Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

SIMBOL-SIMBOL AGAMA BUDDHA

  1. AIR
  2. Ia merupakan simbol suci dan bersih. Penyembahan air di sini menandakan penghapusan kecemaran batin dan rohani.

  3. BENDERA BUDDHIS
  4. Dalam tahun 1880, bendera Buddhis telah dicorakkan oleh J.R. de Silva dan H.S. Olcott untuk menandakan kebangkitan semula Buddhisme di Sri Lanka. Bendera ini telah digunakan buat pertama kalinya dalam tahun 1888 semasa meraikan Hari Wesak sebagai cuti awam. Dalam Persidangan Persaudaraan Buddhis Antarabangsa yang pertama pada Mei-Jun 1950 di Colombo, Sri Lanka, bendera ini telah diikhtiraf sebagai simbol Buddhisme Antarabangsa. Bendera yang mempunyai 6 warna ini terdiri daripada enam jalur tegak yang berwarna biru, kuning keemasan, merah, putih, jingga dan satu lagi ialah campuran kelima-lima warna itu. Keenam warna ini digunakan kerana cahaya warna-warna ini dipancarkan dari tubuh Buddha semasa pencerahan.

  5. BUAH-BUAHAN
  6. Ini menandakan bahawa dengan ketekunan, barulah kita mendapat hasil. Hasil ini adalah kejayaan yang kita capai.

  7. BUNGA
  8. Ia digunakan untuk menyatakan perasaan berterima kasih kepada Buddha dan mengingati kita mengenai ketidakkekalan. Kewujudan kita atau jasad kita diumpamakan seperti bunga yang akan layu dan gugur. Oleh itu, kita tidak sepatutnya berpaut kepada kecantikan fizikal, tidak juga kita menyukai seseorang berdasarkan wajahnya. Kesemua ini tidak kekal lama. Walau bangaimanapun, ini tidak bererti kita harus bersikap negatif. Sebaliknya kita harus bertekun untuk mengembangkan personaliti kita dan seterusnya menyempurnakan diri kerana jasad kita tidak kekal lama.

  9. BUNGA TERATAI
  10. Bunga teratai, terutamanya yang berwarna biru dan putih, menggambarkan perkembangan rohani. Bunga ini berkembang dengan cantik dan sempurna wlaupun tumbuh dalam lumpur yang kotor. Manusia juga berada dalam lumpur kejahilan. Dengan mengikuti Ajaran Buddha, kita akan dapat keluar dari keadaan kejahilan ini dan mencapai pencerahan.

  11. CAHAYA
  12. Lilin atau lampu minyak yang dinyalakan di depan imej Buddha membawa maksud simbolik kebinjasanaan dan belas kasihan. Cahaya diibaratkan sebagai Ajaran Buddha, mencerahkan keadaan kegelapan dan menyedarkan kita akan kejahilan dan ketamakan yang ada pada kita. Apabila kita berkelakuan buruk dan tidak dapat mengawal diri kita, kita seperti berada dalam keadaan gelap. Cahaya yang disembahkan di depan imej Buddha itu mengingatkan kita supaya jangan berada dalam kegelapan ini. Ia membimbing kita ke jalan yang benar.

  13. DUPA
  14. Dupa, sama ada dalam bentuk serbuk atau colok, dibakar untuk melambangkan perbuatan menyucikan fikiran atau jasad kita. Pembakaran dupa akan melepaskan asap yang harum ke udara. Dari jauh kita sudah dapat menghidunya. Begitu juga perbuatan dan niat baik kita akan dirasai oleh orang ramai. Dupa yang membakar adalah seperti dengan kewujudan kita. Serbuk dupa atau colok diibaratkan jasad kita dan hujung colok yang membakar diibaratkan hati atau pemikiran kita sentiasa dalam keadaan berubah.Tanpa pembakaran, dupa tidak membawa apa makna dan tanpa hati, jasad tidak akan wujud. Selepas satu masa, colok atau dupa habis dibakar, ataupun apabila keadaan yang tidak sesuai wujud, dupa dan colok akan terpadam. Ini mencerminkan Ketidakkekalan (Anicca), penderitaan (Dukkha) dan Ketidakakuan (Anatta).

  15. RODA PERATURAN (DHAMMA-CAKKA)
  16. Roda yang sentiasa bergerak ini mewakil sifat dinamik Ajaran Buddha atau Dhamma. Ajaran Buddha adalah seperti sebuah roda yang sentiasa diputarkan, iaitu kita sentiasa mengamalkan AjaranNya. Lapan ruji mewakil Jalan Lapan Lapis Mulia. Ini bermaksud jika kita mengikuti dan mengamalkan corak hidup kita yang berasaskan kepada Jalan Lapan Lapis Mulia ini, kita akan mengenali kebenaran hidup, mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan.

  17. SWASTIKA
  18. Tanda yang terdapat di dada Buddha. Ia merupakan tanda kesejahteraan.

  19. CARA MENGIRA KALENDAR BUDDHIS

Oleh kerana rekod-rekod mengenai kelahiran, pencerahan dan memasuki Nirvana Buddha daripada 2 Mazhab Buddhis(Aliran Utara dan Selatan) agak berlainan, maka dalam Persidangan Persaudaraan Buddhis Antarabangsa yang pertama pada Mei-Jun 1950 di Colombo, Sri Lanka, beberapa persetujuan telah dicapai seperti berikut:

    • Kelahiran Buddha: pada 623 SM, hari bulan purnama yang pertama dalam bulan Mei.
    • Menjadi sami: semasa Baginda berusia 29 tahun.
    • Mencapai Pencerahan: pada 588 SM, semasa berusia 35 tahun, Baginda melihat bulan purnama bulan Mei.
    • Memasuki Nirvana: pada 543 SM, setelah bersyarah selama 45 tahun, pada usia 80 tahun, Baginda memasuki Nirvana pada tengah malam bulan purnama bulan Mei..

Tahun pertama kalendar Buddhis bermula pada tahun Buddha memasuki Nirvana (meninggal dunia). Cara mengiranya ialah : 543 + 1994 = 2537. Hari Wesak adalah tahun baru Buddhis. Selepas hari itu terpaksalah tambah 1 tahun. Dengan demikian, selepas hari Wesak tahun ini, kalendar Buddhis ialah tahun 2538.

 

 

e:\pbwb\simbol.doc\phk20111994