boleh bertanggungjawab ke atas nasib kita.

 

Kebebasan berfikir dan toleransi yang ditunjukkan oleh Buddha telah menakjubkan  penyelidik sejarah agama-agama di dunia.  Semasa kehidupan Buddha, di Nalanda terdapat seorang tuan yang terkemuka dan kaya bernama Upali.  Beliau telah dihantar oleh gurunya Mahavira untuk bertemu dengan Buddha dan berdebat dengan Bhagava tentang beberapa aspek tertentu dalam teori karma. Pendapat Buddha mengenai hal ini adalah berlainan dengan pendapat Mahavira. Pada akhir perbincangan itu, Upali telah yakin bahawa pendapat Buddha adalah betul dan pendapat gurunya adalah salah. Jadi, dia meminta Buddha menerimanya sebagai seorang siswa Beliau. Tetapi Buddha meminta Upali untuk menimbangkannya semula  dan jangan tergesa-gesa sebab "menimbang dengan teliti adalah penting untuk seorang yang ternama seperti anda."  Apabila Upali mengulangi hasratnya sekali lagi, Buddha memintanya terus menghormati dan menyokong guru-guru agamanya yang lama seperti biasa, walaupun dia kini menjadi siswa Buddha.

 

Dalam kurun ketiga sebelum Masihi, terdapat seorang  Maharaja Buddhis yang mulia di  India bernama Asoka. Beliau mengikuti contoh persefahaman dan toleransi yang mulia ini dan menghormati  serta menyokong semua agama lain dalam empayar beliau yang besar itu.  Pada suatu batu bersurat beliau yang dapat dibaca sehingga masa kini, Maharaja Asoka menasihati :-

"Seseorang tidak harus hanya memuliakan agamanya sendiri dan menyalahkan agama-agama lain, tetapi dia juga harus menghormati agama-agama lain untuk sebab-sebab tertentu (jika ia betul). Dengan berbuat demikian, seseorang membantu agamanya sendiri untuk berkembang di  samping berkhidmat kepada agama-agama lain. Jika dia berbuat sebaliknya, seseorang itu  diumpamakan menggali kubur agamanya sendiri dan juga membawa kecelakaan kepada  agama-agama  lain.  Sesiapa yang memuliakan agama sendiri dan memburuk-burukkan agama orang lain, berbuat demikian sesungguhnya kerana takwa kepada agamanya sendiri, dengan  berfikir "Saya akan mengagung-agungkan agama saya sendiri." Tetapi dengan berbuat demikian, sebaliknya dia melemahkan agamanya sendiri dengan lebih banyak lagi. Jadi, toleransi adalah sesuatu yang sihat.  Biar semua (insan) mendengar dan sanggup mendengar kepada ajaran yang diberi oleh orang lain."

 

 

SEPULUH TUGAS-TUGAS RAJA

 

Pertama  -  Kemurahan hati, sifat liberal dan sifat kedermawan  (dana).  Pemerintah tidak harus mempunyai nafsu kuat dan terlalu terikat kepada kekayaan serta harta benda tetapi  harus bermurah hati demi kebajikan rakyat.

 

Kedua     -  Mempunyai moral yang tinggi (sila). Baginda tidak harus membinasakan nyawa, mencuri, mempergunakan orang, berzina, berdusta dan mengambil minuman yang memabukkan. Baginda mesti sekurang-kurangnya mengamalkan Lima Peraturan Hidup iaitu Panca Sila.

 

Ketiga     -   Sanggup mengorbankan segala-galanya demi kebaikan rakyat (paricagga), baginda              

bersedia untuk melepaskan semua keselesaan hidupnya dan juga sanggup menggadaikan nyawanya demi kepentingan rakyat.

 

Keempat -   Mempunyai kejujuran dan ketulusan hati (ajjava). Baginda mesti bebas daripada ketakutan atau sifat bias semasa perlaksanaan tugas-tugasnya, mesti ikhlas dalam tujuannya dan tidak harus menipu orang ramai.

 

Kelima    -   Baik hati dan bersifat lemah-lembut (maddava).  Baginda mesti memiliki suatu perangai yang ramah-tamah.

 

Keenam  -   Kebiasaan berjimat cermat (tapa). Baginda mesti mengamalkan cara hidup yang sederhana dan tidak terjerumus dalam kehidupan yang mewah. Beliau harus mampu mengawal dirinya.

 

Ketujuh   -   Bebas daripada kebencian, dendam, permusuhan (akkodha).  Baginda tidak harus menyimpan dendam terhadap sesiapa pun.

 

 Kelapan  - Tanpa kekerasan (ahimsa) bermakna baginda bukan sahaja tidak melakukan sesuatu yang jahat kepada orang lain tetapi juga harus cuba untuk mengekalkan keamanan dengan mengelakkan dan menjauhkan diri daripada peperangan dan segala yang melibatkan kekerasan serta kebinasaan nyawa.

 

Kesembilan   -   Kesabaran, ketabahan, toleransi (khanti). Baginda mesti dapat menanggung kesengsaraan,  kesukaran dan cemuhan tanpa menjadi marah.

 

Kesepuluh     -  Tidak menentang dan menyekat (avirodha) iaitu baginda tidak harus menentang kehendak rakyat dan tidak harus menyekat sebarang yang penting untuk rakyatnya. Dalam erti kata lain, baginda mesti memerintah rakyat beliau dalam keadaan yang harmoni dengan kehendak rakyat.

 

Semasa kehidupan Buddha, ada pemerintah yang menguasai negara mereka dengan tidak adil seperti hari ini. Rakyat ditindas dan dieksploitasi, diseksa dan cukai yang terlampau tinggi dikenakan serta hukuman yang zalim telah dijatuhkan. Buddha berasa sedih melihat  tindakan-tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut dan telah menurunkan sepuluh  tugas-tugas seseorang pemerintah. Ini adalah untuk membimbing pemerintah serta  meningkatkan kedudukan kebajikan rakyat.

 

Oleh itu, kita boleh nampak bahawa penentangan sistem kasta, kebebasan berfikir, taraf  wanita, belas kasihan terhadap pesakit, tanpa kekerasan (Ahimsa), tanggungjawab  ke atas diri  sendiri (berdikari), toleransi agama dan sepuluh tugas-tugas seseorang pemerintah adalah beberapa daripada sumbangan Buddha kepada umat manusia. Kejayaan setengah-setengah idea ini dalam dunia hari ini telah menampakkan kepentingan sumbangan Buddha kepada umat manusia.

 

 

Buku ini diterjemahkan oleh Rakan-rakan SeDhamma, Universiti Sains Malaysia.