4

KEBENARAN BUDDHA YANG KEKAL SELAMANYA

 

Ngauman Singa                                                                                                                  1

Kesan Buddhisme Ke Atas Tamadun                                                                      4

KEBENARAN YANG MUTLAK                                                                                             6

DUA ALIRAN UTAMA BUDDHISME                                                                                   8

 

 

 

Ngauman Singa

 

Setelah mendengar ajaran Buddha, ramai orang membuat keputusan untuk membetulkan pandangan salah mengenai kehidupan keagamaan mereka.

 

Buddhisme bagaikan permata cantik bersegi-segi yang dapat menarik minat manusia yang pelbagai tabiat. Setiap segi pada permata ini mempunyai kaedah teruji tertentu yang boleh memanfaatkan pencari kebenaran mengikut tahap pemahaman dan kematangan rohani mereka.

 

Buddha Dhamma adalah hasil pencarian intensif oleh seorang putera mulia yang bercita‑cita untuk menolong kaum manusia yang menderita. Pencarian ini mengambil tempoh masa yang amat lama sekali. Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan seperti yang menghujani seorang putera mahkota, beliau meninggalkan kehidupan serba mewah tersebut. Beliau dengan rela hati menempuh perjalanan berduri-duri demi mencari kebenaran dan ubat untuk menyembuhkan penyakit dalam kehidupan duniawi yang diiringi kesengsaraan serta ketidakpuasan. Beliau telah bersusah payah mencari penyelesaian mengurangkan semua penderitaan. Dalam tempoh pencarianNya yang lama, putera ini tidak bergantung kepada petunjuk ketuhanan atau kepercayaan-kepercayaan tradisional yang biasa diamalkan pada masa dahulu. Beliau membuat pencarian intensif dengan fikiran yang bebas dan terbuka, berpandukan hanya tujuan yang ikhlas, azam yang mulia, kesabaran yang tidak terhaus, hati yang benar-benar suci dan keinginan yang berkobar-kobar untuk menghapuskan penderitaan. Setelah enam tahun membuat kajian intensif, secara cuba jaya, putera yang mulia ini mencapai impianNya. Beliau telah memperoleh pencerahan Sempurna dan memaklumkan kepada dunia ajaran primitif yang dikenali sebagai Dhamma atau Buddhisme.

 

Pada suatu ketika Buddha berkata: "Bhikkhu sekalian, Singa, Raja haiwan, pada senja kala keluar dari sarangnya. Ia menggeliat. Ia memeriksa keempat-empat penjuru dalam semua arah. Setelah berbuat demikian, ia mengeluarkan tiga ngauman. Selepas ngauman ini, ia menyerbu keluar mencari mangsanya.

 

"Bhikkhu, apa jua haiwan yang terdengar ngauman Raja Haiwan ‑ Singa, kebanyakannya akan takut sehingga menggigil dan menggeletar. Haiwan yang tinggal dalam lubang akan mencari lubangnya; haiwan akuatik akan menyelam ke bawah air. Penghuni hutan akan lari memasuki hutan; burung berterbangan ke langit."

 

"Selain daripada itu, semua gajah kepunyaan pemerintah tidak kira di desa, bandar atau istana yang terikat dengan tali kulit yang tegap, terlepas keluar memecahkan ikatan; membuang najis merata-rata dan sambil kegugupan lari lintang-pukang. Begitulah betapa gagahnya singa, Raja haiwan berbanding dengan binatang-binatang lain. Begitulah keunggulan kuasa dan keagungan singa tersebut.

 

"Begitu juga keadaannya, Bhikkhu, apabila Buddha muncul di dunia ini, seorang Arahant, seorang yang mencapai pencerahan sempurna, yang sempurna dalam kearifan dan kelakuan, pengembara, yang paling berpengetahuan di dunia ini, pelatih yang tiada tandingan, guru kepada Dewa dan manusia, seorang Buddha, yang paling mulia. Beliau menyampaikan Dhamma: ÔBeginilah sifat semula jadi konsep keakuan, inilah jalan ke arah menghapuskan sifat keakuan."

 

ÔBarang tuhan manapun, setelah mendengar Dhamma Tathagata, kebanyakan daripada mereka akan berasa takut sehingga menggigil, jatuh dan menggeletar lalu berkata ÔKita menganggap diri kita adalah kekal tetapi sebenarnya tidak; kita menganggap diri kita adalah stabil, tetapi sebenarnya tidak stabil. Kita sebenarnya tidak berlanjutan walaupun kita menganggapkan diri kita akan berlanjutan. Jadi, diri kita adalah tidak kekal, tidak stabil, tidak berlanjutan, hanya dilingkungi konsep diri.Õ Begitulah pengaruh seseorang Tathagata ke atas semua tuhan dan manusia. (Anguttara Nikaya)

 

 

APA ITU BUDDHISME?

 

Buddhisme ialah kebenaran Mulia.

 

Apakah itu Buddhisme? Soalan ini telah mengelirukan ramai orang yang selalu menyoalkan sama ada Buddhisme merupakan satu falsafah, satu agama atau satu cara hidup. Jawapan ringkas yang diberi ialah Buddhisme adalah terlalu luas dan menda­lam untuk ditempatkan pada mana‑mana satu kategori. Sudah tentu Buddhisme merangkumi falsafah, agama serta cara hidup. Tetapi Buddhisme mengatasi semua kategori ini.

 

Kategori atau label yang diberikan kepada Buddhisme bagaikan papan kenyataan untuk memberitahu orang ramai apa yang sedang dipamerkan. Jika kita bandingkan Buddhisme dengan kedai ubat, adalah jelas bahawa papan kenyataan di kedai ubat itu tidak akan menyembuhkan penyakit seseorang. Jika ubat itu adalah mujarab, anda boleh mengambilnya untuk menyembuhkan diri tanpa menghiraukan papan kenyataan yang semata‑mata memberikan label kepada ubat itu. Begitu juga, sekiranya ajaran Buddha adalah berkesan, sila guna dan ambillah ia tanpa perlu menghiraukan label atau papan kenyataan. Jangan cuba menyelitkan Buddhisme ke dalam mana‑mana satu kategori atau hadkan Buddhisme di bawah mana-mana papan kenyataan.

 

Orang berlainan yang hidup pada zaman dan tempat yang berlainan telah memberikan label dan tafsiran yang berbeza terhadap Buddhisme. Kepada sesetengah orang, Buddhisme cuma merupakan amalan-amalan karut. Kepada golongan lain, Buddhisme mungkin merupakan sumber yang diperalatkan untuk mengaut keuntungan sementara. Kepada kumpulan lain, ia adalah kuno. Kepada kumpulan yang satu lagi, Buddhisme merupakan satu sistem pemikiran untuk golongan intelektual sahaja. Kepada yang lain pula, ia adalah satu penemuan sains. Kepada Buddhis yang taat dan soleh, Buddhisme bermakna keseluruhan hidupnya dan memenuhi segala yang dipegang rapat dan dihargainya.

 

Sesetengah cendekiawan melihat Buddhisme sebagai satu produk persekitaran India atau sebagai satu lagi ajaran agama dari India. Buddhisme bukan lain tetapi kebenaran mulia. Ia adalah satu pendekatan intelek mengenai realiti. Kesedaran yang diperoleh Buddha mengenai masalah dunia sejagat bukan diperoleh melalui proses intelek atau rasional, tetapi melalui perkembangan dan penyucian mental. Pendirian intelek Buddha yang saintifik menjadikan Buddha sangat unik di kalangan guru-guru agama sepanjang zaman. Sesungguhnya, penyelidikan intelektual serta usaha etika bermutu tinggi yang wujud di India pada ketika itu adalah faktor utama kemunculan cahaya Dhamma daripada kegelapan kejahilan. Perkembangan agama dan falsafah sejak beribu-ribu tahun dahulu telah menyuburkan tanah India dengan idea serta ideal yang kaya. Kesemua ini membentuk persekitaran yang paling sesuai untuk penyemaian benih Dhamma. Greece, China, Mesir dan Babylonia, walaupun terkenal dengan keagungan pemiki­ran, tetapi kualiti pandangan yang dicapai tidak setanding dengan cendekiawan-cendekiawan yang tinggal dalam hutan atau gunung di India.

 

Cambah Pencerahan yang telah terbit bagaikan benih bersayap yang datang dari satu ladang jauh, dari satu dunia serta masa yang amat berlainan daripada kita. Cambah Pencerahan ini telah hinggap di sudut Timur‑laut India dan tumbuh serta berkem­bang di situ. Cambah Pencerahan ini digambarkan sepenuhnya dalam pengalaman seorang manusia iaitu Gautama Buddha. Buddhisme adalah berasaskan pengalaman ini yang dikenali sebagai 'Pencerahan'. Dengan pengalaman Pencerahan ini, Buddha memulakan ajaranNya tanpa sebarang kepercayaan dogmatik atau keajaiban, tetapi dengan berdasarkan satu pengalaman yang nyata dan unggul, yang Beliau sumbangkan kepada dunia sebagai kebenaran unggul. Oleh itu, definisi sebenar Buddhisme ialah KEBENARAN MULIA. Ingatlah Buddha tidak mengajar berdasarkan teori, tetapi beliau sentiasa mengajar berasaskan pemahamanNya, pencerahanNya dan kesedaranNya yang praktikal mengenai kebenaran.

 

Buddhisme bermula dengan kebenaran yang menjelma dalam diri Gautama Buddha sejak 2,500 tahun lampau. Semasa Buddha memperkenalkan ajaranNya, beliau tidak berniat untuk memperkembangkan konsep keakuan dalam minda manusia dan menghasilkan lebih banyak keinginan untuk keseronokan deria serta kehidupan abadi. Sebaliknya, beliau menunjukkan bagaimana sia-sianya kehidupan duniawi dan menunjukkan jalan yang benar dan praktikal untuk swabebas yang telah ditemuinya.

 

Ajaran asli Buddha membongkar sifat semula jadi kehidupan dan dunia ini. Walau bagaimanapun, ajaran asli Buddha (yang dikenali sebagai Dhamma atau kata-kata Buddha) mestilah dibezakan daripada agama yang berkembang berasaskan ajaranNya.

 

Ajaran Buddha bukan sahaja memulakan satu agama, tetapi juga telah menjadi inspirasi pembentukan satu tamadun secara keseluruhannya. Ajaran ini menjadi satu daya memperadabkan yang merentas banyak budaya dan bangsa sepanjang sejarah. Sememangnya, Buddhisme telah menjadi salah satu tamadun teragung di dunia ini. Ia mempunyai pencapaian yang mengagumkan dalam bidang seperti kesusasteraan, seni, falsafah, psikologi, etika, ilmu seni bina dan kebudayaan. Pada beberapa abad yang lepas, institusi sosial pendidikan yang tidak terbilang banyaknya telah ditubuhkan khas untuk ajaran Buddha di pelbagai negara. Sejarah Buddhisme adalah penuh gemilang dengan semangat kesaudaraan dan kemuliaan. Bermula dari hari Buddha menyampaikan ajaranNya dan memahami erti serta tujuan sebenar agama dan hid­up, kepercayaan dan amalan agama telah menjadi satu cara hidup beragama yang rasional, saintifik dan praktikal demi perkembangan rohani.

 

Kesan Buddhisme Ke Atas Tamadun

 

Hari ini, Buddhisme masih merupakan penggerak tamadun yang penting di dunia moden. Sebagai penggerak tamadun, Buddhisme menyedarkan orang ramai akan tanggungjawab dan penghargaan diri. Di samping itu, ia juga membangkitkan semangat banyak bangsa. Ia memupuk kemajuan rohani dengan merangsang daya pemikiran seseorang itu. Ia menggalakkan sifat toleransi di kalangan orang ramai dengan mengelakkan pemikiran sempit dan kefanatikan agama dan bangsa. Ia menjinakkan yang liar dan memurnikan rakyat jelata sehingga mempunyai minda yang jernih dan tenang. Pendek kata, Buddhisme menekankan sifat berdikari iaitu nasib seseorang berada dalam genggaman tangannya sendiri. Setiap orang berkebolehan memperkembangkan daya dan kesedarannya sendiri untuk mencapai matlamat tertinggi.

 

Lebih daripada dua ribu tahun dahulu, Buddhisme telah memenuhi keperluan rohani satu pertiga umat manusia. Hari ini daya tarikan Buddhisme masih sehebat masa lampau. Ajaran Buddhisme masih merupakan sumber rohani yang terkaya kerana ia meningkatkan daya usaha manusia ke suatu tahap yang lebih tinggi daripada semata-mata untuk memenuhi nafsu dan selera manusia yang tidak pernah puas. Oleh sebab keluasan perspektif Buddhisme, pandangan Buddha mengenai hidup berkecenderungan menarik minat para intelek yang telah menghauskan fikiran mereka (dan juga orang lain). Walau bagaimanapun, hasil pandangan Buddha bukanlah setakat latihan intelek atau untuk menghiburkan hati para intelek yang telah kehausan.

 

Satu lagi daya tarikan Buddhisme ialah ia merupakan agama yang mementingkan kenyataan dan memberikan pandangan yang nyata mengenai kehidupan dan dunia. Ia tidak memujuk manusia supaya hidup dalam syurga si bodoh atau menakutkan manusia dengan pelbagai jenis ketakutan bayangan dan perasaan berdosa. Buddhisme memberitahu kita secara tepat dan objektif siapakah kita dan apakah sebenarnya dunia di sekeliling kita. Ia juga menunjukkan cara‑cara untuk memperoleh kebebasan, keamanan, keterangan dan kebahagiaan yang sempurna.

 

Sekiranya manusia kini ingin diselamatkan daripada  bertindak bertentangan dengan piawaian moral yang diajari oleh agama-agama, Buddhisme merupakan alat yang paling berkesan. Buddhisme merupakan agama kemanusiaan,  di mana pengasasnya adalah seorang manusia yang tidak meminta wahyu atau penceburan tuhan untuk membentuk ajaranNya. Sekarang manusia amat berjaya dalam pengawalan dunia kebendaan, mereka mungkin ingin renung balik dan menilai pencapaian mereka dalam mengawal fenomena yang paling sukar: dirinya sendiri. Dalam pencarian sebegini, manusia moden memperoleh jawapan daripada Buddhisme untuk pelbagai masalah dan keraguan mereka.

 

    Hari ini, Buddhisme menarik hati orang-orang barat disebabkan ia tidak mempunyai dogma dan dapat masuk akal dan hati. Ia menekankan sifat berdikari bersama toleransi terhadap orang lain. Ia juga menerima penemuan sains moden jika ia mempunyai tujuan yang membina. Buddhisme menerangkan manusialah pencipta kepada kehidupannya sekarang dan pereka tunggal nasib mereka. Bjneginilah ciri Buddhisme.

 

    Utusan Buddha iaitu keamanan dan belas-kasihan terpancar ke semua arah dan berjuta‑juta yang datang ke bawah pengaruh Buddhisme, menerimanya sebagai satu cara hidup agama yang baru tanpa ragu-ragu.

 

Sumbangan Buddhis Kepada Kaum Manusia

 

Sebagai satu agama, Buddhisme telah memenuhi harapan dan aspirasi manusia dengan baik. Ia memupuk cara hidup yang disanjung oleh ahli-ahli masyarakat dan semangat kemasyarakatan ke arah keamanan dan kesederhanaan. Ia telah menerajui kebajikan manusia.

 

Di bidang politik, Buddhisme telah mencatatkan pembaharuan dalam sistem keadilan, layanan, tatacara demokrasi dan mementingkan nilai-nilai asas moral. Buddhisme telah  mengharumkan kebudayaan Timur. Ia telah menyumbangkan sikap asasi yang halus dan beretika kepada mereka yang menerimanya dalam apa bentuk sekalipun.

 

Sebenarnya, potensi sebenar Buddhisme tidak disedari langsung oleh sebahagian besar orang yang hanya menggunakannya hingga satu tahap yang terhad sahaja. Potensinya kepada individu atau umum telah terselindung oleh sumbangan Buddhisme dalam bidang kesusasteraan dan seni. Tetapi potensi Buddhisme yang paling besar adalah rasionalisme Buddhisme yang tidak memerlukan sebarang reformasi keagamaan. (Sebabnya, walaupun kerasionalan sentiasa dialahkan dan dikesali oleh semua, walau bagaimana dikaburi pun oleh desakan daripada sifat semulajadi manusia seperti emosi, ia tetap dimiliki oleh manusia, manusia bertamadun.) Sekiranya terdapat satu pembaharuan dan keyakinan semula terhadap nilai-nilai asas Buddhisme, ia bukanlah melalui penghidupan semula yang kurang pasti atau berlaku sekali sekala atau penyesuaian kepada suruhan kuasa luar biasa atau sekular. Buddhisme sendiri mengandungi benih untuk pembaharuan diri.

 

Sumbangan Buddha terhadap perkembangan sosial dan rohani kaum manusia adalah tidak ternilai. UtusanNya yang tersebar ke beberapa negara Asia telah memenangi hati serta keyakinan orang ramai yang tidak pernah dilihat sebelumnya.

 

 

KEBENARAN YANG MUTLAK

 

Kebenaran yang mutlak boleh didapati dalam ajaran Buddha.

 

Buddhisme mengakui dua jenis kebenaran. Kebenaran lazim yang nyata dan kebenaran yang sebenar atau mutlak. Kebenaran mutlak hanya boleh disedari melalui meditasi dan bukan melalui teori atau ramalan sahaja.

 

Ajaran Buddha merupakan kebenaran mutlak di dunia ini. Buddhisme bukanlah agama yang diturunkan atau agama yang diaturkan. Ia merupakan contoh pertama bagaimana satu pendekatan saintifik yang tulen diaplikasikan untuk menjawab persoalan ciri semula jadi kehidupan. Ajaran abadi ini telah ditemui oleh Buddha sendiri tanpa sebarang bantuan ketuhanan. Ajaran ini adalah cukup kukuh untuk menghadapi apa jua cabaran tanpa mengubah sebarang prinsip asas ajarannya. Agama yang terpaksa menukar atau meminda ajaran asalnya supaya bersesuaian dengan dunia moden ini, merupakan agama yang tiada asas kukuh dan tidak mengandungi kebenaran mutlak. Buddhisme berupaya mempertahankan kebenaran asal ajaran Gurunya sungguhpun di bawah keadaan sukar yang sering berlaku di dunia serba moden ini. Buddha tidak pernah memperkenalkan amalan peribadi atau duniawi yang tidak berkaitan dengan moral atau peraturan agama. Buddha menganggap amalan seperti ini tidak mempunyai nilai keagamaan. Kita harus membezakan antara apa yang diajar oleh Buddha dan apa yang diajar dan diamalkan manusia atas nama Buddhisme.

 

Setiap agama bukan sahaja terdiri daripada ajaran pengasasnya tetapi juga merangkumi upacara dan adat istiadat yang berkembang di samping ajaran teras agama tersebut. Upacara dan adat istiadat ini berasal daripada amalan kumpulan manusia yang menerima agama ini. Biasanya pengasas agama yang agung tidak menetap­kan peraturan‑peraturan yang teliti mengenai upacara yang perlu dijalankan. Tetapi pemimpin agama selepas itu yang menjadikan agama tersebut formal dan menggubal kod-kod perlakuan yang teliti, yang tidak boleh dilanggar oleh penganut-penganutnya.

 

Malah agama yang kita kenali sebagai "Buddhisme" adalah amat berbeza dari segi amalan luaran, berbanding dengan apa yang diamalkan oleh Buddha dan pengikut‑pengikut awalNya. Pengaruh kebudayaan dan alam sekeliling yang berabad‑abad lamanya telah mewujudkan Buddhisme yang berbeza di Burma, Thai, China, Tibet, Sri Lanka dan Jepun. Walau bagaimanapun amalan-amalan yang berbeza ini tidak bercanggahan, kerana Buddha mengatakan selagi kebenaran mutlak terpelihara, manifestasi fizikal kebenaran ini boleh berbeza-beza mengikut cara hidup si penganut.

 

Beratus‑ratus tahun setelah pemergian Buddha, pengikut‑pengikutnya mula menubuhkan suatu agama berasaskan ajaran asalNya. Semasa berbuat demikian, di samping konsep dan kepercayaan, mereka telah memasukkan pelbagai jenis keajaiban, mistik, tilik nasib, sihir tangkal, mantera sembahyang dan beraneka upacara serta adat istiadat yang tidak terdapat pada ajaran asal Buddha. Apabila kepercayaan dan amalan tambahan ini diperkenalkan, ramai orang telah mengabaikan amalan yang terpenting dalam ajaran asal Buddha iaitu: disiplinkan diri, mengawal diri, membentuk moral dan mengembangkan rohani. Amalan ajaran asal Buddha ditinggalkan, sebaliknya mereka menumpukan lebih perhatian dan usaha mendoakan perlindungan daripada kuasa jahat dan mengimpikan keuntungan dan nasib baik. Lambat‑laun, orang ramai tidak lagi menaruh minat dalam ajaran asal tetapi lebih berminat tentang cara menghindari kemalangan, pengaruh tidak baik bintang-bintang, ilmu sihir jahat dan penyakit. Lama-kelamaan kepercayaan dan amalan agama menjadi mundur dan dibayangi oleh pengejaran duniawi. Bahkan hari ini, ramai orang percaya bahawa mereka dapat menghindarkan diri daripada kesusahan melalui pengaruh kuasa luar. Manusia masih terikat kepada kepercayaan seumpama ini, oleh sebab inilah mereka lalai dalam usaha memupuk nilai-nilai kegigihan, kebijaksanaan, kearifan serta kualiti-kualiti manusia lain. Dalam kata lain, manusia mula menyalahgunakan kebijaksanaan mereka dengan mengikuti kepercayaan dan amalan tersebut di atas nama Buddhisme. Mereka juga telah mencemarkan kesucian utusan Buddha.

 

Oleh itu, agama moden di kebanyakan negara yang kita nampak sekarang merupakan hasilan daripada penyesuaian kepada pelbagai kebudayaan serta keadaan sosial manusia yang tinggal di sesebuah negara. Walau bagaimanapun Buddhisme sebagai satu agama, tidak bermula sebagai satu sistem luar duniawi yang diturunkan dari syurga. Sebaliknya ia lahir dan berkembang melalui satu proses yang panjang dan bersejarah. Dalam proses perkembangan ini, ramai orang beransur-ansur beralih daripada ajaran asal Buddha dan menubuhkan aliran serta mazhab yang baru. Begitu juga dengan agama-agama lain, situasi yang sama dialami.

 

Kita tidak seharusnya tergesa-gesa membuat kesimpulan sama ada menilai kesahihan sesuatu agama atau mengutuk agama tersebut hanya melalui pemerhatian ke atas perbuatan mereka yang bertindak atas kepercayaan membuta-tuli atas nama agama tersebut. Untuk memahami ciri sebenar sesuatu agama, kita perlulah mengkaji dan menyelidik ajaran asal pengasas agama tersebut.

 

Dalam menghadapi pembanjiran idea dan amalan yang berkembang terkemudian, adalah berguna bagi kita merenung kembali Dhamma yang positif serta abadi yang diajar oleh Buddha. Tidak kira apa jua kepercayaan dan amalan atas nama Buddhisme, ajaran asas Buddha masih wujud dalam teks Buddhis yang asal.


DUA ALIRAN UTAMA BUDDHISME

 

Penganut-penganut Buddha yang sebenar boleh mengamalkan agama ini tanpa terikat kepada mana-mana aliran atau mazhab.

 

Beberapa ratus tahun selepas Buddha meninggal, muncul lapan belas buah aliran atau mazhab yang berbeza, dan masing‑masing mendakwa ia mewakili ajaran Buddha yang asal. Pada asasnya aliran-aliran ini berbeza disebabkan tafsiran yang berlainan mengenai ajaran Buddha. Selepas satu tempoh masa, aliran-aliran ini beransur-ansur bergabung menjadi dua aliran utama iaitu Mahayana dan Theravada. Sehingga hari ini, kebanyakan penganut  Buddhisme tergolong dalam dua aliran ini.

 

Pada asasnya Buddhisme Mahayana berkembang daripada ajaran Buddha yang mengatakan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk mencapai kebuddhaan. Penganut Theravada pula mempercayai potensi ini boleh dicapai melalui usaha individu. Sebaliknya, pengikut Mahayana mempercayai mereka boleh memperoleh swabebas dengan bantuan makhluk superior lain yang bernama Bodhisatta. Menurut mereka, Bodhisatta merupakan bakal Buddha. Atas kasih sayang terhadap semua umat manusia, mereka menangguhkan pencapaian kebuddhaan sehingga mereka telah menolong orang lain menuju ke arah pembebasan. Walaupun wujudnya perbezaan asas ini, tetapi perlu ditegaskan bahawa dari segi doktrin langsung tiada pertentangan berkenaan dengan Dhamma seperti mana yang terkandung dalam teks kitab suci Tripitaka. Memandangkan Buddhis digalakkan oleh Guru mereka supaya menyoal siasat kebenaran, mereka dibenarkan membuat tafsiran kitab suci dengan bebas berdasarkan  pemahaman mereka. Tetapi yang terpenting, kedua‑dua Mahayana dan Theravada adalah sama dalam penghormatan mereka terhadap Buddha.

 

Persamaan di antara dua aliran ini adalah seperti berikut:

 

1.     Kedua‑duanya mengiktiraf Buddha Sakyamuni sebagai guru.

2.     Empat kebenaran mulia tetap sama, dalam kedua-dua aliran.

3.     Jalan Mulia Lapan Faktor tetap sama, dalam kedua-dua aliran.

4.     Patticca-Samuppada atau ajaran tentang sebab-musabab yang   saling bergantungan adalah tetap sama, dalam kedua-dua aliran.

5.     Kedua‑duanya menolak idea mengenai makhluk agung yang telah mencipta dan menguasai dunia ini.

6.     Kedua-duanya menerima Anicca, Dukkha, Anatta dan Sila, Samadhi, Panna tanpa perbezaan.

 

Sesetengah orang berpendapat bahawa Theravada terlalu mementingkan diri sendiri kerana ia mengajar kita supaya mencari swabebas sendiri. Tetapi bagaimanakah seseorang yang mementingkan diri dapat mencapai Pencerahan? Kedua‑dua aliran menerima tiga Yana atau Bodhi dan menganggap Boddhisatta sebagai ideal tertinggi. Mahayana telah mencipta banyak Bodhisatta yang mistik, sementara Theravada mempercayai Bodhisatta adalah seorang manusia di antara kita yang membaktikan seluruh hidupnya untuk pencapaian kesempurnaan dan akhirnya menjadi Buddha dengan pencerahan sempurna demi kesejahteraan dan kebahagiaan dunia.

 

Sebutan Hinayana (Kenderaan Kecil) dan Mahayana (Kenderaan Besar) tidak tersurat dalam kesusasteraan Pali Theravada. Ia juga tidak dijumpai pada Kitab Suci Pali (Tripitaka) atau dalam ulasan terhadap Tripitaka.

 

Buddhis Theravada mengikut tradisi agama ortodoks yang diamalkan dua ribu lima ratus tahun dahulu di India. Mereka menjalankan servis agama dalam bahasa Pali. Mereka juga berharap dapat mencapai matlamat terakhir (Nibbana) sama ada dengan menjadi Buddha dengan pencerahan teragung, Buddha Pacceka atau Arahant (peringkat tertinggi Kesucian). Majoriti daripada  mereka lebih cenderung kepada Arahant. Buddhis di Sri Lanka, Burma dan Thailand tergolong dalam aliran ini. Pengikut Mahayana telah mengubah adat yang lama ini. Amalan mereka adalah menurut adat resam dan tradisi tempat tinggal mereka. Pengikut Mahayana menjalankan servis agama dalam bahasa ibunda mereka. Mereka berharap dapat mencapai matlamat terakhir (Nibbana) dengan menjadi Buddha. Oleh sebab ini Buddha dan Bodhisatta (Seorang yang bakal menjadi Buddha) dihormati dengan sama oleh mereka. Buddhis di China, Jepun dan Korea tergolong dalam aliran ini. Kebanyakan Buddhis di Tibet dan Mongolia mengikuti satu aliran lain yang dikenali sebagai Vajrayana. Ilmiawan Buddhis mempercayai aliran ini lebih cenderung kepada aliran Mahayana.

 

Para ilmiawan sedunia menerima bahawa istilah-istilah Hinayana dan Mahayana adalah rekaan terkemudian. Mengikut sejarah, Theravada telah lama wujud sebelum istilah-istilah ini muncul. Theravada yang dianggap sebagai ajaran asal Buddha telah diperkenalkan dan bertapak di Sri Lanka pada abad ke-3 S.M. iaitu pada zaman maharaja Asoka India. Pada masa itu tidak ada aliran yang dipanggil Mahayana. Ia muncul terkemudian iaitu lebih kurang pada permulaan Era Kristian. Buddhisme yang tersebar ke Sri Lanka dengan Tripitaka dan ulasannya pada abad ke-3 S.M., berkekalan seperti Theravada yang asal dan tidak terlibat dalam perselisihan di antara Hinayana dan Mahayana yang berkembang terkemudiannya di India. Jadi adalah tidak munasabah memasukkan Theravada ke dalam mana-mana kategori ini. Walau bagaimanapun setelah perasmian Persahabatan Buddhis Sedunia (World Fellowship of Buddhis) pada tahun 1950, mereka yang dari Timur dan Barat yang termaklum menggunakan istilah Theravada dan bukan Hinayana bila merujuk kepada Buddhisme yang terdapat di negara‑negara Asia Tenggara. Masih terdapat orang yang ketinggalan zaman yang menggunakan istilah Hinayana. Sebenar­nya kitab suci Samdhi Nirmorcana (satu Sutra Mahayana) jelas menyatakan Sravakayana - Theravada dan Mahayana membentuk satu Yana (Ekayana), jadi mereka bukan dua 'kenderaan' berbeza. Walau­pun aliran Buddha yang berlainan mempunyai pegangan yang berbeza terhadap ajaran Buddha, mereka tidak pernah mencetuskan apa‑apa keganasan atau pertumpahan darah selama lebih daripada dua ribu tahun. Inilah toleransi Buddhis yang unik.