Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

Petikan daripada Cahaya Bodhi

Newsletter Berita Susulan Kursus Pendidikan Agama Buddha ke-5,
Persatuan Buddha Wakaf Bharu, Kelantan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Soal Jawab Dhamma

  1. Bagaimanakah dengan membaca Vandana dapat membantu kehidupan kita?

  2. Apakah yang diajar oleh Buddha berkenaan kuasa sakti (magic) dan ramalan hidup (fortune telling)?

  3. Sekiranya demikian, kenapa pula ada ramai orang yang mempraktik amalan tersebut dan mempercayainya?

  4. Apakah Dana?
  5. Apakah Kamma?

 

Soalan 1:

Bagaimanakah dengan membaca Vandana dapat membantu kehidupan kita?

Setelah memahami erti rangkap Vandana, apabila seseorang itu membaca "Namo tassa…." dengan penuh keyakinan dan jelas, ia akan meningkatkan keyakinannya terhadap Buddha, iaitu guru Agung yang menunjukkan jalan ke arah kebahagiaan mutlak. Keyakinan terhadap Buddha sebagai guru adalah amat penting dalam usaha mempraktik ajaranNya. Selain itu, ia juga dapat mententeramkan fikiran, dan meningkatkan konsentrasi minda seseorang.

 

Soalan 2:

Apakah yang diajar oleh Buddha berkenaan kuasa sakti (magic) dan ramalan hidup (fortune telling)?

Buddha menganggap amalan meramal masa depan, memakai rantai sakti untuk perlindungan, mencari tapak yang ‘bertuah’ untuk mendirikan rumah sebagai amalan kolot yang tidak berfaedah. Buddha sendiri melarang para pengikutnya daripada mempraktik amalan seumpama ini, walaupun mereka berupaya melakukannya. Buddha memanggil amalan seumpama ini sebagai ‘seni yang rendah nilainya’.

 

Soalan 3:

Sekiranya demikian, kenapa pula ada ramai orang yang mempraktik amalan tersebut dan mempercayainya?

Kerana ketamakkan, ketakutan dan kejahilan! Apabila seseorang memahami ajaran Buddha, dia akan menyedari bahawa hati yang suci berupaya melindungi dirinya dengan lebih baik berbanding dengan sebarang kertas, kepingan logam serta benda lain. Di dalam ajaran Buddha, kejujuran, keikhlasan, murah hati, pemahamam, kesabaran, serta nilai-nilai murni lain yang berupaya melindungi dan membawa kebaikkan kepada seseorang

 

Soalan 4:

Apakah Dana?

Dana bererti pemberian, iaitu satu perbuatan memberi dengan fikiran yang suci dan tulen untuk kebajikan dan kebahagiaan orang lain. Di dalam konteks Buddhisme, tujuannya ialah untuk menjauhi daripada fikiran-fikiran yang tidak sihat, mengurangkan perasaan kedekut, perasaan mementingkan diri dan perpautan yang terlampau yang akan menghasilkan ketidakbahagiaan dalam hidup.

Ramai orang mempunyai anggapan yang salah terhadap dana. Mereka berpendapat bahawa untuk melakukan dana seseorang itu mesti mempunyai banyak wang. Sebenarnya, dana tidak terhad kepada pemberian wang atau benda fizikal. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti menderma darah, membimbing, memuji, merangsang dan bersimpati terhadap orang lain. Semua yang tersebut tadi merupakan dana juga. Yang paling mudah dilakukan ialah dengan memberi senyuman atau mengucapkan ‘Selamat pagi’, ‘Apa khabar?’ dan ‘Hello’ serta berasa gembira bila melihat atau mengetahui orang lain melakukan perbuatan yang baik dan terpuji.

Menganjurkan atau mengelolakan aktiviti-aktiviti kebajikan serta menyumbang tenaga dan masa untuk badan-badan sukarela juga dianggapkan sebagai dana. Dalam kesemua pemberian itu, pemberian Dhamma dikelaskan sebagai pemberian yang termulia sekali. Ini boleh dilakukan secara langsung iaitu dengan memperkenalkan ajaran Buddha kepada orang lain, memberi sumbangan kepada penerbitan buku-buku Dhamma, menganjurkan kursus-kursus Dhamma dan sebagainya.

Walaupun begitu, apabila melakukan dana, kita tidak sepatutnya mengharapkan sesuatu ganjaran daripada perbuatan itu seperti nama, kemashyuran ataupun ucapan "terima kasih". Dana seumpama ini merupakan dana yang paling rendah nilainya, dikenali sebagai hina dana dalam bahasa Pali. Sepatutnya kita mesti menyembahkan dengan fikiran yang suci dan ikhlas tanpa perasaan tamak atau benci. Semasa membuat dana, pastikan minda kita sentiasa sedar sebelum, semasa dan selepas kita melakukannya. Pemberian seumpama ini merupakan yang tertinggi nilainya, yang dikenali sebagai patani dana.

Akhir kata, ingatlah bahawa dana merupakan satu perbuatan yang baik, tidak kira jumlah ataupun mutu benda pemberian tersebut. Lakukannya dengan fikiran yang suci dan jujur dan ia pasti membawa kebahagiaan pada masa kini dan hari depan. Umpamanya dengan memberi ataupun berkongsi Cahaya Bodhi dengan kawan-kawan lain supaya mereka juga dapat memperoleh pemahaman Dhamma dan seterusnya dapat menerangi kehidupan mereka.

Ingatlah senyuman J juga sejenis dana!

Soalan 5:

Apakah Kamma?

Pemahaman yang betul tentang hukum Kamma (Sanskrit, Karma) adalah amat penting untuk setiap umat Buddhis. Sering kali kita mendengar orang ramai menyebut tentang Kamma, umpamanya, "Terima sahajalah akibatnya, memang itu Kamma anda....." Terdapat kekeliruan pada penyebut kata tadi, kita akan lihat apakah kekeliruan tersebut dan apakah ia sebenarnya hukum Kamma di dalam ruangan ini.

Kamma bermaksud ‘perbuatan yang berniat’. Segala bentuk perbuatan berniat, sama ada dalam bentuk mental, pertuturan, ataupun fizikal dianggap sebagai Kamma. Segala perbuatan yang dilakukan tanpa niat bukan Kamma. Akibat ataupun hasil daripada Kamma dipanggik Vipaka. Vipaka adalah berciri semula jadi dan bertindak balas kepada Kamma.

Kamma bukan nasib atau takdir. Sekiranya ia adalah sedemikian, tiada gunanya kita bersusah payah untuk mengubah kehidupan kita ke arah yang lebih baik. Apa yang paling penting dalam pembelajaran Kamma ialah untuk memahami bahawa kita mempunyai kebebasan untuk menentukan arah tujuan kehidupan kita. Namun, kita haruslah bertanggung jawab terhadap kebebasan ini kerana sekiranya kita tersalah gunakannya, kita juga yang akan menderita akibat daripada perbuatan jahil kita.

Kamma Terpuji dan Kamma Keji

Perbuatan yang dilakukan dengan niat ketamakan (lobha), kebencian (dosa) dan kejahilan (moha) dikatakan sebagai perbuatan keji (akusala Kamma), manakala perbuatan yang dilakukan dengan niat ikhlas: murah hati, cinta-kasih dan pemahaman yang betul dikatakan sebagai perbuatan terpuji (kusala Kamma).

Bagaimana Kamma berfungsi?

Buddha menafikan wujudnya satu kuasa tuhan yang mengawal dan menentukan kehidupan seseorang. Semasa mencapai pencerahan, Buddha telah memahami bahawa semua benda hidup adalah tertakluk kepada hukum sebab dan akibat. Kehidupan sekarang berpunca daripada akibat kehidupan lampau, dan kehidupan masa hadapan akan bergantung kepada kehidupan lampau dan kehidupan sekarang.

Kamma bertindak terhadap semua orang. Ia tidak sama sekali pilih kasih. Umpama seseorang yang melompat ke atas akan jatuh kembali, tidak kira sama ada orang itu seorang budak kecil yang tidak memahami hukum graviti, mahupun seorang dewasa. Setiap tindakan ada tindakbalasnya. Tanam ubi dapat ubi, tanam jagung dapat jagung.

Bagaimanakah Memahami Kamma Dapat Membantu Kita?

  • Kamma menerangkan ketidaksamaan di kalangan manusia - Kita sering dapat perhatikan bahawa wujudnya perbezaan di kalangan manusia: bahagia-derita, kaya-miskin, bijak-bodoh, senang-susah, sihat-uzur, dan sebagainya. Dengan itu, kita harus bersyukur terhadap segala-gala yang kita miliki sekarang, dan kita patut bersikap kesederhanaan.
  • Bertekad untuk berbuat baik dan menjadi seorang anak yang baik, menyedari bahawa semua perbuatan akan ada balasannya yang setimpal dan adil.
  • Berkeyakinan tinggi, menyedari bahawa Kamma adalah adil kepada semua makhluk dan tiada satupun yang dapat mengelakkannya.

Menurut Buddha, alam manusia (manussa loka) merupakan alam yang terbaik di antara semua alam kewujudan, kerana hanya hanya di situ wujudnya peluang untuk memperkembangkan mental dan untuk mencapai pencerahan. Manusia mengalami pengalaman kebahagiaan dan ketidakpuasan yang lebih kurang sama. Saiz dan struktur otak manusia membolehkan mereka mencapai tahap kesedaran yang amat luas, dan memberi manusia keupayaan untuk berfikir, menilai dan ingat. Manusia juga memiliki bahasa yang amat maju, membolehkan penyampaian Dhamma berlaku dengan berkesan. Buddha pernah bertanya:

"Manakah yang lebih banyak – pasir pada kuku jari saya, ataupun pasir pada muka bumi?"

"Yang Mulia, amat banyak pasir di atas bumi dibandingkan dengan yang ada pada kuku jari Yang Mulia. Mereka berdua tiada bandingannya."

"Demikianlah juga amat kurangnya makhluk yang dilahirkan sebagai manusia. Amat jauh lagi bilangan makhluk yang dilahirkan di luar alam ini. Oleh itu, latihlah diri anda, dan sentiasa ingat untuk menjalani kehidupan bererti"

¯


Kembali ke Laman Utama