BAB 12:

PERKAHWINAN, KEMATIAN DAN KAWALAN KELAHIRAN

 

Pandangan Buddhis Mengenai Perkahwinan

 

Dalam Buddhisme, perkahwinan hanya dianggap sebagai urusan peribadi dan individu, bukan sebagai kewajiban agama.

 

 

Perkahwinan ialah satu adat sosial, atau amalan yang diwujudkan oleh manusia demi kesejahteraan dan kebahagiaan manusia. Ia bertujuan untuk membezakan masyarakat manusia daripada kehidupan haiwan dan mengekalkan aturan dan keharmonian dalam proses pembiakan. Walaupun teks Buddhis tidak menyentuh perkara monogami ataupun poligami, Buddhis (penganut biasa)dinasihati supaya menghadkan diri mereka kepada seorang isteri sahaja. Buddha tidak menetapkan peraturan mengenai kehidupan berumahtangga tetapi memberi nasihat yang sewajarnya untuk kehidupan rumahtangga yang bahagia. Terdapat kesimpulan yang memadai dalam beberapa khutbahNya yang menunjukkan bahawa ada baiknya dan bijak seseorang itu setia kepada seorang isteri sahaja dan jangan bernafsu serta cuba memikat wanita lain. Buddha menyedari bahawa salah satu punca utama kejatuhan seseorang lelaki ialah keterlibatannya dengan wanita-wanita lain (Parabhava Sutta). Kaum lelaki harus sedar akan kesukaran, dugaan dan kesusahan yang harus ditanggung untuk memelihara seorang isteri dan sebuah keluarga. Keadaan ini bertambah teruk apabila menghadapi mala petaka. Dengan menyedari kelemahan sifat manusia, dalam salah satu tatasusilaNya Buddha telah, menasihatkan pengikut-pengikutNya agar menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan zina atau persetubuhan yang tidak sah.

 

    Pandangan Buddhis mengenai perkahwinan adalah sangat liberal iaitu perkahwinan hanya dianggap sebagai urusan peribadi dan individu dan bukan sebagai kewajipan agama. Dalam Buddhisme, tiada peraturan yang menetapkan bahawa seseorang itu harus berkahwin, membujang ataupun menjalani kehidupan suci murni. Tidak tercatat di mana-manapun bahawa Buddhis mesti melahirkan anak atau mengawal bilangan anak yang dilahirkan. Buddhisme memberi kebebasan kepada setiap individu untuk membuat keputusannya sendiri isu perkahwinan. Mungkin timbulnya persoalan mengapa bhikkhu-bhikkhu Buddhis tidak berkahwin sedangkan tiada peraturan yang menyokong ataupun menentang perkahwinan. Sebabnya nyata; agar dapat berkhidmat kepada manusia, para bhikkhu memilih suatu cara hidup yang termasuk pembujangan. Mereka yang meninggalkan kehidupan duniawi menjauhi daripada kehidupan berkahwin secara sukarela untuk mengelakkan pelbagai kewajipan duniawi demi  mengekalkan ketenteraman minda dan membaktikan seluruh hidup mereka berkhidmat kepada orang lain untuk mencapai pembebasan spiritual. Walaupun bhikkhu tidak melangsungkan upacara perkahwinan, tetapi mereka ada mengendalikan puja keagamaan untuk memberkati pasangan-pasangan.

 

Perceraian

   

Perpisahan ataupun perceraian tidak dilarang dalam Buddhisme walaupun jarang timbul keperluan untuk melakukannya jika peringatan Buddha diikuti dengan tegas. Lelaki dan wanita harus mempunyai kebebasan untuk berpisah sekiranya mereka benar-benar tidak boleh bersefahaman. Perpisahan adalah lebih baik untuk mengelakkan kehidupan keluarga yang sengsara untuk jangka masa panjang. Buddha juga menasihati lelaki tua agar tidak memperisteri wanita muda kerana yang tua dan muda tidak mungkin secocok. Ini boleh menimbulkan masalah yang tidak dijangka, ketidakharmonian dan kejatuhan. (Parabhava Sutta)

 

    Sesebuah masyarakat berkembang melalui rangkaian hubungan yang saling berjalin dan saling bergantung. Setiap hubungan merupakan komitmen sepenuhnya untuk menyokong dan melindungi orang lain dalam kumpulan atau komuniti. Perkahwinan memainkan peranan yang amat penting dalam jaringan hubungan yang erat untuk memberi sokongan dan perlindungan. Perkahwinan yang baik harus berkembang dan maju secara perlahan-lahan melalui persefahaman, dan bukan desakan naluri, melalui kesetiaan sebenar dan bukannya kepuasan nafsu sahaja. Institusi perkahwinan memberikan asas yang baik untuk perkembangan budaya, perhubungan bahagia dua individu yang harus diasuh, dan bebas daripada keseorangan, kekurangan dan ketakutan. Dalam perkahwinan, setiap pihak memainkan peranan saling melengkapi, memberikan kekuatan dan galakan moral sesama sendiri. Setiap pihak menunjukkan penghargaan dan sokongan atas kemahiran pihak yang lain. Perasaan melebihi yang lain tidak harus wujud baik di kalangan lelaki ataupun wanita kerana setiap pihak saling melengkapi, iaitu berkongsi hidup atas dasar persamaan, dengan penuh kelembutan, kemurahan hati, ketenangan dan dedikasi.

 

 

Kawalan Kelahiran, Pengguguran dan Bunuh Diri

 

Walaupun manusia mempunyai kebebasan untuk merancang keluarga demi kesenangannya, menggugurkan anak dalam kandungan adalah tidak wajar.

 

Tiada sebab untuk Buddhis menentang kawalan kelahiran. Mereka bebas untuk mencegah kehamilan dengan cara lama atau moden. Mereka yang membantah kawalan kelahiran dengan mengatakan amalan itu melanggar peraturan Tuhan haruslah faham bahawa konsep mereka mengenai hal ini tidaklah munasabah. Apa yang dijalankan dalam kawalan kelahiran ialah mencegah pembentukan kewujudan. Tidak ada akusala kamma kerana tiada pembunuhan. Namun jika sebarang tindakan diambil untuk melakukan pengguguran, maka perbuatan ini adalah salah kerana ia melibatkan pengambilan ataupun pemusnahan nyawa yang kelihatan atau tidak kelihatan. Oleh itu, pengugguran adalah tidak wajar.

 

 

    Mengikut Ajaran Buddha, lima syarat harus wujud untuk membentuk perbuatan membunuh yang keji, iaitu:-

     1.  Makhluk yang hidup

     2.  Pengetahuan atau kesedaran bahawa ia makhluk hidup

     3.  Niat untuk membunuh

     4.  Usaha untuk membunuh dan

     5.  Kematian sebagai akibatnya

 

    Apabila seseorang wanita mengandung, terdapat satu hidupan di dalam rahimnya, maka syarat pertama dipenuhi. Selepas beberapa bulan, dia menyedari wujudnya nyawa baru dalam dirinya dan ini memenuhi syarat kedua. Kemudian atas sebab-sebab tertentu, dia ingin mengeluarkan hidupan itu daripada dirinya. Dia mula mencari orang yang dapat menggugurkan anak dalam kandungannya dan tindakan ini memenuhi syarat ketiga. Syarat keempat dipenuhi apabila orang itu berjaya menggugurkan anak dalam kandungannya dan akhirnya hidupan itu terbunuh. Maka kesemua syarat telah dipenuhi. Dengan demikian Tatasusila  Pertama iaitu "tidak membunuh" sudah dilanggar dan ini sama seperti membunuh seorang manusia. Mengikut Buddhisme, tidak ada alasan untuk mengatakan bahawa kita berhak untuk mengambil nyawa hidupan lain.

 

    Dalam keadaan tertentu, manusia rasa dirinya terpaksa berbuat demikian demi kesenangan diri mereka. Namun mereka tidak harus mewajarkan pengguguran kerana dengan apa cara pun mereka akan menghadapi balasan karma buruk yang tertentu. Di sesetengah negara, pengguguran dibenarkan di sisi undang-undang cuma untuk mengatasi masalah-masalah tertentu. Prinsip-prinsip agama tidak harus ditundukkan untuk keselesaan manusia. Prinsip tersebut wujud untuk kebajikan manusia sejagat.

 

 

Membunuh Diri

 

    Mengambil nyawa sendiri dalam apa jua keadaan adalah salah dari segi moral dan rohani. Mengambil nyawa sendiri kerana kekecewaan atau kehampaan hanya akan menyebabkan penderitaan yang lebih mendalam. Membunuh diri merupakan cara pengecut menamatkan masalah hidup. Seseorang tidak akan membunuh diri jika mindanya suci dan tenang. Jika seseorang meninggalkan dunia ini dengan minda yang bercelaru dan putus asa, kemungkinan besar dia tidak akan dilahirkan semula dalam satu keadaan yang lebih baik. Membunuh diri ialah perbuatan yang tidak baik atau tidak bijak kerana ia didorong oleh minda yang penuh dengan ketamakan, kebencian dan delusi. Mereka yang membunuh diri masih belum mempelajari bagaimana menghadapi masalah, bagaimana menghadapi kenyataan hidup, dan bagaimana menggunakan minda mereka dengan cara yang sesuai. Orang sedemikian masih tidak memahami sifat hidup dan keadaan duniawi.

 

    Sesetengah orang mengorbankan nyawa mereka untuk sebab yang dipercayai mereka sebagai yang baik dan mulia. Mereka mengambil nyawa sendiri dengan kaedah seperti pengorbanan diri, tembakan peluru, atau melaparkan diri. Tindakan demikian mungkin dikelaskan sebagai perbuatan yang berani dan tabah. Walau bagaimanapun, dari sudut pandangan Buddhis, perbuatan demikian tidak boleh dibiarkan. Buddha dengan jelasnya telah menunjukkan bahawa minda dalam keadaan bunuh diri mendatangkan penderitaan lanjut.

 

 

Mengapa Populasi Dunia Bertambah?

 

Memanglah tidak berasas untuk menganggap bahawa pada jangka masa ini sahaja populasi dunia telah bertambah.

 

Sekiranya Buddhis tidak mempercayai wujudnya roh yang diciptakan Tuhan, bagaimana mereka dapat menjelaskan pertambahan populasi dunia hari ini? Ini merupakan persoalan biasa yang dikemukakan oleh kebanyakan orang hari ini. Mereka yang menimbulkan persoalan ini biasanya menganggap makhluk bernyawa hanya wujud di satu dunia sahaja. Seseorang harus mempertimbangkan bahawa  populasi akan bertambah di tempat-tempat yang mempunyai keadaan iklim yang sesuai, kemudahan perubatan dan makanan yang baik serta adanya langkah-langkah pencegahan dalam melahirkan dan melindungi makhluk hidup.

 

    Seseorang juga harus mempertimbangkan bahawa memanglah tidak berasas untuk menganggap bahawa pada jangka masa ini sahaja populasi dunia telah bertambah. Tidak ada cara lain untuk membuat perbandingan dengan sebarang zaman dalam sejarah purba. Banyak peradaban yang agung telah wujud dan kemudiannya lenyap di Asia Tengah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Purba. Tiada angka-angka bancian yang dapat diperolehi mengenai tamadun-tamadun ini. Seperti kesemua perkara lain dalam alam ini, populasi juga mengalami kitaran turun dan naik. Pada kitaran kadar pertambahan kelahiran yang menakjubkan, seseorang mungkin terdorong untuk mempertikaikan tumimbal lahir di dunia ini ataupun di dunia lain. Untuk beberapa ribu tahun yang lepas, tiada bukti menunjukkan bahawa pernah terdapat lebih banyak orang di sesetengah kawasan dunia daripada yang ada pada hari ini. Bilangan makhluk yang wujud di pelbagai sistem dunia adalah infiniti. Sekiranya nyawa manusia diumpamakan sebagai sebutir pasir, bilangan makhluk di dalam alam semesta ini adalah seperti butiran-butiran pasir di semua pantai di atas bumi ini. Sebilangan daripada makhluk-makhluk yang infiniti jumlahnya akan dilahirkan semula sebagai manusia jika keadaan bersesuaian dan disokong oleh kamma baik mereka. Kemajuan dalam bidang perubatan terutamanya pada kurun ke-19 dan ke-20 membolehkan manusia hidup lebih sihat dan lebih lama.

 

    Faktor ini telah menyumbang kepada pertumbuhan populasi. Populasi akan terus bertambah sekiranya orang yang menyedarinya mengambil langkah kawalan. Maka kepujian ataupun tanggungjawab dalam meningkatkan populasi harus diberikan kepada kemudahan perubatan dan keadaan lain yang wujud hari ini. Kepujian ataupun tanggungjawab ini tidak boleh diberikan kepada sebarang agama tertentu ataupun punca luar.

 

    Sesetengah orang percaya bahawa kesemua kejadian buruk yang menghancurkan nyawa manusia, adalah diciptakan oleh Tuhan untuk mengurangkan populasi dunia. Dengan menimbulkan banyak kesusahan kepada makhlukNya sebagai ganti, kenapa Dia tidak mengawal populasi? Kenapa pula Dia mencipta lebih banyak orang di negeri yang padat populasinya yang tiada makanan, pakaian dan keperluan asas yang lain?  Mereka yang mempercayai bahawa Tuhanlah yang mencipta segala-galanya tidak dapat memberikan jawapan yang munasabah terhadap persoalan ini. Bukannya takdir tuhan ataupun kehendak syaitan tertentu yang menyebabkan kemiskinan, penderitaan, peperangan, kelaparan, penyakit dan kebuluran malah disebabkan oleh punca yang tidak begitu sukar untuk diketahui.

 

Seks Dan Agama

 

`Bahagian bawah kita masih lagi bersifat  haiwan. ' 

                                                  (Gandhi)

Desakan seks merupakan tenaga yang paling dinamik dalam sifat manusia. Dorongan seksual adalah begitu kuat sehingga langkah tertentu untuk kawalan diri adalah perlu walaupun dalam kehidupan biasa. Untuk pengejar spiritual, disiplin diri yang lebih ketat diperlukan untuk sesiapa yang ingin mindanya dikawal dengan sepenuhnya. Dorongan yang sebegitu kuat pada sifat manusia hanya boleh dikurangkan jika pengejar spiritual itu mangawal pemikirannya dan mengamalkan konsentrasi. Pemeliharaan tenaga seksual membantu perkembangan keupayaan ini. Seseorang akan lebih berkeupayaan mengawal keseluruhan dirinya dan mengatasi emosinya jika dia dapat mengawal dorongan seksualnya.

 

    Hidup tanpa seks merupakan satu keperluan untuk mereka yang ingin meningkatkan perkembangan spiritual mereka ke tahap sempurna. Akan tetapi untuk mengamalkan Buddhisme, setiap orang tidak diwajibkan untuk mengamalkan hidup tanpa seks sepenuhnya. Buddha menasihatkan bahawa hidup tanpa seks adalah lebih sesuai untuk seseorang yang ingin mengusahakan pencapaian spiritual. Untuk para Buddhis di rumah, tatasusilanya adalah menghindari perlakuan seks yang salah. Walaupun dorongan seksual yang terpesong bukanlah dalam ketegori ini, tetapi seseorang yang sesat dan terpesong akan mengalami akibat buruk baik secara fizikal, mental atau kedua-duanya.

 

 Kebanyakan buddhis di rumah perlu mengenakan kawalan tertentu terhadap tenaga seks mereka. Jikalau desakan seks manusia tidak dikawal dengan betul, dia akan berkelakuan lebih teruk daripada haiwan apabila dirinya dikuasai oleh hawa nafsu. Fikirkanlah tentang perlakuan seks yang kita gelar sebagai "haiwan lebih rendah". Mana satukah yang lebih rendah - haiwan atau manusia? Mana satukah yang berkelakuan yang normal dan biasa berhubungan dengan perlakuan seks? Mana satukah yang terpesong kepada ragam yang luar biasa dan terpesong? Biasanya, haiwan ialah makhluk yang lebih tinggi manakala manusia adalah lebih rendah. Mengapa begini? Ini hanya kerana manusia yang mempunyai kebolehan mental, yang sekiranya digunakan dengan betul boleh mengawal desakan seks, tetapi sebenarnya kuasa mentalnya telah digunakan dengan cara yang menyedihkan dan lebih memperhambakan diri kepada desakan-desakan itu. Maka, ada kalanya manusia boleh dikatakan lebih rendah kedudukannya daripada haiwan.

 

    Nenek moyang kita kurang mementingkan desakan seks kerana mereka memahami bahawa ia sudah cukup kuat tanpa sebarang perangsang. Tetapi pada masa kini kita telah menyemarakkannya dengan pelbagai perangsang iklan lucah, penekanan dan pertunjukan yang memberahikan. Kita telah berpegang kepada doktrin yang mengatakan bahawa pengawalan diri adalah berbahaya dan boleh mengakibatkan sakit jiwa.

 

    Akan tetapi kawalan diri iaitu mengawal dorongan hati merupakan prinsip pertama dalam sebarang tamadun. Dalam tamadun moden ini, kita telah mencemarkan atmosfera seksual di sekeliling kita iaitu betapa kuatnya dorongan minda dan badan terhadap kepuasan seksual.

 

    Akibat daripada  eksploitasi seks oleh pemujuk-pemujuk yang terselindung dalam masyarakat moden, para belia hari ini telah membentuk satu sikap terhadap seks yang menjadi masalah masyarakat. Seseorang gadis yang tidak bersalah tidak mempunyai kebebasan untuk pergi ke mana-mana tanpa diganggu. Sebaliknya, wanita harus berpakaian senonoh agar tidak menimbulkan sifat kebinatangan yang terselindung dalam kaum belia.

 

    Manusia merupakan satu-satunya haiwan yang tidak mempunyai jangka masa ketidak-aktifan seks secara semulajadi untuk memulihkan tenaga hidupnya. Malangnya eksploitasi komersial terhadap sifat keghairahan manusia telah mengakibatkan manusia zaman moden terdedah kepada rangsangan seks yang bertalu-talu dari semua segi. Kebanyakan sakit jiwa yang wujud hari ini berpunca daripada keadaan perhubungan yang tidak seimbang seperti ini. Sedangkan kaum lelaki diharapkan beristeri seorang sahaja, wanita pula digalakkan melalui pelbagai cara yang mungkin, menjadikan diri mereka lebih menarik bukan untuk suaminya sahaja tetapi untuk mengghairahkan setiap lelaki yang dilarang oleh masyarakat.

 

    Banyak masyarakat cuba menguatkuasakan hubungan monogami. Oleh itu lelaki yang mengalami banyak kegagalan masih boleh menjadi manusia yang bermoral selagi dia tetap setia kepada isterinya di sisi undang-undang. Bahaya akan timbul sekiranya orang yang cerdas berpendapat bahawa peraturan ini merupakan buatan manusia dan bukan berasaskan sebarang prinsip yang terbukti dan sah secara universal, mereka akan mempunyai tanggapan yang salah mengenai semua peraturan etika yang lain.

 

    Seks harus diberikan kedudukan yang sewajarnya dalam kehidupan manusia yang normal; iaitu ia tidak harus ditekan atau diperbesar-besar secara tidak waras. Seks harus di bawah kawalan fikiran kita, sekiranya ia difikir dengan waras dan dilihat daripada perspektif yang sesuai.

 

    Seks tidak seharusnya dianggap sebagai ramuan yang paling penting untuk kehidupan keluarga yang bahagia. Mereka yang terlalu mengikut kehendak nafsu, boleh menjadi hamba kepada seks dan akhirnya akan memusnahkan sifat kasih-sayang dan peri-kemanusiaan dalam perkahwinan. Seperti semua perkara lain, seseorang harus bersikap sederhana dan rasional dalam kehendak seks sendiri, dengan mengambil kira perasaan dan sifat peribadi pihak yang lain.

 

    Perkahwinan merupakan satu ikatan perkongsian hidup di antara lelaki dan wanita. Tiga kualiti asas yang harus dipupuk dan diasuh oleh pasangan tersebut ialah kesabaran, toleransi dan persefahaman. Walaupun kasih sayang merupakan simpul yang mengikat pasangan itu bersama, kaum lelaki harus menyediakan keperluan kebendaan untuk pasangan itu demi mengekalkan kebahagiaan keluarga. Keperluan untuk mewujudkan satu pasangan perkahwinan yang baik, harus berdasarkan sifat "milik kita" dan bukan "milik anda" ataupun "milik saya". Pasangan yang baik harus "membuka" hati sesama sendiri dan mengelakkan diri daripada menyimpan "rahsia". Menyimpan rahsia pada diri sendiri boleh menimbulkan kecurigaan dan kecurigaan merupakan elemen yang boleh menghancurkan kasih-sayang dalam sesuatu perkongsian hidup. Kecurigaan melahirkan sikap cemburu. Sikap cemburu menimbulkan kemarahan. Kemarahan menjadi kebencian. Kebencian berkembang menjadi permusuhan dan permusuhan boleh mengakibatkan kesengsaraan yang tidak terperi termasuk pertumpahan darah, bunuh diri dan juga pembunuhan.