Make your own free website on Tripod.com
Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

 

SEJARAH BUDDHISME DI MALAYSIA

Sejarah Buddhisme di Malaysia boleh dibahagikan kepada 2 peringkat :

 

1. PERINGKAT AWAL:

Pada awal kurun Masehi, seperti yang disebutkan oleh Dr. Coedes dalam bukunya, Indianized States of South East Asia, "Warisan kebudayaan Orang India di Asia Tenggara dapat dibuktikan daripada corak kebudayaan yang terdapat di Semenanjung dan Tanah Besar Asia Tenggara; Bahasa Sanskrit telah menjadi ansur bahasa tempatan; dan unsur-unsur tradisi orang India masih terdapat di negara-negara yang bertukar kepada Islam." Tetapi Prof. D.G.E. Hall, dalam bukunya A History of South East Asia, percaya bahawa kebanyakan tradisi India telah mengubahsuai apabila bertentangan dengan tradisi tempatan, misalnya sistem kasta tidak pernah dipraktikkan di sini. Akan tetapi fakta ini tidak boleh dihapuskan iaitu aktiviti perdagangan dan perniagaan telah menarik ramai pedagang India datang berdagang di Asia Tenggara. Pedagang-pedagang ini membawa bersama kebudayaan, ugama serta kesenian mereka ke rantau ini.

Untuk menentukan bilakah Buddhisme mula-mula wujud di Semenanjung Melayu, maka kita memerlukan 3 jenis sumber yang penting:

1. rekod orang China di People's Republic of China,

2. rekod buddhis dan orang India dan

3. bukti-bukti arkeologi.

Banyak barangan yang digali dari tanah oleh ahli arkeologi membuktikan bahawa bahagian utara Tanah Melayu, iaitu Negeri Kedah, pernah dipengaruhi oleh kebudayaan awal Buddhisme.

Pada pertengahan kurun ke 3 sebelum masehi, selepas Kausil Buddhis Ketiga, Maharaja Asoka telah menghantar dua orang Bhiksu, iaitu Ven. Sona dan Ven. Uttara datang ke rantau ini untuk menyebarkan agama Buddha.

Pada kurun yang ke 5, Buddhisme telah berkembang dengan baik di Semenanjung Melayu. Exkavasi arkeologi bukan hanya terhad di Kedah sahaja, tetapi didapati di Kuala Selinsing, Tanjung Rambutan, Lembah Kinta, Bidor dan Sungai Siput di Perak, di Perlis dan juga di Pahang.

Langkasuka merupakan sebuah negara Buddhis yang pertama, ia ditubuhkan pada kurun masehi ke 2 dan berpusat di Banjaran Gunung Jelai, kemudian ia mengembangkan kuasanya ke bahagian Selatan Negeri Thai.

Pada kurun ke 7, Buddhisme Mahayana telah menjadi sistem Buddhisme yang lebih diterima oleh rakyat Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa itu, Tanah Melayu berada di bawah kuasa Srivijaya, sebuah empayar Buddhis yang berpusat di Pulau Jawa.

Agama Hindu telah mengalami kebangkitan semula di India pada kurun ke 10, maka Agama Buddha kehilangan sokongan yang diberi oleh istana serta golongan bangsawan. Kejatuhan pengaruhnya di India telah mempengaruhi kekuasaannya di Asia Tenggara. Pada akhir abad ke 12, empayar Srivijaya mengalami kejatuhan, begitu juga halnya dengan pengaruh Buddhisme. Pada awal kurun ke 10, Parameswara mendirikan Empayar Melaka. Apabila Parameswara dan Raja-Raja lain menganuti Agama Islam, agama tersebut telah menjadi agama utama di rantau ini. Sehingga abad ke 15, Islam telah berjaya mengambil alih kedudukan Buddhisme sebagai agama yang utama diterima oleh istana dan rakyat biasa, lantas Buddhisme di Tanah Melayu pada masa itu mengalami kemerosotan.

Walaupun begitu, masih terdapat banyak peninggalan kebudayaan Buddhisme di Kedah, Perlis dan Kelantan akibat pengaruh Negeri Thai. Unsur-unsur Buddhisme masih terbukti dalam drama Menora dan wayang kulit.

 

2. PERINGKAT KOMTEMPORARI:

Penghijrahan beramai-ramai orang China ke Tanah Melayu pada abad ke 17 merupakan arus ombak yang kedua. Pada masa itu, Buddhisme hanya merupakah upacara amalan yang penuh dengan kepercayaan dan kebudayaan Cina. Hanya pada tahun 1950, barulah terdapat penganut Buddha yang cuba meningkatkan status dan kedudukan Buddhisme. Dengan tertubuhnya banyak organisasi buddhis, termasuk YBAM (Young Buddhist Association of Malaysia) dan MBA (Malaysian Buddhist Association), maka wujudlah satu suasana yang baru yang menyatupadukan para Buddhis.

Satu perkembangan lain yang penting ialah terdapatnya pengaliran masuk bentuk-bentuk Buddhisme yang dipengaruhi oleh kebudayaan-kebudayaan Thai, Sri Langka, Burma, Jepun dan Tibet. Ini telah membentuk Buddhisme di Malaysia yang pelbagai rupa bentuk.

Kebanyakan organisasi Buddhis di negara ini mengamalkan sama ada Bahasa Cina atau Bahasa Inggeris atau kedua-duanya sekali. Tetapi Persatuan Buddha Wakaf Bharu adalah yang unik sekali. Ianya boleh dikatakan organisasi yang pertama di Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia untuk menyebar Ajaran Buddha kepada ahli-ahli serta orang ramai.

Walaupun fakta sejagat ketidakkekalan ANICCA sentiasa mempengaruhi perbuatan kita, tetapi demi bangsa dan ugama, marilah kita bersama-sama membakti, membantu, mendidik agar generasi kini dan akan datang dapat menghayati dan mengamalkan Ajaran Buddha untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara kita Malaysia.

 

Disediakan oleh POH KIM HEE 27/7/89.

Rujukan: Bahan keluaran YBAM: Benny Liow: An Outline of Buddhism in Malaysia.

 

 

Berita dari Nanyang Siang Pau 22/11/87 (AHAD)

Sebuah kuil Buddhis yang dipercayai dibina di antara abad ke 10 hingga 12 telah ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia di Lembah Bukong, dekat Merbok, di Kedah Tengah.

Dengan pertemuan tersebut, bilangan kuil-kuil Buddhis yang bersejarah telah bertambah ke 17, yang mana 9 daripadanya telah dibina semula.

Pasukan ini diketuai oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Dr. Maya serta AJK Arkeologi Muzium En. Kamarudin Zakaria.

Apabila ditemuramah, En. Kamarudin menegaskan bahawa kawasan, di mana kuil itu dijumpa, pada awal 1985, telah dipilih oleh UKM untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk membuat kajian arkeologi. Di kawasan yang sama, terdapat dan dikenalpasti bahan-bahan kaca dan tembika yang dibawa dari Negara Belanda dan China di antara abad 9 hingga 16.

 

Berita dari Nanyang Siang Pau 22/10/94 (Sabtu)

Pakar Pengajian Sejarah Negara China, Prof. Shi Shu-qing, semasa memberi syarahan mengenai bahan sejarah di KL, membawa bersamanya 2 keping gambar lukisan. Gambar-gambar itu adalah hasil lukisan orang China yang melukis orang-orang dari Langkasuka datang ke Negara China untuk mempersembahkan upeti. Dalam gambar itu, jelas kelihatan pakaian mereka dan kesemua mereka itu berkaki ayam. Perhubungan antara kedua-dua negara ini berlaku lebih kurang 1500 tahun yang lalu.

 

 

SEJARAH PERGERAKAN BELIA BUDDHIS DI MALAYSIA

Pergerakan belia Buddhis di Malaysia bermula pada tahun 1955, iaitu apabila seorang Bhikkhu yang berbangsa Amerika, Ven. Sumangalo, mengasaskan Kumpulan Belia Persatuan Buddhis Pulau Pinang.

Sehingga tahun 1958, hasil dari usahanya, banyak persatuan belia Buddhis telah diasaskan, ai antaranya termasuk Kumpulan Belia Persatuan Buddhis Melaka, Kumpulan Belia Wat Buddha Jayanti, Kumpulan Belia Persatuan Buddhis Kelantan, Persatuan Belia Buddhis Kedah dan Persatuan Belia Buddhis Selangor.

Penubuhan Persatuan-Persatuan Belia Buddhis ini telah telah membawa kepada tersidangnya Perhimpunan Belia Buddhis Kebangsaan yang pertama pada Disember, 1958. Kejayaan penting yang dicapai ialah tertubuhnya Kesatuan Persaudaraan Buddhis Malaysia. Setelah itu, tiga lagi perhimpunan tersebut diadakan, masing-masing bertempat di Melaka (1960), Kuala Lumpur (1962) dan Kuala Terengganu (1964). Sehingga 1965, 11 buah Persatuan Belia Buddhis menyertai Kesatuan Persaudaraan Buddhis Malaysia, iaitu separuh dari jumlah Persatuan Buddhis yang tertubuh di Malaysia pada ketika itu.

Pergerakan Kesatuan tersebut berhenti pada tahun 1965 dan berterusan selama 5 tahun.

Oleh kerana Ven. Sumangalo merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap perkembangan awal pergerakan belia Buddhis di Malaysia, beliau dikenali umum sebagai Bapa Belia Buddhis Malaysia.

Persatuan Belia Buddhis Malaysia telah ditubuhkan hasil daripada seminar belia Buddhis yang pertama diadakan pada 25hb hingga 29hb Julai 1970 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sejumlah 17 buah Persatuan Belia Buddhis menghantar wakil untuk menyertai seminar tersebut yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Buddhis Selangor.

Para belia Buddhis ini berpendapat bahawa kekurangan semangat untuk mengembangkan Agama Buddha telah menyekat perkembangan Buddhisme di Malaysia. Belia Buddhis haruslah bersatupadu, bergembeleng tenaga manusia, kewangan dan material lain untuk membentuk wajah baru Buddhisme, mempertingkatkan perpaduan dan memberi sumbangan yang lebih besar dalam perkembangan Buddhisme serta peradaban bukan-material di Malaysia.

Seminar tersebut berbincang sama ada perlu atau tidak untuk menyusun semula Kesatuan Persaudaraan Belia Buddhis Malaysia yang telah lama tidak aktif, ataupun membentuk satu pertubuhan baru. Setelah perbincangan hangat diadakan, para perwakilan bersetuju menubuhkan Persatuan Belia Buddhis Malaysia (Young Buddhist Association of Malaysia, YBAM). Persatuan tersebut berperanan untuk menyatupadukan umat Buddhis dari pelbagai kaum dan sektarian serta membentuk Buddhisme ala-Malaysia.

Setelah tertubuhnya YBAM, banyak Persatuan Belia Buddhis di seluruh negara memohon untuk menjadi ahli. Banyak Persatuan Belia Buddhis yang ada sekarang di seluruh negara merupakan hasil usaha YBAM, dan Persatuan-Persatuan ini giat menyertai program menyebarkan Ajaran Buddha yang dianjurkan oleh YBAM. Beribu-ribu belia mulai menerima ajaran Buddha, mempelajari sutra (sutta), sila dan sastera Buddhisme, serta menjalani cara hidup yang berdasarkan Ajaran Buddha. YBAM telah berusaha dengan gigih dan ia berjaya meningkatkan suata gerak kuasa dalam pemelajaran Buddhisme di seluruh negara.

Setakat ini tahun 1994, terdapat lebih 260 buah pertubuhan Buddhis menyertai YBAM, termasuklah Persatuan Buddha Wakaf Bharu, ini telah menyebabkan YBAM bertindak sebagai satu gentera perpaduan dan perhubungan baik umat Buddhis di Malaysia.

YBAM ialah wakil belia Buddhis yang tunggal yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan. YBAM juga menganggotai Jawatankuasa Belia Malaysia dan Jawatankuasa Perunding Belia Negara. YBAM aktif menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Kerajaan dan sentiasa mendapat bantuan dari Kementerian Belia dan Sukan.