Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

Petikan daripada Cahaya Bodhi

Newsletter Berita Susulan Kursus Pendidikan Agama Buddha ke-5,
Persatuan Buddha Wakaf Bharu, Kelantan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Selamat Menyambut Hari Dhamma

Salam metta dan bahagia kepada anda sekalian. Bertemu kembali kita pada Cahaya Bodhi edisi kedua yang diterbitkan pada bulan yang amat sesuai sekali, iaitu pada bulan Asalha (bulan Julai). Menurut kalender Buddhis, tarikh 27hb Julai pada tahun ini dikenali sebagai "Hari Dhamma" dan ia merupakan hari yang kedua paling penting selepas Hari Wesak. Apakah ia "Hari Dhamma" dan mengapakah ia penting kepada seorang Buddhis?

Pada hari bulan purnama bulan Asalha, iaitu dua bulan selepas Hari Wesak, umat Buddhist di seluruh dunia ‘menyambut’ Hari Dhamma. Kita memperingati hari suci tersebut kerana pada 2588 tahun yang lampau, Buddha telah menyampaikan khutbahnya yang pertama - Dhammacakkapavattana Sutta kepada lima orang bhikkhu di Taman Rusa, Isipatana. Selepas mendengar khutbah berkenaan Empat Kebenaran Mulia ini, Yang Mulia Kondañña telah berjaya mencapai tahap Sotapati, menjadi seorang Ariya Sangha. Ini secara langsung telah
melahirkan permata yang ketiga, iaitu Sangha ke dunia ini.

Anda mungkin bertanya bagaimanakah caranya untuk kita memperingati hari yang amat mulia ini? Buddhisme tidak menggalakkan sambutan ataupun perayaan secara keterlaluan yang boleh merangsang dan menyeronokkan deria kerana perbuatan seumpama ini hanya akan menambah perpautan serta nafsu terhadap keseronokan deria dan seterusnya mengaburi minda kita. Kita sebagai pemuda-pemudi Buddhis yang telah mempelajari Buddhisme sejak sekian lama seharusnya tahu perbezaan di antara perkara yang terpuji dan perkara yang harus dielakkan. Perkara yang terpuji adalah perlakuan yang dipuji oleh yang bijaksana dan sekiranya diamalkan, akan membawa kebahagiaan, berkat serta pahala kepada semua.

Di sesetengah tempat, pada malam sebelum Hari Dhamma, umat Buddhis akan akan berkumpul di wat dan membaca ayat-ayat suci (chanting). Pada keesokkan hari, mereka lazimnya mengamalkan Attha Sila (Lapan Peraturan) dan sepanjang hari tersebut mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti berkenaan dengan Dhamma, seperti mendengar ceramah agama, meditasi, membersihkan kawasan wat, membuat dana dan sebagainya.

Sekiranya anda tinggal di kawasan berdekatan wat, bolehlah anda turut serta. Sekiranya tidak, anda juga digalakkan untuk melakukan sesuatu yang bererti (kusala kamma) pada hari tersebut. Sekiranya dilakukan dengan penuh keyakinan dan mengikut pemahaman yang betul, ia (kusala kamma) akan membawa banyak pahala, dan pada masa yang sama akan menyucikan fikiran kita dengan mengurangkan akusala mula, iaitu ketamakan(lobha), kebencian(dosa) dan kejahilan(moha) di dalam minda kita.

Saya berharap Hari Dhamma tahun ini akan meninggalkan kenangan manis yang bererti kepada anda dalam usaha meneroka jalan cahaya Dhamma.

Semoga jasa-jasa yang anda lakukan akan membawa kebahagiaan kepada kehidupan anda dan sekeluarga. ¯

Sadhu! Sadhu! Sadhu!

Oleh Sumangala.