Kembali ke Laman Utama
Buddhisme dalam Bahasa Malaysia

Petikan daripada Cahaya Bodhi

Newsletter Berita Susulan Kursus Pendidikan Agama Buddha ke-5,
Persatuan Buddha Wakaf Bharu, Kelantan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Cahaya Bodhi – Menemukan Kita Kembali


Saya percaya anda mungkin agak terkejut apabila menerima newsletter ini, dan masihkah anda ingat kepada Cahaya Bodhi? Iaitu berita yang setiap kumpulan ditugaskan untuk buat pada sebelah malamnya sebelum tidur – untuk dipamerkan pada keesokkan harinya.

Semasa rencana ini ditulis, Kursus Pendidikan Agama Buddha Ke-5 yang telah berlangsung selama 5 hari di Wat Pracacinaram telah 3 minggu meninggalkan pelbagai kenangan dan pengalaman menarik kepada setiap peserta. Semoga dengan menghadiri kursus tersebut, anda telah memperolehi atau memperdalami pemahaman anda tentang Buddhisme. Saya percaya pengalaman anda daripada kursus tersebut telah sedikit sebanyak membantu anda dalam kehidupan harian yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. Masih ingatkah anda sekalian pada upacara perarakan lilin pada malam terakhir? Di kegelapan malam tersebut, daripada satu lilin menyalakan satu lilin yang lain sehinggalah keseluruhan lilin menyala, menerangi satu dewan.

Daripada pemerhatian saya, terdapat pengajaran tersirat amat penting yang kita dapat pelajari daripada fenomena upacara lilin tersebut. Saya ibaratkan kehidupan kita sebagai lilin tersebut – amat kecil saiznya dan sumbunya yang sedang menyalakan api juga amat tidak kukuh. Angin yang sederhana kuat sudah cukup untuk memadamkan api pada lilin mini tersebut. Kehidupan kita adalah sementara sahaja, umpama lilin tersebut; sehari demi sehari berlalu dan pada suatu hari nanti, pastinya kehidupan kita di dunia ini akan berakhir. Lilin tersebut masih bernyala disebabkan adanya lilin, sumbu, udara dan persekitaran yang sesuai. Tanpa salah satu faktor tersebut, adalah mustahil untuk menyalakan lilin tersebut. Begitulah juga kehidupan kita, kita dapat menjalani kehidupan kita yang bahagia dan sempurna ini disebabkan wujudnya pelbagai faktor yang menyokongnya. Antaranya ialah sokongan ibu bapa, keadaan kesihatan yang baik, memiliki ilmu pengetahuan yang mencukupi, memahami Dhamma dan sebagainya.

Mengikut Buddhisme, segala faktor sokongan yang kita punyai sekarang adalah disebabkan oleh Kusala Kamma (Perbuatan baik) yang telah kita lakukan pada masa lampau. Ini boleh diibaratkan seperti simpanan wang kita di dalam bank. Oleh kerana pada masa lampau kita telah menyimpan sejumlah wang yang banyak di dalam akaun bank, maka sekarang kita boleh mengeluarkannya untuk digunakan. Namun, sekiranya kita asyik menggunakan wang tanpa menyimpan untuk masa depan, suatu hari nanti keseluruhan wang tersebut akan habis juga... Dilahirkan sebagai manusia merupakan salah satu akibat daripada jasa baik utama kita pada masa lampau (masih ingat cerita kura-kura di tengah lautan?). Oleh itu, kita haruslah menghargai peluang ini untuk menjalani kehidupan dengan lebih bererti.

Di sinilah Buddhisme memainkan peranan sebagai pedoman kepada kita. Dhamma mengajar kita cara-cara untuk menjalani kehidupan yang lebih bererti dan lebih bahagia. Kehidupan yang akan membawa kita ke arah yang benar – Jalan Ariya, jalan yang diikuti oleh pengikut-pengikut agung Buddha. Menyedari pentingnya hakikat inilah, maka Cahaya Bodhi dilahirkan, iaitu untuk memastikan cahaya yang diterangi oleh lilin kecil tadi akan dapat menerangi kehidupan anda, dan kehidupan orang-orang kesayangan di sekeliling anda.


Walaupun seseorang dapat menakluk seribu musuh di medan perang, namun beliau yang dapat menakluk dirinya,
dialah kesatria unggul yang sebenarnya.

Dhammapada, ayat 103