BAB 14 : PENYEBAR BUDAYA MANUSIA SEBENAR

 

AGAMA_MODEN

BUDDHISM BERUPAYA BERDEPAN DENGAN SEGALA PANDANGAN  MODEN YANG MENCABAR AGAMA.

 

Idea‑idea Buddha telah banyak memberi sumbangan untuk  memperkayakan pemikiran kuno dan juga moden.  Pengajarannya  tentang hukum sebab-musabab dan relativisme, ajaran yang  berasaskan maklumat deria dan pragmatismenya, penekanan kepada moral, penolakan kepercayaan terhadap kekekalan roh, pengabaian terhadap kuasa-kuasa ghaib luaran, penafian terhadap upacara-upacara keagamaan yang keterlaluan, penekanan kepada akal dan  pengalaman dan keseragamannya  dengan penemuan saintifik  moden, semuanya mengesahkan dakwaan keagungan agama ini terhadap permodenan.

 

Buddhisme dapat memenuhi segala kehendak agama yang rasional yang memenuhi   keperluan dunia masa depan.  Ia sungguh saintifik, sungguh rasional, sungguh progresif dan ia akan menjadi satu kebanggaan kepada sesiapa sahaja di dunia moden ini yang mengakui dirinya  penganut Buddha.  Sebenarnya  pendekatan Buddhisme adalah lebih saintifik daripada sains dan  lebih sosialistik daripada sosialisme.

 

Di antara semua pengasas agama, hanya Buddha sahaja yang  menggalakkan semangat menyelidik di kalangan penganut‑penganutnya dan menasihatkan mereka agar tidak menerima ajarannya secara membuta‑tuli.  Dengan itu  adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan Buddhisme  adalah satu agama yang moden.

 

Buddhisme merupakan satu skima yang menyeluruh mengenai bagaimana  untuk menjalani suatu kehidupan yang pratikal dan juga merupakan  satu sistem pembentukan diri yang dibina dengan teliti.  Malah lebih daripada itu, ia  merupakan suatu kaedah pendidikan yang saintifik.  Agama ini paling  berupaya mengembalikan ketenangan fikiran kita semasa menghadapi sebarang  krisis dan membimbing kita menghadapi sebarang perubahan yang bakal dihadapi.

 

Dapatkah kehidupan diteruskan tanpa keseronokan deria?  Tanpa  kepercayaan terhadap kehidupan kekal selepas kematian adakah manusia akan hidup bermoral?  Tanpa  berpandukan kepada ketuhanan dapatkah manusia menuju ke arah  kebaikan?  Ya, adalah jawapan yang diberi oleh Buddhisme.   Matlamat ini dapat dicapai melalui pengetahuan dan penyucian  pemikiran.   Pengetahuan adalah kunci yang membawa kepada suatu jalan yang lebih tinggi.  Penyucian membawa ketenangan  dan keamanan hidup serta membolehkan manusia mengenepikan dan  tidak dipengaruhi oleh kejahilan dunia yang fana.

 

Buddhisme adalah satu agama yang benar‑benar sesuai untuk dunia saintifik moden. Sinaran cahaya dari alam, dari sains, dari sejarah, dari pengalaman manusia dan dari setiap penjuru dunia memancar bersama Ajaran Suci Buddha.

 

AGAMA_DALAM_ZAMAN_SAINS

 

AGAMA TANPA SAINS ADALAH TEMPANG MANAKALA SAINS TANPA AGAMA PULA  ADALAH BUTA.

 

Hari ini kita hidup dalam zaman sains, di mana hampir semua aspek  kehidupan kita dipengaruhi oleh sains.  Semenjak revolusi sains  pada abad ke 17, sains terus mempunyai pengaruh yang kuat  ke atas fikiran dan perlakuan kita. Pengaruh kejutan sains amat kuat, khususnya ke atas kepercayaan agama  tradisional.  Banyak konsep‑konsep asas agama telah ranap di bawah tekanan sains moden dan tidak diterima lagi oleh para cerdik pandai dan golongan yang berpengetahuan.   Kini kita tidak lagi boleh lagi menegakkan kebenaran semata-mata menerusi  spekulasi teologi atau berdasarkan kepada autoriti kitab  suci sahaja tanpa mengambil kira pertimbangan saintifik.  Contohnya, penemuan ahli psikologi moden yang menunjukkan bahawa  fikiran manusia sama seperti badan fizikal, berfunsi berdasarkan hukum sebab-musabab semula jadi tanpa kehadiran roh yang kekal  sebagaimana yang diajar oleh beberapa agama yang lain.

 

Sesetengah ahli agama memilih untuk mengenepikan penemuan‑penemuan saintifik  yang bertentangan dengan ajaran agama mereka.  Sikap mental yang rigid tersebut sesungguhnya menghalang kemajuan manusia.  Oleh kerana manusia zaman moden  enggan mempercayai sesuatu dengan membuta tuli walaupun  ia telah diterima secara tradisi, maka agama tersebut hanya  akan berjaya  mengurangkan lagi jumlah penganut‑penganut mereka disebabkan  kesilapan teori mereka.

 

Pada masa yang sama, setengah‑setengah agama mendapati perlu  untuk menyesuaikan ajaran mereka dengan teori‑teori saintifik yang popular dengan memberi tafsiran-tafsiran baru terhadap ajaran agama mereka. Contohnya, teori Evolusi Darwin.  Ramai ahli‑ahli agama menegaskan bahawa manusia diciptakan secara langsung oleh tuhan.  Darwin sebaliknya mendakwa bahawa manusia adalah perubahan secara evolusi dari gorila.   Teori Darwin ini telah mengugat ajaran tentang Pencipta Agung dan kiamat.  Oleh kerana ramai pemikir yang bijaksana  telah menerima Teori Darwin, maka ahli‑ahli teologi pada hari ini tiada pilihan lain kecuali terpaksa memberi satu tafsiran baru kepada ajaran agama mereka supaya selaras dengan teori tersebut yang mereka tentangi selama ini.

 

Berdasarkan penemuan‑penemuan saintifik moden, adalah tidak sukar untuk  memahami pandangan‑pandangan kebanyakan agama mengenai alam  sejagat dan kehidupan adalah hanya pandangan konvensional yang  telah lama diketepikan.  Secara umum adalah benar untuk  mengatakan bahawa agama telah banyak memberi sumbangan kepada  perkembangan dan kemajuan manusia.  Agama juga telah menetapkan  nilai‑nilai dan standard, dan merumuskan prinsip‑prinsip sebagai panduan  kehidupan manusia.  Walaupun agama-agama ini telah banyak memberi sumbangan  kepada manusia tetapi ia tidak mungkin dapat terus bertahan dalam  dunia saintifik moden ini jika penganut‑penganut mereka berkeras membelenggu   kebenaran ke dalam bentuk set dan dogma serta menggalakkan  upacara‑upacara dan amalan-amalan yang telah hilang pengertian asalnya.

 

BUDDHISME_DAN_SAINS

 

Sehingga awal abad yang lalu, Buddhisme terhad kepada negara yang belum  dicemari oleh kemodenan sains.  Walau bagaimanapun, dari  awal lagi, ajaran Buddha sentiasa terbuka kepada pemikiran sains.

 

Satu sebab mengapa ajaran Buddha boleh diterima dengan mudah  oleh semangat sains ialah kerana Buddha tidak pernah menggalakkan  kepercayaan dogma yang rigid.  Beliau tidak mengatakan bahawa pengajarannya  berdasarkan keimanan, kepercayaan atau wahyu ketuhanan tetapi  membenarkan kemudahlenturan besar dan kebebasan berfikir.

 

Sebab yang kedua ialah semangat saintifik boleh didapati di dalam  pendekatan Buddha menuju Kebenaran Kerohanian.  Kaedah Buddha di  dalam mencari dan menguji Kebenaran Kerohanian mempunyai  persamaan dengan kaedah ahli sains.  Ahli sains mengamati  dunia luaran secara objektif dan hanya membuat suatu teori sains  selepas  menjalankan banyak ujikaji‑ujikaji praktikal dengan jaya.

 

Dengan menggunakan pendekatan yang sama 25 abad yang lalu,  Buddha mengamati dunia dalaman tanpa keterikatan dan  menggalakkan pengikutnya supaya tidak menerima sebarang ajaran  sehingga mereka telah menyiasat dengan teliti dan dapat mengesahkan kebenarannya dengan sendiri.  Sama seperti ahli sains sekarang yang tidak mendakwa bahawa ujikajinya tidak boleh ditiru oleh ahli sains  lain, Buddha tidak mendakwa bahawa pengalamanNya mengenai  pencerahan hanya khusus untukNya.  Justeru itu, di dalam  pendekatanNya menuju kebenaran, Buddha sangat teliti seperti ahli  sains zaman ini.  Beliau mengemukakan satu kaedah yang praktikal  dan diolah secara saintifik untuk mencapai Kebenaran Mutlak dan  pengalaman ke arah Pencerahan.

 

Walaupun Buddhisme sangat selari dengan rohani sains tetapi  adalah tidak benar untuk menyamakan Buddhisme dengan sains.  Adalah benar bahawa penggunakan sains secara praktikal telah membolehkan umat manusia hidup lebih selesa dan  merasai perkara‑perkara indah yang tidak pernah dimimpikan selama ini.   Sains telah memungkinkan manusia untuk berenang lebih baik  daripada ikan, terbang lebih tinggi daripada burung dan berjalan  di atas bulan.  Tetapi ruang lingkup pengetahuan yang boleh diterima oleh kebijaksanaan saintifik fizikal adalah terhad kepada bukti-bukti empirikal.  Dan kebenaran saintifik adalah tertakluk kepada perubahan yang berterusan.  Sains tidak membolehkan manusia mengawal fikirannya  mahupun menawarkan  kawalan moral dan panduan.  Di sebalik keajaibannya, sains sesungguhnya mempunyai batasan tidak  seperti mana  Buddhisme.

 

Batasan-batasan sains

 

Kerap kali kita  mendengar tentang perkara‑perkara  yang boleh dilakukan oleh sains tetapi tidak sebaliknya.  Pengetahuan sains  adalah terhad kepada maklumat yang diterima melalui organ deria  kita.  Ia tidak menerima kebenaran yang melampau keupayaan kuasa  deria.  Kebenaran Saintifik terbina atas pengamatan logikal organ deria yang tertakluk kepada perubahan yang berterusan.  Oleh yang demikian,  kebenaran sains tidak dibina untuk menghadapi ujian masa.  Ahli sains, menyedari hakikat ini, sentiasa bersedia  mengenepikan teorinya jika ia boleh digantikan dengan teori yang lebih  baik.

 

Sains berusaha untuk memahami dunia jasmaniah tetapi hampir tidak  menyentuhi permukaan dunia kerohanian manusia.  Malah sains psikologi sekalipun belum menyelami asas  sebab‑sebab kegelisahan mental manusia.  Apabila seseorang mengalami  kekecewaan dan cemuh terhadap kehidupannya, dan jiwanya penuh dengan gangguan dan kegelisahan, bidang sains hari ini masih belum cukup sedia untuk membantunya.  Sains sosial yang  melibatkan keadaan persekitaran seseorang mungkin memberinya suatu tahap kebahagiaan.  Tetapi tidak seperti binatang, manusia  memerlukan lebih daripada keselesaan fizikal dan memerlukan bantuan untuk menghadapi kekecewaan dan kesengsaraan yang timbul dalam hidup  sehari‑harinya.

 

Hari ini, ramai manusia dihantui oleh ketakutan, kegelisahan dan rasa tidak selamat.  Tetapi sains masih gagal  mengatasi masalah tersebut.  Sains tidak mampu mengajar manusia  mengawal minda mereka apabila mereka didorong oleh naluri kebinatangan yang membara dalam diri mereka.

 

Bolehkah sains menjadikan manusia lebih baik?  Jika boleh,  mengapa keganasan dan perbuatan tidak bermoral melanda  negara‑negara yang begitu maju dalam bidang sains?  Bukankah wajar dikatakan bahawa disebalik segala kemajuan yang dicapai dalam sains dan segala kelebihan yang dianugerahi pada manusia sains pada asasnya tidak mengubah dunia kerohanian?  Ia hanya meningkatkan rasa kebergantungan dan kekurangan manusia.  Tambahan kepada kegagalan sains untuk membawa keselamatan kepada manusia sejagat, sains juga  menjadikan setiap orang berasa lebih tidak selamat kerana ancaman kemungkinan pemusnahan keseluruhan dunia.

 

Sains tidak mampu memberi erti kehidupan yang bermakna.  Ia  tidak boleh memberi manusia sebab‑sebab yang jelas untuk hidup.  Pada hakikatnya, sains umumnya lebih bersifat pengetahuan alam nyata  dan tidak menitikberatkan matlamat kerohanian seseorang.   Sifat kebendaan yang wujud dalam sains menafikan pencapaian kerohanian yang lebih tinggi daripada  kepuasan kebendaan.  Melalui kaedah teori terpilih dan  kebenaran relatif, sains mengetepikan beberapa isu  utama dan meninggalkan banyak soalan tidak terjawab.   Sebagai contohnya, bila ditanya mengapa wujud perbezaan di antara manusia, tiada penjelasan saintifik yang boleh diberi terhadap soalan‑soalan tersebut yang sebenarnya melampaui batasan sains yang sempit.

 

KEJAHILAN TERPELAJAR.

 

Pemikiran luar biasa yang dicapai oleh Baginda Buddha tidak terbatas kepada  maklumat deria sahaja tetapi ia melampaui logik  yang terkongkong dalam batasan persepsi relatif.  Intelek manusia sebaliknya berfungsi berdasarkan maklumat yang  diterima dan disimpan sama ada dalam bidang keagamaan, falsafah,  sains ataupun seni.  Maklumat minda ini dikumpulkan  melalui organ‑organ deria kita yang lemah  dari  berbagai segi.  Maklumat yang terhad itu  menyebabkan kefahaman kita terhadap dunia terencat.

 

Sesetengah orang berasa angkuh dengan anggapan bahawa mereka memiliki pengetahuan yang luas.  Sebenarnya semakin kurang kita  tahu maka semakin  yakinlah penerangan  kita.  Sebaliknya semakin banyak yang kita tahu maka semakin  kita sedar akan kekurangan atau kelemahan diri kita.

 

Seorang pelajar yang berkaliber pernah menulis  sebuah buku yang dianggapnya sebagai hasil kerjanya yang paling baik.   Beliau berpendapat bahawa bukunya itu mengandungi segala  keagungan sastera dan falsafah.  Dengan rasa bangga, beliau pun menunjukkan hasil karya agungnya itu kepada rakannya  yang tidak kurang  pintarnya dan meminta beliau mempertimbangkan bukunya  itu.  Sebaliknya rakannya itu meminta pengarang tersebut menulis  di atas sehelai kertas semua perihal yang diketahui dan tidak diketahuinya.  Pengarang tersebut berfikir panjang dan lebar  tetapi selepas beberapa lama, beliau gagal untuk  mencatatkan sebarang benda yang diketahuinya.  Dengan itu beliau  memikirkan soalan yang kedua, dan sekali lagi beliau gagal untuk  mencatatkan sebarang hal yang tidak diketahuinya.  Akhirnya keangkuhan pengarang tersebut berkecai dan beliau mengaku dan menyedari  bahawa segala yang diketahuinya hanyalah kejahilan.

 

Selaras dengan itu, Socrates, ahli falsafah Athen yang terkemuka dari zaman lampau, bila ditanya apa yang diketahuinya, beliau  menjawab 'Saya hanya tahu satu perkara ‑‑ iaitu saya tidak tahu'.

 

Melampaui_sains

 

Buddhisme jauh melampaui sains moden dalam penerimaannya terhadap bidang  pengetahuan yang jauh lebih luas daripada yang dapat dilakukan oleh  pemikiran saintifik.  Buddhisme mengakui bahawa pengetahuan  berpunca dari organ deria dan juga pengalaman peribadi yang  diperolehi melalui didikan mental (meditasi).  Melalui latihan dan konsentrasi minda yang tinggi, pengalaman  keagamaan dapat difahami dan dibuktikan.  Pengalaman keagamaan  bukanlah sesuatu yang dapat difahami melalui ujikaji tabung  uji atau diperhatikan di bawah mikroskop.  Kebenaran yang dihasilkan oleh sains adalah relatif dan tertakluk kepada perubahan.  Kebenaran yang dijumpai oleh Buddha adalah  muktamad dan sempurna: kebenaran Dhamma tidak sesekali berubah  mengikut masa dan ruang.  Lebih‑lebih lagi, bertentangan dengan kaedah teori terpilih sains Buddha menggalakkan mereka yang arif supaya tidak bergantung kepada teori‑teori sama ada saintifik atau tidak.   Sebalik daripada membina teori, Buddha mengajar manusia cara kehidupan yang benar supaya dapat menemui Kebenaran Mutlak.  Dengan menjalani kehidupan yang benar, dengan menenangkan keinginan deria dan menjauhi nafsu, Buddha menunjukkan jalan untuk kita menemui sendiri sifat-sifat kehidupan alam semula jadi.  Dengan itu tujuan  sebenar kehidupan dapat diketahui.

 

Latihan adalah penting dalam Buddhisme.   Seseorang yang membaca dengan banyak tetapi tidak melakukan  latihan adalah seperti seseorang yang menghafal resipi‑resipi  dari buku masakan yang tebal tetapi tidak cuba untuk menyediakan satu jenis  masakan pun.  Kelaparannya tidak dapat dipuaskan dengan pengetahuan dari buku semata‑mata.  Latihan adalah satu syarat penting  sehinggakan dalam beberapa cabang ajaran Buddhisme misalnya Zen,  latihan mendahului pengetahuan.

 

Kaedah saintifik menjurus ke arah luaran dan ahli sains moden  mengeksploitasi unsur-unsur dan alam semula jadi untuk keselesaan hidup. Acapkali  mereka  mengabaikan keperluan untuk berharmoni dengan  persekitaran dan dengan itu mereka mencemarkan alam.  Bertentangan  dengan sains, Buddhisme menjurus ke arah dalaman dan menitikberatkan  perkembangan dalaman manusia.  Pada tahap rendah, Buddhisme  mengajar seseorang individu bagaimana menyesuai dan berhadapan  dengan kejadian dan situasi kehidupan harian.  Pada tahap yang  lebih tinggi, ia mewakili usaha manusia untuk memberkembangkan diri melalui amalan meditasi dan pembangunan minda.

 

Buddhisme mempunyai satu sistem meditasi yang sempurna yang menitikberatkan pencapaian celik akal ke atas sifat semula jadi benda-benda yang  memandu ke arah kesedaran  kendiri sepenuhnya tentang Kebenaran Mutlak ‑‑ Nirvana.  Sistem ini adalah pratikal dan saintifik, ia melibatkan pemerhatian tanpa keterikatan perasaan dan kedudukan mental.  Lebih merupakan seorang ahli sains daripada seorang hakim, seorang pertapa meneliti dunia dalaman dengan penuh purmindaan (kewaspadaan).

 

 

Sains_Tanpa_Agama_(Science_Without_Religion)

 

Tanpa kesedaran moral, sains akan mendatangkan bahaya kepada umat manusia. Sains telah mencipta mesin yang kemudiannya menjadi raja.  Peluru dan  bom  adalah anugerah daripada beberapa orang yang berkuasa dan kepada merekalah tergantungnya untung nasib dunia ini.  Manakala, umat manusia  yang lain menanti dengan penuh kebimbangan dan ketakutan, tidak mengetahui bilakah senjata‑senjata nuklear,  gas‑gas beracun, senjata‑senjata pemusnah- kesemuanya hasil daripada kajian sains yang direka untuk membunuh dengan cekap ‑ akan digunakan ke atas  mereka.  Sains bukan sahaja tidak berupaya membekalkan bimbingan moral kepada umat manusia, malah ia telah mencurahkan minyak kepada api nafsu  manusia.

 

Sains tanpa moral hanya menjanjikan kemusnahan: Ia menjadi raksaksa ganas yang dicipta oleh manusia.  Malangnya, raksaksa ini telah menjadi lebih berkuasa daripada manusia sendiri.  Melainkan manusia berusaha untuk mengawal dan mengurus raksaksa tersebut melalui amalan moral keagamaan, raksaksa ini akan terus menguasai mereka.   Tanpa bimbingan agama, sains mengancam manusia dengan kemusnahan.  Sebaliknya, sains apabila digabungkan dengan agama seperti Buddhisme akan dapat mengubah dunia ini menjadi satu syurga yang aman, selamat dan bahagia.

 

Belum pernah lagi ada masa seperti sekarang ini bila mana kerjasama di antara sains dan agama sangat‑sangat  diperlukan demi kebaikan dan sokongan kepada umat manusia.  Agama tanpa sains adalah tempang, manakala sains tanpa  agama adalah buta.

 

PENGHARGAAN_KEPADA_BUDDHISME

 

Kebijaksanaan Agama Buddha yang bertunjangkan belas kasihan memainkan peranan yang penting bagi membetulkan haluan bahaya yang  sedang dituju oleh sains moden.  Buddhisme boleh menyediakan panduan kerohanian bagi membimbing penyelidikan dan ciptaan sains  ke arah menggalakkan budaya yang cemerlang untuk masa depan.  Buddhisme dapat menyediakan sasaran atau tujuan yang selaras  bagi kemajuan sains yang pada masa sekarang  ini sedang  menghadapi jalan buntu lantaran diperhambakan oleh ciptaan mereka sendiri. 

 

Albert Einstein menunjukkan penghargaannya kepada Buddhisme apabila beliau berkata dalam autobiografinya yang berbunyi : 'Jika ada agama yang  dapat memenuhi keperluan sains moden, maka agama itu sudah tentulah Buddhisme.'  Buddhisme tidak perlu pengubahsuaian untuk dikemaskinikan dengan penemuan  sains terbaharu.  Buddhisme tidak perlu menyerah kalah kepada pandangan sains kerana ia mencakupi malah melebihi sains.   Buddhisme adalah jambatan antara fikiran keagamaan dan saintifik  kerana ia meransang manusia untuk menyedari potensi besar dalam diri dan persekitaran meraka.  Buddhisme abadi sepanjang masa.

 

AGAMA KEBEBASAN

 

INI ADALAH AGAMA KEBEBASAN DAN AKAL UNTUK MANUSIA MENJALANI PENGHIDUPAN SUCI.

 

Buddhisme tidak menghalang sesiapa mempelajari ajaran agama yang  lain.  Sebenarnya Buddha menggalakkan pengikut‑pengikutnya  mempelajari agama lain dan membandingkan ajarannya dengan ajaran yang  lain.  Buddha berkata bahawa jika ada ajaran yang manasabah dan rational dalam agama lain pengikutnya bebas menghormati ajaran tersebut.  Sesetengah ahli agama cuba mengongkong pengikut mereka dalam kegelapan malah sebahagian daripada mereka tidak dibenarkan menyentuh objek‑objek atau buku‑buku agama lain.  Mereka  diarah agar jangan mendengar ajaran agama yang lain.  Mereka diperintahkan agar yakin akan agama mereka sendiri walaupun ajaran yang mereka ikuti  itu meragukan.  Semakin mereka dapat memastikan pengikut mereka berfikiran sehala maka semakin mudahlah mereka dapat dikawal.   Jika sesiapa di antara mereka mempraktikan  kebebasan berfikir dan menyedari bahawa dirinya selama ini berada dalam kegelapan  maka akan dituduh bahawa syaitan telah menguasai pemikirannya.  Hamba yang malang tersebut tidak diberi peluang langsung menggunakan pemikiran, pendidikan atau kebijaksanaannya. Sesiapa yang berniat untuk  menukar pandangannya tentang agama diajar agar mempercayai bahawa dirinya tidak sempurna untuk menggunakan kebebasan membuat penilaian sendiri terhadap sebarang perkara.

 

Mengikut Buddha, agama patut terserah kepada  pilihan individu secara bebas.  Agama bukanlah undang‑undang tetapi merupakan  kod disiplin yang patut diikuti dengan penuh kefahaman.  Bagi penganut Buddhis, prinsip‑prinsip agama bukanlah suatu hukum ketuhanan mahupun undang‑undang buatan manusia tapi ia  adalah hukum semulajadi (natural law).  Pada hakikatnya, tiada  terdapat kebebasan mutlak di mana‑mana bahagian dunia hari ini.  Manusia tiada kebebasan untuk berfikir dengan bebas.  Apabila  seseorang itu menyedari dia tidak dapat  mencari kepuasan dalam agamanya, yang tidak boleh memberi jawapan kepada sesetengah persoalan,  dia tidak mempunyai kebebasan untuk  meninggalkannya dan beralih kepada ajaran yang lain yang disukainya.  Alasannya  ialah pihak berkuasa agama, pemimpin‑pemimpin dan ahli keluarga telah merampas kebebasan ini daripadanya.  Seseorang itu sepatutnya dibenarkan  untuk memilih agama mengikut keyakinannya.  Seseorang itu tiada hak untuk memaksa orang lain untuk menerima agama tertentu.  Sesetengah orang meninggalkan agama mereka kerana cinta tanpa kefahaman yang  betul terhadap agama pasangan mereka.  Agama tidak boleh  ditukar hanya untuk memenuhi emosi dan kelemahan manusia.  Kita  patutlah berfikir halus-halus sebelum menukar agama kita.  Agama bukanlah barangan yang boleh dijualbeli; kita tidak patut menukar agama untuk kepentingan kebendaan.  Agama harus digunakan untuk pembangunan rohani dan pembebasan-diri.

 

Pengikut‑pengikut  Buddha tidak pernah cuba mempengaruhi pengikut ajaran lain untuk menganut agama mereka untuk kepentingan  kebendaan.  Dalam pada itu mereka juga tidak mempergunakan kemiskinan, penyakit, buta huruf dan kejahilan bagi menambahkan bilangan pengikut‑pengikut agama mereka. Buddha menasihati mereka yang ingin mengamalkan ajarannya supaya  jangan terburu‑buru menerima ajarannya. Baginda menasihati mereka supaya mempertimbangkan ajaranNya dengan baik dan menentukan sendiri sama ada ianya praktikal atau tidak untuk diikuti.

 

 

Agama Buddha mengajar bahawa kepercayaan atau amalan agama luaran semata-mata adalah tidak cukup untuk seseorang  mencapai kearifan dan kesempurnaan. Justeru itu penganutan luaran adalah tidak bermakna.  Untuk menyebarkan Agama Buddha secara kekerasan bermaksud memperkembangkan kasih  sayang dan keadilan dengan cara paksaan dan ketidakadilan.  Adalah  tidak penting kepada pengikut Buddha sama ada seseorang itu mengelarkan dirinya pengikut  Buddha atau tidak. Pengikut Buddha tahu bahawa hanya  melalui kefahaman dan usaha sendiri, mereka akan berupaya  menghampiri matlamat yang dinyatakan oleh Buddha. 

 

Setiap agama ada  pengikut‑pengikut fanatik.  Fahaman fanatik agama adalah sangat berbahaya. Individu yang fanatik tidak  berupaya mengawal  dirinya dengan akal maupun dengan prinsip-prinsip pemerhatian dan analisis sains.  Menurut Buddha, pengikut Buddha mestilah orang yang bebas, berfikiran terbuka dan jangan terlalu memperhambakan diri  kepada orang lain untuk pembangunan rohaniahnya.   Dia berlindung (refuge) kepada Buddha dengan menerimaNya sebagai suatu sumber bimbingan dan inspirasi yang agung.  Dia berlindung kepada Buddha tidak secara membuta-tuli tetapi dengan kefahaman.  Bagi pengikut‑  pengikut Buddha, Gautama Buddha bukanlah penyelamat atau makhluk jelmaan yang mendakwa memiliki kuasa untuk membersihkan dosa  seseorang.  Mereka menganggap Gautama Buddha sebagai guru yang  menunjukkan Jalan yang benar ke arah kebebasan. 

Agama Buddha sentiasa menyokong kebebasan dan kemajuan umat manusia.  Agama Buddha sentiasa berdiri demi kemajuan pengetahuan dan kebebasan bagi manusia dari semua peringkat kehidupan.  Tiada suatu bendapun dalam ajaran Buddha yang perlu disingkirkan dalam menghadapi rekaan dan pengetahuan sains moden.   Lebih banyak penemuan baru yang dibuat oleh ahli sains, lebih dekat diri mereka kepada Buddha. 

Buddha membebaskan manusia dari menjadi hamba agama.  Buddha  menyelamatkan manusia daripada monopoli dan kekerasan amalan ritual agama.    Buddha  adalah orang pertama yang menasihati manusia supaya menggunakan akal dan tidak membiarkan diri mereka diheret seperti lembu dicucuk hidung mengikut ajaran agama. Buddha mempertahankan rationalisme, demokrasi dan tindakan yang praktikal dan beretika dalam agama.  Baginda memperkenalkan agama ini untuk diamalkan dengan penuh harga diri.

 

Pengikut‑pengikut Buddha dinasihatkan supaya jangan percaya  kepada sebarang perkara sebelum membuat pertimbangan yang baik terhadapnya.   Dalam Sutta Kalama, Buddha memberi panduan kepada sekumpulan belia :

 

-             Jangan menerima sesuatu semata-mata berdasarkan laporan, tradisi atau 

   khabar angin.

       atau berdasarkan keesahan teks agama,

       atau berdasarkan sebab-sebab dan hujah-hujah,

       atau berdasarkan tafsiran sendiri,

       atau berdasarkan kepada sesuatu yang nampaknya benar,

-             atau berdasarkan kepada pendapat ramalan sendiri,

-             atau berdasarkan kepada orang lain yang nampaknya berkebolehan.

-             Atau berdasarkan pertimbangan: ÔIni guru kita"

 

 

`Tetapi, bila anda ketahui sendiri bahawa sesuatu perkara adalah tidak  baik dan buruk : yang boleh membawa kemudharatan kepada anda dan orang lain, hindarilah perkara-perkara tersebut.Õ

 

`Dan jika anda ketahui sendiri bahawa sesuatu perkara adalah baik dan sempurna: membantu kepada perkembangan rohaniah anda sendiri dan orang lain, terima dan ikutlah perkara-perkara itu.' 

 

Pengikut‑pengikut Buddha dinasihatkan supaya  menerima sesuatu amalan agama hanya setelah membuat pemerhatian dan penganalisaan teliti dan hanya setelah pasti bahawa cara tersebut selaras dengan akal dan sesuai untuk kebaikan setiap orang.

 

Pengikut‑pengikut Buddha yang sebenar tidak bergantung kepada kuasa  luaran untuk kebebasannya.  Dia juga tidak mengharapkan  bantuan dari sebarang kuasa ghaib untuk mengelakkan penderitaan.   Dia mesti cuba menghapus segala pencemaran minda untuk mencapai kebahagiaan kekal.   Buddha berkata, `Jika sesiapa bercakap buruk tentang  saya, ajaran saya dan pengikut‑pengikut saya, jangan cepat marah atau terkilan kerana tindakan sebegini akan  membahayakan  anda.  Begitulah sebaliknya, 'Jika  sesiapa memuji saya, ajaran saya dan pengikut‑pengikut saya,  janganlah terlalu suka, gembira dan megah kerana ini akan menjadi penghalang dalam membuat penilaian yang betul.  Jika anda bermegah anda tidak akan dapat menilai sama ada nilai-nilai yang dipuji itu benar dan terkandung dalam diri anda.Õ (Brahma Jala Sutta)  Begitulah sikap tidak berat sebelah seorang penganut agama Buddha yang tulin.

 

Baginda Buddha telah menegakkan kebebasan tertinggi bukan sahaja dalam ciri-ciri kemanusiaannya tetapi juga dalam sifat-sifat ketuhanannya. Ia adalah kebebasan yang tidak merampas harga diri manusia.  Ia adalah kebebasan yang dapat membebaskan  seseorang dari perhambaan dogma agama dan undang‑undang atau hukuman agama yang ketat. 

 

PENDAKWAH_BUDDHIS

 

MAJU KE DEPAN, O BHIKKHU, DEMI KEBAIKAN SEMUA, UNTUK  KEGEMBIRAAN SEMUA, ATAS DASAR BELAS KASIHAN TERHADAP DUNIA, UNTUK KEBAIKAN,  FAEDAH DAN KEGEMBIRAAN TUHAN DAN MANUSIA. (BUDDHA)

 

Bila kita menyelak muka surat sejarah Buddhisme, kita pelajari bahawa pendakwah Buddhis menyampaikan utusan mulia Baginda Buddha secara aman dan terhormat.  Jenis  penyebaran agama secara aman ini sesungguhnya memalukan golongan yang mempraktikkan cara  yang ganas dalam menyebarkan agama mereka.

 

Penyebar Buddhis tidak pernah bersaing dengan ahli agama lain dalam usaha menganutkan orang di kawasan pasar.  Penyebar Buddhis  atau sami tidak pernah  terfikir atau menkhutbahkan rasa benci terhadap golongan yang digelarkan Ôyang tidak mempercayai.Õ  Kekerasan agama, budaya dan negara bukanlah sikap Buddhis yang dituruti oleh orang yang mempunyai semangat Buddhis sebenar. Keganasan tidak akan mendapat sokongan dalam ajaran Buddha.  Dunia ini telah cukup luka dan menderita daripada penyakit fahaman dogmatik, pelampau agama dan ketidaksabaran.  Sama ada dalam agama atau  politik, manusia berusaha sungguh-sungguh untuk membuatkan orang lain menerima cara hidup mereka.   Semasa membuat demikian, kadang‑kadang mereka menunjukkan rasa permusuhan terhadap pengikut-pengikut agama yang lain.

 

Buddhisme tidak bertelingkah dengan tradisi dan adat kebangsaan, seni dan kebudayaan manusia.  Agama Buddha menerima unsur-unsur tersebut sebagai  satu cara hidup tetapi membenarkan unsur-unsur ini wujud dengan kemurnian.    Utusan kasih sayang dan belas kasihan Baginda Buddha membuka  hati manusia dan mereka dengan rela menerima Ajaran Baginda, dengan itu menolong Buddhisme menjadi salah satu agama dunia.  Pendakwah Buddhis telah dijemput oleh negara‑negara merdeka yang mengalu‑alukan mereka dengan penuh hormat.  Buddhisme tidak pernah diperkenalkan kepada mana‑mana negara melalui pengaruh penjajahan atau dengan kuasa politik yang lain.

 

Buddhisme adalah kuasa kerohanian pertama yang diketahui dalam  sejarah yang menarik dan mengikat bersama sebilangan besar kaum yang terpisah oleh halangan jarak, bahasa, budaya dan nilai-nilai hidup.  Tujuannya bukan untuk  menguasai perdagangan antarabangsa, membina empayar atau  dorongan penghijrahan untuk menduduki jajahan baru.  Matlamatnya adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai bagaimana memperolehi lebih ketenteraman dan kebahagiaan dengan mengamalkan Dharma.

 

Satu contoh yang paling menyerlah tentang kualiti dan pendekatan pendakwah  Buddhis  ialah  Maharajah Asoka.  Pada masa Maharajah Asokalah, Buddhisme  telah berkembang ke banyak negara‑negara di Asia dan negara-negara barat.   Maharajah Asoka menghantar penyebar agama Buddha ke banyak bahagian dunia untuk memperkenalkan mesej keamanan Buddha.  Pada masa  tersebut, Asoka menghormati dan menyokong semua agama.   Toleransinya terhadap agama yang lain sangat ketara.  Salah satu  daripada tulisannya yang terpahat di atas batu di ÔAsoka PillarsÕ, dan masih teguh berdiri pada hari ini di India, berbunyi:

 

ÔSeseorang itu tidak harus menghormati agamanya sendiri sahaja dan  mengutuk  agama orang lain, tetapi dia mesti menghormati agama orang lain atas sebab-sebab tertentu.  Dengan berbuat demikian, seseorang itu  akan membantu agamanya berkembang dan juga turut memberi perkhidmatan kepada  agama yang lain. Dengan berbuat sebaliknya, seseorang itu menggorek kubur agamanya sendiri dan juga merosakkan  agama yang lain.  Sesiapa sahaja yang menyanjungi agamanya dan mengutuk agama orang lain, sesungguhnya berkelakuan demikian dengan fikiran bahawa, ÔSaya akan  mengagungkan agama saya.'  Tetapi sebaliknya dengan berbuat demikian dia melukai agamanya dengan lebih teruk lagi.  Oleh itu, keharmonian adalah baik.  Biar semua orang dengar dan sanggup mendengar ajaran yang dianuti oleh orang lain.'

 

Dalam 268 SM, Asoka menjadikan ajaran Buddha sebagai satu tenaga  kehidupan di India.  Hospital, institusi perkhidmatan sosial,  universiti-universiti untuk lelaki dan wanita, telaga awam dan pusat  rekreasi tumbuh dengan pergerakan baru ini, dan dengan itu  manusia di situ mengerti erti kekejaman peperangan yang tidak bermakna.

 

Zaman keemasan dalam sejarah India dan negara‑negara lain di Asia, jangkamasa bila seni, kebudayaan, pelajaran dan tamadun mencapai kemuncaknya - berlangsung pada masa pengaruh Buddhisme terkuat di negara‑negara ini.  Peperangan suci, perang salib, penaklukan dan  diskriminasi agama tidak mencemari kalendar sejarah negara‑negara  Buddhis.  Ini ialah sejarah mulia yang patut dibanggakan oleh umat manusia.  Universiti Besar Nalanda  di India  yang berkembang dari kurun ke 2 hingga ke 9 adalah satu hasil Buddhisme.   Ini adalah universiti pertama yang kita ketahui terbuka  kepada pelajar antarabangsa.

 

Pada masa lampau, Agama Buddha berupaya meninggalkan kesan pada banyak bahagian Timur, walaupun komunikasi dan pengangkutan adalah  sukar dan manusia perlu merentasi gunung dan gurun.  Di sebalik halangan yang sukar ini Buddhisme   berkembang dengan luas dan jauh.  Hari ini, mesej keamanan ini  sedang berkembang di Barat.  Orang Barat tertarik dengan Buddhisme dan percaya bahawa Buddhisme adalah satu-satunya agama yang harmoni dengan sains moden.

 

 

Penyebar agama Buddha tidak ada keperluan atau kehendak untuk menganutkan orang yang telah memiliki agama yang sesuai untuk mereka amalkan.  Kalau manusia  telah berpuas hati dengan agama mereka, tidak perlu lagi bagi pendakwah agama Buddha mengubah pegangan mereka.  Penyebar agama Buddha  memberikan sokongan  penuh kepada penyebar agama lain  kalau idea mereka adalah untuk menganutkan orang yang ganas, jahat dan tidak bertamadun kepada satu cara hidup yang beragama.  Buddhis sangat gembira melihat kemajuan  agama lain asalkan mereka benar‑benar menolong manusia menjalani cara hidup yang betul berdasarkan kepercayaan agama mereka dan menikmati keamanan, keharmonian dan persefahaman.  Sebaliknya, penyebar Agama Buddha menyesali sikap sesetengah  pendakwah agama yang mengganggu pengikut agama lain, kerana mereka tidak mempunyai sebab untuk membina satu suasana persaingan yang tidak sihat untuk mendapatkan penganut jika tujuan  mereka hanya untuk mengajar orang mengikut satu cara kehidupan beragama.

 

 

Dalam memperkenalkan Dharma kepada orang lain, penyebar agama  Buddha tidak pernah cuba menggunakan imaginasi yang keterlaluan  untuk menggambarkan dunia syurga dengan tujuan untuk menarik keinginan manusia dan meransang kehendak mereka.   Sebaliknya mereka cuba  menerangkan rupa dan sifat sebenar manusia dan kehidupan syurga sebagaimana yang diajar oleh Buddha.