BAB 17

TILIKAN DAN MIMPI

 

 

Astrologi Dan Astronomi

 

`Saya tidak mempercayai pakar astrologi tetapi mempercayai astrologi.'

 

    Sejak  permulaan  kewujudan, manusia  telah  terpesona  oleh bintang‑bintang dan pengaruhnya. Mereka cuba mencari kaitan antara bintang dengan nasibnya. Penelitian terhadap bintang dan pergerakannya telah menghasilkan dua bidang kajian utama iaitu astronomi dan astrologi. Astronomi ialah satu bidang sains tulen mengenai jarak, evolusi dan kemusnahan serta pergerakan bintang. Kesemua perhitungan dibuat relatif kepada bumi dan pengaruh pergerakan antara planet‑planet terhadap manusia secara fizikal. Astronomi moden masih berusaha mencari jawapan kepada persoalan mengenai asal‑usul manusia, hari kiamat dan keakhiran yang mung­kin bagi kewujudan manusia. Bidang kajian ini amat menarik. Pengetahuan baru tentang alam dan cakerawala telah memaksa banyak agama menilai semula dakwaan kuno mereka tentang pencipta alam dan ciptaan kehidupan.

 

    Agama Buddha tidak menghadapi sebarang dilema, kerana Buddha tidak menggalakkan pengikutnya membuat spekulasi tentang perkara di luar daya pemahaman mereka. Walau bagaimanapun Buddha pernah memberi beberapa kiasan yang terbukti benar dengan bertambahnya pengatahuan baru melalui bidang sains. Hal ini menunjukkan bahawa Buddha sedia maklum tentang sifat semulajadi alam semesta kita. Misalnya, Beliau mengatakan bahawa dunia tidak dicipta di dalam sekelip mata dan bumi kita hanya merupakan satu bahagian kecil yang kurang penting daripada alam yang luas ini. Beliau juga mengatakan pembentukan dan pemusnahan sesuatu entiti berlaku setiap masa dan semua kejadian mengalami perubahan yang konstan.

 

    Astrologi pula merupakan satu bidang kajian yang sama sekali berlainan. Sejak manusia mula berfikir, mereka amat tertarik dengan perkaitan antara dirinya dengan alam. Apabila manusia mula maju daripada masyarakat memburu kepada masyarakat bercucuk tanam, mereka mendapati terdapat pertalian antara pergerakan matahari di dalam setahun dengan aktiviti penanaman, penuaian dan projek lain yang berkaitan. Apabila manusia menjadi lebih sofis­tikated, mereka berupaya meramalkan pergerakan matahari dan mencipta ukuran masa dengan membahagikannya kepada tahun, bulan, hari, jam, minit dan saat.

 

    Manusia menghubungkan pengetahuan ini dengan kewujudannya, mereka rasa mungkin terdapat satu perhubungan di antara kitaran hidupnya dengan pergerakan planet. Pemikiran ini mewujudkan konsep zodiak iaitu laluan matahari yang terbahagi kepada duabe­las bahagian atau buruj. Kajian tentang pergerakan matahari ini dan hubungannya dengan kehidupan seseorang individu dipanggil horoskop.

 

    Bidang astrologi meliputi aspek pemahaman sifat manusia dan meramalkan pergerakan planet dengan tepat. Bidang ini juga mer­angkumi pemahaman terhadap fenomena‑fenomena alam yang sukar dijelaskan. Terdapat ramai ahli astrologi yang cekap pada masa lampau dan terdapat juga mereka yang cekap pada masa kini. Ma­langnya terdapat lebih ramai lagi penipu yang mendakwa diri mereka sebagai pakar , ini memburukkan nama astrologi. Mereka menipu orang ramai dengan ramalan yang seolah‑olah benar. Penipu seperti ini mengaut duit yang banyak dengan memperdayakan mereka yang jahil dan dalam ketakutan. Akibatnya, ahli sains mempersen­dakan bidang astrologi dan tidak merujuk kepadanya. Walau bagai­manapun sikap dingin ahli sains terhadap bidang ini adalah kurang wajar. Tujuan utama horoskop ialah membantu individu memahami sifat dirinya dengan lebih mendalam. Caranya adalah seperti gambar X‑ray yang menunjukkan bentuk fizikal seseorang.

 

    Statistik menunjukkan pengaruh matahari dalam tanda zodiak terhadap kelahiran manusia luar biasa dalam bulan‑bulan tertentu. Sesetengah jenayah pula didapati berhubung rapat dengan tanda zodiak iaitu laluan matahari pada bulan‑bulan tertentu.

 

    Pemahaman sedemikian boleh menolong seseorang merancang hidupnya supaya lebih berharmoni dengan kecenderungan semulajadi­nya dan mengurangkan gangguan sepanjang perjalanan hidup.

 

    Bayi yang baru dilahirkan bagaikan satu benih. Bayi membawa bersamanya ciri‑ciri yang menyerupai orang‑orang lain, namun dia tetap seorang individu yang unik. Bagaikan benih, bagaimana potensinya diperkembangkan bergantung kepada cara ianya dipeliha­ra. Manusia dilahirkan bersama sifat semulajadi tertentu, tetapi dirinya yang akan menentukan sama ada kebolehan dan bakatnya dipergunakan dengan sebaik‑baiknya. Adakah seseorang itu mampu mengatasi kelemahan dan kejahatan dalam dirinya? Ini bergantung kepada asuhan pada zaman muda. Jika kita dapat mengenalpasti sifat diri yang cenderung kepada malas, panas darah, runsing , dengki, kejam, kecewa dan penipu, kita boleh mengambil langkah positif untuk mengatasinya. Langkah pertama untuk mengatasi masalah ialah kenalpasti masalah yang sebenarnya.

 

    Tafsiran astrologi dapat mengenalpasti kecenderungan kita. Dengan pengetahuan ini, kita harus mengambil langkah‑langkah yang sewajarnya untuk merancang kehidupan kita supaya menjadi rakyat yang berguna. Seseorang yang cenderung melakukan jenayah juga boleh menjadi orang yang mulia jika dia dapat mengenali sifat semulajadinya dan melangkah ke arah kehidupan yang baik.

 

    Horoskop ialah satu carta yang dilukis untuk menjelaskan daya kamma yang dibawa bersama seseorang sejak dia dilahirkan. Daya kamma menentukan masa kelahiran seseorang. Dengan mengetahui masa kelahiran, seorang ahli astrologi yang pakar dapat meramal­kan secara tepat masa depan seseorang  dalam suatu jangkamasa tertentu.

 

    Bumi mengambil masa lebih kurang satu tahun untuk mengeli­lingi matahari. Jika pergerakan ini diperhatikan daripada bumi, matahari didapati berada di dalam beberapa kawasan zodiak sepan­jang tahun. Seseorang dilahirkan (bukan secara tidak sengaja tetapi ditentukan oleh kammanya) apabila matahari berada di dalam salah satu daripada duabelas bahagian zodiak.

 

    Dengan bantuan horoskop, anda boleh menentukan masa‑masa anda perlu memperlahankan atau mempergiatkan kehidupan atau kena berhati‑hati tentang aktiviti‑aktiviti hidup dan kesihatan.

 

 

Pandangan Buddhis Terhadap Astrologi

 

    Persoalan yang sering ditimbulkan ialah sama ada agama Buddha menerima ataupun menafikan astrologi. Sebenarnya, Buddha tidak mengulas secara langsung tentang perkara ini. Beliau telah berkali‑kali menegaskan bahawa perkara seperti ini tiada hubungan dengan perkembangan spirituil. Walau bagaimanapun, ajaran Buddha tidak mengecam bidang astrologi seperti beberapa agama lain. Manusia bebas menggunakan pengetahuan ini demi hidup yang lebih bermakna. Jika kita meneliti ajaran Buddha, kita akan dapati pemahaman tentang astrologi yang betul dan bijaksana amat bergu­na. Sains moden sebenarnya selaras dengnan Buddhisme. Terdapat satu pertalian langsung di antara hidup seseorang dengan pengop­erasian kosmos ini. Kita sedia maklum bahawa terdapat pertalian langsung di antara hidup manusia dengan perubahan alam semesta. Misalnya terdapat satu pertalian yang rapat di antara pergerakan bulan dengan kelakuan kita. Fenomena ini boleh diperhatikan di antara mereka  yang mengalami gangguan fikiran dan mereka yang cenderung kepada keganasan. Penyakit tertentu seperti asthma dan bronchitis menjadi lebih serius pada waktu bulan penuh. Oleh itu, telah ada sebab yang mencukupi bagi kita mempercayai bahawa planet lain boleh mempengaruhi kehidupan kita.

 

    Agama Buddha mengakui bahawa terdapat satu tenaga kosmik yang kuat yang berdenyut melalui setiap makhluk hidup termasuk tumbuh‑tumbuhan. Tenaga ini bertindakbalas dengan  tenaga kamma seseorang dan menentukan arah hidupnya. Kelahiran seseorang bukanlah kewujudan hidupnya yang pertama tetapi merupakan sambun­gan kewujudan yang akan berlanjutan selagi dia tidak dapat men­gatasi kammanya melalui pencapaian kebebasan muktamad. Suatu makhluk hanya akan wujud di satu persekitaran baru jika  faktor musim, faktor percambahan dan faktor alam semulajadi dipenuhi. Faktor‑faktor ini perlu disokong dengan tenaga mental dan tenaga kamma. Kesemua elemen ini saling bertindakbalas dan menyebabkan perubahan yang berterusan kepada hidup seseorang.

 

    Mengikut ahli astrologi, waktu seseorang dilahirkan ditentu­kan oleh tenaga kosmik dan tenaga kamma. Oleh itu kewujudan hidup bukanlah secara mendadak, tetapi kewujudan tersebut adalah hasil interaksi di antara tenaga kamma seseorang dengan tenaga kosmik. Perjalanan hidup manusia telah ditentukan oleh perbuatannya di hidup yang lalu dan juga tenaga yang menggerakkan kosmos ini.  o7 3  Hidupan termasuklah masa kelahirannya dikawal oleh interaksi kedua‑dua tenaga tersebut di atas. Oleh sebab ini, seorang ahli astrologi yang mahir dapat menilik masa depan seseorang berdasar­kan masa kelahirannya.

 

    Walaupun kita dikuasai oleh tenaga‑tenaga tersebut, tetapi Buddha telah menunjukkan jalan untuk membebaskan diri kita dari­pada pengaruhnya. Semua tenaga kamma tersimpan di dalam minda separa sedar yang biasanya dikenali sebagai kecemaran dan kesu­cian minda. Kamma menentukan masa depan seseorang, tetapi melalui perkembangan minda, seseorang dapat melenyapkan pengaruh negatif yang disebabkan oleh kamma buruk yang lepas. Seseorang boleh menyucikan mindanya dan membebaskan dirinya daripada semua tenaga kamma serta menyekat kelahiran semula. Apabila tiada kelahiran semula, tiada potensi kehidupan lagi yakni tiada masa depan yang boleh diramalkan. Pada tahap spirituil dan mental seumpama ini, seseorang telah mengatasi keinginan untuk mengetahui masa depan­nya. Ini disebabkan kebanyakan ketidakpuasan dan ketidaksempur­naan hidupnya sudah dilenyapkan; horoskop tidak diperlukan lagi.

 

    Sejak awal abad ke‑20, ahli psikologi dan doktor penyakit jiwa mendapati masih terdapat banyak aspek lagi tentang minda manusia  selain daripada yang dapat diterima oleh materialis. Selain daripada yang dapat dilihat dan disentuh, terdapat banyak lagi aspek dalam dunia ini. Seorang ahli psikologi Switzerland yang terkenal, Carl Jung, banyak menggunakan horoskop untuk membantu pesakitnya. Di dalam satu analisis berdasarkan astrologi tentang 500 perkahwinan, beliau mendapati hasil kajian Ptolemy yang menjadi asas astrologi moden di barat masih benar. Hasil kajian tersebut menunjukkan aspek‑aspek yang menguntungkan di antara matahari dan bulan bagi pasangan‑pasangan itu boleh mewu­judkan perkahwinan yang bahagia.

 

    Seorang ahli psikologi Perancis yang terkenal, Michel Gauguelin pada mulanya mempunyai pandangan negatif terhadap bidang astrologi. Setelah beliau membuat satu kajian tentang 20000 analisis horoskop, beliau kagum dengan hasilnya. Beliau telah mendapati ciri seseorang yang dihuraikan oleh horoskop adalah sama seperti ciri yang diperolehi melalui cara psikologi moden.

 

    Menanam sayur‑sayuran dan pokok tertentu pada masa yang berlainan dalam satu tahun akan menghasilkan perbezaan dari segi ketahanan dan rupa tumbuhan tersebut. Oleh itu, tiada sebab bagi kita meragui kenyataan bahawa terdapat kelainan ciri pada mereka yang lahir pada masa yang berlainan dalam satu tahun. Dengan mengetahui kelemahannya, seseorang boleh berusaha bersungguh‑ sungguh untuk mengatasi kelemahan berkenaan supaya menjadi anggo­ta masyarakat yang lebih berguna. Pengetahuan ini juga dapat membantu seseorang bebas daripada kekecewaan dan penderitaan. (contohnya, penghijrahan ke negara lain mungkin membantu mengu­rangkan pengaruh bintang‑bintang ke atas seseorang individu).

 

 

    Shakespeare berkata: `kesilapan bukan padda bintang tetapi pada diri kita sendiri.' Seorang ahli astrologi yang terkenal berkata : `bintang hanya mendorong dan tidak memaksa.' St Thomas Aquinas pula berkata : `planet mempunyai pengaruh yang lebih kuat ke atas bahagian‑bahagian asas daripada perasaan manusia.' Tetapi dengan menggunakan kebijaksanaan, seseorang boleh mencorakkan hidupnya supaya berharmoni dengan planet‑planet. Manusia juga dapat mengasah dan menggunakan bakat semulajadinya untuk kemajuan diri.

 

    Astrologi tidak dapat menyelesaikan semua masalah kita secara automatik, Kita sendirilah yang perlu bertindak. Bagaikan seorang doktor yang dapat memberitahu ciri‑ciri sesuatu penyakit, seorang ahli astrologi hanya dapat menunjukkan aspek‑aspek hidup dan sifat seseorang yang tertentu sahaja. Kemudian terpulanglah kepada kita untuk mengubahsuaikan cara hidup kita. Sudah tentu usaha ini akan menjadi lebih mudah dengan mengetahui halangan yang bakal dihadapi. Sesetengah orang terlalu bergantung kepadda astrologi. Mereka berjumpa dengan ahli astrologi setiap kali sesuatu peristiwa terjadi atau mereka memimpikan sesuatu. Awas, sehingga kini, astrologi masih kurang sempurna dan ahli astrologi yang terbaik juga mungkin melakukan kesilapan besar. gunakanlah bidang astrologi dengan sebijak‑bijaknya umpama cara kita gunakan alat‑alat lain demi keselesaan dan kenikmatan hidup. Berjaga‑ jagalah terhadap ahli astrologi palsu yang cuba menipu. Bukan kebenaran yang diberitahu tetapi diberitahunya apa yang kita gemari.

 

    Jangan mengharapkan nasib baik datang bergolek. Sekiranya anda hendak menuai, kenalah anda menyemai dan pastikan benih yang betul! Ingat, peluang kebahagiaan sentiasa ada tetapi ia tidak akan muncul tanpa sebarang usaha. Kalau tak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya.

 

 

Tilikan Nasib dan Ilmu Sihir

 

Kerajinan adalah bintang paling bertuah

 

Buddhisme tidak menolak kepercayaan pada dewa, semangat, astrologi dan tilikan nasib, tetapi Buddha menasihati seseorang supaya jangan menghambakan diri kepada kuasa‑kuasa tersebut. Seorang Buddhis yang baik dapat mengatasi kesemua masalahnya jika dia pandai menggunakan kebijaksanaan dan kecekalan hatinya. Kepercayaan‑kepercayaan yang tersebut di atas tidak bernilai sprituil. Seseorang harus mengatasi kesemua masalah dan kerumi­tannya melalui usaha sendiri dan bukannya melalui medium seperti semangat, dewa, tilikan nasib atau bidang astrologi. Dalam sebuah cerita Jataka Buddhis, Bodhisatta pernah bersabda :

     'Si tolol mananti hari bertuah

      Namun tuah selalu terlepas

Tuah adalah bintang tuah sendiri

Hanya sekadar bintang apa nak dicapai?'

 

    Beliau percaya bahawa kerajinan adalah bintang paling bert­uah. Seseorang tidak harus membuang masanya dengan merujuk kepada bintang atau menanti hari bertuah untuk mencapai kejayaan. Beru­saha sedaya‑upaya untuk membantu diri kita adalah jauh lebih baik daripada mengharapkan bintang atau sumber luar.

 

    Terdapat Buddhis yang menilik nasib dan memberikan tangkal atas nama Agama Buddha. Tetapi Buddha tidak sekali‑kali mengga­lakkan sesiapapun mengamalkan kesemua ini. Seperti menilik nasib, tangkal juga dikategorikan sebagai kepercayaan karut yang tiada nilai keagamaan. Namun ramai orang masa kini beranggapan bahawa malapetaka atau penyakit yang menimpai mereka berpunca daripada nasib yang malang atau kuasa ghaib. Penyakit atau malapetaka yang tidak dapat dikesani puncanya selalu dianggap orang disebabkan oleh kuasa ghaib sihir atau punca luaran yang lain. Mereka terlu­pa bahawa kita sedang berada di abad ke 20 ‑ zaman moden yang penuh dengan perkembangan dan kejayaan sains. Ramai daripada saintis terkemuka telah mengenepikan kepercayaan karut dan mereka juga telah berjaya menempatkan manusia di bulan.

 

    Kesemua penyakit berpunca daripada faktor‑faktor mental atau fizikal. Dalam karya Shakespeare, Mac Beth bertanya kepada doktor jika terdapat sebarang ubat untuk menyembuhkan isterinya. Doktor itu berjawab: dia lebih memerlukan kuasa ketuhanan daripada tabib. Apa yang dimaksudkannya ialah sesetengah penyakit hanya boleh diubati melalui penyucian minda. Ada beberapa ketidakseim­bangan mental yang serius yang terjelma dalam bentuk fizikal seperti bisul, sakit perut dan sebagainya.

 

    Sudah tentu hanya penyakit fizikal saja  dapat diubati oleh seorang doktor pakar. Mengikut kepercayaan Buddhis, Sesetengah penyakit luar biasa mungkin disebabkan oleh kamma yang lepas yang  tiba masanya menunjukkan kesan. Ini bermakna kita terpaksa mene­rima balasan bagi perbuatan jahat kita di hidup yang lepas. Jika kita memahami hakikat ini , kita akan sanggup menanggung kesaki­tan dengan lebih tabah.

 

    Orang yang penyakitnya tidak dapat diubati, dinasihatkan untuk menemui pakar perubatan untuk pemerhatian. Setelah menjala­ni pemeriksaan perubatan, jika permerhatian masih diperlukan, bolehlah dia mendapatkan bimbingan spirituil daripada seorang guru agama yang sesuai. Buddhis dinasihati agar tidak terperang­kap dalam kepercayaan karut atau membiarkan diri mereka diselu­bungi dengan ketakutan yang tidak berasas. Kita harus memperkuat­kan jiwa dengan menolak kepercayaan kepada pengaruh kuasa sihir.

 

    Meditasi juga boleh membantu menyingkirkan fikiran yang tidak suci. Meditasi bantu menyucikan minda. Minda yang suci akan membawakan badan yang sihat lagi suci. Sesungguhnya Buddha Dhamma merupakan penawar bagi penyakit seumpama ini.

 

 

Menemui Medium

 

Menemui medium bukan amalan Buddhis; amalan ini hanya merupakan satu kepercayaan tradisional dan psikologikal.

 

Di banyak negara, manusia merujuk kepada medium untuk nasi­ o7 3  hat dan bimbingan bagi mengatasi masalah di luar pemahaman mere­ka. Mereka meminta pertolongan medium melalui pelbagai cara untuk pelbagai sebab. Apabila sakit dan pengubatan yang diterima tidak berkesan, dalam keadaan terdesak seperti ini, mediumlah yang selalu ditemui untuk nasihat. Ada  orang pula merujuk kepada medium apabila mereka menghadapi masalah yang rumit dan gagal menyelesaikannya. Ada pula yang menemui medium kerana nafsu ingin kaya dengan cepat.

 

    Ada orang mempercayai bahawa apabila medium menurun, seman­gat suatu dewa akan berkomunikasi melalui medium untuk memberi nasihat atau bimbingan kepada mereka yang meminta bantuan. Ada pula mempercayai bahawa menurun adalah disebabkan oleh minda separa sedar yang tertimbul dan mengambil alih minda sedar.

 

    Amalan menemui medium adalah umum di kalangan orang ramai. Buddhis bersikap berkecuali kepada amalan ini. Adalah sukar untuk mengesahkan kebenaran tentang apa yang disampaikan oleh medium. Amalan seumpama ini bukanlah satu amalan Budhhis, ia hanya meru­pakan satu amalan tradisional.

 

    Penemuan dengan medium bertujuan duniawi; ajaran Buddha pula adalah untuk perkembangan spirituil. Walau bagaimanapun, jika orang ramai percaya bahawa kata‑kata medium adalah benar, Buddhis tidak perlu membangkang amalan tersebut.

 

    Jika seseorang benar‑benar memahami dan mangamalkan ajaran Buddha, dia akan menyedari sifat sebenar masalahnya. Dia akan berupaya mengatasi masalahnya tanpa penemuan dengan medium.

 

Mimpi dan Maknanya

 

Hidup tidak lain daripada satu mimpi

 

Salah satu daripada masalah utama manusia yang tidak dapat diselesaikan ialah misteri di sebalik mimpi. Sejak dahulu lagi manusia telah berusaha menganalisa mimpi dan cuba menerangkannya secara psikologi atau sebagai satu ramalan. Walaupun ada kejayaan kecil yang tercapai kebelakangan ini, tetapi kita masih terkeliru oleh soalan : apakah mimpi?

 

    Pujangga romantik berbangsa Inggeris yang terkenal, William Wordsworth mempunyai suatu konsep yang menakjubkan : hidup ini hanya satu mimpi. Kita akan 'bangun' menghadapi kenyataan sebenar setelah kita mati iaitu apabila mimpi kita berakhir.

 

            'Kelahiran umpama tidur dan dilupai bahawa:

            Roh yang akan bangun bersama kita,

            Bintang kehidupan kita,

            Terletak dan datang dari suatu tempat yang kejauhan.'

 

    Konsep yang serupa juga dijumpai dalam sebuah hikayat Bud­dhis yang lama tentang sesorang dewa yang bermain dengan beberapa dewa lain. Oleh kerana keletihan, dia berbaring untuk tidur sebentar dan terus meninggal dunia. Dia telah lahir sebagai seorang gadis di bumi. Setelah berkahwin, dia melahirkan beberapa orang anak dan hidup sehingga usia yang lanjut. Selepas kematian­nya, dia lahir menjadi dewa di kalangan rakan‑rakan lamanya yang baru sahaja selesai permainan mereka. (Cerita ini juga menunjuk­kan bahawa masa adalah relatif, iaitu konsep masa di alam manusia addalah jauh berlainan dengan masa di alam kewujudan yang lain).

 

    Apakah pandangan Buddhisme tentang mimpi? Seperti setiap kebudayaan lain, agama Buddha juga mempunyai orang yang mendakwa diri mereka mahir dalam penafsiran mimpi. Orang seperti ini mengaut keuntungan dengan memperdayakan kejahilan mereka yang mempercayai bahawa setiap mimpi mempunyai makna spirituil atau merupakan satu ramalan.

 

    Mengikut Buddhis, secara psikologi mimpi merupakan satu proses ide yang berlaku sebagai aktiviti minda. apabila memper­timbangkan kejadian mimpi, kita perlu memahami bahawa proses tidur terbahagi kepada lima tahap iaitu:

 1. mengantuk

 2. tidur kurang nyenyak

 3. tidur nyenyak

 4. tidur kurang nyenyak

 5. sedar

 

    Makna di sebalik mimpi dan puncanya merupakan topik perbin­cangan dalam buku terkenal "Milinda Panha" atau "Soalan Raja Millinda". Dalam buku ini Yang Dihormati Nagasena menyatakan enam punca mimpi. Tiga daripadanya berciri organik iaitu angin, kahak dan hempedu. Punca keempat ialah pengaruh kuasa ghaib, punca kelima ialah singkapan pengalaman yang lepas dan yang terakhir ialah pengaruh kejadian yang akan datang. Dinyatakan bahawa mimpi hanya berlaku di tahap tidur kurang nyenyak iaitu tidur‑tidur ayam. Di antara enam jenis mimpi yang diberikan, Yang Dihormati Nagasena berkata bahawa hanya mimpi jenis terakhir iaitu mimpi ramalan berkepentingan. Mimpi‑mimpi lain adalah kurang penting secara relatifnya.

 

    Mimpi merupakan fenomena yang diwujudkan oleh minda iaitu aktiviti minda. Semua orang bermimpi, walaupun ada yang tidak dapat mengingatinya. Buddhisme mengajar bahawa setengah‑setengah mimpi mempunyai makna psikologi. Enam punca yang telah disebutkan tadi juga dapat dikelaskan seperti berikut :

 

 

    I. Setiap fikiran yang diwujudkan disimpan di dalam minda separa sedar. Keamatan ianya mempengaruhi minda tertakluk kepada darjah kekhuatiran kita. Apabila kita tidur, sebahagian daripada fikiran ini diaktifkan dan muncul sebagai gambar‑gambar bergerak di hadapan kita. Ini berlaku semasa tidur kerana pancaindera kita yang berhubung dengan luar, "ditahan" buat sementara waktu. Minda separa sedar menjadi dominan dan menyingkap fikiran yang tersim­pan. Mimpi begini mungkin bermakna bagi bidang psikiatri tetapi tidak boleh dikelaskan sebagai mimpi ramalan. Mimpi seperti ini hanyalah bayangan minda yang sedang berehat.

 

    II. Jenis mimpi yang kedua juga tidak bermakna. Mimpi seperti ini disebabkan oleh rangsangan dalaman dan luaran yang mencetuskan satu siri "fikiran visual" yang dilihat oleh minda yang sedang berehat. Faktor dalaman adalah yang mengganggu badan (misalnya makan keterlaluan yang menghalang seseorang daripada tidur dengan selesa atau ketidakseimbangan dan geseran di antara elemen‑elemen yang membentuk badan). Rangsangan luaran berlaku semasa minda terganggu (walaupun si tidur tidak menyedarinya) oleh fenomena semulajadi seperti cuaca, angin, kesejukan, hujan, desiran daun, gesekan tingkap dan sebagainya. Minda separa sedar bertindak terhadap gangguan ini dengan mewujudkan gambar‑gambar untuk menerangkannya. Minda cuba menerima gangguan ini dalam satu cara yang seolah‑olah rasional supaya si mimpi dapat terus tidur tanpa terganggu. Mimpi seperti ini juga tidak penting dan tidak perlu ditafsirkan.

 

    III. Mimpi ramalan adalah penting. Mimpi seperti ini jarang dialami dan hanya timbul apabila suatu peristiwa yang sangat penting dan berkaitan dengan si mimpi akan berlaku. Buddhisme mengajar bahawa selain daripada dunia sahih yang dapat kita alami, terdapat juga dewa yang wujud di alam lain dan terdapat semangat yang berada di bumi ini yang tidak terlihat oleh mata kasar. Mereka mungkin merupakan saudara‑mara atau sahabat handai kita yang telah meninggal dunia dan lahir semula. Mereka masih mengekalkan perhubungan mental dan ikatan dengan kita. Apabila seseorang Buddhis berdana pahala kepada dewa dan sanak‑saudara yang telah meninggal dunia, kita sebenarnya mengingati mereka dan menjemput mereka untuk turut bergembira di atas pahala yang diperolehi. Dengan cara ini, kita menjalin perhubungan mental dengan mereka yang telah meninggal. Dewa pula akan berasa gembira dan berbalas dengan menjaga kita. Mereka akan memberi petanda melalui mimpi jika kita akan menghadapi sesuatu masalah yang besar dan cuba melindungi kita.

 

    Jadi, apabila terdapat sesuatu peristiwa penting yang akan berlaku di dalam hidup kita, mereka akan mencetuskan satu tenaga mental di dalam minda kita yang kelihatan sebagai mimpi. Mimpi seperti ini boleh memberi amaran tentang bahaya yang mendatang atau menyediakan kita untuk menerima berita baik yang sungguh menakjubkan. Utusan seperti ini disampaikan secara simbolik dan perlu ditafsirkan dengan cekap dan bijak. Malangnya terlalu ramai orang yang terkeliru dengan dua jenis mimpi tersebut dahulu dengan mimpi jenis ini. Akibatnya mereka membazirkan banyak wang dan masa untuk penemuan dengan medium dan pentafsir mimpi yang penipu. Buddha menyedari bahawa mentafsir mimpi mungkin diek­sploitasikan untuk mengaut keuntungan. Oleh sebab ini, Buddha telah melarang para bhikkhu daripada menjadi penilik, ahli as­trologi atau mentafsir mimpi di atas nama Buddhisme.

 

    IV. Minda merupakan stor bagi semua tenaga kamma yang terkumpul pada masa lepas. Kadangkala, apabila sesuatu kamma akan berbuah (yakni, perbuatan kita semasa hidup yang lepas atau di awal hayat ini mangalami balasannya), minda yang berehat semasa tidur akan mencetuskan gambar‑gambar mengenai kejadian yang bakal berlaku. Dalam kes ini juga, peristiwa yang akan berlaku mestilah amat  penting dan sungguh berpengaruh sehingga minda "membebaskan" tenaga tambahan dalam bentuk mimpi yang jelas. Mimpi seumpama ini jarang berlaku dan hanya terjadi pada mereka yang mempunyai corak mental yang istimewa. Petanda tentang kesan kamma tertentu juga akan tertimbul di minda pada saat terakhir sebelum kita mening­gal.

 

    Mimpi juga boleh berlaku apabila dua orang menghantar utusan mental yang telepati kepada satu sama lain. Apabila seseorang mempunyai keinginan yang kuat untuk berhubung dengan seorang lain, dia akan menumpukan sepenuh perhatian kepada utusan yang ingin disampaikan serta orang yang ingin dihubunginya. Minda yang berehat, berada dalam keadaan ideal untuk menerima utusan terse­but yang akan terlihat sebagai mimpi. Biasanya mimpi ini wujud pada satu ketika yang giat sahaja kerana minda manusia tidak cukup kuat untuk menerima utusan seperti ini buat jangkamasa yang panjang.

 

    Para Buddha dan arahant tidak pernah bermimpi. Tiga jenis mimpi yang pertama tidak boleh berlaku di dalam minda mereka kerana minda mereka telah ditenangkan buat selama‑lamanya dan tidak mungkin terangsang untuk bermimpi. Jenis mimpi yang terak­hir tidak akan dialami kerana nafsu mereka telah dihapuskan dengan sepenuhnya. Tiada saki‑baki tenaga kerana kekhuatiran atau keinginan yang tidak dipenuhi untuk mengaktifkan minda bagi menghasilkan mimpi. Pelukis dan ahli fikir yang masyhur seperti German Goethe kerapkali menyatakan mereka mendapat inspirasi daripada mimpi. Ini mungkin kerana semasa tidur minda mereka diputuskan hubungan dengan pancaindera dan ini menghasilkan fikiran yang jelas dan kreatif. Wordsworth juga berpendapat sama bila dia menyatakan bahawa puisi yang bermutu terhasil ddaripada emosi yang kuat yang dikenang kembali bila dalam ketenangan.

 

 

Penyembuhan Melalui Kepercayaan

 

Penyembuhan melalui kepercayaan - satu pendekatan psikologi

 

Amalan percaya‑sembuh wujud di banyak negara. Ramai orang cuba mempengaruhi orang ramai melalui pujukan emosi yang dikenali sebagai percaya‑sembuh. Untuk menyakinkan pesakit tentang kemuja­raban kuasa penyembuhan mereka, terdapat pengamal percaya‑sembuh yang menggunakan nama tuhan atau objek agama agar cara mereka berupa keagamaan. Sebenarnya agama dipergunakan dalam percaya‑ sembuh untuk mengumpan pesakit supaya menjadi lebih taat dan berkeyakinan kepada pengamal percaya‑sembuh tersebut. Jika tinda­kan penyembuhan ini dilakukan di khalayak ramai, ianya bertujuan menarik penganut‑penganut baru untuk sesuatu agama.

 

    Sesungguhnya agama sama sekali tidak penting bagi percaya‑ sembuh. Terdapat banyak kes di mana pengamal percaya‑sembuh melakukan penyembuhan tanpa menggunakan sebarang agama. Contoh­nya, sains pukauan yang tidak melibatkan sebarang aspek agama pun. Mereka yang menggabungkan agama dengan percaya‑sembuh, sebenarnya mempunyai tipu muslihat untuk memancing penganut‑penganut baru untuk agama mereka dengan dakwaan bahawa penyembu­han tersebut adalah satu keajaiban.

 

    Kaedah yang digunakan oleh percaya‑sembuh ialah membawa minda pesakit ke satu keadaan mental tertentu yang boleh menye­babkan perubahan psikologi dan fisiologi berlaku. Keadaan ini mempengaruh dan menawan keadaan minda, hati dan peredaran darah sehingga seseorang berasa sihat dan gembira. Jika penyakit ber­punca daripada minda, maka minda boleh dibentuk untuk melenyapkan penyakit tersebut.

 

    Dalam konteks ini perlu ditekankan bahawa amalan meditasi yang kerap dan berterusan juga boleh meminimakan atau melenyapkan penyakit sepenuhnya. Terdapat banyak sutta dalam ajaran Buddha yang menyatakan pelbagai penyakit telah disembuhkan dengan pem­bentukan keadaan minda. Justeru itu adalah menguntungkan jika kita amalkan meditasi demi kebaikan fizikal dan mental.

 

 

 

 

 

 

Kepercayaan Karut dan Dogma

 

`Ada orang mempersendakan kepercayaan karut orang lain sedangkan kepercayaan karut dirinya dipelihara.'

 

    Setiap penyakit ada penawarnya kecuali kepercayaan karut. Jika kepercayaan karut terbentuk di dalam sesuatu agama, ia menjadi penyakit yang sukar diubati. Semasa menjalankan upacara agama tertentu, orang yang terdidik juga lupa akan kemuliaannya sebagai manusia dan menerima kepercayaan karut yang tidak munasa­bah.

 

    Kepercayaan karut dan upacara diserapkan oleh sesuatu agama untuk menarik orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat. Malangnya, selepas beberapa lama, pokok menjalar yang ditanam sebagai hiasan telah meliputi seluruh kawasan dan jauh lebih menarik daripada tempat sembahyang itu sendiri. Akibatnay, dok­trin agama dibelakangkan  manakala kepercayaan karut dan upacara menjadi dominan bagaikan pokok menjalar yang menutupi kegemilan­gan tempat sembahyang.

 

    Seperti kepercayaan karut, kepercayaan dogmatik juga memban­tutkan perkembangan sihat sesuatu agama. Kepercayaan dogmatik dan sikap tidak bertoleransi wujud bersama‑sama. Ini mengingatkan kita tentang Kurun Pertengahan (1000‑1400 tahun masehi) yang penuh dengan penyiasatan yang tidak berperikemanusian, pembunuhan kejam, keganasan, perbuatan keji, penderaan dan pembakaran orang yang tidak berdosa. KIta juga mungkain teringat perang salib yang tidak berperikemanusiaan. Kesemua peristiwa ini berlaku kerana orang ramai percaya pada pihak berkuasa agama tanpa apa‑apa persoalan dan sikap tidak bertoleransi yang wujud.

 

    Sebelum perkembangan pengetahuan sains, orang yang jahil memegang banyak kepercayaan karut. Misalnya ramai orang percaya bahawa gerhana matahari dan gerhana bulan membawa nasib buruk dan wabak penyakit. Kini, kita sedia maklum bahawa kepercayaan seper­ti ini tidak benar. Terdapat pula pemimpin agama yang tidak berprinsip, yang menggalakkan kepercayaan karut supaya pengikut‑pengikut mereka boleh diperalatkan bagi kepentingannya sendiri. Apabila seseorang benar‑benar telah menyucikan mindanya daripada kejahilan, dia dapat melihat dunia ini sebagaimana yang sebenarnya. Dia tidak lagi menderita akibat kepercayaan karut dan dogmatik. Setiap Buddhis beraspirasi untuk mencapai pembebasan ini.

   

    Adalah sangat sukar untuk mengatasi emosi yang terikat pada kepercayaan karut dan dogmatik. Pengetahuan sains juga tidak cukup kuat untuk membolehkan kita melepaskan konsep‑konsep yang salah. Sebagai contoh, telah beberapa generasi lamanya, manusia mengetahui bahawa bumi menggelilingi matahari; tetapi berdasarkan pengalaman, kita masih berpengangan bahawa matahari terbit, bergerak menyeberangi angkasa dan terbenam di sebelah petang. Kita masih perlu membuat satu loncatan intelektual untuk menggam­barkan bahawa sebenarnya bumi kita yang berputar menggelilingi matahari dengan lajunya.

 

    Kita mesti menyedari bahaya kepercayaan karut dan keper­cayaan dogmatik yang wujud bersama‑sama agama. Masa telah sampai bagi orang yang bijak untuk mengasingkan agama daripada keper­cayaan karut dan dogmatik. Kalau tidak, nama baik agama akan tercemar. Bilangan orang yang tidak percayakan agama pula akan meningkat seperti yang sedang berlaku.